Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Jumaat, 22 November 2019

Insomnia - Guna herba tertentu untuk meredakannya

Tidur amat penting kepada kehidupan anda sebagaimana pentingnya makan dan bernafas. Tidur yang tidak mencukupi mengganggu pelbagai fungsi tubuh dan seterusnya boleh menimbulkan pelbagai penyakit.
 
Tubuh berehat ketika anda tidur tetapi otak anda bekerja mengumpul informasi berasaskan pelbagai perkara yang anda lakukan pada siang hari dan memindahnya ke dalam bentuk simpanan jangka panjang.
Selain itu ketika tidur tubuh anda membina otot, membaikpulih otot serta membina pelbagai hormon.
Tidak Lena
      Pada hari atau keadaan tertentu anda mungkin pernah mendapati sukar untuk tidur, tidur tetapi tidak lena atau mengalami kedua-duanya. Ini adalah sifat-sifat insomnia. Insomnia semakin ketara apabila umur meningkat memasuki golongan separuh umur dan golongan tua.
     Insomnia kronik ialah insomnia yang dialami secara berpanjangan. Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan antara lain seperti obesiti, keresahan, kemurungan, tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung.
     Sesetengah wanita mengambil ubat-ubatan moden jenis preskripsi atau tanpa preskripsi dan mendapati ia membantu mereka mudah tidur dan tidur lena. Sungguh pun begitu, dari satu segi ubat-ubatan tersebut dipercayai tidak memberi kesan kepada PUNCA insomnia.
Alternatif
    Perubatan alternatif menawarkan pelbagai kaedah yang dipercayai mampu membantu anda mengatasi insomnia iaitu antara lain dengan menggunakan herba. Penggunaannya dipercayai membantu mengembalikan keseimbangan fungsi tubuh di samping membantu otak dan saraf anda berehat. Ia seterusnya membantu tubuh anda berfungsi seperti sedia-kala.
Secara umum semua herba yang dicadangkan bersifat relaksan (merehatkan otak/saraf) yang membantu meredakan insomnia, meredakan keresahan/kemurungan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan membantu melancarkan penghadaman. Pastikan setiap jenis teh herba yang anda sediakan tidak ditambah gula.
Pegaga
Pegaga merupakan herba yang terkenal di seluruh dunia kerana ia menawarkan sifat adaptogen. Adaptogen membantu mengharmoni paras hormon stres iaitu kortisol.
Stres kronik (berpanjangan melebihi enam bulan) dikatakan menyebabkan paras kortisol sentiasa tinggi dan seterusnya boleh menyebabkan insomnia.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Rendam 1 uncang teh pegaga ke dalam secawan air panas. Tutup cawan selama 10-15 minit. Minum secawan sejam sebelum tidur. Ia juga boleh diminum 3-5 kali sepanjang hari.
Bunga Kekwa
Kebanyakan orang mengenali bunga kekwa sebagai bunga hiasan. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa teh Chrysanthemum atau teh bunga yang anda biasa minum sebenarnya ialah bunga kekwa.
Untuk meredakan insomnia anda boleh beli bunga kekwa dari kedai singseh di mana tabib China mengenalinya sebagai ju-hua. Beli bunga ju-hua berwarna kuning dan bersaiz kecil, 100 gram memadai.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Rendam 1 camca teh ju-hua ke dalam secawan air panas. Tutup gelas selama 10-15 minit. Minum secawan teh ini sejam sebelum tidur.
Sepertimana teh pegaga ia juga elok dijadkan minuman harian diminum sepanjang hari.
Semalu
Pokok semalu tumbuh di merata tempat di kawasan tanah lapang di negara kita. Namun, mungkin anda tidak pernah tahu bahawa ia boleh digunakan untuk membantu meredakan insomnia, kemurungan atau keresahan.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Cabut sebatang pokok semalu. Cuci bersih dengan air dan tumbuk dengan lesung batu separuh hancur. Rebus dengan 6  cawan air panas hingga air berkurang kepada separuh. Tapis dan simpan air rebusan dalam bekas bersih bertutup rapi. Simpan di dalam peti sejuk dan ia tahan antara 5-tujuh hari.
Minum ½ gelas sejam sebelum tidur.
Pandan Wangi
Pandan wangi mudah didapati terutama di kampung-kampung. Di bandar anda boleh membelinya di pasar atau dari pasar hiper. Di Thailand, pandan wangi dijadikan teh minuman harian sebagaimana anda biasa minum teh biasa (Camelia sinensis).
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Rebus beberapa helai daun pandan wangi dengan 2 liter air sehingga pandan wangi bertukar warna cokelat dan air rebusan bertukar warna kuning.
Minum secawan sejam sebelum tidur. Ia sesuai diamalkan sebagai minuman harian diminum sepanjang hari.
Daun Selasih
Selalih yang biasa digunakan dalam masakan di negara kita ialah selasih Thai (Thai basil). Terdapat dua jenis selasih lain yang juga digunakan dalam masakan iaitu ruku-ruku (Holy basil) dan selasih limau (Lemon basil, biasa digunakan oleh orang Terengganu dalam masakan tertentu).
Teh daun selasih dipercayai antara pilihan terbaik untuk meredakan insomnia. Ia mudah ditanam di dalam pasu sebagai tanaman hiasan.  Ia mudah didapati di pasar menjual sayur-sayuran dan pasar hiper.
Kaedah penyediaan dan penggunaan
Ramas dan rendam 5 helai daun selasih ke dalam secawan air panas. Tutup gelas selama 10-15 minit. Minum secawan sejam sebelum tidur.
Teh selasih boleh dijadikan minuman harian diminum sepanjang hari.
Delima
Ramai menganggap buah-buahan adalah makanan yang tidak tergolong dalam kategori herba. Sebaliknya penulis mengkatogeri buah-buahan apabila digunakan untuk tujuan perubatan termasuk buah delima sebagai herba kerana ia berasal daripada tumbuh-tumbuhan.
Cara Penyediaan dan Penggunaan
1 camca teh delima dibancuh bersama secubit garam Kristal Himalaya dengan secawan air suam.
Minum secawan sejam sebelum tidur.
Gaya/Cara Hidup
Gaya/cara hidup mempengaruhi fisiologi, emosi dan tindakan otak anda. Untuk mengelak atau meredakan insomnia kurangkan pengambilan makanan/minuman bergula. Tingkatkan pengambilan ikan, kurangkan daging lembu. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran hijau. Elakkan daripada mengambil makanan/minuman bergula 2 jam sebelum waktu tidur.
Selain itu minum air secukupnya sepanjang hari kerana kekurangan air boleh menyebabkan stres. Urus stres bijak. Elakkan menonton televisyen, guna komputer atau telefon bimbit hingga lewat malam. Baca buku cerita, Quran atau buku agama sebelum tidur. Biasakan diri baca doa sebelum tidur. 
Artikel tulisan Bahrain Samah, MD (AM)
Hakcipta terpelihara @ www.gayahidupholistik.blogspot.com