Oleh: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 20 November 2012.
Sebuah kajian yang dijalankan oleh Dr.
David Spence seperti dilaporkan dalam jurnal Artherosclerosis (Ogos 2012) mendapati memakan kuning telur
mempercepat aterosklerosis dengan cara yang serupa apabila seseorang menghisap
rokok. Kajian berbentuk soal selidik terhadap 1,231 pesakit ini mendapati
pengambilan kuning telur secara berterusan menyamai lebih kurang dua pertiga
tahap keburukan menghisap rokok dalam meningkatkan pembentukan plak karotid.
Karotid ialah arteri utama yang terletak
di kiri kanan leher manusia berfungsi mengalirkan darah ke otak. Saintis
menganggap peningkatan plak karotid sebagai
faktor risiko strok dan serangan jantung. Aterosklerosis pula ialah sejenis
penyakit arteri kornari (jantung) dengan definasi umum bermaksud masalah pada
arteri apabila plak berkolesterol terbentuk dalam dinding bahagian dalam arteri.
Plak putus dipercayai sebagai penyebab utama kebanyakan kejadian serangan
jantung dan strok kerana ia menyebabkan arteri tersumbat.
Para penyelidik mendapati kawasan plak karotid meningkat secara berkadar terus
dengan umur selepas subjek berumur empat puluh tahun. Mereka juga mendapati
peningkatan pembentukan plak karotid amat ketara apabila subjek menghisap rokok
dan memakan kuning telur. Kajian tersebut juga mendapati pengambilan lebih dari
tiga kuning telur menyebabkan pembentukan lebih banyak kawasan yang membentuk
plak berbanding dengan mereka yang memakan kurang dari dua kuning telur setiap
minggu.
Kajian Dr. Spence ini dikritik oleh ramai
pengkritik. Mereka menyatakan bahawa kajian tersebut hanya menemui kaitan bukan
penyebab. Kajian bersifat pemerhatian seperti
ini hanya menemui kaitan antara pengambilan telur dan merokok didapati
meningkatkan jumlah plak secara signifikan berbanding dengan mereka yang hanya
menghisap rokok tetapi tidak merokok. Penyebab hanya boleh didapati dari kajian
terkawal (controlled experiment).
Kritikan seterusnya adalah terhadap
pengumpulan data kajian. Data kajian tersebut hanya bergantung semata-mata
kepada ingatan subjek mengenai jenis makanan yang mereka telah makan. Kaedah
ini telah berkali-kali didapati tidak dapat diterima dan biasanya terdapat
kesalahan.
Kelemahan lain ialah para penyelidik dikatakan
mengetepikan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keputusan kajian seperti aktiviti
fizikal subjek, ukur lilit pinggang, pengambilan buah-buahan, pengambilan
sayur-sayuran dan bagaimana telur disediakan. Mereka yang mengambil jumlah
telur yang paling tinggi juga pada masa sama paling banyak menghisap rokok.
Jadi, para pengkritik berkata sukar untuk mengenalpasti faktor - telur atau
rokok - sebagai peranan utama.
Pada pandangan penulis mereka yang
mengambil telur pada jumlah tinggi dan pada masa banyak menghisap rokok
terdedah kepada peningkatan risiko pembentukan plak dalam arteri yang tinggi.
Ini kerana menghisap rokok menghasilkan jumlah radikal bebas yang tinggi dalam
tubuh. Radikal bebas yang tidak terkawal ini kemudiannya bukan sahaja
merosakkan komponen sel pada arteri tetapi mengoksida kolesterol dari telur
yang dimakan. Akibatnya, kolesterol teroksida seperti dipercayai oleh ramai
saintis dan golongan perubatan moden mudah menyebabkan aterosklerosis.
