Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013
Memaparkan catatan dengan label kolesterol. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kolesterol. Papar semua catatan

Rabu, 1 Januari 2020

Nasi Putih tidak Tingkatkan Kolesterol?

Mesej tular terkini yang penulis jumpa baru-baru ini ialah pandangan seorang ahli/pakar dietetik (dietitian) tempatan yang menyanggah pandangan bahawa makan nasi menyebabkan kolesterol dalam tubuh meningkat.

Alasan yang beliau gunakan ialah nasi TIDAK mengandungi kolesterol jadi bagaimana mungkin ia boleh meningkatkan kolesterol dalam tubuh. Beliau juga beralasan nasi tidak seperti makanan seperti telur, daging dan ayam yang memang mengandungi kolesterol dan boleh meningkatkan paras kolesterol dalam tubuh.

Pada pandangan penulis ahli dietetik ini terlalu bergantung kepada LOGIK BATU (kaku, beku)

1. Makanan tidak mengandungi kolesterol tidak akan menambah  kolestrerol dalam tubuh
2. Nasi tidak mengandungi kolesterol

Jadi makan nasi tidak akan menambah paras kolesterol tubuh!

Pada pandangan penulis premis 1 beliau tidak benar.

Yang benar ialah sungguh pun nasi tidak mengandungi kolesterol namun ia boleh meningkatkan paras kolesterol tubuh.

Bagaimana mana ia berlaku sedemikian?

Nota: Yang ahli dietetik maksudkan dengan nasi putih iaitu nasi yang berasal daripada beras ceruh.

Penjelasan penulis begini:

Semasa menjalani proses pencernaan karbohidrat nasi terurai menjadi GLUKOS. Sedia diketahui glukos ialah bahan api utama yang diproses dalam mitokondria untuk penjanaan tenaga.

3 peratus daripada produk penjanaan tenaga dalam mitokondria ialah RADIKAL BEBAS. Radikal bebas juga dihasilkan dalam hati ketika proses detoksifikasi, proses pemusnahan bahan-bahan bukan-diri  (non-self substances) termasuk virus, bakteria atau patogen lain atau pemusnahan debris tubuh misalnya protein yang rosak. Radikal bebas juga terhasil  akibat tindak-balas biokimia antara bahan-bahan kimia tertentu yang mengitari tubuh, salah satu misalnya polycyclic hydrocarbon (PAH) yang terdapat pada makanan yang dipanggang hangus dan makanan bergoreng secara terendam lama yang menyerang bahan kimia tertentu tubuh dan mengubahnya kepada molekul radikal bebas.

Namun, penjelasan di sini hanya memfokus kepada radikal bebas hasil pemprosesan glukos untuk dijadikan dalam mitokondria.

Lipid merupakan satu komponen penting membran sel. Terdapat bebebrapa jenis lipid yang membentuk membran sel. Kolesterol merupakan salah satu jenis lipid yang terdapat pada membran sel. Antara fungsi pentingnya ialah bertindak sebagai penyangga membran bagi memperkukuh struktur membran sel atau struktur tertentu yang terdapat pada membran sel,

Selain terdapat pada membran sel kolestrol juga terdapat pada membran mitokondria.

Jadi, KEKURANGAN antioksidan yang dijana tubuh dan kekurangan pengambilan makanan berantiioksidan akan menyebabkan radikal bebas yang terhasil daripada proses penjanaan tenaga dalam mitokondria akan menyerang dan mengoksida kolesterol yang terdapat pada membran mitokondria dan membran sel.

Akibatnya?

Paras LDL boleh meningkat dan HDL menurun!

Mengapa?

LDL adalah lipoprotein yang membawa kolesterol ke sel. Ia akan MENINGKAT apabila kolesterol yang terdapat pada membran sel dan membran mitokondria mengalami kerosakan.

Keadaan tersebut menyebabkan paras HDL menurun. Lipoprotein yang sering digelar sebagai kolesterol 'BAIK,' pada pandangan penulis semua jenis lipoprotein adalah baik. Orang atau pakar yang mengcapnya sebagai ini baik itu jahat  menyatakan perkara tersebut kerana kekurangan ilmu. Maaf ya. 

Ia kerana keseimbangan baru terbentuk iaitu paras LDL tinggi dan HDL rendah apabila kolesterol tulen lebih banyak diperlukan sel untuk pembaikpulihan berbanding keadaan normal apabila terdapat banyak kolesterol teroksida (rosak).

