Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Rabu, 15 Mei 2013

Rumpai Laut Sabah bantu Awet Muda

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada Mei 14, 2013.
Seorang blogger yang menulis artikel berjudul 'Tiada Kolagen dalam Rumpai Laut' menyatakan dalam artikelnya bahawa saintis tidak mendapati rumpai laut bermanfaat untuk awet muda. Menurutnya saintis mendapati beberapa jenis rumpai laut hanya bermanfaat untuk kanser dan tiroid. 


Untuk SHARE sila klik butang di kiri blog ini. Moga ALLAH berkahi usaha amal jariah kita.

    Mungkin blogger ini masih belum dapat menyelami maksud awet muda dan kaitannya dengan pelbagai penemuan sains terhadap manfaat rumpai laut. Carian penulis menggunakan Google scholar dengan kata kunci 'seaweed antiaging' menunjukkan terdapat 3,600 judul berkaitan kata kunci ini. Setelah mengimbas beberapa halaman hasil carian tersebut penulis dapati terdapat pelbagai kajian sains telah dijalankan menunjukkan pelbagai jenis rumpai laut adalah besifat antipenuaan.

    Sifat-sifat antioksidan, antikeradangan, mengharmoni fungsi kelenjar tiroid dan sifat anti-kanser merupakan antara sifat yang terkandung dalam sifat antipenuaan. Antipenuaan ialah sifat yang membantu seseorang awet muda. Apakah maksud awet muda?    Dalam bahasa mudah ia bermaksud seseorang selalu kelihatan muda walau pun umur biologinya sudah tua.

     Dalam artikel berjudul 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen' (Sinar Harian, 16 April 2013) penulis berpendapat bahan-bahan dalam rumpai laut Sabah yang membantu proses awet muda ialah antara lain polifenol, zink, magnesium, selenium, vitamin C, alfa-tocopherol, karotenoid dan fiber. Rumpai laut juga didapati mengandungi beberapa jenis vitamin B termasuk folat.

Carrageenan fiber larut

     Beberapa hari selepas artikel tulisan penulis berjudul 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen' (Sinar Harian, 16 April 2013) tersiar, Professor Dr. Madya Mohamad Salleh Kamaruddin yang bertugas sebagai pensyarah nutrisi akuakultur di Universiti Putra Malaysia telah menghantar emel kepada saya. Beliau menunjukkan beberapa bukti hasil kajian antara lain sebuah kajian lama (1956) berjudul 'Connective Tissue Growth Stimulated by Carrageenin.'

   Carrageenin yang digunakan dalam kajian diekstrak dari lumut Irish (Chondrus crispus).  Carrageenin ialah nama lama bagi Carrageenan. Kolagen tak larut (insoluble collagen) didapati terbentuk antara 5 - 9 hari selepas carragenin disuntik ke dalam tikus kajian. Rumpai laut Sabah Euchema cottoni kaya dengan kappa-carrageenan (mengandungi satu kumpulan sulfur untuk setiap unit disakarida).

    Kolagen merupakan sejenis protein yang amat penting kepada tubuh manusia. Ia bukan sahaja diperlukan untuk membina tisu lembut, malah ia penting untuk pembinaan tulang, gigi, kuku dan saluran darah. Ia juga terdapat pada permukaan sel dan dasar membran sel. Seperti penulis nyatakan dalam artikel 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen', pertama rumpai laut tidak mengandungi kolagen dan kedua protein yang terdapat dalam rumpai laut hijau Sabah (berdasarkan pengambilan dos harian) tidak mencukupi untuk membina dan memulihara kolagen seluruh tubuh.

    Kebanyakan orang percaya protein dengan pelbagai asid amino yang lengkap terkandung dalam rumpai laut membantu proses tersebut. Penulis pula berpandangan kajian perlu dijalankan untuk menunjukkan samada kandungan protein, bahan-bahan lain tanpa protein atau semua bahan secara lengkap yang membantu proses tersebut.

     Pada pandangan penulis, oleh sebab kuantiti protein amat rendah (berdasarkan dos harian) maka bahan-bahan lain diperlukan untuk tujuan tersebut. Bahan-bahan yang dimaksudkan seperti yang penulis sebutkan dalam empat perenggan terakhir artikel 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen' termasuk antara lain polifenol, zink, magnesium, selenium, vitamin C, alfa-tocopherol, karotenoid dan fiber.

