Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Isnin, 25 Mac 2013

Kesihatan Jantung: Delima atau Statin?

Artikel tulisan herbalis Bahrain Samah, RH (AHG) terbit daam akhbar Sinar Harian (edisi KL/Selangor) pada Jun 11, 2012.
       Saintis aliran perdana dan golongan perubatan moden percaya kepada teori yang menyatakan bahawa paras kolesterol tinggi sebagai punca arteri jantung tersumbat. Sebuah teori aliran perdana yang amat popular menyatakan bahawa plak berlemak berkumpul pada bahagian dinding arteri jantung yang rosak. Keradangan dikatakan sebagai punca utama kerosakan dinding arteri jantung.
       C-reactive protein (CRP) ialah sejenis bahan yang terdapat dalam darah telah dikenalpasti sebagai penanda (marker) untuk keradangan. Paras CRP akan meningkat sebagai isyarat  terhadap sebarang jenis keradangan yang berlaku. Paras CRP tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung manakala paras rendah pula dikaitkan dengan risiko rendah.
       Ramai saintis dan doktor percaya bahawa LDL yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat adalah penanda utama bagi menentukan risiko penyakit jantung. Namun pada masa sama terdapat beberapa bukti menunjukkan CRP dapat dijadikan penanda risiko penyakit jantung yang lebih baik berbanding LDL.
LDL atau CRP?
      Sebuah kajian yang diketuai oleh Paul Ridker, MD. yang melibatkan 29,939 wanita telah menunjukkan keadaan tersebut. Lebih dari separuh wanita yang terlibat dalam kajian mengalami paras CRP tinggi. Mereka didapati telah mengalami penyakit jantung walau pun paras LDL mereka rendah. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 14 November 2002.
      Beberapa tahun kemudian kajian yang dijalankan di Cleveland Clinic mendapati arteri tersumbat yang dialami oleh 502 orang pesakit tidak menjadi semakin buruk setelah mereka berjaya mengurangkan paras CRP. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2005. Jurnal keluaran yang sama juga melaporkan keputusan seuah kajian lain yang dijalankan oleh Dr. Ridker di mana ia menunjukan penurunan paras CRP menggunakan ubatan statin mengurangkan risiko kejadian serangan jantung kali kedua.
     Statin ialah nama generik kepada sejenis ubat moden bagi membantu mengawal paras kolesterol. Ia berfungsi menghalang pembinaan kolesterol. Ia dipreskirpsi oleh doktor kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari. Statin memiliki beberapa kesan sampingan termasuk gangguan mood, memori, libido (mati pucuk), merosakkan sel dan mengurangkan pembinaan coenzyme Q10.
     Kekurangan kolesterol menyebabkan hormon-hormon reproduktif seperti testoterone juga terganggu. Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada selera seks tetapi ia dipercayai menyebabkan seseorang mudah mengalami penuaan pra-matang. Ini kerana salah satu fungsi testoterone ialah melambatkan proses penuaan.
     Sel membran juga terdiri dari 20 peratus kolesterol. Kekurangan kolesterol mengganggu pelbagai fungsi sel dan ini juga mempercepat proses penuaan. Gangguan pembinaan kolesterol juga mengurangkan pembinaan vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan fisiologi. Ini juga mempercepat proses penuaan.
Kesan sampingan statin
      Sebuah kajian yang dilaporkan dalam British Medical Journal (2010) mendapati statin meningkatkan risiko katarak, otot lemah, hati tidak berfungsi dan kegagalan buah pinggang! Pada tahun sebelumnya Dr. Janet L. Stanford melaporkan dalam American Journal of Epidemiology bahawa statin didapati meningkatkan risiko kanser prostat sebanyak 50 peratus pada lelaki obes. Ia juga meningkatkan risiko diabetes sebanyak 80 peratus pada golongan sama.
