Oleh: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 4 Disember 2012.
Apabila tidak cukup tidur seseorang
bukan sahaja rasa mengantuk namun pelbagai kegiatan harian seperti
mengendalikan kerja-kerja rutin yang sepatutnya berjalan lancar akan terganggu.
Jika ia berlarutan seseorang akan terdedah kepada ketidakseimbangan fisiologi
lalu menimbulkan pelbagai keadaan kesihatan yang bersifat negatif.
Tidak
cukup tidur dan tidur yang sering terganggu antara lain boleh menyebabkan sembelit,
migren, nyanyuk, meningkatkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan risiko ulser perut. Ia juga didapati menyebabkan ketidakharmonian
sistem imiun, kadar pertumbuhan tumor lebih pantas, risiko diabetes, risiko pertambahan berat badan, gangguan
memori dan terdedah kepada masalah mood seperti kemurungan. Selain itu ia juga
dikatakan menyebabkan kadar perembisan melatonin
berkurangan. Melatonin ialah sejenis
hormon, antioksidan dan memiliki sifat berupaya mencegah/melawan kanser.
Tidur dan bangun menurut jadual yang
betul setiap hari membantu seseorang bukan sahaja mudah tidur malah membantu
memulihara kesihatan secara umum. Sebaliknya tidur yang sering terganggu
misalnya kerana jadual kerja yang berubah-ubah atau seorang ibu yang sering
bangun setiap kali bayi memerlukan perhatian dikatakan akan menyebabkan
seseorang sukar untuk tidur dan boleh mengalami insomnia serta kelesuan.
Perangsang adrenal
Sesetengah orang gemar mengambil makanan
atau minuman manis sebelum waktu tidur. Gula mengubah keseimbangan bahan kimia
dalam tubuh dan menjadi punca mengapa mereka sukar untuk tidur. Sesetengah
orang pula gemar mengambil minuman berkafina seperti kopi atau air tenaga
menjelang waktu untuk tidur. Ia juga memberi kesan yang serupa sepertimana
pengambilan gula. Sesungguhnya gula, kafin, rokok dan alkohol semua tergolong
dalam kategori perangsang adrenal.
Sistem Saraf Pusat kita terdiri dari dua
cabang iaitu Sistem Saraf Simpatetik (SSS) dan Sistem Saraf Parasimpatetik
(SSP). Tidur memerlukan SSP yang dominan di mana salur darah akan mengembang,
degupan jantung normal, pernafasan normal dan tekanan darah normal. Sebaliknya
pengambilan makanan atau minuman mengandungi peransang adrenal akan menyebabkan
SSS lebih dominan di mana salur darah mengecut, kadar degupan jantung tinggi,
kadar pernafasan tinggi dan tekanan darah juga tinggi.
Apabila SSS dominan maka tubuh berada
dalam keadaan stres. Apabila berada dalam keadaan ini seseorang akan mengalami
simtom-simtom yang tidak kondusif langsung untuk keperluan mudah tidur. Otak
akan menjadi aktif dan ia akan befungsi dengan berfikir perkara-perkara yang
tidak sepatutnya difikirkan. Seseorang juga akan mengalami keresahan dan
kerisauan.
Menurut pakar psikologi klininal, Dr. Rubin Naiman, tidur
dipengaruhi oleh dua faktor utama. Pertama ialah mengantuk dan yang kedua ialah
gangguan. Istilah asal yang digunakan oleh Dr. Naiman ialah 'noise' yang secara
literal bermaksud kebisingan. Namun penulis mendapati istilah gangguan lebih
sesuai berbanding kebisingan.
Kitaran tidur yang sempurna dan tidur yang lena memerlukan
pendedahan kepada cahaya matahari yang secukupnya pada siang hari dan pendedahan
kepada cahaya berkualiti tinggi (di tempat kediaman atau tempat kerja). Selepas
waktu maghrib pula pendedahan kepada keamatan cahaya yang rendah juga membantu
kita mudah untuk tidur. Tempat tidur yang gelap membantu seseorang mudah untuk
tidur dan mengalami tidur yang sempurna.
