Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Isnin, 25 Mac 2013

Kesihatan Jantung: Delima atau Statin?

Artikel tulisan herbalis Bahrain Samah, RH (AHG) terbit daam akhbar Sinar Harian (edisi KL/Selangor) pada Jun 11, 2012.
       Saintis aliran perdana dan golongan perubatan moden percaya kepada teori yang menyatakan bahawa paras kolesterol tinggi sebagai punca arteri jantung tersumbat. Sebuah teori aliran perdana yang amat popular menyatakan bahawa plak berlemak berkumpul pada bahagian dinding arteri jantung yang rosak. Keradangan dikatakan sebagai punca utama kerosakan dinding arteri jantung.
       C-reactive protein (CRP) ialah sejenis bahan yang terdapat dalam darah telah dikenalpasti sebagai penanda (marker) untuk keradangan. Paras CRP akan meningkat sebagai isyarat  terhadap sebarang jenis keradangan yang berlaku. Paras CRP tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung manakala paras rendah pula dikaitkan dengan risiko rendah.
       Ramai saintis dan doktor percaya bahawa LDL yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat adalah penanda utama bagi menentukan risiko penyakit jantung. Namun pada masa sama terdapat beberapa bukti menunjukkan CRP dapat dijadikan penanda risiko penyakit jantung yang lebih baik berbanding LDL.
LDL atau CRP?
      Sebuah kajian yang diketuai oleh Paul Ridker, MD. yang melibatkan 29,939 wanita telah menunjukkan keadaan tersebut. Lebih dari separuh wanita yang terlibat dalam kajian mengalami paras CRP tinggi. Mereka didapati telah mengalami penyakit jantung walau pun paras LDL mereka rendah. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 14 November 2002.
      Beberapa tahun kemudian kajian yang dijalankan di Cleveland Clinic mendapati arteri tersumbat yang dialami oleh 502 orang pesakit tidak menjadi semakin buruk setelah mereka berjaya mengurangkan paras CRP. Kajian ini telah dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2005. Jurnal keluaran yang sama juga melaporkan keputusan seuah kajian lain yang dijalankan oleh Dr. Ridker di mana ia menunjukan penurunan paras CRP menggunakan ubatan statin mengurangkan risiko kejadian serangan jantung kali kedua.
     Statin ialah nama generik kepada sejenis ubat moden bagi membantu mengawal paras kolesterol. Ia berfungsi menghalang pembinaan kolesterol. Ia dipreskirpsi oleh doktor kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari. Statin memiliki beberapa kesan sampingan termasuk gangguan mood, memori, libido (mati pucuk), merosakkan sel dan mengurangkan pembinaan coenzyme Q10.
     Kekurangan kolesterol menyebabkan hormon-hormon reproduktif seperti testoterone juga terganggu. Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada selera seks tetapi ia dipercayai menyebabkan seseorang mudah mengalami penuaan pra-matang. Ini kerana salah satu fungsi testoterone ialah melambatkan proses penuaan.
     Sel membran juga terdiri dari 20 peratus kolesterol. Kekurangan kolesterol mengganggu pelbagai fungsi sel dan ini juga mempercepat proses penuaan. Gangguan pembinaan kolesterol juga mengurangkan pembinaan vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan fisiologi. Ini juga mempercepat proses penuaan.
Kesan sampingan statin
      Sebuah kajian yang dilaporkan dalam British Medical Journal (2010) mendapati statin meningkatkan risiko katarak, otot lemah, hati tidak berfungsi dan kegagalan buah pinggang! Pada tahun sebelumnya Dr. Janet L. Stanford melaporkan dalam American Journal of Epidemiology bahawa statin didapati meningkatkan risiko kanser prostat sebanyak 50 peratus pada lelaki obes. Ia juga meningkatkan risiko diabetes sebanyak 80 peratus pada golongan sama.