      Sebuah kajian yang dijalankan beberapa tahun kemudian seperti dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (2012) mendapati statin meningkatkan risiko diabetes sebanyak 50 peratus pada wanita berumur melebihi 45 tahun apabila mereka mengambil statin.
     Mekanisme bagaimana statin meningkatkan risiko diebetes jenis 2 (type 2) tidak diketahui. Kekurangan kolesterol berpunca dari pengambilan statin menyebabkan gangguan secara fisiologi pada membran sel.  Ia dipercayai menyebabkan reseptor insulin tidak sensitif terhadap hormon insulin atau reseptor-reseptor insulin menjadi semakin kurang bilangannya kerana berlaku proses down regulation.
     Pengambilan statin secara berpanjangan berkemungkinan menyebabkan pembinaan insulin oleh sel-sel beta pankreas semakin berkurangan. Sel-sel beta juga mempunyai membran. Kekurangan kolesterol dipercayai menyebabkan pintu/laluan Kalsium pada membran sel menjadi rosak atau tidak berfungsi secara normal.
     Kalsium memang diperlukan oleh sel-sel beta untuk membina insulin. Namun pintu/laluan Kalsium yang tidak berfungsi secara normal menyebabkan terlalu banyak Kalsium masuk ke dalam sel beta melebihi had sepatutnya. Ini menyebabkan insulin dirembis melebihi had normal dan ia akan menyebabkan resptor-reseptor insulin pada membran sel menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin.
    Proses ketidaksensitifan reseptor insulin, kekurangan resptor insulin dan berlebihan ion Kalsium dalam sel beta pankreas ialah punca kepada kekebalan insulin. Jika tidak ditangani terutama dari segi pola pemakanan seseorang yang mengalami keadaan ini mudah menghidap diabetes jenis 2.
    Apakah alternatif untuk statin? Jawapannya ialah menjalani gaya hidup holistik. Makan makanan yang sesuai untuk kesihatan jantung seperti mengurangkan produk bijiran. Kurangkan pengambilan gula. Elakkan merokok dan minum arak. Elakkan dari makan berlebihan. Seboleh-bolehnya elakkan dari makan makanan yang dipanggang (hingga sebahagian menjadi arang) dan digoreng secara terendam lama. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Guna garam gunung dalam masakan. Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan yang memerlukan sahaja. Urus stres dengan bijak.
    Saya tidak menggunakan teori plak berlemak punca kerosakan arteri. Teori yang saya anuti ialah pintu/laluan Kalsium yang rosak menyebabkan Kalsium masuk pada jumlah tinggi ke dalam sel endotelia jantung. Ini menyebabkan arteri jantung buncit. Pada pandangan saya pintu/laluan Kalsium boleh diperbetulkan dengan mengamalkan pemakanan di atas beserta pengambilan bahan-bahan yang akan saya sebutkan di bawah.
    Kajian mendapati delima berupaya mencegah keradangan dan juga pembentukan plak dalam arteri.     Bahan-bahan seperti cuka epal (atau cuka kurma) diambil bersama minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin), vitamin C membantu delima secara sinergi.  Kesemua bahan ini bukan sahaja dipercayai membantu memulihara pintu/laluan Kalsium pada membran sel tetapi ia juga mencarikan darah dengan mengawal profil lipid iaitu tirigliserida, LDL, HDL dan jumlah kolesterol (total kolesterol).
     Vitamin B6, B9 (asid folik) dan B12 yang terdapat pada B kompleks menyumbang 'methyl' yang diperlukan oleh pelbagai jenis bahan kimia dalam tubuh bagi mempastikan organ sistem tubuh berfungsi secara harmoni termasuk memelihara kesihatan jantung. Selain itu Magnesium yang terdapat pada sayuran hijau penting untuk pembinaan tenaga dalam sel serta bagi mengimbangi Kalsium. Suplemen L-arginine juga penting. Dalam tubuh ia diubah kepada nitrik oksida. Ia berfungsi menutralkan radikal bebas superoxide iaitu bahan yang dipercayai punca keradangan dan merosakkan sel-sel endotelia arteri.