    Rumpai laut juga didapati mengandungi beberapa jenis vitamin B termasuk folat. Selain itu carrageenan seperti dinyatakan dalam kajian usang (dianggap lapok oleh sesetengah pihak namun amat berguna) berjudul 'Connective Tissue Growth Stimulated by Carrageenin' juga membantu proses pembentukan kolagen.

Protein kitar semula

    Kemungkinan besar semua bahan yang disebutkan membantu membina dan memulihara pelbagai komponen tubuh samada yang berasaskan protein atau pun bukan protein secara sinergi. Kepada mereka yang kurang mengambil makanan berprotein, kuantiti protein rumpai laut yang rendah akan dibantu oleh 100 hingga 300 gram protein yang di kitar semula setiap hari oleh tubuh dalam membantu proses awet muda.

    Penulis nyatakan dalam artikel berjudul 'Rumpai Laut Tidak Mengandungi Kolagen', contohnya zink dan magnesium yang dibantu oleh folat serta fitokimia-fitokimia antisoksidan membantu ekspresi gen. Ekpresi gen yang sempurna membantu pelbagai jenis tindakan dan tindak-balas yang diperlukan organ sistem dalam membantu tubuh memulihara kesihatan.   Hasilnya pengambilan dan penggunaan rumpai laut terutama apabila kedua-duanya dilakukan secara serentak dipercayai membantu seseorang mengalami awet muda.


    Pengambilan(makan) dan penggunaan secara luaran rumpai laut Sabah Eucheuma cottoni didapati mempercepat proses penyembuhan luka.   Sesetengah pihak berpendapat ia mungkin berpunca dari kandungan pelbagai jenis antioksidan seperti dinyatakan dalam laporan berjudul 'Wound healing properties of Eucheuma cottonii extracts in Sprague-Dawley rats' yang terbit dalam Journal of Medicinal Plants Research (2011). Sebaliknya penulis berpandangan bahawa ia berpunca dari tindakan pelbagai jenis bahan terkandung dalam rumpai laut yang bertindak secara sinergi.

    Ramai pengguna yang telah biasa menggunakan produk berasaskan rumpai laut Sabah seperti mengambil dalam bentuk gel mendakwa kulit mereka tegang, najis lawas, penghadaman sempurna dan kurang/hilang sakit sendi/otot. Semua keadaan ini termasuk luka cepat sembuh membantu proses awet muda.

Akibat gila glamer

    Selepas beberapa hari artikel penulis bejudul 'Rumpai Laut Tidak Mengandungi Kolagen', dua orang rakan bagi pihak penulis telah menegur seorang pemilik laman Facebook kerana telah bertindak secara tidak adil. Beliau yang mungkin gila glamer ini telah menampal foto sebahagian keratan akhbar yang tertera judul artikel tulisan penulis iaitu 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen.'

    Di bawah foto tersebut hamba ALLAH tersebut menampal seluruh isi sebuah artikel yang didakwanya sebagai isi artikel yang tersiar dalam akhbar. Yang benar ialah artikel tersebut ditulis oleh seorang blogger dengan judul 'Tiada Kolagen Dalam Rumpai Laut.'

    Setakat ini lebih dari sepuluh ribu orang telah berkongsi maklumat ini. Kekeliruan yang timbul ialah orang menyangka artikel yang ditampal benar-benar disiarkan dalam akhbar.        Setakat ini tiada sebarang jawapan apatah lagi tindakan daripada pemilik laman Facebook tersebut. Mungkin beliau terlepas pandang maksud niat tidak menghalalkan cara.

     Sesungguhnya blogger yang menulis artikel tersebut tidak diketahui kredibilitinya. Mesej artikelnya didapati cuba mempengaruhi para pembaca dengan menyatakan tiada yang ajaib tentang rumpai laut dengan alasan terdapat pelbagai makanan dari darat dengan nilai nutrien yang sama atau lebih baik dari rumpai laut.


   Apa pandangan penulis tentang rumpai laut? Penulis menganggap rumpai laut sebagai makanan super dan salah satu agen antipenuaan yang baik.

