Mengantuk Selepas Makan, Paras Glukosa dan Teh Pandan: Menilai Dakwaan Berdasarkan Bukti Saintifik
Gambar Hiasan, dijana oleh AI
Oleh: Lebah
Satu dakwaan kesihatan yang dikongsi di media sosial mengaitkan rasa mengantuk selepas makan dengan peningkatan paras gula dalam darah. Berdasarkan andaian tersebut, teh pandan wangi (Pandanus amaryllifolius Roxb.) dicadangkan sebagai minuman selepas makan kerana dikatakan mampu menghalang penyerapan gula dan seterusnya mengelakkan lonjakan glukosa darah.
Sekilas pandang, dakwaan ini kelihatan munasabah kerana beberapa kajian praklinikal memang melaporkan aktiviti biologi ekstrak daun pandan yang berpotensi mempengaruhi metabolisme glukosa. Namun, kewujudan aktiviti biologi dalam sesuatu ekstrak tumbuhan tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa penyediaan teh pandan secara tradisional menghasilkan kesan yang sama dalam tubuh manusia.
Lebih penting, dakwaan tersebut sebenarnya mengandungi beberapa andaian yang perlu dinilai secara berasingan:
Mengantuk selepas makan berlaku kerana paras glukosa meningkat.
Peningkatan glukosa selepas makan merupakan keadaan yang perlu dicegah.
Pandan menghalang penyerapan glukosa dalam usus.
Teh pandan yang disediakan pada dos penggunaan biasa mampu menghasilkan kesan tersebut.
Pengurangan penyerapan glukosa, jika benar berlaku, akan mengurangkan rasa mengantuk selepas makan.
Setiap pernyataan ini memerlukan bukti tersendiri. Menggabungkannya menjadi satu kesimpulan tanpa menilai hubungan sebab-akibat antara setiap peringkat boleh menghasilkan saranan kesihatan yang lebih jauh daripada apa yang sebenarnya disokong oleh penyelidikan.
2. Peningkatan glukosa selepas makan ialah sebahagian daripada fisiologi normal
Selepas seseorang mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat, sebahagian karbohidrat akan dicerna dan diserap sebagai monosakarida, termasuk glukosa. Glukosa yang diserap memasuki peredaran darah, menyebabkan paras glukosa meningkat sebelum dikawal melalui pelbagai mekanisme fisiologi, termasuk rembesan insulin.
Oleh itu, peningkatan glukosa selepas makan bukan dengan sendirinya menunjukkan berlakunya gangguan metabolik. merupakan tindak balas fisiologi yang normal. Magnitud dan tempohnya dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk jumlah karbohidrat, jenis makanan, struktur makanan, kandungan serat, komposisi hidangan, pengosongan gastrik serta keadaan metabolik individu.
Rajah 1. Perbandingan konseptual tindak balas glukosa darah selepas makan antara individu tanpa diabetes dengan individu yang menghidap diabetes.
Justeru, menganggap setiap peningkatan glukosa selepas makan sebagai sesuatu yang perlu dihalang merupakan penyederhanaan fisiologi yang tidak tepat. Respons glukosa yang normal perlu dibezakan daripada hiperglisemia yang berlebihan atau berpanjangan kerana kedua-duanya bukan perkara yang sama. Penilaian terhadap kawalan glukosa perlu mengambil kira konteks klinikal, termasuk paras glukosa sebelum makan, respons selepas makan dan keadaan metabolik individu.
Selaras dengan prinsip pengurusan diabetes dan pemakanan klinikal, matlamat pengurusan metabolik bukanlah menghapuskan tindak balas glukosa selepas makan, tetapi memastikan kawalan glukosa berada dalam sasaran yang sesuai dengan keadaan kesihatan individu. Oleh itu, perhatian diberikan kepada kawalan glukosa secara keseluruhan, bukannya usaha menghalang setiap peningkatan glukosa yang berlaku selepas pengambilan makanan.
3. Mengantuk selepas makan tidak boleh disimpulkan berpunca daripada peningkatan glukosa semata-mata
Rasa mengantuk selepas makan, yang sering disebut sebagai postprandial somnolence, merupakan fenomena yang boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Antaranya termasuk saiz hidangan, komposisi makanan, keadaan tidur sebelumnya, tahap keletihan, ritma sirkadian dan proses fisiologi yang berlaku selepas pengambilan makanan. Waktu makan juga penting kerana kecenderungan untuk mengantuk boleh meningkat pada waktu tertentu dalam kitaran harian seseorang.