      Sila baca artikel membincangkan topik yang serupa iaitu Khasiat Delima

Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)

Khasiat Delima

 

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian (edisi KL/Selangor) pada Februari 5, 2013.
Delima (Punica granatum) merupakan salah satu jenis buah-buahan paling tua pernah diketahui manusia. Maklumat mengenainya ditemui dalam bentuk tulisan dan artifak pelbagai budaya dan agama. Delima yang dipercayai berasal dari Parsi kaya dengan pelbagai nutrien dan amat bermanfaat untuk kesihatan.
       Dalam Quran delima disebut dalam tiga surah. Yang pertama dalam surah al-An'am (maksudnya):  "...... dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang serupa (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak serupa." [al-An'am: 99]. Yang kedua dalam surah yang sama juga (maksudnya): "....... dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak serupa (rasanya)." [al-An'am: 141]. Ia juga disebut dalam surah ar-Rahmaan (maksudnya), "Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima." (ar-Rahmaan: 55).
      Dalam ketiga-tiga ayat tersebut ALLAH hanya menyebut delima secara umum. Namun setiap nikmat kurniaan ALLAH untuk kegunaan manusia memang memiliki manfaat.

     Salah satu nikmat dunia dalam bentuk manfaat yang dicipta ALLAH pada buah delima ialah setiap orang yang melihat kepada isinya yang masak ranum nescaya akan memuji, "SubhaanAllah, cantiknya warna isi buah delima ini." Manfaat lain yang ketara setakat ini ialah kebaikan pengambilan dan penggunaannya untuk kesejahteraan kesihataan.
Seluruh bahagian pokok
     Manfaat delima untuk kesejahteraan kesihatan bukan hanya terdapat pada isinya yang berwarna merah atau merah jambu malah pada keseluruhan bahagian pokok delima. Boleh dikatkan seseluruhan bahagian pokok delima bersifat astringen. Astringen ialah suatu sifat yang membantu mengecutkan tisu dan salur darah. Sebab itu kulit batang, kulit buah dan daun delima sesuai digunakan untuk mengatasi diarea.
     Ia juga boleh digunakan untuk memberhentikan darah luka. Caranya ialah lumatkan daun delima dan dipupuk pada luka. Sepertimana daun sirih, daun delima juga mampu memberhentikan hidung berdarah. Menempel daun delima yang dikunyah berupaya memberhentikan gusi berdarah.
   Sifat astingen keseluruhan bahagian pokok delima ini mungkin sesuai digunakan untuk mempercepat penyembuhan luka dalaman yang dialami oleh mereka yang terlibat dalam kemalangan. Begitu juga yang mengalami tisu memar kerana terhantuk atau dipukul. Ia juga mungkin berguna dijadikan sebagai salah satu ramuan jamu untuk wanita selepas bersalin. 

     Keseluruhan  bahagian pokok delima termasuk isi dan bijinya juga sesuai digunakan untuk meredakan muntah dan loya. Manfaatnya meredakan loya yang biasa dialami oleh wanita mengandung dkatakan telah terbukti oleh mereka yang mengambilnya. Pengambilan secara kerap dikatakan membantu mengelakkan keguguran.
    Rasa buah delima yang masam manis (kadang-kala kelat) membantu mengembalikan selera makan terutama kepada mereka yang sedang sakit, mengalami stres berpanjangan dan terlalu lama mengambil ubat. Keadaan tersebut biasanya menyebabkan sel-sel lidah (dan tekak) seseorang kurang peka kepada kebanyakan jenis makanan.
Vitamin C dan bioflavonoids
    Pengambilan jus delima secara berpanjangan membantu memulihara kesihatan hati,  mata, otak dan pelbagai jenis oran tubuh secara keseluruhan. Kandungan vitamin C yang tinggi, pelbagai jenis bioflavonoids dan asid folik dipercayai menyumbang ke arah kesejahteraan kesihatan secara keseluruhan. Kandungan vitamin C yang tinggi dan bioflavonoids menyebabkan ia sesuai diambil bagi memendekkan tempoh demam selsema, flu, batuk dan sakit tekak.
     Jus delima berupaya menyejukkan tubuh. Ia sesuai diambil oleh mereka yang mengalami demam dengan suhu badan tinggi seperti flu dan denggi. Penghidap gatritis (penyakit gastrik) juga dikatakan sesuai mengambil jus delima bagi menyeimbangkan paras asid dalam perut. Jus delima segar yang ditambah madu asli sesuai diambil untuk meredakan sakit kepala dan migren.
     Sesetengah wanita yang mengalami menopos mudah mengalami kemurungan dan kurang bersemangat. Jus delima diambil secara berpanjangan dikatakan membantu meredakan masalah tersebut. Sebuah berita baik untuk lelaki dan wanita iaitu jus delima dikatakan berupaya membantu mengembalikan libido (selera seks) seperti dilaorkan dalam Journal of Urology 2005). Mereka yang berhasrat agar sentiasa mendapatkan tahap libido yang optima boleh cuba mengambil jus delima secara berpanjangan.