Artikel berkaitan dengan yang ini: Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen 



Hakcipta:

Herbalis Bahrain, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com

Khamis, 9 Mei 2013

Sotong Kering Selamat Dimakan?

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada Mei 8, 2013.   Kebelakangan ini heboh semula berita berdasarkan hasil ujian  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (PPP) yang mendapati sotong kering mengandungi nilai kadmium beberapa kali ganda dari had yang dibenarkan. Pada tahun 2009 PPP telah menjalankan ujian rawak ke atas enam sampel sotong kering.

    Ia mendapati lima darinya mengandungi kadmium. Tiga dari lima sampel tersebut didapati mempunyai paras kadmium empat kali ganda had yang dibenarkan. Di Malaysia had tertinggi kadmium yang dibenarkan dalam makanan laut ialah 1 bahagian per sejuta (1 miligram per 1 kilogram, kependekan: ppm). Berita hasil ujian telah dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan pada 29 September 2009.

    Bernama (1 Oktober, 2009) melaporkan kenyataan  pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (BKKMKK). Beliau dipetik sebagai berkata bahawa jabatan itu mendapati produk makanan laut masih selamat untuk dimakan. Ia berdasarkan hasil pemantauan melalui sampel yang diuji di mana kurang daripada satu peratus produk makanan laut positif kadmium.
     Suatu ketika dahulu tersebar berita yang menakut-nakutkan orang ramai agar tidak makan udang dengan vitamin C akan menyebabkan kematian. Ia kerana konon kandungan arsenik dalam udang akan bertindak-balas dengan vitamin C dan menghasilkan racun yang boleh membunuh. Cerita yang dihebohkan kononnya melibatkan seorang wanita yang makan udang dan kemudian minum air mengandungi suplemen vitamin C dalam bentuk larutan. Darah dikatakan keluar dari dari mata, telinga, mulut, hidung, kulit dan lidah beliau.
Cerita rekaan
      Suplemen vitamin C yang diambil oleh wanita tersebut dipercayai telah mengubah arsenik pentoksida kepada arsenik trioksida. Arsenik pentoksida dan arsenik trioksida  merupakan sebatian arsenik tidak organik. Arsenik pentoksida dikatakan amat beracun kepada kesihatan manusia manakala arsenik trioksida jauh lebih beracun.
    Namun pengambilan makanan yang mengandungi arsenik pentoksida biasanya tidak menyebabkan keracunan. Pelbagai bahan kimia yang terdapat dalam makanan yang dimakan mungkin menutralkan atau melemahkan kesan racun arsenik pentoksida dan mungkin juga arsenik trikoksida.
    Sebuah kajian oleh para penyelidik di makmal haiwan University of Illinois seperti dilaporkan dalam akhbar Chicago Tribune (25 Ogos, 1985) telah mendapati vitamin C mengubah arsenik pentoksida kepada arsenik trioksida.  Namun tidak diketahui samada para penyelidik di jabatan sains haiwan tersebut menggunakan udang dalam kajian yang mereka jalankan. Berita tersebut juga tidak menyatakan berlakunya sebarang kematian kepada haiwan kajian akibat keracunan arsenik trioksida.
    Cerita wanita mati kerana makan udang dan vitamin C yang telah tersebar diinternet sejak tahun 2001 ini dikatakan oleh ramai penganalisa sebagai sesuatu yang direka dan dibuat-buat. Begitu juga dengan cerita terkini kononnya seorang wanita meninggal setelah makan mi dan cokelat.
   Hasil ujian oleh BKKMKK pada Januari hingga Jun tahun 2009 ke atas 1,372 sampel makanan laut mendapati dua belas sampel mengandungi paras arsenik melebihi dari had yang dibenarkan iaitu antara 1.1 - 10.75 ppm. Berita Bernama berjudul Sotong Kering Masih Selamat Untuk Dimakan (1 oktober, 2009) tidak pula menyatakan makanan laut tertentu secara khusus yang mengandungi paras arsenik tertinggi.
Arsenik organik
   Menurut dokumen berjudul Guidance Document for Arsenic in Shellfish (1993) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Amerika (pautan: http://www.speciation.net/Database/Links/US-FDA-Guidance-Document-for-Arsenic-in-Shellfish-;i762), 90 peratus arsenik dalam makanan laut ialah arsenik organik manakala 10 peratus adalah arsenik tidak organik. Arsenobetaine iaitu arsenik organik dikatakan kurang beracun dibandingkan dengan arsenik pentoksida (tidak organik).   