Walaupun perubahan glukosa dan hormon selepas makan mungkin terlibat dalam respons fisiologi tersebut, penglibatan sesuatu mekanisme tidak membuktikan bahawa mekanisme itu merupakan penyebab tunggal atau utama gejala berkenaan.
Dalam konteks ini, terdapat perbezaan penting antara dua pernyataan:
Paras glukosa meningkat selepas makan dan seseorang berasa mengantuk.
Peningkatan paras glukosa menyebabkan seseorang berasa mengantuk.
Pernyataan pertama menggambarkan dua kejadian yang berlaku dalam tempoh yang sama. Pernyataan kedua pula membuat dakwaan sebab-akibat. Untuk membuktikannya, kita perlu menunjukkan bahawa perubahan glukosa benar-benar menjadi faktor penyebab, bukan sekadar berlaku serentak dengan rasa mengantuk.
Tanpa bukti sedemikian, menjadikan pengurangan penyerapan gula sebagai penyelesaian kepada rasa mengantuk selepas makan merupakan lompatan kesimpulan.
4. Apakah yang sebenarnya diketahui tentang pandan dan metabolisme glukosa?
Penyelidikan terhadap Pandanus amaryllifolius menunjukkan beberapa potensi aktiviti biologi yang berkaitan dengan metabolisme glukosa. Namun, bukti tersebut datang daripada reka bentuk kajian dan model eksperimen yang berbeza. Perbezaan ini penting kerana hasil ujian makmal, kajian haiwan dan kajian manusia tidak boleh dianggap mempunyai kekuatan pembuktian yang sama.
4.1 Kajian aktiviti enzim dan sel
Chiabchalard dan Nooron (2015) meneliti kesan antihiperglisemik ekstrak daun pandan melalui beberapa pendekatan, termasuk ujian aktiviti enzim dan eksperimen menggunakan sel beta pankreas tikus.
Kajian tersebut melaporkan aktiviti ekstrak pandan yang berpotensi mempengaruhi metabolisme glukosa, termasuk pengaruh terhadap enzim pencernaan karbohidrat dan rembesan insulin dalam model sel.
Dapatan seperti ini berguna untuk mengenal pasti kemungkinan mekanisme tindakan sesuatu tumbuhan. Walau bagaimanapun, aktiviti yang dikesan dalam sistem eksperimen tidak semestinya berlaku pada tahap yang sama selepas seseorang meminum teh pandan.
Kepekatan ekstrak yang digunakan dalam ujian makmal, bentuk bahan yang diuji, tempoh pendedahan dan keadaan eksperimen mungkin berbeza daripada keadaan sebenar dalam saluran pencernaan manusia.
Oleh itu, dapatan tersebut lebih sesuai dianggap sebagai bukti awal tentang potensi biologi pandan, bukannya bukti bahawa teh pandan mampu menghalang penyerapan gula selepas makan.
4.2 Kajian haiwan tidak membuktikan kesan segera teh pandan pada manusia
Saenthaweesuk et al. (2016) mengkaji kesan ekstrak daun pandan terhadap sensitiviti insulin dalam tikus yang mengalami obesiti akibat diet tinggi lemak. Kajian tersebut melaporkan perubahan beberapa parameter metabolik selepas pemberian ekstrak selama beberapa minggu.
Reshidan et al. (2019) pula menilai kesan ekstrak air daun pandan dalam model tikus yang mengalami sindrom metabolik akibat pengambilan fruktosa.
Kedua-dua kajian ini memberikan maklumat tentang kemungkinan pengaruh pandan terhadap metabolisme dalam model haiwan. Namun, ia tidak membuktikan bahawa secawan teh pandan yang diminum selepas makan boleh menghalang penyerapan glukosa dalam usus manusia.
Perbezaannya bukan sekadar spesies haiwan berbanding manusia. Bentuk ekstrak, dos, tempoh pemberian dan mekanisme yang dinilai juga berbeza. Kesan metabolik yang berkembang selepas pemberian ekstrak secara berulang selama beberapa minggu tidak boleh disamakan dengan kesan segera selepas seseorang meminum teh herba.
4.3 Kajian manusia: bukti masih terhad dan belum konsisten
Chiabchalard dan Nooron (2015) turut melaporkan kajian terhadap sukarelawan manusia menggunakan ujian toleransi glukosa oral. Berdasarkan protokol yang diringkaskan, penyediaan pandan yang digunakan melibatkan 30 g daun kering dalam 300 ml air panas.
