Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Sabtu, 24 Oktober 2020

Kajian Linus Pauling Institute: Multivitamin, Mineral bantu kurangkan Keterukan Simtom Penyakit dan Lebih Cepat Reda

Dalam kajian 12 minggu, para subjek kajian berumur yang mengambil suplemen multivitamin dan mineral setiap hari dengan zink dan paras vitamin C yang tinggi didapati mengalami penyakit untuk jangka masa yang lebih pendek dan dengan gejala yang kurang teruk berbanding rakan kumpulan kawalan yang menerima plasebo.

Penemuan oleh penyelidik Universiti Negeri Oregon (Oregon State University, OSU) diterbitkan tersebut dalam jurnal Nutrients.

Penyelidikan oleh saintis di Institut Linus Pauling OSU melibatkan 42 orang sihat berusia 55 hingga 75 tahun, dirancang untuk mengukur kesan penokok diet pada petunjuk sistem imun tertentu. Ia juga melihat kadar zink dan vitamin C dan D dalam aliran darah kerana mengambil penokok diet. Semua mikronutrien tersebut penting untuk membantu sistem imun berfungsi dengan baik.

Petunjuk imun, termasuk kemampuan sel darah putih untuk membunuh patogen yang masuk (ke dalam tubuh) didapati tidak berubah dalam kumpulan yang menerima penokok diet.

Kumpulan multivitamin menunjukkan peningkatan status vitamin C dan zink dalam darah. Paling menarik, gejala penyakit yang dilaporkan oleh kumpulan ini kurang teruk dan hilang lebih cepat daripada yang dialami oleh kumpulan plasebo.

Setiap kumpulan melaporkan gejala dialami peserta adalah pada peratusan serupa, namun bilangan hari mengalami penyakit dalam kumpulan suplemen rata-rata kurang daripada tiga hari berbanding lebih daripada enam untuk kumpulan plasebo.

 "Perbezaan penyakit yang diperhatikan sangat memberangsang," kata saintis penyelidik Adrian Gombart, profesor biokimia dan biofizik di Kolej Sains OSU dan penyelidik utama di Linus Pauling Institute. "Walaupun kajian ini terbatas pada data penyakit yang dilaporkan sendiri dan kami tidak merancang kajian untuk menjawab pertanyaan ini, perbezaan yang terhasil menunjukkan bahawa kajian tambahan berskala lebih besar yang dirancang untuk mendapatkan hasil serupa adalah wajar - dan, terus-terang, sudah terlambat (sepatutnya telah lama dijalankan)."

Seiring bertambahnya usia, risiko kekurangan vitamin dan mineral yang menyumbang kepada kekurangan fungsi sistem imun yang berkaitan dengan usia akan meningkat. Di seluruh Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah, penyelidikan menunjukkan lebih daripada satu pertiga golongan tua mengalami kekurangan sekurang-kurangnya satu mikronutrien - biasanya lebih daripada satu. 

"Ia mungkin menyumbang kepada penurunan fungsi sistem imiun tubuh, yang paling sering dikaitkan dengan peningkatan tahap keradangan, penurunan fungsi imun bawaan dan penurunan fungsi sel T," kata Gombart. "Oleh kerana pelbagai nutrien menyokong fungsi imun, golongan tua dipercayai mendapat manfaat dengan pengambilan penokok diet terdiri daripada mineral dan multivitamin. Ia mudah didapati, murah dan umumnya dianggap selamat. "

Makanan tambahan multivitamin yang digunakan dalam kajian ini tertumpu pada vitamin dan mineral yang biasanya difikirkan dapat membantu imuniti. Ia mengandungi 700 mikrogram vitamin A; 400 unit vitamin D antarabangsa; 45 miligram vitamin E; 6.6 miligram vitamin B6; 400 mikrogram folat; 9.6 mikrogram vitamin B12; 1,000 miligram vitamin C; 5 miligram besi; 0.9 miligram tembaga; 10 miligram zink; dan 110 mikrogram selenium.

"Penokokan dikaitkan dengan peningkatan ketara kadar zink dan vitamin C dalam darah, dan dengan gejala penyakit yang kurang teruk dan reda pada tempoh lebih cepat," kata Gombart. "Ia menyokong penemuan yang berlanjutan puluhan tahun, juga terhadap kerja Linus Pauling dengan vitamin C. Penemuan kami menunjukkan bahawa lebih banyak kajian terancang diperlukan untuk meneroka peranan positif suplemen multivitamin dan mineral yang mungkin dimainkan dalam memperkuat sistem imiun tubuh pada golongan tua."

Bayer Consumer Care membiayai kajian ini melalui geran Institution Initiated Research di samping menyediakan makanan tambahan (Redoxon® VI) dan plasebo. Bayer tidak berperanan dalam reka bentuk kajian, pengumpulan, analisis atau penafsiran data, penulisan naskah penyelidikan atau keputusan untuk menyerahkan naskah untuk diterbitkan.

Bekerjasama dengan Gombart ialah rakan-rakan Linus Pauling Institute iaitu Mary Fantacone, Malcolm Lowry, Sandra Uesugi, Alexander Michels, Jaewoo Choi, Scott Leonard, Sean Gombart, Jeffrey Gombart dan Gerd Bobe.

Mengenai Linus Pauling Institute: Linus Pauling Institute di OSU adalah peneraju dunia dalam kajian mikronutrien dan peranannya dalam meningkatkan kesihatan optimum atau mencegah dan merawat penyakit. Bidang penyelidikan utama merangkumi penyakit jantung, barah, penuaan dan penyakit neurodegeneratif.

Rujukan:

Mary L. Fantacone, Malcolm B. Lowry, Sandra L. Uesugi, Alexander J. Michels, Jaewoo Choi, Scott W. Leonard, Sean K. Gombart, Jeffrey S. Gombart, Gerd Bobe, Adrian F. Gombart. The Effect of a Multivitamin and Mineral Supplement on Immune Function in Healthy Older Adults: A Double-Blind, Randomized, Controlled TrialNutrients, 2020; 12 (8): 2447 DOI: 10.3390/nu12082447

Sumber Cerita: Bahan yang disediakan oleh Oregon State University. Asal ditulis oleh Steve Lundeberg.

Diolah berdasarkan kesesuaian Bahasa Melayu oleh: 

Pakcik Lebah

© 2020 Hakcipta Terpelihara Gayahidupholistik.blogspot.com