DIABETIK

Penghidap kencing manis yang tidak mengawal pengambilan gula atau tidak mengmbil ubatan anti-diabetik terdedah kepada paras kolesterol tubuh yang tinggi. Ini adalah sebuah contoh mudah bagaimana glukos berlebihan dikaitkan dengan peningkatan kolesterol tubuh.

Glukos berlebihan dalam darah ditambah kekurangan antioksidan daripada dan antioksidan tubuh menyebabkan berlaku proses glycation. Glycation ialah proses di mana karbohidrat ringkas membentuk ikatan kovalen dengan protein. Pada penghidap diabetes, hemoglobin menjadi mangsa. Membran sel darah merah di mana di dalamnya terkandung hemoglobin menjadi radikal bebas oksigen yang terbentuk daripada proses glycation, Advanced glycated end products pula menyerang sesetengah jenis reseptor pada membran sel dan mencetus stres oksidatif - komponen memrabn termasuk lipid akan diserang dan mengalami kerosakan. Fenomena inilah yang meningkatkan paras kolesterol darah. 

KUANTITI SEDERHANA

Ahli dietetik tersebut mencadangkan agar orang normal (tanpa diabetes) makan nasi pada kuantiti sederhana. 

Apa tujuan beliau berkata begitu?

Adakah makan nasi secara sederhana disaran sebagai langkah untuk elak makan berlebihan atau seseorang akan mengalami kesan fisiologi negatif apabila makan nasi secara berlebihan secara berterusan termasuk  berisiko mengalami paras gula tinggi, tekanan darah tinggi, obes dan paras kolesteriol tinggi (HDL rendah LDL tinggi) dan trigliserida tinggi (semua ini simtom-simtom Sindrom Metabolik)?

Sila baca sumber asal yang mempertahankan nasi putih tidak akan meningkatkan kolesterol KERANA ia tidak mengandungi kolesterol di Henti Fitnah Nasi, Dietician ini Terangkan Kolesterol vs Lemak

Bacaan Lanjut: 

1. Murakami K et al., Dietary glycemic index and load in relation to metabolic risk factors in Japanese female farmers with traditional dietary habits. Am J Clin Nutr. 2006 May;83(5):1161-9

2. Ahn Y et Al., Rice-eating pattern and the risk of metabolic syndrome especially waist circumference in Korean Genome and Epidemiology Study (KoGES). BMC Public Health. 2013 Jan 22;13:61. doi: 10.1186/1471-2458-13-61

3. Krittanawong C et al., Is white rice consumption a risk for metabolic and cardiovascular outcomes? A systematic review and meta-analysis. Heart Asia. 2017 Aug 31;9(2):e010909. doi: 10.1136/heartasia-2017-010909. eCollection 2017

4. P. Gillery. Advanced glycation end products (AGEs), free radicals and diabetes. J Soc Biol. 2001;195(4):387-90.


Artikel tulisan Pakcik Lebah

Hakcipta Terpelihara di www.gayahidupholistik.blogspot.com


Isnin, 25 Mac 2013

Kesihatan Jantung: Delima atau Statin?