Kajian tersebut melaporkan perubahan paras glukosa dalam kumpulan yang menerima penyediaan pandan. Walau bagaimanapun, dapatan ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati, khususnya dari segi reka bentuk kajian, perbandingan antara kumpulan dan ketekalan hasil yang dilaporkan.
Satu kajian manusia yang menyrusul kemudian oleh Booranasuksakul et al. (2023) menilai minuman yang mengandungi 2 g serbuk daun pandan bersama 25 g glukosa dalam kalangan sukarelawan sihat. Berdasarkan ringkasan hasil kajian, penyediaan tersebut tidak menunjukkan peningkatan kawalan glukosa yang signifikan secara konsisten. Perbezaan pada beberapa titik masa tidak boleh dianggap sebagai bukti keberkesanan klinikal tanpa mengambil kira keseluruhan analisis, termasuk kawasan bawah lengkung (area under the curve, AUC).
Kedua-dua kajian ini tidak membuktikan bahawa teh pandan berkesan mencegah lonjakan glukosa selepas hidangan biasa. Malah, kedua-duanya menggunakan ujian beban glukosa, bukannya hidangan campuran yang mewakili corak pemakanan harian sepenuhnya.
Kesimpulan yang wajar ialah bukti manusia masih terhad dan belum cukup kukuh untuk menyokong saranan bahawa teh pandan selepas makan dapat mengawal peningkatan glukosa secara bermakna.
5. Perencatan enzim pencernaan tidak sama dengan menghalang penyerapan glukosa
Salah satu kelemahan penting dalam dakwaan asal ialah penggunaan istilah "menghalang penyerapan gula" seolah-olah semua mekanisme yang mempengaruhi glukosa mempunyai maksud yang sama.
Sebenarnya, terdapat beberapa proses yang berbeza.
Pertama: pencernaan karbohidrat. Enzim seperti alfa-amilase dan alfa-glukosidase terlibat dalam pemecahan karbohidrat kompleks dan disakarida kepada molekul gula yang lebih ringkas. Perencatan enzim ini berpotensi memperlahankan proses pencernaan karbohidrat tertentu.
Kedua: penyerapan glukosa. Selepas terbentuk, glukosa perlu melalui mekanisme pengangkutan pada sel epitelium usus, termasuk pengangkut glukosa seperti SGLT1 dan GLUT2. Pengaruh terhadap enzim pencernaan tidak secara automatik membuktikan bahawa pengangkutan glukosa melalui membran usus turut dihalang.
Ketiga: pengawalan glukosa selepas penyerapan. Rembesan insulin dan sensitiviti tisu terhadap insulin mempengaruhi pengambilan serta penggunaan glukosa oleh tubuh. Mekanisme ini berbeza daripada perencatan enzim pencernaan atau pengangkutan glukosa di dalam usus.
Perbezaan ini menjadi lebih penting apabila kita meneliti reka bentuk ujian toleransi glukosa oral yang menggunakan glukosa tulen.
Glukosa ialah monosakarida. Ia tidak memerlukan pemecahan oleh alfa-amilase atau alfa-glukosidase sebelum diserap. Oleh itu, jika sesuatu kajian menggunakan larutan glukosa tulen, perencatan kedua-dua enzim tersebut tidak boleh dijadikan penjelasan langsung bagi perubahan paras glukosa yang diperhatikan.
Untuk menguji hipotesis bahawa pandan memperlahankan pencernaan karbohidrat melalui perencatan enzim, reka bentuk kajian yang lebih sesuai perlu menggunakan sumber karbohidrat yang memerlukan proses pencernaan, seperti kanji atau hidangan campuran yang mengandungi karbohidrat kompleks.
Ini tidak bermaksud perubahan glukosa dalam ujian beban glukosa mustahil dipengaruhi oleh bahan dalam pandan. Sebaliknya, jika perubahan berlaku, mekanisme lain perlu dikenal pasti dan diuji. Kita tidak boleh menggunakan bukti perencatan enzim untuk menerangkan sesuatu hasil yang tidak menguji proses pencernaan enzim tersebut secara langsung.
6. Isu dos: Adakah kepekatan kajian mewakili amalan penyediaan teh herba?
Satu lagi aspek yang perlu diberikan perhatian ialah dos bahan mentah yang digunakan dalam kajian berbanding dos yang lazim digunakan dalam amalan penyediaan teh herba.
