Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013
Memaparkan catatan dengan label antioksidan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label antioksidan. Papar semua catatan

Isnin, 25 Mac 2013

Kesihatan Jantung: Delima atau Statin?

Artikel tulisan herbalis Bahrain Samah, RH (AHG) terbit daam akhbar Sinar Harian (edisi KL/Selangor) pada Jun 11, 2012.
       Saintis aliran perdana dan golongan perubatan moden percaya kepada teori yang menyatakan bahawa paras kolesterol tinggi sebagai punca arteri jantung tersumbat. Sebuah teori aliran perdana yang amat popular menyatakan bahawa plak berlemak berkumpul pada bahagian dinding arteri jantung yang rosak. Keradangan dikatakan sebagai punca utama kerosakan dinding arteri jantung.
       C-reactive protein (CRP) ialah sejenis bahan yang terdapat dalam darah telah dikenalpasti sebagai penanda (marker) untuk keradangan. Paras CRP akan meningkat sebagai isyarat  terhadap sebarang jenis keradangan yang berlaku. Paras CRP tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung manakala paras rendah pula dikaitkan dengan risiko rendah.
       Ramai saintis dan doktor percaya bahawa LDL yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat adalah penanda utama bagi menentukan risiko penyakit jantung. Namun pada masa sama terdapat beberapa bukti menunjukkan CRP dapat dijadikan penanda risiko penyakit jantung yang lebih baik berbanding LDL.
LDL atau CRP?
      Sebuah kajian yang diketuai oleh Paul Ridker, MD. yang melibatkan 29,939 wanita telah menunjukkan keadaan tersebut. Lebih dari separuh wanita yang terlibat dalam kajian mengalami paras CRP tinggi. Mereka didapati telah mengalami penyakit jantung walau pun paras LDL mereka rendah. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 14 November 2002.
      Beberapa tahun kemudian kajian yang dijalankan di Cleveland Clinic mendapati arteri tersumbat yang dialami oleh 502 orang pesakit tidak menjadi semakin buruk setelah mereka berjaya mengurangkan paras CRP. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2005. Jurnal keluaran yang sama juga melaporkan keputusan seuah kajian lain yang dijalankan oleh Dr. Ridker di mana ia menunjukan penurunan paras CRP menggunakan ubatan statin mengurangkan risiko kejadian serangan jantung kali kedua.
     Statin ialah nama generik kepada sejenis ubat moden bagi membantu mengawal paras kolesterol. Ia berfungsi menghalang pembinaan kolesterol. Ia dipreskirpsi oleh doktor kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari. Statin memiliki beberapa kesan sampingan termasuk gangguan mood, memori, libido (mati pucuk), merosakkan sel dan mengurangkan pembinaan coenzyme Q10.
     Kekurangan kolesterol menyebabkan hormon-hormon reproduktif seperti testoterone juga terganggu. Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada selera seks tetapi ia dipercayai menyebabkan seseorang mudah mengalami penuaan pra-matang. Ini kerana salah satu fungsi testoterone ialah melambatkan proses penuaan.
     Sel membran juga terdiri dari 20 peratus kolesterol. Kekurangan kolesterol mengganggu pelbagai fungsi sel dan ini juga mempercepat proses penuaan. Gangguan pembinaan kolesterol juga mengurangkan pembinaan vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan fisiologi. Ini juga mempercepat proses penuaan.
Kesan sampingan statin
      Sebuah kajian yang dilaporkan dalam British Medical Journal (2010) mendapati statin meningkatkan risiko katarak, otot lemah, hati tidak berfungsi dan kegagalan buah pinggang! Pada tahun sebelumnya Dr. Janet L. Stanford melaporkan dalam American Journal of Epidemiology bahawa statin didapati meningkatkan risiko kanser prostat sebanyak 50 peratus pada lelaki obes. Ia juga meningkatkan risiko diabetes sebanyak 80 peratus pada golongan sama.
