Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Rabu, 5 Jun 2013

Angelina Jolie buang Payu Dara

Pandangan Herbalis. Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terhadap langkah Angelina Jolie membuang kedua-dua belah payudara hanya kerana doktor mengesahkan beliau memiliki gen BRCA1 yang bermasalah. Artikel ini tersiar dalam Sinar Harian edisi KL/Selangor pada Mei 28, 2013. Sebahagian besar berita dengan tajuk serupa adalah berita dalam bentuk salin dan tampal, namun tulisan Dr. Bahrain mengorak corak yang berbeza dari beberapa segi.....

Artikel penuh

PADA awal Mei, Angelina Jolie mendedahkan bahawa beliau telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya.
Sesetengah peminat percaya beliau melakukannya kerana telah disahkan menghidap kanser payudara.
Yang benar ialah beliau tidak menghidap kanser tersebut.
Beberapa hari selepas pengakuan Jolie seorang rakyat Britain seperti dilaporkan dalam artikel IBtimes merupakan lelaki pertama membuang prostat secara pembedahan hanya kerana disahkan sebagai pembawa gen BRCA2!
Dalam kes Jolie, doktor yang merawat Jolie telah mengesan beliau adalah ‘pembawa gen BRCA1’.
Beliau dikatakan berisiko menghidap kanser payudara sebanyak 87 peratus bersama-sama risiko menghidap kanser ovari sebanyak 50 peratus.
Menurut Jolie, lampiran fakta dari Institut Kanser seperti terkandung dalam surat berita Stanford Medicine (milik Stanford School of Medicine, University of Stanford) wanita yang mempunyai gen BRCA1 dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara sepanjang hayat sebanyak 65 peratus bersama-sama peningkatan risiko menghidap kanser tersebut pada umur lebih muda.
Jolie berumur 37 tahun. Adakah dengan mempunyai gen BRCA1 seseorang wanita dapat dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara?
Sebenarnya setiap orang memiliki gen BRCA.
BRCA ialah singkatan kepada breast cancer.
Setakat ini dua jenis BRCA ditemui iaitu BRCA1 dan BRCA2. Gen BRCA1 ditemui lebih awal dari BRCA2.
Kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 terdapat pada sel payudara dan tisu lain termasuk pada ovari.
Gen BRCA membantu memperbaiki DNA yang rosak. Ia juga memusnahkan DNA yang tidak boleh diperbaiki.
Jika gen BRCA mengalami kerosakan maka DNA tidak dapat diperbaiki secara sempurna dan ini dipercayai meningkatkan risiko kanser.
BRCA bermutasi
Gen BRCA yang bermutasi atau bermasalah dikatakan meningkatkan risiko kanser iaitu kanser payudara dan kanser ovari.
Gen BRCA1 yang bermutasi juga meningkatkan risiko kanser prostat pada kaum lelaki.
Manakala gen BRCA2 yang bermutasi pula meningkatkan beberapa jenis kanser lain seperti kanser pankreas, prostat, larynx, perut, dan melanoma.
Angelina Jolie memiliki kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 seperti mana orang lain.
Namun, secara umum media seluruh dunia melaporkan Jolie adalah pembawa gen BRCA1.
Yang benar ialah beliau dikesan mempunyai gen BRCA1 yang bermasalah. Gen BRCA yang bermutasi atau terubahsuai tidak berfungsi secara sempurna.
Kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 yang bermutasi dikatakan dipindahkan daripada ibu bapa yang mengalaminya kepada anak secara genetik.
Ibu Jolie sendiri iaitu Marcheline Bertrand meninggal ketika berusia 56 tahun setelah menghidap kanser ovari selama lapan tahun.

