Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013
Memaparkan catatan dengan label insomnia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label insomnia. Papar semua catatan

Jumaat, 22 November 2019

Insomnia - Guna herba tertentu untuk meredakannya

Tidur amat penting kepada kehidupan anda sebagaimana pentingnya makan dan bernafas. Tidur yang tidak mencukupi mengganggu pelbagai fungsi tubuh dan seterusnya boleh menimbulkan pelbagai penyakit.
 
Tubuh berehat ketika anda tidur tetapi otak anda bekerja mengumpul informasi berasaskan pelbagai perkara yang anda lakukan pada siang hari dan memindahnya ke dalam bentuk simpanan jangka panjang.
Selain itu ketika tidur tubuh anda membina otot, membaikpulih otot serta membina pelbagai hormon.
Tidak Lena
      Pada hari atau keadaan tertentu anda mungkin pernah mendapati sukar untuk tidur, tidur tetapi tidak lena atau mengalami kedua-duanya. Ini adalah sifat-sifat insomnia. Insomnia semakin ketara apabila umur meningkat memasuki golongan separuh umur dan golongan tua.
     Insomnia kronik ialah insomnia yang dialami secara berpanjangan. Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan antara lain seperti obesiti, keresahan, kemurungan, tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung.
     Sesetengah wanita mengambil ubat-ubatan moden jenis preskripsi atau tanpa preskripsi dan mendapati ia membantu mereka mudah tidur dan tidur lena. Sungguh pun begitu, dari satu segi ubat-ubatan tersebut dipercayai tidak memberi kesan kepada PUNCA insomnia.
Alternatif
    Perubatan alternatif menawarkan pelbagai kaedah yang dipercayai mampu membantu anda mengatasi insomnia iaitu antara lain dengan menggunakan herba. Penggunaannya dipercayai membantu mengembalikan keseimbangan fungsi tubuh di samping membantu otak dan saraf anda berehat. Ia seterusnya membantu tubuh anda berfungsi seperti sedia-kala.
Secara umum semua herba yang dicadangkan bersifat relaksan (merehatkan otak/saraf) yang membantu meredakan insomnia, meredakan keresahan/kemurungan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan membantu melancarkan penghadaman. Pastikan setiap jenis teh herba yang anda sediakan tidak ditambah gula.
Pegaga
Pegaga merupakan herba yang terkenal di seluruh dunia kerana ia menawarkan sifat adaptogen. Adaptogen membantu mengharmoni paras hormon stres iaitu kortisol.
Stres kronik (berpanjangan melebihi enam bulan) dikatakan menyebabkan paras kortisol sentiasa tinggi dan seterusnya boleh menyebabkan insomnia.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Rendam 1 uncang teh pegaga ke dalam secawan air panas. Tutup cawan selama 10-15 minit. Minum secawan sejam sebelum tidur. Ia juga boleh diminum 3-5 kali sepanjang hari.
Bunga Kekwa
Kebanyakan orang mengenali bunga kekwa sebagai bunga hiasan. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa teh Chrysanthemum atau teh bunga yang anda biasa minum sebenarnya ialah bunga kekwa.
Untuk meredakan insomnia anda boleh beli bunga kekwa dari kedai singseh di mana tabib China mengenalinya sebagai ju-hua. Beli bunga ju-hua berwarna kuning dan bersaiz kecil, 100 gram memadai.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Rendam 1 camca teh ju-hua ke dalam secawan air panas. Tutup gelas selama 10-15 minit. Minum secawan teh ini sejam sebelum tidur.
Sepertimana teh pegaga ia juga elok dijadkan minuman harian diminum sepanjang hari.
Semalu
Pokok semalu tumbuh di merata tempat di kawasan tanah lapang di negara kita. Namun, mungkin anda tidak pernah tahu bahawa ia boleh digunakan untuk membantu meredakan insomnia, kemurungan atau keresahan.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Cabut sebatang pokok semalu. Cuci bersih dengan air dan tumbuk dengan lesung batu separuh hancur. Rebus dengan 6  cawan air panas hingga air berkurang kepada separuh. Tapis dan simpan air rebusan dalam bekas bersih bertutup rapi. Simpan di dalam peti sejuk dan ia tahan antara 5-tujuh hari.
Minum ½ gelas sejam sebelum tidur.
Pandan Wangi
Pandan wangi mudah didapati terutama di kampung-kampung. Di bandar anda boleh membelinya di pasar atau dari pasar hiper. Di Thailand, pandan wangi dijadikan teh minuman harian sebagaimana anda biasa minum teh biasa (Camelia sinensis).
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Rebus beberapa helai daun pandan wangi dengan 2 liter air sehingga pandan wangi bertukar warna cokelat dan air rebusan bertukar warna kuning.
Minum secawan sejam sebelum tidur. Ia sesuai diamalkan sebagai minuman harian diminum sepanjang hari.
Daun Selasih
Selalih yang biasa digunakan dalam masakan di negara kita ialah selasih Thai (Thai basil). Terdapat dua jenis selasih lain yang juga digunakan dalam masakan iaitu ruku-ruku (Holy basil) dan selasih limau (Lemon basil, biasa digunakan oleh orang Terengganu dalam masakan tertentu).
Teh daun selasih dipercayai antara pilihan terbaik untuk meredakan insomnia. Ia mudah ditanam di dalam pasu sebagai tanaman hiasan.  Ia mudah didapati di pasar menjual sayur-sayuran dan pasar hiper.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Ramas dan rendam 5 helai daun selasih ke dalam secawan air panas. Tutup gelas selama 10-15 minit. Minum secawan sejam sebelum tidur.
Teh selasih boleh dijadikan minuman harian diminum sepanjang hari.
Delima
Ramai menganggap buah-buahan adalah makanan yang tidak tergolong dalam kategori herba. Sebaliknya penulis mengkatogeri buah-buahan apabila digunakan untuk tujuan perubatan termasuk buah delima sebagai herba kerana ia berasal daripada tumbuh-tumbuhan.
Cara Penyediaan dan Penggunaan
1 camca teh delima dibancuh bersama secubit garam Kristal Himalaya dengan secawan air suam.
Minum secawan sejam sebelum tidur.
Gaya/Cara Hidup
Gaya/cara hidup mempengaruhi fisiologi, emosi dan tindakan otak anda. Untuk mengelak atau meredakan insomnia kurangkan pengambilan makanan/minuman bergula. Tingkatkan pengambilan ikan, kurangkan daging lembu. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran hijau. Elakkan daripada mengambil makanan/minuman bergula 2 jam sebelum waktu tidur.
Selain itu minum air secukupnya sepanjang hari kerana kekurangan air boleh menyebabkan stres. Urus stres bijak. Elakkan menonton televisyen, guna komputer atau telefon bimbit hingga lewat malam. Baca buku cerita, Quran atau buku agama sebelum tidur. Biasakan diri baca doa sebelum tidur. 
Artikel tulisan Bahrain Samah, MD (AM)
Hakcipta terpelihara @ www.gayahidupholistik.blogspot.com