     Paras arsenik tertinggi dalam makanan basah di Amerika Syarikat ialah 30 ppm. Maksudnya dalam makanan kering tertentu bacaan arsenik mungkin 4-5 ganda lebih tinggi! Jabatan Pemeliharaan Alam Sekitar Ameriaka (EPA) tidak menetapkan sebarang had selamat arsenik dalam makanan. Ia hanya menetapkan had 10 bahagian ber bilion untuk air minuman dan air yang dibotolkan.
     Dokumen yang dijadikan bimbingan  itu menitik-beratkan kadar pendedahan arsenik dalam tempoh tertentu.  Dokumen tersebut mencadangkan paras maksima yang dibenarkan untuk pengambilan harian mengandungi arsenik tidak organik dari makanan bercengkerang ialah 130 ppm bagi setiap orang!
     Jadi, jika dokumen Jabatan Pertanian Amerika ini digunakan untuk mengukur paras arsenik dalam tiga sampel hasil ujian PPP yang mendapati paras arsenik empat kali ganda dari had yang dibenarkan, sebenarnya ia diterjemahkan sebagai hanya 0.4 ppm kandungan arsenik tidak organik. Andai kata angka 10.75 ppm hasil ujian pihak BKKMKK adalah untuk sotong kering maka arsenik tidak organik cuma mewakili 1.075 ppm dari jumlah keseluruhan arsenik.
Keadah dipersoalkan
    PPP tidak menyatakan kaedah ujian dijalankan. Ujian dengan kaedah (atau mesin) yang berbeza akan menghasilkan keputusan yang berbeza. Sesetengah kaedah ujian dan penggunaan mesin tertentu menyebabkan paras elemen yang diuji menjadi lebih tinggi dari paras yang sepatutnya. Mesin berteknologi rendah (dan murah) dikatakan meningkatkan risiko gangguan gelombang logam-logam lain yang akan meningkatkan bacaan paras logam yang sedang diuji.
     Oleh sebab terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi bacaan paras logam yang diuji. Jadi, ujian yang dijalankan dengan mesin jenis paling canggih dengan hasil bacaan paling jitu perlu antara lain mempastikan tiada pencemaran sebarang logam berat di dalam udara makmal.
    Salah satu cara berkesan untuk mengelakkan keracunan logam-logam berat ialah mengelakkan sumber pencemaran sedaya yang mungkin.     Menggunakan garam gunung Himalaya dalam masakan harian adalah antara cara mudah untuk mengelakkan keracunan. Ia membantu menyelaras paras pelbagai mineral dalam tubuh. Pengambilan rumpai laut secara kerap juga mampu menyah logam berat termasuk bahan radioaktif.
    Chlorella, daun ketumbar, bawang, bawang putih dan burdock biasa digunakan untuk menyah logam berat. Tanah liat bentonite, karbon teraktivasi dan zeolite juga membantu. Karbon teraktivasi dari buluh ialah antara pilihan yang baik.

     Herba seperti shisandra (wu wei ji), milk thistle. amla (buah Melaka), triphala dan putrawali (patawali) membantu detoks hati dan seluruh tubuh. Sebahagian pengamal mencadangkan pengambilan makanan tinggi lemak terutama lemak tepu, tinggi protein dan rendah karbohidrat.
    Makanan lemak tinggi memang membantu penyerapan logam berat. Namun dari suatu sisi, makanan tinggi lemak dikatakan mengeluarkan logam berat yang terkumpul dalam sel-sel lemak.  Bersauna dengan pancaran infra merah gelombang jauh dikatakan membantu mengeluarkan logam-logam berat dari sel-sel lemak.
    Kurangkan karbohidrat terproses termasuk makanan bergula. Elakkan makanan terproses. Makanan organik adalah pilihan lebih baik dan sempurna kerana ia menyumbang pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Buah-buahan kaya vitamin C dan bioflavonoids dipercayai membantu. Suplemen multivitamin gred tinggi dicadangkan untuk membantu menyeimbangkan fisiologi. 