Artikel tulisan herbalis Bahrain Samah, RH (AHG) terbit daam akhbar Sinar Harian (edisi KL/Selangor) pada Jun 11, 2012.
       Saintis aliran perdana dan golongan perubatan moden percaya kepada teori yang menyatakan bahawa paras kolesterol tinggi sebagai punca arteri jantung tersumbat. Sebuah teori aliran perdana yang amat popular menyatakan bahawa plak berlemak berkumpul pada bahagian dinding arteri jantung yang rosak. Keradangan dikatakan sebagai punca utama kerosakan dinding arteri jantung.
       C-reactive protein (CRP) ialah sejenis bahan yang terdapat dalam darah telah dikenalpasti sebagai penanda (marker) untuk keradangan. Paras CRP akan meningkat sebagai isyarat  terhadap sebarang jenis keradangan yang berlaku. Paras CRP tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung manakala paras rendah pula dikaitkan dengan risiko rendah.
       Ramai saintis dan doktor percaya bahawa LDL yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat adalah penanda utama bagi menentukan risiko penyakit jantung. Namun pada masa sama terdapat beberapa bukti menunjukkan CRP dapat dijadikan penanda risiko penyakit jantung yang lebih baik berbanding LDL.
LDL atau CRP?
      Sebuah kajian yang diketuai oleh Paul Ridker, MD. yang melibatkan 29,939 wanita telah menunjukkan keadaan tersebut. Lebih dari separuh wanita yang terlibat dalam kajian mengalami paras CRP tinggi. Mereka didapati telah mengalami penyakit jantung walau pun paras LDL mereka rendah. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 14 November 2002.
      Beberapa tahun kemudian kajian yang dijalankan di Cleveland Clinic mendapati arteri tersumbat yang dialami oleh 502 orang pesakit tidak menjadi semakin buruk setelah mereka berjaya mengurangkan paras CRP. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2005. Jurnal keluaran yang sama juga melaporkan keputusan seuah kajian lain yang dijalankan oleh Dr. Ridker di mana ia menunjukan penurunan paras CRP menggunakan ubatan statin mengurangkan risiko kejadian serangan jantung kali kedua.
     Statin ialah nama generik kepada sejenis ubat moden bagi membantu mengawal paras kolesterol. Ia berfungsi menghalang pembinaan kolesterol. Ia dipreskirpsi oleh doktor kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari. Statin memiliki beberapa kesan sampingan termasuk gangguan mood, memori, libido (mati pucuk), merosakkan sel dan mengurangkan pembinaan coenzyme Q10.
     Kekurangan kolesterol menyebabkan hormon-hormon reproduktif seperti testoterone juga terganggu. Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada selera seks tetapi ia dipercayai menyebabkan seseorang mudah mengalami penuaan pra-matang. Ini kerana salah satu fungsi testoterone ialah melambatkan proses penuaan.
     Sel membran juga terdiri dari 20 peratus kolesterol. Kekurangan kolesterol mengganggu pelbagai fungsi sel dan ini juga mempercepat proses penuaan. Gangguan pembinaan kolesterol juga mengurangkan pembinaan vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan fisiologi. Ini juga mempercepat proses penuaan.
Kesan sampingan statin
      Sebuah kajian yang dilaporkan dalam British Medical Journal (2010) mendapati statin meningkatkan risiko katarak, otot lemah, hati tidak berfungsi dan kegagalan buah pinggang! Pada tahun sebelumnya Dr. Janet L. Stanford melaporkan dalam American Journal of Epidemiology bahawa statin didapati meningkatkan risiko kanser prostat sebanyak 50 peratus pada lelaki obes. Ia juga meningkatkan risiko diabetes sebanyak 80 peratus pada golongan sama.
