Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Selasa, 6 November 2012

Keburukan Makanan terlalu Garing dan Hangus

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
disiar dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor, Oktober 30, 2012
Acrylamide, PAH dan HAA dipercayai membentuk pelbagai penyakit degeneratif dan seterusnya kematian pramatang
     Ramai orang menganggap bahawa makanan adalah makanan. Tidak kira dengan kaedah mana pun disediakan ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Hakikatnya ialah makanan-makanan yang telah diproses menggunakan suhu tinggi (kecuali teknik rebusan) mengubah struktur kimia bahan-bahan makanan tertentu kepada bahan-bahan yang tidak sesuai untuk memantapkan kesihatan tubuh.
    Makanan yang disediakan dengan beberapa teknik seperti memanggang, menyalai, menyangrai (dari istilah sangrai) hingga terlalu garing atau hangus dikatakan menghasilkan beberapa bahan kimia bertoksik.     
Karbohidrat dan acrylamide
     Perbincangan artikel ini dimulakan dengan kesan pemanasan suhu tinggi terhadap makanan karbohidrat iaitu makanan berkanji.  Pemanasan suhu tinggi mengubah karbohidrat kepada sebatian kimia bertoksik dikenali sebagai acrylamide.
      Kajian yang dijalankan oleh University of Stockholm dan Stockholm dan Sweden's National Food Administration mendapati acrylamide terbentuk apabila makanan kaya karbohidrat dimasak pada suhu tinggi iaitu dengan kaedah penggorengan biasa, penggorengan secara terendam lama, sangrai, memanggang dan menyalai.  Produk-produk yang biasa dimakan hari ini seperti kerepek kentang, kentang goreng, kentang dibakar dalam ketuhar dan beberapa jenis roti didapati memiliki paras acrylamide yang tinggi.
 
      Makanan seperti makanan ringan rangup yang disediakan dari jagung, biskut kering, roti bakar, bijirin terproses (disediakan samada dengan  disangrai atau dipanaskan dalam ketuhar) dan serbuk kopi pula didapati memiliki paras acrylamide yang rendah berbanding dengan makanan-makanan yang mula-mula disebutkan di atas. Berita asal yang berkaitan perbincangan ini boleh dibaca di HYPERLINK http://news.bbc.co.uk/2/hi/health/1949413.stm.
 
       Kajian tersebut mendapati produk makanan berkanji yang disediakan dengan cara rebusan tidak berubah kepada acrylamide. Mengapa makanan tinggi kandungan acrylamide digeruni oleh mereka yang mengetahui sifatnya? Acrylamide didapati menyebabkan mutasi gen dan seterusnya menyebabkan pembentukan kanser. 
 
     Kajian ke atas haiwan mendapati ia menyebabkan pembentukan dua jenis ketumbuhan perut iaitu jenis tidak berbahaya dan malignan (dikenali juga sebagai kanser). Sebuah kajian di Itali seperti dilaporkan dalam Internal Journal of Cancer (2006) mendapati diet tinggi dengan roti yang diperbuat dari bijiran terproses dikaitkan dengan peningkatan risiko karsinoma buah pinggang iaitu sejenis kanser buah pinggang utama. Ia juga didapati menyebabkan kerosakan saraf termasuk otak dan keseluruhan saraf tubuh.
 
        Memanaskan karbohidrat pada suhu tinggi juga didapati menghasilkan sejenis bahan karsinogen (menyebabkan kanser) dikenali sebagai 5hydroxymethylfurfural (HMF). Saintis mendapati HMF diubah oleh sejenis enzim dalam tubuh kepada 5sulphooxymethylfurfural. Bahan yang menyebabkan mutasi sel ini didapati amat beracun kepada buah pinggang tikus kajian.
 
      Advanced glycated end products (AGEs) merupakan bahan yang boleh terbentuk dalam tubuh atau diserap dari makanan. Makanan karbohidrat dan berprotein contohnya roti dikatakan membentuk AGEs apabila dipanaskan pada suhu tinggi. AGEs juga adalah bahan bersifat karsinogen.
 