Dalam amalan penyediaan herba, penggunaan kira-kira 5 g bahan kering bagi secawan air panas merupakan kuantiti yang jauh lebih rendah berbanding penyediaan 30 g daun pandan kering dalam 300 ml air panas seperti yang dilaporkan dalam kajian Chiabchalard dan Nooron (2015).
Perbandingan berdasarkan berat bahan mentah menunjukkan bahawa penyediaan kajian tersebut menggunakan enam kali ganda jumlah daun pandan kering berbanding anggaran 5 g bagi satu hidangan teh herba.
Perbezaan ini penting kerana jumlah bahan mentah yang digunakan mempengaruhi potensi jumlah sebatian yang dapat diekstrak ke dalam air. Walaupun kepekatan sebatian aktif tidak semestinya meningkat secara berkadar terus dengan berat bahan mentah, penggunaan dos yang jauh lebih tinggi tetap menimbulkan persoalan tentang kebolehgunaan hasil kajian terhadap penyediaan teh pandan biasa.
Lebih penting, jika kajian yang menggunakan penyediaan jauh lebih pekat pun belum memberikan bukti manusia yang konsisten dan meyakinkan, kita tidak mempunyai asas untuk mengandaikan bahawa penyediaan yang jauh lebih cair akan menghasilkan kesan yang sama.
Secara hipotesis, pengurangan jumlah bahan mentah boleh mengurangkan pendedahan kepada sebatian aktif sehingga kesannya tidak lagi dapat dikesan. Namun, kita juga tidak boleh mendakwa bahawa 5 g pasti tidak berkesan kerana ambang dos berkesan belum ditentukan melalui kajian dos-respons yang mencukupi.
Untuk menjawab persoalan ini, penyelidikan perlu membandingkan beberapa dos penyediaan pandan, dengan kaedah pengekstrakan, isipadu air dan tempoh penyediaan yang dikawal. Pengukuran kandungan sebatian aktif juga akan membantu menentukan sama ada perbezaan dos bahan mentah benar-benar menghasilkan perbezaan pendedahan kepada sebatian yang berpotensi aktif.
Dengan kata lain, bukti keberkesanan sesuatu ekstrak atau penyediaan berkonsentrasi tinggi tidak boleh terus diterjemahkan menjadi saranan penggunaan teh herba pada dos biasa.
7. Tiada bukti bahawa teh pandan mengurangkan rasa mengantuk selepas makan
Walaupun sesuatu bahan tumbuhan didapati mempengaruhi paras glukosa dalam keadaan tertentu, hal itu belum membuktikan bahawa bahan tersebut mampu mengurangkan rasa mengantuk selepas makan.
Ini kerana hasil-hasil tersebut merupakan perkara yang berbeza dan memerlukan pengukuran tersendiri.
Kajian yang menilai paras glukosa tidak boleh dianggap telah membuktikan pengurangan rasa mengantuk sekiranya gejala tersebut tidak diukur. Begitu juga, perubahan pada paras glukosa tidak secara automatik menunjukkan perubahan pada tahap kewaspadaan atau rasa mengantuk seseorang.
Rasa mengantuk selepas makan merupakan hasil khusus yang perlu diukur dalam keadaan selepas hidangan, dengan mengambil kira waktu makan, komposisi hidangan, tempoh selepas makan dan faktor lain yang boleh mempengaruhi kewaspadaan.
Untuk menguji dakwaan asal, kajian klinikal perlu menilai sekurang-kurangnya tiga perkara:
Sama ada teh pandan pada dos penggunaan biasa benar-benar mengubah respons glukosa selepas hidangan campuran.
Sama ada perubahan tersebut konsisten dan bermakna dari sudut fisiologi atau klinikal.
Sama ada pengambilan teh pandan menghasilkan pengurangan rasa mengantuk yang boleh diukur berbanding kumpulan kawalan.
Tanpa pengukuran tersebut, dakwaan bahawa teh pandan boleh mencegah rasa mengantuk selepas makan masih merupakan hipotesis, bukannya kesimpulan yang disokong oleh bukti klinikal.
8. Kesimpulan: Aktiviti biologi bukan bukti keberkesanan amalan
Keseluruhan dakwaan bahawa rasa mengantuk selepas makan berpunca daripada peningkatan glukosa, lalu boleh dicegah dengan meminum teh pandan, dibina daripada beberapa andaian yang belum dibuktikan secara menyeluruh.
