"Tahap kesihatan terhasil dari
interaksi antara genome, epigenome dan exposome"
Oleh Bahrain Samah,
MD (AM)
Terbit dalam Sinar
Harian Jun 10, 2016
Sungguh
pun sesetengah masalah kesihatan misalnya penyakit jantung koronari benar-benar
difahami oleh golongan perubatan moden, namun sebahagian masalah kesihatan lain
masih diterima sebagai penyakit misteri oleh golongan tersebut. Tanda utama penyakit-penyakit tertentu menjadi misteri ialah
penghidap sering kali menerima jawapan punca penyakit tidak diketahui.
Masalah kesihatan atau penyakit seperti
sindrom usus rengsa, lesu kronik, candidiasis, fibromyalgia atau penyakit
autoimiun dihidapi oleh jutaan penduduk dunia pada satu-satu masa. Namun pada kebanyakan kes, pengamal perubatan
moden tidak mengkategori atau mengaitkan simtom-simtom atau
punca tertentu dengan panggilan (nama penyakit) sepertimana penulis nyatakan di
atas.
Sebaliknya, ubat-ubatan akan
dipreskripsi untuk meredakan
simtom-simtom yang dialami penghidap. Jadi, pada kebanyakan kes
penyakit-penyakit atau masalah kesihatan tidak diatasi sepenuhnya atau sembuh
kerana rawatan sekadar tertumpu kepada peredaan simtom-simtom yang
dialami.
Namun, adakah benar kita tidak tahu apakah
punca atau sebab-sebab yang membentuk penyakit termasuk penyakit kronik? Pada masa sama sedia maklum terdapat beberapa faktor berkaitan pembentukan penyakit yang masih
belum difahami atau hanya diketahui secara samar-samar.
Sebahagian pengamal perubatan alternatif pakar percaya bahawa terdapat faktor-faktor yang
memainkan peranan kepada pembentukan kepada semua jenis penyakit termasuk
penyakit kronik. Dengan mengadopsi peranan faktor-faktor tersebut memudahkan
seseorang pengamal membantu penghidap untuk mencegah atau (harap tidak
keterlaluan untuk dinyatakan) untuk meredakan (baca dengan maksud: merawat atau
menyembuh) pelbagai jenis penyakit.
Patologi Utama Punca Penyakit
Lapan patologi utama dipercayai membentuk
semua penyakit termasuk penyakit kronik. Patologi ialah sejenis ilmu
sains digunakan bagi mengenalpasti punca sesuatu penyakit.
Patologi pertama ialah disfungi usus yang
merujuk kepada bakteria membiak tidak terkawal, infeksi (parasit, bakteria
patogenik, paras asid perut rendah, pembinaan cecair hempedu terganggu, pembinaan enzim terganggu, ketelapan usus dan
tidak toleran kepada makanan.
Patologi kedua ialah ketidakseimbangan
nutrien yang meliputi kekurangan nutrien misalnya B12, zat besi, folat,
magnesium, zink, EPA/DHA (omega-3) dan vitamin-vitamin larut lemak. Berlebihan
nutrien seperti berlebihan zat besi juga tergolong dalam patologi ini.
Patologi ketiga ialah ketidakharmonian
paksi HPA (hipotalamus, pituitari dan kelenjar-kelenjar adrenal). Ia meliputi
gangguan terhadap pengawalan komunikasi antara hipotalamus,
pituitari dan kelenjar adrenal serta
pengharmonian pengeluaran hormon-hormon oleh kelenjar berkaitan (misalnya DHEA
dan kortisol).
Patologi seterusnya ialah tubuh terbeban
dengan
bahan-bahan bertoksik. Ia termasuk pendedahan kepada bahan-bahan kimia
(misalnya BPA, phthalate), logam berat (misalnya merkuri, arsenic), biotoksin
(misalnya kulapok, mycotoxin). Ia juga berpunca dari keupayaan detoks terganggu
berpunca dari kekurangan nutrien, masalah gastro-usus atau sebab-sebab lain.
Patologi kelima ialah infeksi kronik
termasuk infeksi parah berpunca dari gigitan kutu (melibatkan patogen seperti
virus, bakteria, protozoa), sel diserang bakteria (misalnya Mycoplasma, Chlamydophila),
virus (misalnya HHV-6, HPV dan bakteria gigi).
Patologi keenam ialah ketidakseimbangan
hormon termasuk hormon-hormon berkaitan metabolism (seperti insulin, leptin),
tiroid dan gonad (seperti estrogen, progesterone dan testosterone).
Patologi ketujuh ialah ketidakharmonian
sistem imiun meliputi autoimuniti, fungsi sistem imiun spara aktif dan
keradangan kronik (melibatkan jentera sistem imiun).
Patologi terakhir ialah disfungsi sel yang
meliputi gangguan proses methylation (penambahan methyl kepada molekul
tertentu), pembinaan tenaga dan fungsi mitokondria. Kerosakan oksidatif
(berpunca dari stres oksidatif) juga tergolong dalam patologi ini.
Semua patologi tersebut serta interaksi
exposome-genome-epigenome yang menimbulkan patologi-patologi tersebut
dipercayai sebagai punca asas kepada semua jenis penyakit termasuk antara lain
obesiti, Hashimoto, thyroiditis, asma, gangguan spektrum autism atau kemurungan.
Pemahaman terhadap peranan lapan patologi
di atas dipercayai amat penting dalam mengenalpasti punca-punca sebahagian
besar penyakit termasuk penyakit kronik yang dapat membantu seseorang mencegah
dan merawat penyakit dengan kaedah atau modaliti tertentu.