PAH dan HAC
 
     Makanan salai, panggang atau hangus dikatakan mengandungi bahan karsinogen dalam kumpulan polycyclic aromatic hydrocarbon (PAH). Memasak makanan pada suhu tinggi, memasak hingga hangus atau bertukar jadi arang dikatakan menyebabkan paras PAH meningkat. PAH ialah sekumpulan sebatian kimia terdiri dari gabungan cincin benzena.
 
     PAH yang paling terkenal ialah benzopyrene dan naphtalena (bahan ubat gegat). Seseorang yang gemar makanan yang terlalu garing atau terdapat bahagian makanan yang hangus mendedahkan diri mereka kepada bahan-bahan bertoksik dari jenis yang serupa seperti yang terdapat dalam tar, asap rokok, asap pembakaran bahan api dan asap pembakaran tumbuh-tumbuhan.
 
 
    PAH juga terbentuk apabila lemak dipanaskan pada suhu tinggi hingga hangus. Makanan mengandungi lemak seperti sateh atau daging berlemak yang dipanggang pada suhu tinggi hingga terdapat bahagian yang hangus akan membentuk PAH. Dari sisi lain, lemak haiwan yang sudah tentu mengandungi kolesterol akan teroksida apabila dipanaskan. Kolesterol teroksida tidak sesuai untuk kesihatan jantung kerana ia dipercayai dapat merosakkan membran sel termasuk sel-sel epitelia jantung.
 
     Perlu diketahui bahawa makanan berprotein yang dipanaskan hingga hangus juga diubah kepada PAH. Selain PAH, heterocyclic aromatic amines (HAA) juga merupakan sejenis bahan bertoksik terkandung dalam makanan berprotein yang disediakan dengan cara disalai atau dipanggang. Pada September 2006, sekumpulan doktor di Amerika Syarikat telah menyaman tujuh rantaian makanan segera kerana ayam salai mereka mengandungi
2-amino-1-methyl-6-phenylimidazo [4,5,-b] pyridine (PhIP).
 
     PhIP merupakan bahagian terbesar dari HAA yang terdapat dalam makanan berproteuin yang disalai atau dipanggang. Presiden kumpulan tersebut mendakwa pengambilan salad ayam salai dapat meningkatkan risiko beberapa jenis kanser termasuk prostat dan payudara.
 
Nutrien rendah
 
     Selain mengandungi bahan-bahan bertoksik yang dipercayai dapat menyebabkan pembentukan kanser dan penyakit-penyakit seperti masalah buah pinggang dan penyakit jantung koronari, makanan yang dimasak terlalu garing dan hangus mengandungi nilai nutrien yang rendah.
 
     Makanan yang dimakan sepatutnya dari jenis yang dapat menyediakan nutrien untuk tubuh. Sebaliknya, makanan jenis ini bukan sahaja kurang/tidak menyumbang malah menyebabkan tubuh kekurangan nutrien tertentu.
 
      Makanan yang mengandungi acrylamide, PAH dan HAA dikatakan meningkatkan risiko keradangan. Terdapat pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan keradangan berpanjangan termasuk kanser, penyakit jantung koronari, masalah oto-imiun (auto-immune disorder, di mana sistem imiun menyerang tisu tubuh) dan masalah buah pinggang.
 
     Kaitan acrylamide, PAH dan HAA dengan kanser merupakan suatu pandangan kontroversi. Namun begitu, seseorang yang ingin terus sihat patut mengurang/mengelakkan makanan-makanan yang mengandunginya  kerana dua sebab utama.  Ia kurang nilai nutrien dan ia mungkin akan mengubah masa hadapan hidup anda secara negatif.
 
     Untuk melihat kesan acrylamide, PAH dan HAA berilah makan dua ekor kucing kembar di mana seekor semata-mata diberi makan makanan mengandunginya dan seekor lagi diberi makan ikan rebus. Selepas beberapa bulan perhatikan kucing mana lebih sihat dan memiliki bulu lebih gebu.
 
    Mereka yang menghidap demam, masalah oto-imiun, masalah penghadaman, baru menjalani pembedahan atau mengalami kanser perlu menjauhi semua jenis makanan yang mengandungi ketiga-tiga bahan tersebut. Makanan yang direbus adalah pilihan terbaik.    

 
Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)