Dalam kajian 12 minggu, para subjek kajian berumur yang mengambil suplemen multivitamin dan mineral setiap hari dengan zink dan paras vitamin C yang tinggi didapati mengalami penyakit untuk jangka masa yang lebih pendek dan dengan gejala yang kurang teruk berbanding rakan kumpulan kawalan yang menerima plasebo.
Penemuan oleh penyelidik Universiti Negeri
Oregon (Oregon State University, OSU) diterbitkan tersebut dalam jurnal
Nutrients.
Penyelidikan oleh saintis di Institut Linus Pauling OSU melibatkan 42 orang sihat berusia 55 hingga 75 tahun, dirancang untuk mengukur kesan penokok diet pada petunjuk sistem imun tertentu. Ia juga melihat kadar zink dan vitamin C dan D dalam aliran darah kerana mengambil penokok diet. Semua mikronutrien tersebut penting untuk membantu sistem imun berfungsi dengan baik.
Petunjuk imun, termasuk kemampuan sel darah putih untuk membunuh patogen yang masuk (ke dalam tubuh) didapati tidak berubah dalam kumpulan yang menerima penokok diet.
Kumpulan multivitamin menunjukkan peningkatan status vitamin C dan zink dalam darah. Paling menarik, gejala penyakit yang dilaporkan oleh kumpulan ini kurang teruk dan hilang lebih cepat daripada yang dialami oleh kumpulan plasebo.
Setiap kumpulan melaporkan gejala dialami peserta adalah pada peratusan serupa, namun bilangan hari mengalami penyakit dalam kumpulan suplemen rata-rata kurang daripada tiga hari berbanding lebih daripada enam untuk kumpulan plasebo.
Seiring bertambahnya usia, risiko kekurangan vitamin dan mineral yang menyumbang kepada kekurangan fungsi sistem imun yang berkaitan dengan usia akan meningkat. Di seluruh Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah, penyelidikan menunjukkan lebih daripada satu pertiga golongan tua mengalami kekurangan sekurang-kurangnya satu mikronutrien - biasanya lebih daripada satu.
"Ia mungkin menyumbang kepada
penurunan fungsi sistem imiun tubuh, yang paling sering dikaitkan dengan
peningkatan tahap keradangan, penurunan fungsi imun bawaan dan penurunan fungsi
sel T," kata Gombart. "Oleh kerana pelbagai nutrien menyokong fungsi
imun, golongan tua dipercayai mendapat manfaat dengan pengambilan penokok diet terdiri
daripada mineral dan multivitamin. Ia mudah didapati, murah dan umumnya
dianggap selamat. "
Makanan tambahan multivitamin yang digunakan dalam kajian ini tertumpu pada vitamin dan mineral yang biasanya difikirkan dapat membantu imuniti. Ia mengandungi 700 mikrogram vitamin A; 400 unit vitamin D antarabangsa; 45 miligram vitamin E; 6.6 miligram vitamin B6; 400 mikrogram folat; 9.6 mikrogram vitamin B12; 1,000 miligram vitamin C; 5 miligram besi; 0.9 miligram tembaga; 10 miligram zink; dan 110 mikrogram selenium.
"Penokokan dikaitkan dengan peningkatan ketara kadar zink dan vitamin C dalam darah, dan dengan gejala penyakit yang kurang teruk dan reda pada tempoh lebih cepat," kata Gombart. "Ia menyokong penemuan yang berlanjutan puluhan tahun, juga terhadap kerja Linus Pauling dengan vitamin C. Penemuan kami menunjukkan bahawa lebih banyak kajian terancang diperlukan untuk meneroka peranan positif suplemen multivitamin dan mineral yang mungkin dimainkan dalam memperkuat sistem imiun tubuh pada golongan tua."
Bayer Consumer Care membiayai kajian ini melalui geran Institution Initiated Research di samping menyediakan makanan tambahan (Redoxon® VI) dan plasebo. Bayer tidak berperanan dalam reka bentuk kajian, pengumpulan, analisis atau penafsiran data, penulisan naskah penyelidikan atau keputusan untuk menyerahkan naskah untuk diterbitkan.
Bekerjasama dengan Gombart ialah rakan-rakan Linus Pauling Institute iaitu Mary Fantacone, Malcolm Lowry, Sandra Uesugi, Alexander Michels, Jaewoo Choi, Scott Leonard, Sean Gombart, Jeffrey Gombart dan Gerd Bobe.
Mengenai Linus Pauling Institute: Linus Pauling Institute di OSU adalah peneraju dunia dalam kajian mikronutrien dan peranannya dalam meningkatkan kesihatan optimum atau mencegah dan merawat penyakit. Bidang penyelidikan utama merangkumi penyakit jantung, barah, penuaan dan penyakit neurodegeneratif.
Rujukan:
Mary L. Fantacone, Malcolm B. Lowry, Sandra L. Uesugi, Alexander J. Michels, Jaewoo Choi, Scott W. Leonard, Sean K. Gombart, Jeffrey S. Gombart, Gerd Bobe, Adrian F. Gombart. The Effect of a Multivitamin and Mineral Supplement on Immune Function in Healthy Older Adults: A Double-Blind, Randomized, Controlled Trial. Nutrients, 2020; 12 (8): 2447 DOI: 10.3390/nu12082447
Sumber Cerita: Bahan yang disediakan oleh Oregon State University. Asal ditulis oleh Steve Lundeberg.
Diolah berdasarkan kesesuaian Bahasa Melayu oleh:
Pakcik Lebah
© 2020 Hakcipta Terpelihara Gayahidupholistik.blogspot.com