      Sebuah kajian yang dijalankan beberapa tahun kemudian seperti dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (2012) mendapati statin meningkatkan risiko diabetes sebanyak 50 peratus pada wanita berumur melebihi 45 tahun apabila mereka mengambil statin.
     Mekanisme bagaimana statin meningkatkan risiko diebetes jenis 2 (type 2) tidak diketahui. Kekurangan kolesterol berpunca dari pengambilan statin menyebabkan gangguan secara fisiologi pada membran sel.  Ia dipercayai menyebabkan reseptor insulin tidak sensitif terhadap hormon insulin atau reseptor-reseptor insulin menjadi semakin kurang bilangannya kerana berlaku proses down regulation.
     Pengambilan statin secara berpanjangan berkemungkinan menyebabkan pembinaan insulin oleh sel-sel beta pankreas semakin berkurangan. Sel-sel beta juga mempunyai membran. Kekurangan kolesterol dipercayai menyebabkan pintu/laluan Kalsium pada membran sel menjadi rosak atau tidak berfungsi secara normal.
     Kalsium memang diperlukan oleh sel-sel beta untuk membina insulin. Namun pintu/laluan Kalsium yang tidak berfungsi secara normal menyebabkan terlalu banyak Kalsium masuk ke dalam sel beta melebihi had sepatutnya. Ini menyebabkan insulin dirembis melebihi had normal dan ia akan menyebabkan resptor-reseptor insulin pada membran sel menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin.
    Proses ketidaksensitifan reseptor insulin, kekurangan resptor insulin dan berlebihan ion Kalsium dalam sel beta pankreas ialah punca kepada kekebalan insulin. Jika tidak ditangani terutama dari segi pola pemakanan seseorang yang mengalami keadaan ini mudah menghidap diabetes jenis 2.
    Apakah alternatif untuk statin? Jawapannya ialah menjalani gaya hidup holistik. Makan makanan yang sesuai untuk kesihatan jantung seperti mengurangkan produk bijiran. Kurangkan pengambilan gula. Elakkan merokok dan minum arak. Elakkan dari makan berlebihan. Seboleh-bolehnya elakkan dari makan makanan yang dipanggang (hingga sebahagian menjadi arang) dan digoreng secara terendam lama. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Guna garam gunung dalam masakan. Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan yang memerlukan sahaja. Urus stres dengan bijak.
    Saya tidak menggunakan teori plak berlemak punca kerosakan arteri. Teori yang saya anuti ialah pintu/laluan Kalsium yang rosak menyebabkan Kalsium masuk pada jumlah tinggi ke dalam sel endotelia jantung. Ini menyebabkan arteri jantung buncit. Pada pandangan saya pintu/laluan Kalsium boleh diperbetulkan dengan mengamalkan pemakanan di atas beserta pengambilan bahan-bahan yang akan saya sebutkan di bawah.
    Kajian mendapati delima berupaya mencegah keradangan dan juga pembentukan plak dalam arteri.     Bahan-bahan seperti cuka epal (atau cuka kurma) diambil bersama minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin), vitamin C membantu delima secara sinergi.  Kesemua bahan ini bukan sahaja dipercayai membantu memulihara pintu/laluan Kalsium pada membran sel tetapi ia juga mencarikan darah dengan mengawal profil lipid iaitu tirigliserida, LDL, HDL dan jumlah kolesterol (total kolesterol).
     Vitamin B6, B9 (asid folik) dan B12 yang terdapat pada B kompleks menyumbang 'methyl' yang diperlukan oleh pelbagai jenis bahan kimia dalam tubuh bagi mempastikan organ sistem tubuh berfungsi secara harmoni termasuk memelihara kesihatan jantung. Selain itu Magnesium yang terdapat pada sayuran hijau penting untuk pembinaan tenaga dalam sel serta bagi mengimbangi Kalsium. Suplemen L-arginine juga penting. Dalam tubuh ia diubah kepada nitrik oksida. Ia berfungsi menutralkan radikal bebas superoxide iaitu bahan yang dipercayai punca keradangan dan merosakkan sel-sel endotelia arteri.