Selasa, 4 Disember 2012

Tip untuk mudah Lena

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 4 Disember 2012. 
     Apabila tidak cukup tidur seseorang bukan sahaja rasa mengantuk namun pelbagai kegiatan harian seperti mengendalikan kerja-kerja rutin yang sepatutnya berjalan lancar akan terganggu. Jika ia berlarutan seseorang akan terdedah kepada ketidakseimbangan fisiologi lalu menimbulkan pelbagai keadaan kesihatan yang bersifat negatif.  
   Tidak cukup tidur dan tidur yang sering terganggu antara lain boleh menyebabkan sembelit, migren, nyanyuk, meningkatkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan  risiko ulser perut.  Ia juga didapati menyebabkan ketidakharmonian sistem imiun, kadar pertumbuhan tumor lebih pantas, risiko diabetes,  risiko pertambahan berat badan, gangguan memori dan terdedah kepada masalah mood seperti kemurungan. Selain itu ia juga dikatakan menyebabkan kadar perembisan melatonin berkurangan. Melatonin ialah sejenis hormon, antioksidan dan memiliki sifat berupaya mencegah/melawan kanser.    
      Tidur dan bangun menurut jadual yang betul setiap hari membantu seseorang bukan sahaja mudah tidur malah membantu memulihara kesihatan secara umum. Sebaliknya tidur yang sering terganggu misalnya kerana jadual kerja yang berubah-ubah atau seorang ibu yang sering bangun setiap kali bayi memerlukan perhatian dikatakan akan menyebabkan seseorang sukar untuk tidur dan boleh mengalami insomnia serta kelesuan.
Perangsang adrenal
      Sesetengah orang gemar mengambil makanan atau minuman manis sebelum waktu tidur. Gula mengubah keseimbangan bahan kimia dalam tubuh dan menjadi punca mengapa mereka sukar untuk tidur. Sesetengah orang pula gemar mengambil minuman berkafina seperti kopi atau air tenaga menjelang waktu untuk tidur. Ia juga memberi kesan yang serupa sepertimana pengambilan gula. Sesungguhnya gula, kafin, rokok dan alkohol semua tergolong dalam kategori perangsang adrenal.
       Sistem Saraf Pusat kita terdiri dari dua cabang iaitu Sistem Saraf Simpatetik (SSS) dan Sistem Saraf Parasimpatetik (SSP). Tidur memerlukan SSP yang dominan di mana salur darah akan mengembang, degupan jantung normal, pernafasan normal dan tekanan darah normal. Sebaliknya pengambilan makanan atau minuman mengandungi peransang adrenal akan menyebabkan SSS lebih dominan di mana salur darah mengecut, kadar degupan jantung tinggi, kadar pernafasan tinggi dan tekanan darah juga tinggi.
      Apabila SSS dominan maka tubuh berada dalam keadaan stres. Apabila berada dalam keadaan ini seseorang akan mengalami simtom-simtom yang tidak kondusif langsung untuk keperluan mudah tidur. Otak akan menjadi aktif dan ia akan befungsi dengan berfikir perkara-perkara yang tidak sepatutnya difikirkan. Seseorang juga akan mengalami keresahan dan kerisauan.
     Menurut pakar psikologi klininal, Dr. Rubin Naiman, tidur dipengaruhi oleh dua faktor utama. Pertama ialah mengantuk dan yang kedua ialah gangguan. Istilah asal yang digunakan oleh Dr. Naiman ialah 'noise' yang secara literal bermaksud kebisingan. Namun penulis mendapati istilah gangguan lebih sesuai berbanding kebisingan.
     Kitaran tidur yang sempurna dan tidur yang lena memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari yang secukupnya pada siang hari dan pendedahan kepada cahaya berkualiti tinggi (di tempat kediaman atau tempat kerja). Selepas waktu maghrib pula pendedahan kepada keamatan cahaya yang rendah juga membantu kita mudah untuk tidur. Tempat tidur yang gelap membantu seseorang mudah untuk tidur dan mengalami tidur yang sempurna.
