Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian (edisi KL/Selangor) pada Februari 5, 2013.
Delima (Punica
granatum) merupakan salah satu jenis buah-buahan paling tua pernah diketahui
manusia. Maklumat mengenainya ditemui dalam bentuk tulisan dan artifak pelbagai
budaya dan agama. Delima yang dipercayai berasal dari Parsi kaya dengan pelbagai
nutrien dan amat bermanfaat untuk kesihatan.
Dalam Quran delima disebut dalam tiga
surah. Yang pertama dalam surah al-An'am (maksudnya): "...... dan (Kami
jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang serupa
(bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak serupa." [al-An'am: 99]. Yang
kedua dalam surah yang sama juga (maksudnya): "....... dan
pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan rasanya; dan buah
zaitun dan delima, yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak serupa (rasanya)."
[al-An'am: 141]. Ia juga disebut dalam surah ar-Rahmaan (maksudnya), "Pada
keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima."
(ar-Rahmaan: 55).
Dalam ketiga-tiga ayat tersebut ALLAH
hanya menyebut delima secara umum. Namun setiap nikmat kurniaan ALLAH untuk
kegunaan manusia memang memiliki manfaat.
Salah satu nikmat dunia
dalam bentuk manfaat yang dicipta ALLAH pada buah delima ialah setiap orang
yang melihat kepada isinya yang masak ranum nescaya akan memuji,
"SubhaanAllah, cantiknya warna isi buah delima ini." Manfaat lain
yang ketara setakat ini ialah kebaikan pengambilan dan penggunaannya untuk
kesejahteraan kesihataan.
Seluruh
bahagian pokok
Manfaat
delima untuk kesejahteraan kesihatan bukan hanya terdapat pada isinya yang
berwarna merah atau merah jambu malah pada keseluruhan bahagian pokok delima. Boleh
dikatkan seseluruhan bahagian pokok delima bersifat astringen. Astringen ialah
suatu sifat yang membantu mengecutkan tisu dan salur darah. Sebab itu kulit
batang, kulit buah dan daun delima sesuai digunakan untuk mengatasi diarea.
Ia juga boleh digunakan untuk
memberhentikan darah luka. Caranya ialah lumatkan daun delima dan dipupuk pada
luka. Sepertimana daun sirih, daun delima juga mampu memberhentikan hidung
berdarah. Menempel daun delima yang dikunyah berupaya memberhentikan gusi
berdarah.
Sifat astingen keseluruhan bahagian pokok
delima ini mungkin sesuai digunakan untuk mempercepat penyembuhan luka dalaman
yang dialami oleh mereka yang terlibat dalam kemalangan. Begitu juga yang
mengalami tisu memar kerana terhantuk atau dipukul. Ia juga mungkin berguna
dijadikan sebagai salah satu ramuan jamu untuk wanita selepas bersalin.
Keseluruhan
bahagian pokok delima termasuk isi dan bijinya juga sesuai digunakan
untuk meredakan muntah dan loya. Manfaatnya meredakan loya yang biasa dialami
oleh wanita mengandung dkatakan telah terbukti oleh mereka yang mengambilnya.
Pengambilan secara kerap dikatakan membantu mengelakkan keguguran.
Rasa buah delima yang masam manis
(kadang-kala kelat) membantu mengembalikan selera makan terutama kepada mereka
yang sedang sakit, mengalami stres berpanjangan dan terlalu lama mengambil
ubat. Keadaan tersebut biasanya menyebabkan sel-sel lidah (dan tekak) seseorang
kurang peka kepada kebanyakan jenis makanan.
Vitamin
C dan bioflavonoids
Pengambilan jus delima secara berpanjangan
membantu memulihara kesihatan hati,
mata, otak dan pelbagai jenis oran tubuh secara keseluruhan. Kandungan
vitamin C yang tinggi, pelbagai jenis bioflavonoids
dan asid folik dipercayai menyumbang ke arah kesejahteraan kesihatan secara
keseluruhan. Kandungan vitamin C yang tinggi dan bioflavonoids menyebabkan ia sesuai diambil bagi memendekkan tempoh
demam selsema, flu, batuk dan sakit tekak.
