Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Selasa, 2 Februari 2021

Durian Belanda Rawat Kanser: Indah Kabar daripada Rupa?

Setiap maklumat Health Sciences Institute harus diteliti sebelum dihebah <---- Ia bukan institut sebagaimana yang biasa kita kenal. Ia dicipta dan wujud di alam maya oleh seorang journalis yang memiliki latar-belakang ilmu herba termasuk prinsip biokimia asas dan farmakognosi yang tidak memadai untuk memahami keputusan sesuatu kajian sains untuk diterap dalam amalan. Maaf ya, penulis temui banyak tulisan journalis dengan kategori ini. Sebahagian saintis, herbalis dan pengamal perubatan alternatif (pelbagai modaliti) juga adalah kategori ini

Artikel tulisan Bahrain Samah, MD (AM), AHG

terbit dalam SINAR HARIAN 2 Okt 2015

PENTING: Selain baca dan fahamkan isi artikel anda dinasihatkan memahami ayat-ayat yang berwarna merah, barulah anda faham apa yang penulis maksudkan. Penulis tidak menulis dengan hentam kromo

Durian belanda mendapat perhatian orang ramai di seluruh dunia sejak kebelakangan ini kerana berita ‘keupayaan luar biasanya’ berbanding kemoterapi diwar-warkan di internet terutama melalui media sosial. Sebuah artikel yang diterjemah dari Bahasa Inggeris disalin tampal oleh ramai pengguna internet seluruh dunia kerana mereka menganggap mesej yang disampaikan oleh artikel amat berguna dan perlu dihebahkan kepada orang ramai.

Mesej utama yang terdapat dalam artikel yang juga dikenali sebagai laporan tersebut berbunyi ‘Ektraks dari pokok durian belanda membunuh sel-sel malignan (kanser) pada 12 jenis kanser termasuk kanser kolon, payudara, prostat, paru-paru dan pankreas. Sebatian-sebatian (kimia) dari pokok durian belanda terbukti 10,000 kali lebih berkuasa dalam memperlahan sel-sel kanser berbanding Adriamycin iaitu ubatan kemoterapi yang biasa digunakan. Tambahan pula, tidak seperti kemoterapi, sebatian yang diektraks dari pokok graviola membunuh sel-sel kanser secara selektif iaitu ia tidak memusnahkan sel-sel sihat.’

Annonacin

Penulis memang mengetahui kajian-kajian sains yang menunjukkan sebatian-sebatian acitogenin terutama annonacin dari pokok durian belanda berupaya membunuh sel-sel kanser. Namun begitu, setakat ini kajian-kajian tersebut hanya dijalankan secara tabung uji (vitro) dan pada tikus (vivo). Tiada sebarang ujian klinikal ke atas manusia pernah dijalankan.

Menurut pengasas Raintree Nutrition Inc. yang mempromosi herba dari Amerika Selatan, Leslie Taylor dalam laman webnya Rain-Tree, para saintis telah berjaya mensintesis beberapa jenis acetogenin yang dipercayai aktif terhadap sel-sel kanser dalam makmal. Langkah seterusnya ialah mengubah struktur kimia tanpa kehilangan keupayaan tindakan antitumor.

Tujuannya menghasilkan struktur terubahsuai agar ujian-ujian seterusnya termasuk ujian klinikal ke atas manusia dapat dijalankan sebelum mendapat kelulusan FDA dan untuk dipatenkan. Untuk pengetahuan para pambaca, sebarang jenis sebatian kimia sintetik yang serupa dengan sebatian kimia semulajadi tidak boleh dipaten oleh sesiapa pun. Dalam kes ini ialah sebatian-sebatian acitogenin.

Menurut Taylor, usaha saintis mengubah stuktur acetogenin sintetik masih menemui jalan buntu. Ia kerana setiap kali mereka mengubah stuktur kimia acetogenin, keupayaan antitumor merosot! Walau bagaimana pun, terdapat kemungkinan sebatian acetogenin tertentu misalnya annonacin sintetik tidak terubahsuai akan diberi perhatian oleh National Cancer Insitute dan National Institute of Health, Amerika Syarikat untuk mengintevensi.

Seperti yang berlaku kepada taxol iaitu sebatian kimia yang diektraks dari daun pokok yew, kedua-dua badan tersebut berkemungkinan besar akan mengarahkan ujian klinikal terhadap acetogenin sintetik tanpa pengubahsuaian struktur kimia.

Kajian-kajian sains ke atas sebatian-sebatian acetogenin masih terus berlangsung. Antara yang terkini ialah kajian berjudul ‘Selective growth inhibition of human breast cancer cells by graviola fruit extract in vitro and in vivo involving downregulation of EGFR expression’ terbit dalam jurnal Nutrition and Cancer (2011). Ektraks buah durian belanda merujuk kepada kesemua jenis sebatian acetogenin.

Pemilik laman web Health Sciences Insitute (HSI),  Jenny Thompson adalah penulis yang mula-mula menulis ‘laporan’ mengenai sifat antitumor durian belanda (biasa disebut graviola) yang 10,000 kali lebih berkuasa dari kemoterapi.  Kenyataan beliau bahawa FDA dan saintis memberhentikan kajian ke atas sebatian tertentu durian belanda atau menyembunyikan khasiat antitumornya kerana tidak dapat menjana wang dari usaha tersebut adalah tidak benar. <------- Kenyataan ini tidak berasas.