     Nafas berbau boleh diatasi dengan mengunyah beberapa butir isi dan biji delima. Rebusan kulit buah delima yang direbus boleh dijadikan larutan berkumur untuk mengatasi masalah yang sama. Bunga delima boleh digunakan untuk menguatkan gusi dan gigi. Pengambilan teh yang disediakan dengan merendam bunga delima dengan air panas secara berterusan dapat mengelakkan pembentukan plak pada gigi serta mengelakkan kerosakkan gigi dan gusi.
     Di samping buah delima kaya dengan pelbagai jenis bioflavonoids antara lain seperti asid chlorogenic, asid ursolic, asid gallic, ellagitannins, catechins dan resveratrol. Salah satu sifat penting bahan-bahan tersebut ialah ia bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan ialah bahan atau agen yang mampu menutral radikal bebas. Radikal bebas ialah bahan yang amat reaktif yang boleh merosakkan pelbagai jenis komponen tubuh.
     Tubuh kita mengeluarkan beberapa jenis bahan antioksidan termasuk yang terpenting iaitu glutathione. mereka yang kerap makan sayur-sayuran dan buah-buahan dikatakan sukar mengalami penyakit (pelbagai jenis). Ia kerana bahan-bahan antioksidan dari makanan tersebut membantu mengawal radikal bebas. Jadi, walau pun tubuh kita mengeluarkan bahan-bahan antioksidan, pengambil makanan yang mengandungi bahan antioksidan amat diperlukan tubuh.
     Pengambilan jus delima asli amat baik diamalkan kerana ia bersifat sebagai agen antipenuaan. Sebuah kajian seperti dilaporkan dalam jurnal Clinical Nutrition (2004) mendapati pengambilan jus delima kurang dari seperempat cawan setiap hari mengurangkan plak berlemak dalam arteri jantung.
Kesihatan jantung
      Plak berkurangan tiga belas peratus selepas tiga bulan pengambilan dan dua puluh enam peratus selepas sembilan bulan. Selepas setahun plak berkurangan sebanyak tiga puluh lima peratus! Saintis yang menjalankan kajian berpendapat kesan positif tersebut berpunca dari tindakan beberapa jenis polifenol yang terdapat dalam buah delima.
     Kandungan polifenol dalam buah delima ialah antara 2,200 - 10,500 bahagian per sejuta. Untuk pengetahuan anda, bioflavonoids adalah sub-kelas kepada polifenol. Penghidap diabetes dikatakan mempunyai paras radkal yang tinggi dalan tubuh mereka. Begitu juga mereka yang mengalami stres berpanjangan, terlantar sakit, kanser dan bergantung kepada ubat-ubatan moden sepanjang hayat.
  Pengambilan ubat-ubatan kemoterapi (termasuk ubat-ubatan antivirus), radioterapi dikatakan menyebabkan tubuh bertoksin dan tinggi dengan radikal bebas. Pengambilan jus delima dipercayai dapat mengawal paras radikal bebas yang tinggi berpunca dari semua keadaan tersebut. 

