Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Khamis, 9 Mei 2013

Keracunan Logam Berat

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada April 23, 2013

     Keracunan logam berat berlaku apabila logam-logam berkumpul dalam sel-sel lemak tubuh, saraf, otak dan kelenjar. Biasanya ia membentuk kesan-kesan kesihatan bersifat negatif. Logam-logam peralihan dalam jadual berkala seperti plumbum, kadmium, merkuri dan nikel merupakan logam-logam berat yang berbahaya. 

    Arsenik dan aluminium dikelaskan dalam kategori metalloid iaitu terletak antara logam dan bukan logam. Namun kedua-duanya juga biasa dikelaskan sebagai logam berat dan dibincangkan bersama-sama keempat-empat logam berat tersebut.

    Zat besi ialah sejenis logam berat namuan ia tidak dikelaskan sebagai logam bertoksik. Namun paras yang terlalu berlebihan seperti masalah kesihatan yang dikenali sebagai hemochromatosis juga akan membahayakan penghidap. Zink juga merupakan sejenis logam berat namun ia bukan dari kategori logam bertoksik. Walau bagaimana pun paras zink yang terlalu tinggi akan menyebabkan masalah kesihatan.

     Terdapat beberapa logam berat lain menjadi tumpuan utama Eropah iaitu chromium, kuprum, manganese, nikel, timah dan thallium. Artikel ini hanya akam membincangkan keracunan logam-logam berat aluminium, arsenik, merkuri, plumbum dan nikel sahaja. Perbincangan akan berkisar meliputi simtom, punca dan rawatan.


   Simtom-simtom yang dialami oleh mereka yang mengalami keracunan logam berat adalah berbeza-beza. Ia bergantung kepada jenis logam, umur seseorang (kanak-kanak lebih mudah mengalami keracunan) dan tempoh mengalami keracunan.

   Kehadiran dan ketiadaan mineral-mineral bersifat menghalang serta nutrien-nutrien tertentu yang menyekat penyerapan, penggabungan dan kesan logam-logam bertoksik juga memainkan peranan.  Contohnya kekurangan kalsium akan memburukkan lagi kesan ketoksikan plumbum. Sebaliknya aras kalsium yang normal akan membantu tubuh menghindari ketoksikan plumbum.



Simtom



   Tanda-tanda keracunan aluminium termasuk sakit kepala, masalah pembelajaran, fungsi kognitif merosot, osteoporosis, telinga berdesing, masalah gastro-usus, sakit perut, kanak-kanak hiperaktif dan berjalan dengan cara tidak sempurna. Sesetengah pihak berpendapat bahawa peranannya terhadap kemerosotan memori dan penyakit alzheimer hanya bersifat spekulatif. Namun suatu hari nanti ia mungkin akan didapati benar.

   Tanda-tanda keracunan arsenik akut ialah muntah, sakit perut, diarea, air kencing berwarna gelap, kekurangan air, masalah jantung, sel darah merah rosak, hilang imbangan badan (vertigo), gangguan fikiran (delirium), kejutan dan kematian.

   Pendedahan jangka panjang arsenik di bawah paras toksik dikaitkan dengan perubahan sifat kulit, garisan putih pada kuku. Kerosakan pada saraf imbasan dan motor akan berlaku. Gangguan fungsi hati dan buah pinggang akibat kerosakan juga berlaku. Dikelaskan sebagai karsinogen, ia juga dikaitkan dengan pembentukan kanser pund kencing, buah pinggan, paru-paru dan kulit.

   Keracunan kadmium pula akan menyebabkan lesu, mudah meradang, sakit kepala, tekanan darah tinggi, kelenjar prostat membesar, meningkatkan risiko kanser, rambut gugur, masalah pembelajaran, masalah hati, masalah buah pinggang, masalah kulit, sakit sendi dan fungsi sistem imiun merosot.

    Plumbum pula akan menyebabkan pertumbuhan/pembentukan tulang terbantut, masalah pembelajaran, lesu, gangguan dalam menjalankan tugasan, mudah meradang, resah, tekanan darah tinggi, susut berat badan, mudah mengalami infeksi, telinga berdesing, fungsi kognitif merosot, fokus merosot, masalah mengeja, sakit kepala, masalah gastro-usus, sembelit, sakit otot, sakit sendi, anggota tubuh bergoncang dan fungsi sistem imiun merosot.

