Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Rabu, 20 November 2019

Masa Terbaik Makan Buah-buahan


Sebelum, bersama atau selepas makan utama?
Buah-buahan merupakan salah satu makanan penting kepada anda kerana selain fiber ia membekal pelbagai nutrien yang bermanfaat kepada kesihatan. Terdapat pendapat percaya bahawa buah-buahan harus dimakan ketika perut kosong dengan alasan-alasan seperti yang penulis terangkan dalam tulisan ini.
Sebahagian pakar menganggap cara makan buah-buahan tersebut yang sering dikongsi oleh pelbagai pihak termasuk orang awam samada melalui buku, media cetak dan elektronik atau di internet sebagai mitos (tidak benar).
Perut Kosong
Mitos mendakwa bahawa makan buah-bauan bersama makanan lain terutama pada waktu makan utama akan menyebabkan makanan berada dalam perut (stomach) lebih lama dan seterus menyebabkan makanan menjalani fementasi atau reput. Mitos ini antara lain dicetus oleh Dr. Ted Morter dalam bukunya Your Health... Your Choice.
Mitos sama juga mendakwa bahawa makan buah-buahan dengan makanan lain akan menyebabkan pelbagai simtom seperti perut buncit, berangin dan sakit perut.
Memang benar fiber buah-buahan boleh melambatkan pemindahan makanan ke dalam usus kecil namun dakwaan-dakwaan lain seperti disebutkan di atas tidak benar.
Yang benar buah-buahan tidak akan berada dalam perut anda pada tempoh lama apatah lagi akan menjalani fermentasi dan pereputan di situ. Kajian menunjukkan bagi orang sihat, fiber memperlahan tempoh untuk mengosongkan separuh isinya antara purata 72 hingga 86 minit. Sungguh pun perubahan kelajuan pemindahan tersebut dikira signifikan namun pemperlahanan ini tidak akan menyebabkan makanan menjalani fermentasi di dalam perut.
Kenyang Lebih Lama
Pemperlahanan pemindahan makanan dari perut ke usus kecil sebenarnya bermanfaat kepada anda. Ia membantu anda kenyang lebih lama dan ia membantu anda mengambil kalori lebih rendah (mengurangkan pengambilan makanan berkaori) pada jangka panjang.
Pihak yang menyuarakan pendapat makan buah-buahan pada waktu makan utama menyebabkan makanan berada dalam perut pada tempoh yang lama sehingga menyebabkan ia menjalani fermentasi bersama makanan lain mungkin terlepas pandang penerangan berkaitan fermentasi fiber berdasarkan ilmu biologi/fisiologi. Mereka juga mungkin tidak tahu bahawa fermentasi fiber larut dan terkini fiber/kanji kebal (resistant fiber/starch) hanya berlaku dalam kolon (usus besar)!
Menurut ilmu biologi dan fisiologi  pH rendah asid hidroklorik iaitu lebih kurang 1-2 yang dirembis ketika perut menerima makanan bukan persekitaran kondusik untuk kehidupan mikroorganism termasuk bakteria. Asid hidroklorik yang berbaur dengan makanan yang masuk ke dalam perut antara lain membantu membunuh bakteria yang terdapat pada makanan serta mencegah pembiakan mikrob. 
Makan buah-buahan bersama makanan lain ketika waktu makanan utama menyebabkan perut buncit, berangin, diarea atau ketidakselesaan dikatakan sebagai dakwaan tidak berasas. Individu yang mengalami simtom-simtom ini berkemungkinan memang mengalami masalah penghadaman samada apabila mengambilnya bersama makanan utama atau secara berasingan.
Diet Jenis Metabolik
Individu ini dikatakan sesuai mengambil buah-buahan tertentu pada kadar tertentu berpandukan diet jenis metabolik (metabolic typing diet). Berdasarkan diet jenis metabolik, seseorang yang mengalami simtom apabila makan kebanyakan jenis buah-buahan (serta sayur-sayuran) akan reda apabila  mengamal makanan tinggi protein dan lemak.
Sebahagian orang Islam mengamalkan makan buah-buahan sebelum makan makan makanan utama dengan berdalilkan ayat Quran yang bermaksud, Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.[Waqi’ah: 20-21]
Pendapat tersebut disangkal oleh ulama lain dengan alasan urutan tersebut iaitu buah-buahan mendahului daging burung tidak harus dijadikan dalil kerana ayat tersebut menerangkan makanan di syurga di mana sifatnya berbeza dengan makanan di dunia. Syeikh Shalih Al-Munajjid hafizahullah iaitu ulama yang menyangkal pendalilan tersebut berpendapat bahawa seseorang bebas untuk memilih samada makan buah-buahan sebelum atau sesudah makan (utama).
Walau pun beliau menolak penyandaran ayat tersebut sebagai dalil namun beliau bersetuju bahawa mendahulukan makan buah-buahan daripada makanan utama adalah lebih baik kerana ia lebih cepat dihadam.
Status Kesahihan
Imam Nawawi dikatakan menyebut sebuah hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mencadangkan para sahabat makan buah-buahan dahulu kemudian barulah makan hidangan (makanan berat). Hadis ini tidak dinyatakan status kesahihannya namun jika benar ia sahih maka makan buah-buahan dahulu sebelum makanan utama memang benar dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Sungguh pun Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik manusia untuk diteladani termasuk dalam perkara adab makan minum namun baginda baginda tidak menguasai semua ilmu keduniaan. Sebab itu dalam hadis dari Anas bin Malik RA berkaitan pengkahwinan kurma, Rasulullah SAW bersabda, “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.”  [HR Muslim: 2363].

Jadi, pada pandangan penulis katakanlah amalan makan buah-buahan benar-benar dianjurkan (saranan urusan dunia, bukan ibadah) Rasulullah SAW (seperti hadis disebutkan oleh Imam Nawawi) maka jika seseorang mengamalnya dan mendapati ia sesuai dalam memulihara kesihatan maka teruskanlah.
Kepada mereka yang memang biasa makan buah-buahan pada waktu berbeza-beza pula iaitu sebelum, bersama atau selepas makanan utama tanpa mengalami masalah penghadaman dan tidak menjejas kesihatan maka teruskanlah kebiasaan tersebut. 
Artikel di atas adalah tulisan Bahrain Samah, MD (AM).

Hakcipta Terpelihara @ GayaHidupHolistik.blogspot.com