Menurut Jolie, kanser yang dihidapi ibunya merupakan salah satu sebab beliau mengambil keputusan membuang kedua-dua payudaranya.
Menurut sedutan daripada laporan media, Jolie berharap tindakannya ditiru oleh orang ramai yang tidak mengetahui bahawa mereka mungkin menjalani kehidupan dengan risiko menghidapi kanser.
Beliau selanjutnya berharap mereka menjalankan ujian ke atas gen dan jika mereka didapati berisiko tinggi maka membuang payudara adalah pilihan yang paling munasabah.
Sebenarnya terdapat beberapa artis lain yang membuat keputusan sama seperti Jolie.
Beberapa selebriti terkenal yang telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua belah payudara ialah Sharon Osbourne, Giuliana Rancic, Christina Applegate dan Kathy Bates.
Selebriti kaya-raya
Seorang guru tadika di New Jersey, Debbie Gentile-Abbood berpendapat bahawa tindakan Jolie hanya mampu dilakukan oleh mereka yang kaya-raya.
Beliau berkata dalam sebuah artikel New York Post, “Tindakan beliau memang sesuai dengan kedudukannya kerana menerima penjagaan kesihatan terbaik berpunca daripada kemewahan wang ringgit. Jolie tidak perlu risau tentang cuti (Jolie cuti tiga bulan).
Beliau tidak perlu risau untuk menjaga keluarga, memasak dan mencuci di mana ia adalah rutin yang dilakukan oleh orang kebanyakan.”
Gentile-Abbood juga berkata, ibu-ibu bekerja tidak mempunyai wang berlebihan seperti dinikmati oleh Jolie yang menggunakannya untuk kos pembedahan membina semula payudara dan pembedahan kosmetik. Ibu-ibu bekerja juga tidak akan mampu untuk bercuti selama berbulan-bulan bagi menjalani prosedur tersebut.
Sebaliknya Jolie mampu membiayai  berjuta-juta dolar untuk prosedur tersebut semata-mata untuk ditayangkan di layar perak.
Beliau amat tidak setuju dengan kempen Jolie yang telah menakutkan ramai wanita bahawa payudara yang mereka miliki akan membunuh mereka.
“Apakah yang harus saya lakukan? Sekadar duduk setiap hari dan berasa bimbang bahawa saya akan menghidap kanser?”
Adakah benar setiap orang yang memiliki gen BRCA bermutasi atau bermasalah akan menghidap kanser payudara dan ovari serta beberapa jenis kanser lain? Institut Kanser Kebangsaan (National Cancer Institute) Amerika Syarikat menyentuh mengenai mutasi BRCA1 dan BRCA2 dan ia secara terbuka mengaku bahawa risiko kanser payudara dan ovari boleh berpunca daripada faktor genetik dan persekitaran.
Tiada sebarang indikasi dalam kenyataan NCI bahawa ia mengaitkan faktor genetik semata-mata untuk kedua-dua kanser tersebut.
Sila semak kenyataan NCI di www. cancer.gov/cancertopics/factsheet/Risk/BRCA. Doktor konvensional akan memberitahu anda risiko kanser payudara meningkat secara ketara apabila mendapati ahli keluarga mengalami kanser yang sama.
Sebaliknya, menurut statistik hanya 20 hingga 30 peratus wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara mempunyai sejarah keluarga mengalami kanser yang serupa.
Sila semak ‘US Breast Cancer Statistic’ di http://www. breastcancer.org/symptoms/understand_bc/ statistics.
Faktor gaya hidup
Apa yang benar ialah tiada siapa terperangkap dengan keadaan dialami oleh gen.
Dari perspektif epigenetik, gen tidak mempengaruhi kesihatan seseorang. Tahap kesihatan sebaliknya dipengaruhi oleh ekspresi gen.
Setiap orang berupaya meningkatkan ekspresi gen yang positif dengan menjalani gaya hidup holistik.
Faktor pemakanan, gerakan fizikal, emosi stabil, kesihatan mental, cahaya matahari (vitamin D) dan keharmonian rohani dipercayai mampu membuka atau menutup suis gen termasuk gen BRCA!
Sesetengah pakar perubatan alternatif percaya seseorang yang menjalani gaya hidup holistik secara konsisten berupaya mencegah 90 peratus kejadian kanser payudara.
Jadi, berdasarkan kenyataan NCI iaitu kanser payudara dan kanser ovari tidak semestinya berpunca daripada faktor genetik semata-mata malah faktor persekitaran juga memainkan peranan, maka punca 20 hingga 30 peratus penghidap kanser payudara di mana ahli keluarga mereka menghidap kanser yang serupa tidak semestinya berpunca daripada gen BRCA yang bermasalah.
Tidak dinafikan sebahagian daripada mereka mungkin mempunyai gen BRCA bermutasi atau bermasalah namun gaya hidup yang dijalani tidak berupaya membantu gen BRCA1 menjalani ekspresi secara positif.
Beberapa jenis nutrien telah dikenal pasti melalui kajian sains dalam membantu pembinaan gen BRCA sihat atau memodifikasi gen BRCA yang bermutasi iaitu vitamin D, Selenium dan omega-3.

Artikel ini juga disiarkan juga secara online di portal Sinar Harian di HYPERLINK  http://www.sinarharian.com.my/angelina-jolie-buang-payudara-1.164842

Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
 ©www.gayahidupholistik.blogspot.com