Pertama, peningkatan glukosa selepas makan ialah sebahagian daripada fisiologi normal dan tidak semestinya menunjukkan gangguan metabolik.
Kedua, rasa mengantuk selepas makan mempunyai pelbagai faktor yang berpotensi terlibat. Oleh itu, mengaitkannya secara langsung dengan peningkatan glukosa tanpa bukti sebab-akibat merupakan kesimpulan yang terlalu mudah.
Ketiga, kajian praklinikal terhadap pandan memang menunjukkan beberapa potensi aktiviti biologi yang berkaitan dengan metabolisme glukosa. Namun, aktiviti perencatan enzim dalam makmal, perubahan metabolik dalam model haiwan dan kesan minuman pandan pada manusia merupakan tiga perkara yang berbeza.
Keempat, bukti manusia yang tersedia masih terhad dan belum cukup konsisten untuk menyokong dakwaan bahawa teh pandan menghalang penyerapan gula secara bermakna. Perbezaan dos antara penyediaan kajian dengan amalan penyediaan teh herba juga menimbulkan persoalan tentang kebolehgunaan hasil kajian terhadap penggunaan biasa.
Akhir sekali, tiada asas untuk menyimpulkan bahawa teh pandan mengurangkan rasa mengantuk selepas makan sekiranya hasil tersebut tidak diuji secara langsung.
Dalam penilaian saintifik, kita perlu membezakan antara sesuatu mekanisme yang munasabah, aktiviti biologi yang dikesan dalam eksperimen dan keberkesanan yang benar-benar ditunjukkan dalam manusia. Kita juga perlu mengelakkan kesilapan yang bertentangan, iaitu menggunakan dapatan awal yang belum kukuh untuk membuat dakwaan baharu tentang kesan yang belum dibuktikan.
Untuk menilai dakwaan bahawa teh pandan boleh mencegah mengantuk selepas makan, kita tidak perlu membuktikan bahawa pandan sendiri menyebabkan rasa mengantuk. Apa yang perlu dinilai ialah sama ada terdapat bukti saintifik yang mencukupi untuk menyokong manfaat yang didakwa. Ketiadaan bukti yang menyokong sesuatu manfaat tidak bermakna kita perlu membuktikan kesan yang bertentangan.
Kajian yang menyokong kewujudan sesuatu mekanisme tidak semestinya membuktikan bahawa mekanisme itu menjadi penyebab sesuatu gejala. Begitu juga, kajian yang menunjukkan aktiviti biologi sesuatu tumbuhan tidak semestinya membuktikan bahawa pengambilannya dalam bentuk minuman tradisional menghasilkan kesan fisiologi atau manfaat klinikal yang sama.
Dalam perkongsian ilmu kesihatan, kita bukan sekadar bertanggungjawab menyampaikan hasil kajian. Kita juga perlu memastikan bahawa kesimpulan dan saranan yang dibuat tidak melangkaui apa yang sebenarnya dapat dibuktikan oleh kajian tersebut.
Rujukan
Booranasuksakul, U., Singhato, A., Rueangsri, N., Jampatong, N., Ditsariyakul, S., & Prasertsri, P. (2023). Effects of Pandanus amaryllifolius leaf beverage on postprandial blood glucose and satiety level in Thai healthy volunteers. Journal of Nutrition Association of Thailand (Online), 58(1), 42–52.
Chiabchalard, A., & Nooron, N. (2015). Antihyperglycemic effects of Pandanus amaryllifolius Roxb. leaf extract. Pharmacognosy Magazine, 11(41), 117–122. https://doi.org/10.4103/0973-1296.149724
Reshidan, N. H., Abd Muid, S., & Mamikutty, N. (2019). The effects of Pandanus amaryllifolius (Roxb.) leaf water extracts on fructose-induced metabolic syndrome rat model. BMC Complementary Medicine and Therapies, 19, Article 232. https://doi.org/10.1186/s12906-019-2627-0
Saenthaweesuk, S., Naowaboot, J., & Somparn, N. (2016). Pandanus amaryllifolius leaf extract increases insulin sensitivity in high-fat diet-induced obese mice. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine, 6(10), 866–871. https://doi.org/10.1016/j.apjtb.2016.08.010
Copyright © 2026 www.gayahidupholistik.blogspot.com All Rights Reserved.