Artikel-artikel tulisan atau sebarang saranan beliau yang berlatar-belakangkan sarjana muda journalism harus diteliti dahulu sebelum isinya digunapakai. Menurut ‘About Jenny Johnson’ di laman web HSI (ketika artikel ini ditulis) beliau pernah bekerja sebagai pegawai komunikasi bertugas mengumpul dan menjual data kesihatan.'

Laman web HSI yang beliau tubuh dan kendali sejak 11 tahun lalu adalah bercorak perubatan alternatif. Istilah insitut yang beliau gunakan untuk membentuk panggilan HSI seolah-olah menggambarkan laman web tersebut dimiliki oleh pusat latihan/pendidikan yang berkredibiliti. Realitinya tidak begitu.

Selama 11 tahun Jenny dilihat sebagai samada tidak peka terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap tulisan beliau atau sengaja buat tidak endah. Beliau memaparkan konten forum 2004 yang menunjukkan dua contoh di mana dua orang penghidap kanser meneruskan hidup seperti orang lain selepas mengambil durian belanda.'

Secara umum, Jenny telah mampu memberi kesedaran orang ramai seluruh dunia terhadap potensi durian belanda sebagai penawar kanser. Namun, sebahagian isi dan kesimpulan dalam laporannya dilihat mengelirukan.

Penulis sarankan sesiapa yang pernah mengalami kesan positif setelah mengambil semata-mata daun atau buah durian belanda untuk menghentikan, menyembuhkan atau memperlahankan (pertumbuhan) kanser sila kongsi dengan media. Penulis percaya mereka akan menerima berita anda dengan tangan terbuka.

Cis-annonacis-10-one

Kajian berjudul ‘Five novel mono-tetrahydrofuran ring acetogenins from the seeds of Annona muricata’ terbit dalam Journal of Natural Products (1996) memang mendapati salah satu daripada lima acetogenin yang dikaji adalah 10,000 kali lebih berkuasa dari ubatan kemoterapi adriamycin. Sebatian acetogenin tersebut secara spesifik merujuk kepada cis-annonacis-10-one. <---- Benar tetapi sila baca perenggan berikut. 

Kuasa tersebut mungkin berkurangan menjadi jauh lebih rendah (tambahan untuk pemahaman: berbanding dengan fitokimia tunggal yang menjalani ujian pengenalpastian tahap antikanser dalam makmal sila baca perenggan di atas) apabila buah atau daun durian belanda digunakan secara keseluruhan. Ia kerana pelbagai sebatian kimia dalam setiap bahagian pokok durian belanda dipercayai berupaya menutral atau melemahkan kuasa acetogenin tersebut. Fenomena ini berlaku pada banyak jenis tumbuh-tumbuhan di mana sebatian tertentu yang telah dikenalpasti bersifat antitumor berkuasa.

Tambahan: Walau bagaimana pun, penghidap kanser yang ingin menguji coba (trial and error), ambil 2-3 gram serbuk daun durian belanda dibahagi kepada beberapa dos setiap sehari. 3 gram serbuk dipercayai menyamai dari segi kuantiti sebatian-sebatian acetogenin terdapat pada biji dan akar durian belanda. Ambil dalam bentuk kapsul atau teh dengan bancuh serbuk dengan secawan air panas.  
 
Perlu diketahui bahawa biji dan akar durian belanda amat toksik kerana kandungan acetogenin, alkaloid dan isoquinolone yang tinggi berbanding buah dan daun.
Acetogenin bersifat toksik kepada saraf termasuk otak. Terdapat kajian menunjukkan mereka yang kerap mengambil buah durian belanda atau teh pelbagai spesis graviola dikaitkan dengan Parkinsonism atipikal.

Sekali-sekala, penulis sendiri mengambil daun durian belanda dalam bentuk teh untuk meredakan stres atau membantu melancarkan penghadaman. Daunnya yang diramas dan dipanaskan dengan minyak kelapa sawit dengan api kecil penulis guna untuk mengurut tubuh yang sengal.


Tambahan: Penulis setuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa daun atau buah durian belanda sesuai digunakan sebagai agen sekunder untuk pesakit kanser kerana sifat antioksidan dan sifat antiinflamatori (antiradang). Sifat antikansernya dipercayai lemah seperti penulis terangkan di atas dalam perenggan berwarna merah paling akhir. Sifat antikarsinogenik (cegah pembentukan sel kanser) juga tidak diketahai kekuataannya dalam tubuh manusia. 

Pada pandangan penulis, sesiapa yang ingin mengambil daun atau ekstrak buah durian belanda harus menggabungkannya dengan herba-herba lain yang memberi kesan sinergi dan aditif. Perubahan gaya hidup termasuk pemilihan makanan juga amat penting. Kombinasi semua perkara tersebut dipercayai akan membantu tubuh memperkukuh sistem kekebalan. Herba bersifat antikanser dan antikarsinogenuk dipercayai membantu sistem imiun yang sedia kukuh dan cergas. 

Pemfokusan semata-mata kepada herba bersifat antikanser untuk meredakan kanser dilihat serupa dengan kaedah perawatan perubatan moden - dijangkiti virus diberi antivirus, didiagnos mengalam kanser diberi agen antikanser. Pengukuhan sistem imiun jarang diberi perhatian kecuali oleh pegamal perubatan moden intergratif.


Hakcipta Terpelihara 2021 GayaHidupHolistik_blog