Tiga zon
Gangguan berlaku pada
tiga zon iaitu pada minda, tubuh dan persekitaran. Jika paras gangguan lebih
tinggi dari paras mengantuk maka anda akan sukar tidur.
Jenis gangguan minda yang paling biasa dikenali sebagai 'bertih
jagung kognitif' (cognitive popcorn). Ia melibatkan fikiran yang sentiasa aktif
tanpa henti. Contoh gangguan tubuh ialah rasa sakit, tidak selesa, perut
meragam, kesan sampingan ubatan moden terpreskripsi atau kesan pengambilan
minuman berkafina. Gangguan persekitaran biasanya mudah dikesan seperti pelbagai
sumber bunyi dalam bilik/rumah, rakan tidur berdengkur, musik, cahaya atau suhu
panas.
Pada kebanyakan keadaan seseorang sukar tidur bukan kerana tidak
mengantuk tetapi kerana terdedah kepada paras gangguan yang berlebihan. Biasanya
tiga hingga enam faktor yang menyumbang kepada gangguan pada salah satu zon
samada minda/tubuh/persekitaran atau gabungan zon-zon tersebut.
Kadang-kadang apabila anda telah menemui
faktornya, hati anda akan merasa lega dan anda akan lebih mudah tidur serta
menikmati tidur yang mencukupi tanpa membuang faktor yang berkaitan dari
zon-zon tersebut. Mengapa? Menerima sesuatu seadanya, merasa redha akan
kehadiran sesuatu keadaan dan seterusnya proses habituasi (membiasakan diri)
membantu minda serta tubuh untuk mengalami SSP yang dominan!
Beberapa langkah boleh dilakukan untuk
mudah tidur dan tidur yang mencukupi. Lakukan senaman ringan sekurang-kurangnya
dengan berjalan kaki selama 10 - 15 minit. Orang Islam boleh melakukan senaman
yang direka oleh ALLAH SWT untuk kebahagiaan dan kesihatan manusia iaitu
sholat. Orang yang menunaikan sholat-sholat seperti maghrib dan isya' serta
tidak mengabaikan sholat waktu yang lain biasanya tiada masalah untuk tidur
dengan sempurna.
Hormon 'gembira'
Kepada pasangan yang telah berkahwin secara
sah, aktiviti melakukan seks sebelum waktu tidur adalah langkah yang baik untuk
mudah tidur. Seks yang dilakukan secara tidak kelerlaluan dan dalam keadaan
rela (bukan secara buas dan paksa) lalu menerbitkan kenikmatan membantu otak merembis
hormon-hormon 'gembira' iaitu serotonin
dan endorphin. Perasaan gembira juga bermanifestasi dari kepuasan dan
seterusnya mudah membantu seseorang untuk mudah tidur.
Beberapa aktiviti lain yang membantu otak
merembis serotonin ialah mendedahkan diri kepada cahaya matahari selama
setengah jam setiap hari. Begitu juga dengan mendengar musik yang digemari,
mendengar nasyid dan bacaan Quran juga meningkatkan serotonin.
Menimang anak, membelai suami/isteri, membelai
haiwan peliharaan, bersembang telefon dengan rakan dan mandi
air suam juga meningkatkan paras serotonin. Aktiviti seperti urutan
seperti urutan aromaterapi, mengurut diri sendiri atau urutan pakej spa membantu
otak merembis serotonin dan endorphin.
Bergurau-senda hingga membuatkan anda tertawa
dan senyum juga membantu otak merembis serotonin dan endorphin. Begitu juga
dengan mendengar musik yang digemari, mendengar nasyid dan bacaan Quran juga
meningkatkan serotonin.
L-tryptophan merupakan asid amino perlu (essential) digunakan
tubuh untuk membina serotonin dan melatonin. Makanan yang kaya dengan L-tryptophan
termasuk yogurt, ayam turki, ayam, ikan berisi putih, kambing, keju, telur dan
biji bunga matahari, biji labu, pelbagai jenis kacang, gajus dan susu. Pengambilan
koko dikatakan membantu meningkatkan serotonin. Cili
dan halia adalah dua jenis herba yang mengandungi fitokimia capsaicin.
Capsaicin dikatakan dapat meningkatkan endorphin.
Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)