      Sila baca artikel membincangkan topik yang serupa iaitu Khasiat Delima

Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)

Sabtu, 1 Disember 2012

Pengaruh Makanan dalam Meredakan Penyakit

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 20 November 2012.
Orang ramai patut mendidik diri mengamalkan cara hidup holistik termasuk dalam hal pengambilan makanan
     Makanan tertentu   bukan sahaja mampu meredakan rasa sakit yang dialami malah sesetengahnya berupaya memendekkan tempoh penyakit yang sedang dialami. Antioksidan merupakan bahan yang terdapat dalam pelbagai jenis makanan bukan sahaja mampu menutralkan radikal bebas malah berfungsi meredakan rasa sakit yang sebahagian besarnya berpunca dari keradangan.

  Luka kerana tercedera atau selepas menjalani pembedahan biasanya menimbulkan rasa sakit.  Rasa sakit yang dialami berpunca dari sel-sel yang mengeluarkan bahan kimia yang menyebabkan rasa sakit di mana ia bertujuan memberi isyarat agar sistem imiun mengambil tindakan untuk membuang bahan-bahan yang tidak berguna dan menjalankan proses pemulihan tisu. Proses pembuangan bahan-bahan tidak berguna juga sebenarnya menghasilkan keradangan yang mana ia juga menyebabkan rasa sakit.
    Rasa sakit berpunca dari kedua-dua jenis luka ini boleh diredakan dengan mengambil suplemen minyak hati ikan kod dan vitamin C dos tinggi (2,000 - 3,000 mg sehari). Suplemen yang dikenali sebagai makanan tambahan memang patut dikategorikan sebagai makanan. Ia kerana FDA (Jabatan Pertanian Amerika) mengawalnya sebagai bahan makanan walau pun pengawalannya berbeza dari ubat-ubatan dan makanan konvensional. 
Manfaat agen anti keradangan
   Seseorang yang sakit kerongkong berpunca dari keradangan tonsil misalnya biasanya cepat sembuh dengan mengambil minyak hati ikan kod dan vitamin C. Begitu juga kedua-dua bahan ini juga sesuai diambil oleh mereka yang mengalami flu yang biasanya mengalami simtom-simtom yang tidak selesa termasuk rasa sengal-sengal seluruh tubuh. Pada masa sama herba bersifat antivirus seperti Neem (mambu) amat membantu untuk memendekkan tempoh penyakit.
Penyakit-penyakit yang ringan seperti sakit kepala atau migren boleh diredakan dengan mudah dengan mengambil teh bunga kekwa (crysanthemum). Teh bunga kekwa dalam kotak atau tin tidak sesuai. Mengapa? Ia mengandungi gula (fruktos, dari sirap jagung tinggi fruktos) dan pewarna tiruan. Teh bunga kekwa disediakan dengan merendam 1 sudu besar bunga kekwa kering dengan secawan air panas. Tutup cawan selama 10-15 minit.
   Sakit kepala dan migren biasanya berpunca dari keradangan. Teh bunga kekwa sesuai diambil sepanjang masa terutama oleh mereka yang berkerja menghadap skrin komputer sehari suntuk. Ia sesuai diambil secara berterusan kerana ia membantu mentona dan menguatkan fungsi hati selain membantu mengharmoni fungsi sistem imiun.
    Yang paling penting ketika mengalami kesakitan berpunca dari penyakit tertentu ialah mengelakkan makanan-makanan yang memburukkan penyakit yang sedang dialami. Jika mengalami batuk, artritis, radang paru-paru, bronkitis, demam selsema, flu, dalam proses pemulihan dari luka yang teruk, selepas menjalani pembedahan atau kanser anda perlu mengurangkan makanan tertentu.
   Makanan bergoreng secara terendam lama, makanan hangus, makanan terproses, marjerin, makanan tinggi gula, daging adalah antara makanan yang memburukkan keradangan. Oleh sebab keradangan adalah punca kepada rasa sakit maka dengan mengelakkan makanan-makanan yang disebutkan dikatakan berupaya mengelakkan rasa sakit atau mengurangkan rasa sakit yang sedang dialami. Makanan-makanan yang disebutkan juga sebenarnya menggangu sistem imiun dari berfungsi dengan sempurna.