     Sila baca artikel berjudul Kesihatan Jantung: Delima atau Statin

Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com

Ahad, 17 Mac 2013

Detergen Antibakteria ganggu Sistem Imiun


 Oleh: Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 29 Januari 2013. 
     Lemak dan kotoran ialah punca kuman seperti bakteria dan bakteria melekat pada kulit. Air yang merupakan pelarut universal tidak mampu menyah kotoran dan lemak pada tahap maksima. Penggunaan sabun atau detergen bersama-sama air dikatakan berupaya membuang sebahagian besar lemak dan kotoran.
   Menurut Harvard Health Letter (2007) mencuci tangan dengan sabun dan air selama lima belas saat mampu menyah kuman sebanyak 80 peratus.  Menurut laporan yang sama, keupayaan penyahan kuman oleh sabun biasa ini sama dengan keupayaan sabun/detergen antibakteria.

  Selepas pandemik H1N1 yang melanda seluruh dunia, pengeluar-pengeluar sabun antibakteria sibuk mempromosi produk pembasmi kuman terutama pembersih tangan jenis pembasmi kuman (hand sanitizer). Sebahagian pengeluar mendakwa detergen mereka mampu memusnahkan 99.9 peratus mikrob (bakteria dab virus). 


Perbezaan fungsi

   Sabun dan detergen biasa iaitu dari jenis yang tidak ditambah bahan antibakteria membuang kuman dari permukaan kulit bersama-sama kotoran dan lemak. Manakala sabun/detergen antibakteria bukan sahaja mampu membuang kuman bersama-sama kotoran dan lemak malah dikatakan mampu mencegah pembiakan kuman pada permukaan kulit.

  Aktiviti pencegahan pembiakan berlaku kerana bahan antibakteria melekat pada permukaan kulit walau pun kulit sudah dibilas dengan bersih.  Bau bahan pembasmi kuman yang digunakan mudah dikesan oleh deria bau kita. Selagi masih ada bau bahan tersebut maka selagi itulah masih terdapat bahan antibakteria tersebut pada permukaan kulit.

     Kebanyakan orang terutama orang Melayu akan tertanya-tanya apakah perbezaan sabun dan detergen. Sebenarnya istilah sabun bukan istilah yang sesuai untuk produk-produk pembersihan seperti untuk mandian dan mencuci tangan. Istilah yang tepat ialah detergen kerana bahan pengemulsi asas yang digunakan ialah detergen.
      Perbezaan utama antara sabun dan detergen ialah bahan yang digunakan. Sabun diperbuat dari lemak yang disafonifikasi dengan alkali. Bahan asas sabun buku dan sabun mandi bentuk ketulan diperbuat dari lemak contohnya lemak sayuran atau lemak haiwan yang ditambah dengan larutan natrium hidroksida.
    Sebaliknya detergen bukanlah sejenis lemak tetapi sejenis bahan kimia yang disintesis dari petroleum. Sepertimana sabun ia juga direka agar memiliki kepala besifat hidrofilik (suka dan larut air) dan ekor bersifat hidrofobik (benci dan tidak larut air). Aktiviti sabun dalam melarutkan kotoran dan lemak tidak secekap detergen.
      Biasanya ia tidak bersifat alkali sebagaimana sabun. Namun penambahan bahan-bahan kimia tertentu membantu menyelaras pH produk pada paras tertentu bergantung kepada keperluan dan jenis penggunaan. Istilah detergen yang digunakan dalam artikel ini merujuk kepada cairan pembersih diperbuat dari kimia sintetik.
    Sebahagain pakar menyatakan bahawa sabun/detergen antibakteria merupakan bahan pembersih paling baik. Alasan mereka ialah ia bukan sekadar mampu membuang kotoran dan lemak malah mampu memusnahkan bakteria dan virus. Selain itu sifat bahan aktibakteria yang melekat pada permukaan kulit membantu kulit bebas dari pembiakan mikrob.

     Adakah kebaikan-kebaikan tersebut boleh diterima pakai dan diamalkan begitu sahaja tanpa mengetahui kesan-kesan sampingan?