      Sebuah kajian yang dijalankan beberapa tahun kemudian seperti dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (2012) mendapati statin meningkatkan risiko diabetes sebanyak 50 peratus pada wanita berumur melebihi 45 tahun apabila mereka mengambil statin.
     Mekanisme bagaimana statin meningkatkan risiko diebetes jenis 2 (type 2) tidak diketahui. Kekurangan kolesterol berpunca dari pengambilan statin menyebabkan gangguan secara fisiologi pada membran sel.  Ia dipercayai menyebabkan reseptor insulin tidak sensitif terhadap hormon insulin atau reseptor-reseptor insulin menjadi semakin kurang bilangannya kerana berlaku proses down regulation.
     Pengambilan statin secara berpanjangan berkemungkinan menyebabkan pembinaan insulin oleh sel-sel beta pankreas semakin berkurangan. Sel-sel beta juga mempunyai membran. Kekurangan kolesterol dipercayai menyebabkan pintu/laluan Kalsium pada membran sel menjadi rosak atau tidak berfungsi secara normal.
     Kalsium memang diperlukan oleh sel-sel beta untuk membina insulin. Namun pintu/laluan Kalsium yang tidak berfungsi secara normal menyebabkan terlalu banyak Kalsium masuk ke dalam sel beta melebihi had sepatutnya. Ini menyebabkan insulin dirembis melebihi had normal dan ia akan menyebabkan resptor-reseptor insulin pada membran sel menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin.
    Proses ketidaksensitifan reseptor insulin, kekurangan resptor insulin dan berlebihan ion Kalsium dalam sel beta pankreas ialah punca kepada kekebalan insulin. Jika tidak ditangani terutama dari segi pola pemakanan seseorang yang mengalami keadaan ini mudah menghidap diabetes jenis 2.
    Apakah alternatif untuk statin? Jawapannya ialah menjalani gaya hidup holistik. Makan makanan yang sesuai untuk kesihatan jantung seperti mengurangkan produk bijiran. Kurangkan pengambilan gula. Elakkan merokok dan minum arak. Elakkan dari makan berlebihan. Seboleh-bolehnya elakkan dari makan makanan yang dipanggang (hingga sebahagian menjadi arang) dan digoreng secara terendam lama. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Guna garam gunung dalam masakan. Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan yang memerlukan sahaja. Urus stres dengan bijak.
    Saya tidak menggunakan teori plak berlemak punca kerosakan arteri. Teori yang saya anuti ialah pintu/laluan Kalsium yang rosak menyebabkan Kalsium masuk pada jumlah tinggi ke dalam sel endotelia jantung. Ini menyebabkan arteri jantung buncit. Pada pandangan saya pintu/laluan Kalsium boleh diperbetulkan dengan mengamalkan pemakanan di atas beserta pengambilan bahan-bahan yang akan saya sebutkan di bawah.
    Kajian mendapati delima berupaya mencegah keradangan dan juga pembentukan plak dalam arteri.     Bahan-bahan seperti cuka epal (atau cuka kurma) diambil bersama minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin), vitamin C membantu delima secara sinergi.  Kesemua bahan ini bukan sahaja dipercayai membantu memulihara pintu/laluan Kalsium pada membran sel tetapi ia juga mencarikan darah dengan mengawal profil lipid iaitu tirigliserida, LDL, HDL dan jumlah kolesterol (total kolesterol).
     Vitamin B6, B9 (asid folik) dan B12 yang terdapat pada B kompleks menyumbang 'methyl' yang diperlukan oleh pelbagai jenis bahan kimia dalam tubuh bagi mempastikan organ sistem tubuh berfungsi secara harmoni termasuk memelihara kesihatan jantung. Selain itu Magnesium yang terdapat pada sayuran hijau penting untuk pembinaan tenaga dalam sel serta bagi mengimbangi Kalsium. Suplemen L-arginine juga penting. Dalam tubuh ia diubah kepada nitrik oksida. Ia berfungsi menutralkan radikal bebas superoxide iaitu bahan yang dipercayai punca keradangan dan merosakkan sel-sel endotelia arteri.