Jus delima berupaya menyejukkan tubuh. Ia
sesuai diambil oleh mereka yang mengalami demam dengan suhu badan tinggi
seperti flu dan denggi. Penghidap gatritis (penyakit gastrik) juga dikatakan
sesuai mengambil jus delima bagi menyeimbangkan paras asid dalam perut. Jus
delima segar yang ditambah madu asli sesuai diambil untuk meredakan sakit
kepala dan migren.
Sesetengah wanita yang mengalami menopos
mudah mengalami kemurungan dan kurang bersemangat. Jus delima diambil secara
berpanjangan dikatakan membantu meredakan masalah tersebut. Sebuah berita baik
untuk lelaki dan wanita iaitu jus delima dikatakan berupaya membantu
mengembalikan libido (selera seks) seperti dilaorkan dalam Journal of Urology 2005). Mereka yang berhasrat agar sentiasa
mendapatkan tahap libido yang optima boleh cuba mengambil jus delima secara
berpanjangan.
Nafas berbau boleh diatasi dengan
mengunyah beberapa butir isi dan biji delima. Rebusan kulit buah delima yang
direbus boleh dijadikan larutan berkumur untuk mengatasi masalah yang sama. Bunga
delima boleh digunakan untuk menguatkan gusi dan gigi. Pengambilan teh yang
disediakan dengan merendam bunga delima dengan air panas secara berterusan
dapat mengelakkan pembentukan plak pada gigi serta mengelakkan kerosakkan gigi
dan gusi.
Di samping buah delima kaya dengan
pelbagai jenis bioflavonoids antara
lain seperti asid chlorogenic, asid ursolic, asid gallic, ellagitannins, catechins dan resveratrol. Salah satu sifat penting bahan-bahan tersebut ialah
ia bertindak sebagai antioksidan. Antioksidan ialah bahan atau agen yang mampu
menutral radikal bebas. Radikal bebas ialah bahan yang amat reaktif yang boleh
merosakkan pelbagai jenis komponen tubuh.
Tubuh kita mengeluarkan beberapa jenis bahan antioksidan termasuk yang
terpenting iaitu glutathione. mereka yang kerap makan sayur-sayuran dan
buah-buahan dikatakan sukar mengalami penyakit (pelbagai jenis). Ia kerana
bahan-bahan antioksidan dari makanan tersebut membantu mengawal radikal bebas.
Jadi, walau pun tubuh kita mengeluarkan bahan-bahan antioksidan, pengambil
makanan yang mengandungi bahan antioksidan amat diperlukan tubuh.
Pengambilan jus delima asli amat baik
diamalkan kerana ia bersifat sebagai agen antipenuaan. Sebuah kajian seperti
dilaporkan dalam jurnal Clinical
Nutrition (2004) mendapati pengambilan jus delima kurang dari seperempat
cawan setiap hari mengurangkan plak berlemak dalam arteri jantung.
Kesihatan
jantung
Plak berkurangan tiga belas peratus
selepas tiga bulan pengambilan dan dua puluh enam peratus selepas sembilan
bulan. Selepas setahun plak berkurangan sebanyak tiga puluh lima peratus!
Saintis yang menjalankan kajian berpendapat kesan positif tersebut berpunca dari
tindakan beberapa jenis polifenol yang terdapat dalam buah delima.
Kandungan polifenol dalam buah delima
ialah antara 2,200 - 10,500 bahagian per sejuta. Untuk pengetahuan anda, bioflavonoids adalah sub-kelas kepada
polifenol. Penghidap diabetes dikatakan mempunyai paras radkal yang tinggi
dalan tubuh mereka. Begitu juga mereka yang mengalami stres berpanjangan,
terlantar sakit, kanser dan bergantung kepada ubat-ubatan moden sepanjang
hayat.
Pengambilan ubat-ubatan kemoterapi
(termasuk ubat-ubatan antivirus), radioterapi dikatakan menyebabkan tubuh
bertoksin dan tinggi dengan radikal bebas. Pengambilan jus delima dipercayai
dapat mengawal paras radikal bebas yang tinggi berpunca dari semua keadaan
tersebut.
Sila baca artikel berjudul Kesihatan Jantung: Delima atau Statin
Sila baca artikel berjudul Kesihatan Jantung: Delima atau Statin
Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com