   Kesempurnaan fungsi sistem imiun sistem amat diperlukan dalam memendekkan tempoh penyakit yang sedang dialami. Namun kebanyakan doktor dikatakan masih memandang remeh terhadap berpantang dalam bentuk makanan yang masih diamalkan oleh sebahagian pesakit. Pengamal-pengamal perubatan alternatif pakar biasanya mengetahui sebab akibat berpunca dari sesuatu yang difikirkan membawa manfaat atau keburukan kepada kesiahatan seseorang.
   Sebahagian mereka mencadangkan berpantang berdasarkan amalan orang dulu-dulu. Manakala pengamal-pengamal yang mahir dalam ilmu sains terutama ilmu biokimia pula berupaya menerangkan tindak-balas kimia yang berlaku apabila seseorang mengambil sesuatu jenis makanan (atau faktor-faktor lain yang memperngaruhi keradangan) yang bersifat meningkatkan keradangan.
    Tidak kira samada cadangan dari seorang pengamal perubatan alternatif itu ialah dari jenis pertama atau kedua dalam memahami makanan mana yang sesuai dan makanan mana yang tidak, dengan mengelakkan makanan yang meningkatkan keradangan diercayai berbaloi dibandingkan dengan bergantung kepada ubat-ubatan tahan sakit yang dipreskripsi oleh doktor.
    Mengapa ia lebih berbaloi? Mengamalkan pengambilan makanan yang sesuai dan mengelakkan makanan yang memburukkan lagi keadaan penyakit dan keradangan yang sedang dialami membantu tubuh dalam banyak segi. Antaranya ialah memulihara kesihatan sel dan secara keseluruhan mengharmoni fungsi pelbagai sistem tubuh. Dalam kes penyakit-penyakit yang disebutkan di atas tadi ia membantu mengharmoni dan memulihara sistem imiun agar ia dapat berfungsi dengan sempurna.
Berpantang
    Kebanyakan doktor tidak setuju dengan berpantang dalam bentuk makanan diamalkan oleh penghidap kanser. Mereka beranggapan bahawa mengelakkan dari makan makanan tertentu akan menyebabkan penghidap kanser kurang makan terutama kepada mereka yang kurang mampu dari segi ekonomi untuk memilih makanan. Sebab lain ialah makanan-makanan yang menjadi pantang larang ialah makanan yang biasa dimakan oleh seseorang sepanjang hidupnya. Berpantang dibimbangi akan menurunkan selera makan terhadap kebanyakan jenis makanan.
    Memang tidak dinafikan apabila kurang makan penghidap kanser akan mengalami kekurangan nutrien. Namun  jika dilihat dari perspektif perubatan alternatif, penghidap kanser yang mengelakkan makanan-makanan yang dipercayai memburukkan kanser yang sedang dialami masih mempunyai banyak makanan lain sebagai pilihan. Daging misalnya boleh digantikan dengan ikan yang juga sumber protein dan juga bersifat antikeradangan.
   Mengelakkan dari makanan terproses, makanan bergula tinggi, makanan bergoreng secara terendam lama, makanan hangus dan marjerin misalnya amat mudah diamalkan oleh semua orang. Mengambil yang direbus dan meningkatkan makanan berantioksidan seperti pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan adalah kerja mudah.
   Dari satu segi doktor yang meremehkan pantang-larang dalam bentuk makanan ini dikatakan klurang berinitiatif untuk mendidik pesakit. Mereka dikatakan lebih memberi perhatian kepada kekesanan ubat-ubatan yang dipreskripsi. Hakihatnya mengpreskripsi ubat-ubatan moden memang tugas utama yang dilakukan oleh sebahagian besar doktor di dunia kerana ia diajar dalam kurikulum di bangku universiti iaitu mendiagnos dan mempreskripsi ubat-ubatan yang sesuai. 

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)