Sila baca artikel berjudul Keracunan Logam Berat 

Hakcipta:

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com


   

Keracunan Logam Berat

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada April 23, 2013

     Keracunan logam berat berlaku apabila logam-logam berkumpul dalam sel-sel lemak tubuh, saraf, otak dan kelenjar. Biasanya ia membentuk kesan-kesan kesihatan bersifat negatif. Logam-logam peralihan dalam jadual berkala seperti plumbum, kadmium, merkuri dan nikel merupakan logam-logam berat yang berbahaya. 

    Arsenik dan aluminium dikelaskan dalam kategori metalloid iaitu terletak antara logam dan bukan logam. Namun kedua-duanya juga biasa dikelaskan sebagai logam berat dan dibincangkan bersama-sama keempat-empat logam berat tersebut.

    Zat besi ialah sejenis logam berat namuan ia tidak dikelaskan sebagai logam bertoksik. Namun paras yang terlalu berlebihan seperti masalah kesihatan yang dikenali sebagai hemochromatosis juga akan membahayakan penghidap. Zink juga merupakan sejenis logam berat namun ia bukan dari kategori logam bertoksik. Walau bagaimana pun paras zink yang terlalu tinggi akan menyebabkan masalah kesihatan.

     Terdapat beberapa logam berat lain menjadi tumpuan utama Eropah iaitu chromium, kuprum, manganese, nikel, timah dan thallium. Artikel ini hanya akam membincangkan keracunan logam-logam berat aluminium, arsenik, merkuri, plumbum dan nikel sahaja. Perbincangan akan berkisar meliputi simtom, punca dan rawatan.


   Simtom-simtom yang dialami oleh mereka yang mengalami keracunan logam berat adalah berbeza-beza. Ia bergantung kepada jenis logam, umur seseorang (kanak-kanak lebih mudah mengalami keracunan) dan tempoh mengalami keracunan.

   Kehadiran dan ketiadaan mineral-mineral bersifat menghalang serta nutrien-nutrien tertentu yang menyekat penyerapan, penggabungan dan kesan logam-logam bertoksik juga memainkan peranan.  Contohnya kekurangan kalsium akan memburukkan lagi kesan ketoksikan plumbum. Sebaliknya aras kalsium yang normal akan membantu tubuh menghindari ketoksikan plumbum.



Simtom



   Tanda-tanda keracunan aluminium termasuk sakit kepala, masalah pembelajaran, fungsi kognitif merosot, osteoporosis, telinga berdesing, masalah gastro-usus, sakit perut, kanak-kanak hiperaktif dan berjalan dengan cara tidak sempurna. Sesetengah pihak berpendapat bahawa peranannya terhadap kemerosotan memori dan penyakit alzheimer hanya bersifat spekulatif. Namun suatu hari nanti ia mungkin akan didapati benar.

   Tanda-tanda keracunan arsenik akut ialah muntah, sakit perut, diarea, air kencing berwarna gelap, kekurangan air, masalah jantung, sel darah merah rosak, hilang imbangan badan (vertigo), gangguan fikiran (delirium), kejutan dan kematian.

   Pendedahan jangka panjang arsenik di bawah paras toksik dikaitkan dengan perubahan sifat kulit, garisan putih pada kuku. Kerosakan pada saraf imbasan dan motor akan berlaku. Gangguan fungsi hati dan buah pinggang akibat kerosakan juga berlaku. Dikelaskan sebagai karsinogen, ia juga dikaitkan dengan pembentukan kanser pund kencing, buah pinggan, paru-paru dan kulit.

   Keracunan kadmium pula akan menyebabkan lesu, mudah meradang, sakit kepala, tekanan darah tinggi, kelenjar prostat membesar, meningkatkan risiko kanser, rambut gugur, masalah pembelajaran, masalah hati, masalah buah pinggang, masalah kulit, sakit sendi dan fungsi sistem imiun merosot.

    Plumbum pula akan menyebabkan pertumbuhan/pembentukan tulang terbantut, masalah pembelajaran, lesu, gangguan dalam menjalankan tugasan, mudah meradang, resah, tekanan darah tinggi, susut berat badan, mudah mengalami infeksi, telinga berdesing, fungsi kognitif merosot, fokus merosot, masalah mengeja, sakit kepala, masalah gastro-usus, sembelit, sakit otot, sakit sendi, anggota tubuh bergoncang dan fungsi sistem imiun merosot.