Tiga zon
    Gangguan berlaku pada tiga zon iaitu pada minda, tubuh dan persekitaran. Jika paras gangguan lebih tinggi dari paras mengantuk maka anda akan sukar tidur.
     Jenis gangguan minda yang paling biasa dikenali sebagai 'bertih jagung kognitif' (cognitive popcorn). Ia melibatkan fikiran yang sentiasa aktif tanpa henti. Contoh gangguan tubuh ialah rasa sakit, tidak selesa, perut meragam, kesan sampingan ubatan moden terpreskripsi atau kesan pengambilan minuman berkafina. Gangguan persekitaran biasanya mudah dikesan seperti pelbagai sumber bunyi dalam bilik/rumah, rakan tidur berdengkur, musik, cahaya atau suhu panas.
    Pada kebanyakan keadaan seseorang sukar tidur bukan kerana tidak mengantuk tetapi kerana terdedah kepada paras gangguan yang berlebihan. Biasanya tiga hingga enam faktor yang menyumbang kepada gangguan pada salah satu zon samada minda/tubuh/persekitaran atau gabungan zon-zon tersebut.
    Kadang-kadang apabila anda telah menemui faktornya, hati anda akan merasa lega dan anda akan lebih mudah tidur serta menikmati tidur yang mencukupi tanpa membuang faktor yang berkaitan dari zon-zon tersebut. Mengapa? Menerima sesuatu seadanya, merasa redha akan kehadiran sesuatu keadaan dan seterusnya proses habituasi (membiasakan diri) membantu minda serta tubuh untuk mengalami SSP yang dominan!
     Beberapa langkah boleh dilakukan untuk mudah tidur dan tidur yang mencukupi. Lakukan senaman ringan sekurang-kurangnya dengan berjalan kaki selama 10 - 15 minit. Orang Islam boleh melakukan senaman yang direka oleh ALLAH SWT untuk kebahagiaan dan kesihatan manusia iaitu sholat. Orang yang menunaikan sholat-sholat seperti maghrib dan isya' serta tidak mengabaikan sholat waktu yang lain biasanya tiada masalah untuk tidur dengan sempurna.
Hormon 'gembira'
    Kepada pasangan yang telah berkahwin secara sah, aktiviti melakukan seks sebelum waktu tidur adalah langkah yang baik untuk mudah tidur. Seks yang dilakukan secara tidak kelerlaluan dan dalam keadaan rela (bukan secara buas dan paksa) lalu menerbitkan kenikmatan membantu otak merembis hormon-hormon  'gembira' iaitu serotonin dan endorphin. Perasaan gembira juga bermanifestasi dari kepuasan dan seterusnya mudah membantu seseorang untuk mudah tidur.
    Beberapa aktiviti lain yang membantu otak merembis serotonin ialah mendedahkan diri kepada cahaya matahari selama setengah jam setiap hari. Begitu juga dengan mendengar musik yang digemari, mendengar nasyid dan bacaan Quran juga meningkatkan serotonin.
    Menimang anak, membelai suami/isteri, membelai haiwan peliharaan, bersembang telefon dengan rakan dan mandi air suam juga meningkatkan paras serotonin. Aktiviti seperti urutan seperti urutan aromaterapi, mengurut diri sendiri atau urutan pakej spa membantu otak merembis serotonin dan endorphin.
    Bergurau-senda hingga membuatkan anda tertawa dan senyum juga membantu otak merembis serotonin dan endorphin. Begitu juga dengan mendengar musik yang digemari, mendengar nasyid dan bacaan Quran juga meningkatkan serotonin.  
    L-tryptophan merupakan asid amino perlu (essential) digunakan tubuh untuk membina serotonin dan melatonin. Makanan yang kaya dengan L-tryptophan termasuk yogurt, ayam turki, ayam, ikan berisi putih, kambing, keju, telur dan biji bunga matahari, biji labu, pelbagai jenis kacang, gajus dan susu. Pengambilan koko dikatakan membantu meningkatkan serotonin. Cili dan halia adalah dua jenis herba yang mengandungi fitokimia capsaicin. Capsaicin dikatakan dapat meningkatkan endorphin.

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)