Interaksi
Tahap kesihatan seseorang dipercayai
terhasil dari interaksi antara genome, epigenome dan exposome. Genome merujuk
kepada set lengkap DNA yang mengandungi semua informasi yang diperlukan untuk
membina dan memulihara kehidupan manusia.
Epigenome pula mengandungi bahan-bahan
kimia yang mengubah genome dengan memberitahunya apa yang perlu dilakukan, di mana ia harus dilakukan dan bila ia harus
dilakukan. Modifikasi tidak mengubah gen-gen namun hasil modifikasi boleh
diturunkan kepada generasi akan datang.
Exposome pula mewakili jumlah keseluruhan
pendedahan bukan genetik yang dialami seseorang sejak ia dalam bentuk janin
hingga ia meninggal dunia, Ia termasuk diet, udara, pendedahan kepada
bahan-bahan kimia, sikap, hubungan kemasyarakatan dan persekitaran.
Proses tubuh
seperti keradangan, peroksidasi lipid, stres oksidatif, penyakit, infeksi dan
keadaan mikrobiota
usus juga ialah exposome. Tahap spiritual iaitu hubungan dengan ALLAH SWT dianggap sebagai exposome.
Rawat Simtom
Penulis bawakan contoh mudah menunjukkan
perbezaan pendekatan antara golongan perubatan moden dan pakar perubatan
berfungsi dalam membantu penghidap menangani paras kolesterol tinggi. Golongan
perubatan moden biasanya memfokus kepada penyakit dan simtom-simtomnya misalnya
dengan pengpreskripsi ubatan statin. Pendekatan ini digelar ‘dari luar ke
diam’.
Golongan tersebut menganggap paras kolesterol tinggi sebagai patologi terhadap penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi dan penyakit kardiovaskular.
Pada sesetengah kes penghidap akan
dinasihatkan agar bersenam dan menjalani gaya hidup sihat. Punca-punca
peningkatan paras kolesterol dikatakan jarang-jarang dibincangkan bersama
penghidap.
Golongan perubatan berfungsi pula
mengaitkan peranan beberapa patologi seperti antara lain fungsi kelenjar tiroid terganggu,
ketelapan usus kecil, ketidakharmonian koloni mikrobiota (istilah baru dan
lebih tepat untuk mikroflora), infeksi virus, infeksi bakteria, kekebalan
insulin, kekebalan leptin dan ketidakseimbangan nutrien.
Bagi mereka paras kolesterol tinggi adalah simtom dari salah satu atau gabungan patologi tersebut. Memang tidak dinafikan paras kolesterol tinggi sebagai patologi kepada penyakit-penyakit lain seperti penyakit kardiovaskular atau hati berlemak. Namun, pengamal perubatan berfungsi yang mahir lebih memfokus kepada patologi yang menghasilkan simtom sebagai tekanan darah meningkat.
Perubatan berfungsi merujuk kepada amalan
perubatan atau rawatan yang memfokus kepada fungsi optima tubuh dan organ-organ
– biasanya menggunakan sistem perubatan holistik atau alternatif.
Jadi,
mereka akan membantu penghidap merawat patologi-patologi tersebut ‘dari dalam
ke luar’ yang akhirnya berjaya mengatasi isu paras kolesterol tinggi!
Berdasarkan prinsip perubatan berfungsi,
beberapa patologi yang boleh menyebabkan peningkatan paras kolesterol termasuk
antara lain fungsi kelenjar tiroid terganggu, tahap ketelapan usus kecil,
ketidakharmonian koloni mikroflora usus (microbiome usus terganggu), infeksi
virus, infeksi bakteria, kekebalan insulin, kekebalan leptin dan
ketidakseimbangan nutrien.
Pengamal perubatan alternatif
yang mahir yang didatangi penghidap paras kolesterol tinggi akan memeriksa
semua patologi yang disebutkan di atas bagi mengenalpasti punca atau penyebab
kepada peningkatan paras kolesterol tinggi yang dialami penghidap.
Sudah pasti faktor-faktor seperti genetik
(biasanya amat jarang berlaku walau pun tidak mustahil misalnya seseorang yang dilahirkan
dengan gen yang menyebabkan paras koelsterol sentiasa tinggi, suatu keadaan
dikenali sebagai familial
Hypercholesterolemia), gaya hidup atau elemen-elemen exposome (misalnya antara lain hubungan kekeluargaan dan dengan orang lain, hubungan dengan ALLAH SWT dan cara diri menghadapi dan mengawal stres) yang boleh mempengaruhi penghidap secara epigenetik juga diambil kira.
Apabila patologi-patologi telah
dkenalpasti dan penghidap mengamalkan nasihat yang diberi dengan misalnya membuang tabiat makan makanan karbohidrat terproses (faktor gaya hidup
– diet), mengawal amarah (jika penghjidap seorang pemarah, termasuk mengawal stres dengan bijak)mengamalkan pengambilan lemak jenis sihat pada setiap kali makan
(bertujuan mengawal paras gula dan agar merasa kenyang lebih lama), mengambil cuka epal/tamar dan mengamalkan pelbagai sayuran dan buah-buahan tinggi antioksidan tabiat merokok jika merokok, bersenam dengan sekurang-kurangnya 30 min berjalan kaki 3 kali seminggu, menambahbaik hubugan dengan ALLAH SWT. Cadangan yang diberikan biasanya akan dapat membantu menurunkan paras kolesterol ke paras normal pada tempoh tertentu.
DIPETIK OLEH:
Hajjah Makiah
Tussaripah Jamil, Haniwarda Yaakob. Penyakit-penyakit genetik dan Penyaringan
Embyo melalui Teknologi PGD. Journal of Global Business and Social Enterpreneurship,
Mei 2018.
Hakcipta Terpelihara 2021 GayaHidupHolistik_blog