    Keracunan merkuri akan menyebabkan masalah memori, masalah kognitif, mudah meradang, lesu, insomnia, masalah gastro-usus, tindakan sistem imiun merosot, perangai tidak rasional. kebas, rasa mencucuk-cucuk, sakit otot, masalah penglihatan, masalah pendengaran, alahan, asma dan multiple sclerosis.  Autism dikaitkan dengan keracunan merkuri dari pemvaksinan dengan simtom-simtom termasuk masalah gastro-usus selain gangguan pembelajaran, masalah memfokus dan masalah kognitif.

    Akhir sekali ialah ketoksikan nikel. ia dikaitkan dengan lesu, masalah pernafasan, masalah jantung, ruam kulit, psoriasis, lesu dan sakit kepala.

    Sebuah artikel semakan berjudul The Influence of Arsenic, Lead, and Mercury on the Development of Cardiovascular Diseases seperti dilaporkan dalam jurnal ISRN Hypertension (2013) mendapati plumbum, arsenik dan merkuri adalah faktor risiko untuk penyakit kardiovaskular. Ia berpunca dari paras radikal bebas tinggi yang merosakkan enzim nitric acid synthase, peroksidasi lipid dan pengaruh endokrina secara negatif.

Pendedahan



   Pendedahan kepada logam-logam bertoksik sebenarnya adalah perkara biasa terutama kepada kita yang hidup pada zaman yang moden serba-serbi. Berikut adalah punca-punca bagaimana seseorang boleh terdedah kepada logam-logam tersebut.

    Pendedahan kepada aluminium berlaku dengan mengambil antasid iaitu sejenis ubat sakit perut (bahan utama ialah aluminium) dan pelbagai jenis ubatan. Periuk dan cerek juga banyak diperbuat dari aluminium. Kepingan aluminium yang digunakan untuk menyediakan makanan dan penggunaan serbuk penaik yang mengandungi aluminium juga adalah sumber utama. Bayi dan kanak-kanak pula terdedah kepada aluminum yang terdapat dalam pelbagai vaksin.


    Seseorang terdedah kepada arsenik melalui pernafasan, makanan atau melalui kulit. Arsenik terdapat dalam udara, makanan dan air dalam jumlah surih. Beberapa jenis racun serangga diperbuat dari sebatian arsenik organik.

    Pencemaran kadmium pula berpunca dari bateri nikel-kadmium, rokok elektronik, asap rokok, asap paip, kopi segera, teh segera, air tercemar, sesetengah minuman ringan, bijiran ceruh, racun kulat, racun makhluk perosak dan sesetengah jenis plastik. Sesetengah sotong kering juga tinggi dengan kandungan kadmium.

   Asap rokok bukan sahaja mengandungi kadmium malah mengandungi plumbum. Pinggan mangkuk seramik China (berkilat) juga tinggi dengan plumbum. Begitu juga dengan petrol berplumbum, hidup di bandar yang tinggi dengan kandungan plumbum, air tercemar, sesetengah jenis cat, makanan dalam tin tertentu dan racun makhluk perosak.

     Pencemaran merkuri pula boleh berpunca dari penampal gigi, laksatif (bahan pencahar sembelit) yang mengandungi calomel, sesetengah jenis peyumbat buasir, dakwat surat kabar, dakwat sesetengah tatu, sesetengah jenis cat dan sesetengah jenis bahan kosmetik. Merkuri juga terdapat dalam pelembut fabrik, bahan awet kayu, pelarut, sesetengah jenis plastik dan ikan tercemar. Bayi dan kanak-kanak terdedah kepada sebatian merkuri yang terdapat dalam sesetengah vaksin.

    Ramai yang tidak tahu bahawa terdapat barang kemas tertentu sebenarnya tinggi dengan kandungan nikel. Begitu juga sesetengah tali jam dan periuk belanga yang diperbuat dari keluli tahan karat. Asap rokok, lemak terhidrogenasi (nikel digunakan sebagai pemangkin dalam proses menghdrogenasi), sesetengah makanan terproses dan baja juga mengandungi nikel. 

Artikel ini bersambung dengan artikel berjudul Sotong Kering Selamat Dimakan? (Sinar Harian edisi KL/Selangor, Mei 8, 2013)
Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)