VAKSIN terbukti menyumbang manfaat besar kepada kehidupan manusia dan mampu melenyapkan pelbagai penyakit berbahaya di samping meningkatkan kualiti hidup serta jangka hayat manusia seluruh dunia. Namun, terdapat sebahagian individu dan ibu bapa yang menolak pemvaksinan dengan beberapa alasan tertentu.
Golongan penolak vaksin (refusers) merujuk kepada mereka yang memilih untuk tidak memvaksin anak-anak mereka. Selain itu terdapat golongan lain dikenali sebagai golongan anti vaksin (Bahasa Inggeris: anti-vaccine). Kamus Merriam Webster mendefinisikan anti-vaccine sebagai menolak penggunaan vaksin.
Sebahagian refusers tidak mengaku mereka golongan anti vaksin. Jadi, apakah maksud anti vaksin? Pada pandangan penulis, istilah tersebut paling sesuai jika didefinisikan sebagai menyanggah penggunaan vaksin. Ia kerana istilah sanggah bermaksud bantah atau tentang.
Jadi, jika refusers mengaku mereka bukan golongan anti vaksin, ada benarnya kerana mereka sekadar menolak sedangkan anti vaksin membantah dan menentang! Refusers dikatakan lebih mudah dipujuk berbanding golongan anti vaksin.
Dalam artikel ini penulis akan membincangkan beberapa kekeliruan yang biasa diketengahkan oleh golongan anti vaksin yang dikatakan sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi golongan refusers.
Keberkesanan
Golongan anti vaksin mendakwa vaksin tidak berkesan dengan alasan amalan kebersihan yang lebih baik telah mencegah pembentukan pelbagai penyakit sebelum kemunculan vaksin. Untuk menguatkan dakwaan, mereka menggunakan rajah A yang terdiri daripada dua buah graf, masing-masing menunjukkan kadar kematian berpunca daripada cacar dan batuk kokol.
Berdasarkan kepada kedua-dua graf tersebut di mana kadar kematian (mortaliti) bagi kedua–dua penyakit adalah rendah atau tiada, mereka berkata kadar penurunan kematian bukan kerana pelaksanaan vaksin-vaksin cacar dan batuk kokol tetapi berpunca dari aspek penambahbaikan sosioekonomi, iaitu dari aspek amalan kebersihan.
Fakta yang disembunyikan oleh golongan anti vaksin ialah dua buah graf (rajah B) yang masing-masing menunjukkan kadar kes (morbiditi) cacar dan batuk kokol. Kedua-dua graf menunjukkan perlaksanaan pemvaksinan berjaya mengurangkan kadar kes untuk kedua-dua penyakit.
Jadi, sungguh pun amalan kebersihan menyumbang impak besar dalam mengurangkan kadar kematian, namun ia tidak membasmi penyakit.
Bahan kimia bertoksin
Golongan anti vaksin mendakwa vaksin mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya seperti merkuri, formaldehyde dan aluminium.
Golongan anti vaksin melakukan dua perkara untuk mengaburkan ilmu sains. Pertama, mereka mengetepikan bagaimana kimia asas berfungsi. Kedua, mereka mengetepikan fakta bahawa ketoksikan bergantung kepada sukatan. Merkuri (hanya terdapat dalam vaksin flu) dan aluminium dalam vaksin adalah dalam bentuk sebatian yang biasa ditemui dalam kehidupan harian serta pada kuantiti yang amat rendah.
Formaldehyde dari kumpulan berfungsi aldehyde pula bersifat toksik pada kuantiti tinggi tetapi ia dikatakan selamat pada kuantiti rendah sebagaimana ditemui dalam pelbagai makanan yang biasa kita makan. Sila semak artikel Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (PKP) berjudul Parents’ Guide to Childhood Immunizations di bawah subjudul Part 4: Frequently Asked Questions (jawapan kepada soalan Aren’t some of the ingredients in vaccines toxic?/formaldehyde).
Golongan anti vaksin mungkin tidak tahu atau menyembunyikan hakikat iaitu formaldehyde wujud pada paras rendah dalam kebanyakan organisma hidup. Ia terdapat secara semula jadi dalam makanan termasuk antara lain buah-buahan, sayur-sayuran, daging. ikan, krustasea dan cendawan hingga ke paras 400 mg/kg (bahagian per sejuta). Untuk butiran lanjut sila semak artikel berjudul Formaldehyde in Food di laman sawang Centre for Food Safety di HYPERLINK http://www.cfs.gov.hk/english/programme/programme_rafs/programme_rafs_fa_02_09.html.
Sumber lain formaldehyde ialah asap kenderaan, asap rokok, makanan bergoreng menggunakan minyak mono/poli tak tepu, bahan kosmetik dan ubat-ubatan moden tertentu.
Sebagai perbandingan, tubuh manusia membina 500 miligram formaldehyde sehari sebagai sebahagian dari proses metabolisme manakala vaksin pula dikatakan mengandungi hanya sehingga 0.1 miligram formaldehyde (sebahagian besar bergabung dengan protein bertoksin dikeluarkan oleh virus/bakteria vaksin).
Bayi dikatakan berupaya menguraikan formaldehyde dalam 2 minit! Bandingan: bayi berumur dua bulan memiliki 1.1 miligram (10 kali ganda berbanding vaksin) bahan tersebut dan sebiji buah pir mengandungi 50 miligram.
Menyentuh mengenai kandungan aluminium pula, berdasarkan artikel PKP yang lain berjudul Parents’ Guide to Childhood Immunizations di bawah subjudul Part 4: Frequently Asked Questions (jawapan kepada soalan Aren’t some of the ingredients in vaccines toxic?/Aluminium), PKP menerangkan bahawa purata pengambilan harian aluminium ialah 30 – 50 miligram. Bukan semua vaksin mengandungi aluminium dan kandungan tipikal ialah antara 0.125-0.625 miligram per dos iaitu sekitar 1 peratus dari purata pengambilan harian.  
Aluminium terdapat di sekeliling kita termasuk dalam udara, asap kenderaan, makanan termasuk susu ibu, susu soya dan susu tepung. Walau bagaimana pun, kebanyakan aluminium daripada makanan, ubatan (termasuk vaksin) dan air dikatakan dibuang melalui tinja dengan pantas.
Tidak perlu
Dakwaan golongan anti vaksin seterusnya ialah pemvaksinan secara umum tidak diperlukan lagi sekarang ini kerana sebahagian besar penyakit terutama di negara-negara maju telah dibasmi. Yang benar ialah hanya beberapa kes sesuatu penyakit boleh menyebabkan penyebarluasan penyakit berkaitan kepada penduduk dengan pemvaksinan pada kadar rendah (per populasi).
Pemvaksinan membantu mencegah penyebaran sesuatu penyakit kepada orang lain. Sebilangan kecil populasi yang tidak menjalani pemvaksinan atas alasan tertentu dikatakan tidak dijangkiti sesuatu penyakit apabila sebahagian besar populasi yang sama menjalani pemvaksinan (herd immunity).
Diharapkan artikel ini dan sambungannya dalam artikel minggu hadapan dapat membuka hati (akal bawah sedar) golongan anti vaksin agar mengutamakan sikap rasional (usaha yang sukar tetapi boleh dilakukan), bukan berdasarkan emosi atau confirmation bias (pertahan input/info berat sebelah) dalam membuat penilaian/keputusan berkaitan keselamatan vaksin.     
Sumbangan golongan anti vaksin yang sudi mencerna dan menilai isi artikel ini yang diharapkan membantu menganjak paradigma kepada pegangan yang bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat umum amat dialu-alukan.