Terdapat perbezaan antara telur goreng dan
telur rebus dari segi sifat biokimia. Telur goreng terutama yang garing
menyebabkan kolesterol dan pelbagai bahan kimia lain teroksida. Kolesterol
teroksida sekali lagi seperti dinyatakan di atas dipercayai meningkatkan risiko
aterosklerosis. Risiko aterosklerosis juga tinggi kepada mereka yang
tidak/kurang makan makanan berantioksidan seperti buah-buahan dan
sayur-sayuran. Begitu juga mereka yang sering mengalami stres fizikal dan emosi
yang keterlaluan.
Mereka yang kurang cergas secara fizikal
juga meningkatkan risiko aterosklerosis. Superoksida merupakan radikal bebas
utama yang terdapat dalam arteri di mana jika jumlahnya tidak dikawal ia
dikatakan menyerang dan merosakkan sel-sel endotelium arteri. Pergerakan
fizikal yang tidak keterlaluan menyebabkan nitrik oksida dikeluarkan oleh
sel-sel endotelium pada paras yang lebih tinggi dari mereka yang kurang cergas.
Nitrik oksida ini akan menutralkan
sebahagian superoksida dan seterusnya kerosakan arteri dapat diminimakan.
Inilah antara sebab mengapa pergerakan fizikal yang tidak keterlaluan penting
dalam menjaga kesihatan jantung. Jadi, mereka yang paling banyak makan kuning
telur dan menghisap rokok pada masa sama kurang aktif secara fizikal terdedah kepada risiko aterosklerosis yang
lebih tinggi.
Alan Aragon, MS., pakar pemakanan
terkemuka Amerika Syarikat yang antara lain bertugas memberi syarahan kepada
pakar-pakar klinikal FDA (Jabatan Pertanian Persekutuan Amerika) telah
memberikan komen berhubung kajian di atas. Beliau berkata sebahagian besar
kajian terkawal menunjukkan mengambil seluruh telur (iaitu putih dan kuning)
meningkatkan bacaan HDL. Selain itu
kuning telur mengandungi jauh lebih banyak nutrien (berbanding putih telur)
termasuk antioksidan seperti lutein dan xeaxanthin.
Suatu hakikat di mana golongan perubatan
moden tidak mahu anda ketahui ialah paras kolesterol memang turun naik bergantung
kepada faktor-faktor tertentu. Yang benar ialah anda boleh mengawal paras
kolesterol dan merendahkan risiko aterosklerosis. Bukan dengan mengambil
ubat-ubatan mengawal paras kolesterol tetapi dengan menjalani gaya hidup
holistik. Perubahan gaya hidup ini termasuk antara lain yang utama ialah tidak
makan secara berlebihan, tidak merokok dan menjalani aktiviti fizikal yang
sederhana.
Amalan
lain yang juga penting termasuk tidak makan makanan terproses, tidak makan makanan
bergoreng secara terendam lama, mengelakkan makanan terlalu garing, elakkan lemak
trans, dan mengambil ubat-ubatan moden pada keadaan yang memerlukan sahaja.
Pengambilan buah-buahan yang kurang manis dan sayur-sayuran juga penting.
Pelbagai jenis makanan yang kaya dengan
bioflavnoids seperi delima, acai dan pelbagai jenis beri dipercayai membantu.
Kacang hitam (black bean dengan biji berwarna hijau) dikatakan kaya dengan
arginin. Arginin diubah kepada nitrik oksida oleh sel-sel endotelia. Selain
menutralkan radikal bebas nitrik oksida berfungsi merendahkan tekanan darah.
Suplemen vitamin C seperti yang dibincangkan
dalam buku penulis berjudul Serangan Jantung (terbitan Alaf 21) juga amat
membantu. Ia berfungsi sebagai antisoksidan denganb menutralkan radikal bebas,
mengharmoni profil lipid (HDL, LDL, jumlah kolesterol dan trigliserida) dan
mengawal tekanan darah. Begitu juga dengan pengambilan cuka epal dan cuka
tamar.
Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)