      Sila baca artikel membincangkan topik yang serupa iaitu Khasiat Delima

Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)

Khamis, 22 November 2012

Makan Kuning Telur sama Bahaya dengan Merokok?

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 20 November 2012.
Sebuah kajian yang dijalankan oleh Dr. David Spence seperti dilaporkan dalam jurnal Artherosclerosis (Ogos 2012) mendapati memakan kuning telur mempercepat aterosklerosis dengan cara yang serupa apabila seseorang menghisap rokok. Kajian berbentuk soal selidik terhadap 1,231 pesakit ini mendapati pengambilan kuning telur secara berterusan menyamai lebih kurang dua pertiga tahap keburukan menghisap rokok dalam meningkatkan pembentukan plak karotid.

      Karotid ialah arteri utama yang terletak di kiri kanan leher manusia berfungsi mengalirkan darah ke otak. Saintis menganggap peningkatan plak karotid sebagai faktor risiko strok dan serangan jantung. Aterosklerosis pula ialah sejenis penyakit arteri kornari (jantung) dengan definasi umum bermaksud masalah pada arteri apabila plak berkolesterol terbentuk dalam dinding bahagian dalam arteri. Plak putus dipercayai sebagai penyebab utama kebanyakan kejadian serangan jantung dan strok kerana ia menyebabkan arteri tersumbat.
     Para penyelidik mendapati kawasan plak karotid meningkat secara berkadar terus dengan umur selepas subjek berumur empat puluh tahun. Mereka juga mendapati peningkatan pembentukan plak karotid amat ketara apabila subjek menghisap rokok dan memakan kuning telur. Kajian tersebut juga mendapati pengambilan lebih dari tiga kuning telur menyebabkan pembentukan lebih banyak kawasan yang membentuk plak berbanding dengan mereka yang memakan kurang dari dua kuning telur setiap minggu.
     Kajian Dr. Spence ini dikritik oleh ramai pengkritik. Mereka menyatakan bahawa kajian tersebut hanya menemui kaitan bukan penyebab.  Kajian bersifat pemerhatian seperti ini hanya menemui kaitan antara pengambilan telur dan merokok didapati meningkatkan jumlah plak secara signifikan berbanding dengan mereka yang hanya menghisap rokok tetapi tidak merokok. Penyebab hanya boleh didapati dari kajian terkawal (controlled experiment).
    Kritikan seterusnya adalah terhadap pengumpulan data kajian. Data kajian tersebut hanya bergantung semata-mata kepada ingatan subjek mengenai jenis makanan yang mereka telah makan. Kaedah ini telah berkali-kali didapati tidak dapat diterima dan biasanya terdapat kesalahan.
    Kelemahan lain ialah para penyelidik dikatakan mengetepikan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keputusan kajian seperti aktiviti fizikal subjek, ukur lilit pinggang, pengambilan buah-buahan, pengambilan sayur-sayuran dan bagaimana telur disediakan. Mereka yang mengambil jumlah telur yang paling tinggi juga pada masa sama paling banyak menghisap rokok. Jadi, para pengkritik berkata sukar untuk mengenalpasti faktor - telur atau rokok - sebagai peranan utama.
     Pada pandangan penulis mereka yang mengambil telur pada jumlah tinggi dan pada masa banyak menghisap rokok terdedah kepada peningkatan risiko pembentukan plak dalam arteri yang tinggi. Ini kerana menghisap rokok menghasilkan jumlah radikal bebas yang tinggi dalam tubuh. Radikal bebas yang tidak terkawal ini kemudiannya bukan sahaja merosakkan komponen sel pada arteri tetapi mengoksida kolesterol dari telur yang dimakan. Akibatnya, kolesterol teroksida seperti dipercayai oleh ramai saintis dan golongan perubatan moden mudah menyebabkan aterosklerosis.
     Terdapat perbezaan antara telur goreng dan telur rebus dari segi sifat biokimia. Telur goreng terutama yang garing menyebabkan kolesterol dan pelbagai bahan kimia lain teroksida. Kolesterol teroksida sekali lagi seperti dinyatakan di atas dipercayai meningkatkan risiko aterosklerosis. Risiko aterosklerosis juga tinggi kepada mereka yang tidak/kurang makan makanan berantioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Begitu juga mereka yang sering mengalami stres fizikal dan emosi yang keterlaluan.
     Mereka yang kurang cergas secara fizikal juga meningkatkan risiko aterosklerosis. Superoksida merupakan radikal bebas utama yang terdapat dalam arteri di mana jika jumlahnya tidak dikawal ia dikatakan menyerang dan merosakkan sel-sel endotelium arteri. Pergerakan fizikal yang tidak keterlaluan menyebabkan nitrik oksida dikeluarkan oleh sel-sel endotelium pada paras yang lebih tinggi dari mereka yang kurang cergas.
    Nitrik oksida ini akan menutralkan sebahagian superoksida dan seterusnya kerosakan arteri dapat diminimakan. Inilah antara sebab mengapa pergerakan fizikal yang tidak keterlaluan penting dalam menjaga kesihatan jantung. Jadi, mereka yang paling banyak makan kuning telur dan menghisap rokok pada masa sama kurang aktif secara fizikal  terdedah kepada risiko aterosklerosis yang lebih tinggi.
     Alan Aragon, MS., pakar pemakanan terkemuka Amerika Syarikat yang antara lain bertugas memberi syarahan kepada pakar-pakar klinikal FDA (Jabatan Pertanian Persekutuan Amerika) telah memberikan komen berhubung kajian di atas. Beliau berkata sebahagian besar kajian terkawal menunjukkan mengambil seluruh telur (iaitu putih dan kuning) meningkatkan bacaan HDL. Selain  itu kuning telur mengandungi jauh lebih banyak nutrien (berbanding putih telur) termasuk antioksidan seperti lutein dan xeaxanthin.
    Suatu hakikat di mana golongan perubatan moden tidak mahu anda ketahui ialah paras kolesterol memang turun naik bergantung kepada faktor-faktor tertentu. Yang benar ialah anda boleh mengawal paras kolesterol dan merendahkan risiko aterosklerosis. Bukan dengan mengambil ubat-ubatan mengawal paras kolesterol tetapi dengan menjalani gaya hidup holistik. Perubahan gaya hidup ini termasuk antara lain yang utama ialah tidak makan secara berlebihan, tidak merokok dan menjalani aktiviti fizikal yang sederhana.
    Amalan lain yang juga penting termasuk tidak makan makanan terproses, tidak makan makanan bergoreng secara terendam lama, mengelakkan makanan terlalu garing, elakkan lemak trans, dan mengambil ubat-ubatan moden pada keadaan yang memerlukan sahaja. Pengambilan buah-buahan yang kurang manis dan sayur-sayuran juga penting.
   Pelbagai jenis makanan yang kaya dengan bioflavnoids seperi delima, acai dan pelbagai jenis beri dipercayai membantu. Kacang hitam (black bean dengan biji berwarna hijau) dikatakan kaya dengan arginin. Arginin diubah kepada nitrik oksida oleh sel-sel endotelia. Selain menutralkan radikal bebas nitrik oksida berfungsi merendahkan tekanan darah.
   Suplemen vitamin C seperti yang dibincangkan dalam buku penulis berjudul Serangan Jantung (terbitan Alaf 21) juga amat membantu. Ia berfungsi sebagai antisoksidan denganb menutralkan radikal bebas, mengharmoni profil lipid (HDL, LDL, jumlah kolesterol dan trigliserida) dan mengawal tekanan darah. Begitu juga dengan pengambilan cuka epal dan cuka tamar. 

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)