      Sebuah kajian yang dijalankan beberapa tahun kemudian seperti dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (2012) mendapati statin meningkatkan risiko diabetes sebanyak 50 peratus pada wanita berumur melebihi 45 tahun apabila mereka mengambil statin.
     Mekanisme bagaimana statin meningkatkan risiko diebetes jenis 2 (type 2) tidak diketahui. Kekurangan kolesterol berpunca dari pengambilan statin menyebabkan gangguan secara fisiologi pada membran sel.  Ia dipercayai menyebabkan reseptor insulin tidak sensitif terhadap hormon insulin atau reseptor-reseptor insulin menjadi semakin kurang bilangannya kerana berlaku proses down regulation.
     Pengambilan statin secara berpanjangan berkemungkinan menyebabkan pembinaan insulin oleh sel-sel beta pankreas semakin berkurangan. Sel-sel beta juga mempunyai membran. Kekurangan kolesterol dipercayai menyebabkan pintu/laluan Kalsium pada membran sel menjadi rosak atau tidak berfungsi secara normal.
     Kalsium memang diperlukan oleh sel-sel beta untuk membina insulin. Namun pintu/laluan Kalsium yang tidak berfungsi secara normal menyebabkan terlalu banyak Kalsium masuk ke dalam sel beta melebihi had sepatutnya. Ini menyebabkan insulin dirembis melebihi had normal dan ia akan menyebabkan resptor-reseptor insulin pada membran sel menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin.
    Proses ketidaksensitifan reseptor insulin, kekurangan resptor insulin dan berlebihan ion Kalsium dalam sel beta pankreas ialah punca kepada kekebalan insulin. Jika tidak ditangani terutama dari segi pola pemakanan seseorang yang mengalami keadaan ini mudah menghidap diabetes jenis 2.
    Apakah alternatif untuk statin? Jawapannya ialah menjalani gaya hidup holistik. Makan makanan yang sesuai untuk kesihatan jantung seperti mengurangkan produk bijiran. Kurangkan pengambilan gula. Elakkan merokok dan minum arak. Elakkan dari makan berlebihan. Seboleh-bolehnya elakkan dari makan makanan yang dipanggang (hingga sebahagian menjadi arang) dan digoreng secara terendam lama. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Guna garam gunung dalam masakan. Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan yang memerlukan sahaja. Urus stres dengan bijak.
    Saya tidak menggunakan teori plak berlemak punca kerosakan arteri. Teori yang saya anuti ialah pintu/laluan Kalsium yang rosak menyebabkan Kalsium masuk pada jumlah tinggi ke dalam sel endotelia jantung. Ini menyebabkan arteri jantung buncit. Pada pandangan saya pintu/laluan Kalsium boleh diperbetulkan dengan mengamalkan pemakanan di atas beserta pengambilan bahan-bahan yang akan saya sebutkan di bawah.
    Kajian mendapati delima berupaya mencegah keradangan dan juga pembentukan plak dalam arteri.     Bahan-bahan seperti cuka epal (atau cuka kurma) diambil bersama minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin), vitamin C membantu delima secara sinergi.  Kesemua bahan ini bukan sahaja dipercayai membantu memulihara pintu/laluan Kalsium pada membran sel tetapi ia juga mencarikan darah dengan mengawal profil lipid iaitu tirigliserida, LDL, HDL dan jumlah kolesterol (total kolesterol).
     Vitamin B6, B9 (asid folik) dan B12 yang terdapat pada B kompleks menyumbang 'methyl' yang diperlukan oleh pelbagai jenis bahan kimia dalam tubuh bagi mempastikan organ sistem tubuh berfungsi secara harmoni termasuk memelihara kesihatan jantung. Selain itu Magnesium yang terdapat pada sayuran hijau penting untuk pembinaan tenaga dalam sel serta bagi mengimbangi Kalsium. Suplemen L-arginine juga penting. Dalam tubuh ia diubah kepada nitrik oksida. Ia berfungsi menutralkan radikal bebas superoxide iaitu bahan yang dipercayai punca keradangan dan merosakkan sel-sel endotelia arteri.


      Sila baca artikel membincangkan topik yang serupa iaitu Khasiat Delima

Hakcipta Terpelihara
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)