    Kebanyakan orang tidak tahu bahawa bahan antibakteria yang digunakan contohnya chloroxylenol adalah bahan bertoksik. Bahan asas bahan kimia ini ialah xylene. Xylene pula ialah merupakan sejenis bahan yang memiliki stuktur asas benzena. Chloroxybenzyol ialah xylene yang ditambah satu atom klorin. Kesemua bahan ini adalah amat bertoksik kepada sel.

   Menurut beberapa Lampiran Data Keselamatan Bahan (MSDS, Material Safety Data Sheet) dari internet, chloroxylenol boleh merengsa kulit, mata dan saluran pernafasan. Merengsa bermaksud ia merosakkan sel-sel kulit. Begitu juga ia boleh merosakkan sel-sel mata dan saluran pernafasan. Sifat mensensitiza (sensitizing) inilah mengapa ia digunakan sebagai bahan antibakteria oleh sesetengah pengeluar bahan pembersih mengandungi antibakteria.


Tidak mesra

     Seseorang yang sering menggunakan sabun/detergen antibakteria ini sebenarnya telah menggunakan bahan yang tidak mesra tubuh sendiri dan alam. Mengapa? Sila baca selanjutnya.

    Sesetengah orang akan menjadi kurang cermat dalam membersihkan diri ketika mandi atau mencuci tangan. Kerana terlalu percaya kepada kekesanan pembasmian kuman sabun/detegen antibakteria, mereka mungkin melakukannya secara teregesa-gesa iaitu pada tempoh yang singkat. Pergerakan mekanikal tangan iaitu proses gosokan pun mungkin dilakukan secara sambil-lewa.

    Bahan-bahan mengandungui bahan antibakteria didapati membantu pembiakan keturunan bakteria yang kebal bahan antibakteria (antibacterial-resistant strains). Walau pun tiada bukti (hasil kajian saintifik) ia dipercayai akan menyemarak pembiakan bakteria yang kebal terhadap bahan-bahan antibakteria.

     Lebih buruk dari itu ialah bakteria kebal ini juga dipercayai akan kebal terhadap pelbagai jenis ubatan antibiotik! Masalah ini akan ditanggung oleh penghidap di mana mereka terpaksa membayar harga antibiotik khas pada harga yang jauh lebih tinggi dari antibiotik biasa. Antibitotik khas ini dikatakan jauh lebih berbahaya dari antibiotik biasa! Antibakteria kebal antibiotik ini dikatakan telah dikesan pada individu yang biasa makan daging lembu komersil yang biasa disuntik antibiotik. 


Merosakkan alam dan hidupan

    Kerana sukar lupus seacara biologi, sesetengah agen/bahan antibakteria ini akan berada dalam alam sekitar. Ia akan memusnahkan dan membunuh organisme yang bermanfaat kepada alam sekitar. Organisme ini pula tidak berbahaya kepada manusia dan hidupan lain.

    Sesetengah bahan antibakteria ini akan berada pada tubuh ikan dan pelbagai jenis haiwan mamalia laut pada kepekatan tinggi. Apabila paras mencapai paras bertoksik, ikan dan haiwan laut akan mengalami kemandulan atau mati.

    Deduksi ini boleh diterimapakai dengan memerhatikan masalah ubatan-ubatan yang tidak lupus secara biologi didapati dalam air kumbahan Di Amerika Syarikat. Sumber ubat-ubatan ini ialah dari air kencing dan najis manusia. Adakah Malaysia bebas dari perkara-perkara sebegini?

      Kesimpulannya ialah sistem imiun kita sepatutnya didedahkan kepada mikrob yang memang hidup secara semulajadi samada pada kulit tubuh atau pun alam sekitar. Maksudnya ialah mandi dan mencuci tangan sepatutnya dilakukan secara berpada-pada. Sebahagian besar virus dan bakteria yang hidup secara simbiosis pada permukaan kulit adalah rakan kita.

    Memandangkan masalah-masalah yang dipercayai akan timbul hasil penggunaan sabun/detergen antibakteria, penulis berpendapat bahawa penggunaan sabun dan detergen (yang tidak bertoksik) adalah lebih wajar kerana ia akan membantu memulihara sistem imiun diri disamping memelihara kesejahteraan alam sekitar. 

 Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com