    Keracunan merkuri akan menyebabkan masalah memori, masalah kognitif, mudah meradang, lesu, insomnia, masalah gastro-usus, tindakan sistem imiun merosot, perangai tidak rasional. kebas, rasa mencucuk-cucuk, sakit otot, masalah penglihatan, masalah pendengaran, alahan, asma dan multiple sclerosis.  Autism dikaitkan dengan keracunan merkuri dari pemvaksinan dengan simtom-simtom termasuk masalah gastro-usus selain gangguan pembelajaran, masalah memfokus dan masalah kognitif.

    Akhir sekali ialah ketoksikan nikel. ia dikaitkan dengan lesu, masalah pernafasan, masalah jantung, ruam kulit, psoriasis, lesu dan sakit kepala.

    Sebuah artikel semakan berjudul The Influence of Arsenic, Lead, and Mercury on the Development of Cardiovascular Diseases seperti dilaporkan dalam jurnal ISRN Hypertension (2013) mendapati plumbum, arsenik dan merkuri adalah faktor risiko untuk penyakit kardiovaskular. Ia berpunca dari paras radikal bebas tinggi yang merosakkan enzim nitric acid synthase, peroksidasi lipid dan pengaruh endokrina secara negatif.

Pendedahan



   Pendedahan kepada logam-logam bertoksik sebenarnya adalah perkara biasa terutama kepada kita yang hidup pada zaman yang moden serba-serbi. Berikut adalah punca-punca bagaimana seseorang boleh terdedah kepada logam-logam tersebut.

    Pendedahan kepada aluminium berlaku dengan mengambil antasid iaitu sejenis ubat sakit perut (bahan utama ialah aluminium) dan pelbagai jenis ubatan. Periuk dan cerek juga banyak diperbuat dari aluminium. Kepingan aluminium yang digunakan untuk menyediakan makanan dan penggunaan serbuk penaik yang mengandungi aluminium juga adalah sumber utama. Bayi dan kanak-kanak pula terdedah kepada aluminum yang terdapat dalam pelbagai vaksin.


    Seseorang terdedah kepada arsenik melalui pernafasan, makanan atau melalui kulit. Arsenik terdapat dalam udara, makanan dan air dalam jumlah surih. Beberapa jenis racun serangga diperbuat dari sebatian arsenik organik.

    Pencemaran kadmium pula berpunca dari bateri nikel-kadmium, rokok elektronik, asap rokok, asap paip, kopi segera, teh segera, air tercemar, sesetengah minuman ringan, bijiran ceruh, racun kulat, racun makhluk perosak dan sesetengah jenis plastik. Sesetengah sotong kering juga tinggi dengan kandungan kadmium.

   Asap rokok bukan sahaja mengandungi kadmium malah mengandungi plumbum. Pinggan mangkuk seramik China (berkilat) juga tinggi dengan plumbum. Begitu juga dengan petrol berplumbum, hidup di bandar yang tinggi dengan kandungan plumbum, air tercemar, sesetengah jenis cat, makanan dalam tin tertentu dan racun makhluk perosak.

     Pencemaran merkuri pula boleh berpunca dari penampal gigi, laksatif (bahan pencahar sembelit) yang mengandungi calomel, sesetengah jenis peyumbat buasir, dakwat surat kabar, dakwat sesetengah tatu, sesetengah jenis cat dan sesetengah jenis bahan kosmetik. Merkuri juga terdapat dalam pelembut fabrik, bahan awet kayu, pelarut, sesetengah jenis plastik dan ikan tercemar. Bayi dan kanak-kanak terdedah kepada sebatian merkuri yang terdapat dalam sesetengah vaksin.

    Ramai yang tidak tahu bahawa terdapat barang kemas tertentu sebenarnya tinggi dengan kandungan nikel. Begitu juga sesetengah tali jam dan periuk belanga yang diperbuat dari keluli tahan karat. Asap rokok, lemak terhidrogenasi (nikel digunakan sebagai pemangkin dalam proses menghdrogenasi), sesetengah makanan terproses dan baja juga mengandungi nikel. 

Artikel ini bersambung dengan artikel berjudul Sotong Kering Selamat Dimakan? (Sinar Harian edisi KL/Selangor, Mei 8, 2013)
Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)