Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Selasa, 4 Jun 2013

Asid Maleic dalam Teh Bubble

Analisa dan pandangan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) yg terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL-Selangor pada Jun 4, 2013 berkaitan asid maleic yang digunakan sebagai aditif makanan dalam pembuatan bebola kanji ubi kayu buatan Taiwan. Bebola kanji ini digunakan sebagai bahan daya penarik (penyedap tekak) dalam penyediaan teh bubble yang dikenali juga sebagai pearl tea (teh mutiara).


    Minggu lepas Malaysia digemparkan dengan berita iaitu Kementerian Kesihatan menngantung pengimpotan 11 produk berasaskan kanji ubikayu buatan Taiwan. Langkah Kementerian Kesihatan tersebut berikutan langkah pihak berkuasa Singapura mendapati sesetengah bebola kanji ubi kayu buatan Taiwan yang digunakan dalam minuman teh bubble didapati mengandungi asid maleic.
    Menurut pengarah Kanan Jabatan Keselamatan dan Kualiti Makanan, puan Noraini Datuk Mohamad Othman penggunaan asid maleic sebagai aditif (bahan tambahan) dalam makanan adalah dilarang menurut Undang-undang Makanan 1985. Pengambilan acid maleic pada dos tinggi pada tempoh yang lama akan menyebabkan kegagalan buah pinggang.
   Puan Noraini juga dipetik sebagai berkata bahawa mereka yang telah memakannya (teh bubble mengandungi asid maleic) tidak perlu bimbang kerana pengambilan secara sekali sekala pada dos rendah tidak berbahaya.
    Pihak berkuasa Singapura pula iaitu Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) telah menjalankan ujian ke atas 66 produk berasaskan kanji dari Taiwan dan mendapati 11 produk mengandungi asid maleic. Menurut AVA lagi bahawa sebahagian besar produk yang dikesan mengandungi asid maleic merupakan bebola kanji yang digunakan dalam penyediaan minuman teh bubble.
Rantau Asia bimbang
    Beberapa akhbar dari negera China seperti Shanghai Daily dan People's Daily Online (29 Mei, 2013) melaporkan bahawa pihak berkuasa Shanghai telah menguji produk-produk dua buah syarikat Taiwan yang menjual minuman dan pencuci mulut di Shanghai. Ujian mendapati produk-produk kedua-dua syarikat tersebut mengandungi asid maleic.
   Namun ia dinafikan oleh kedua-dua syarikat. Pengusaha The Meet Fresh (Xian Yu Xian) menunjukkan laporan agensi yang menjalankan ujian yang menunjukkan produk mereka bebas dari asid maleic manakala pengusaha kedai Yu Gui Ren di Huaihai Road memberitahu mereka menerima bekalan kanji dari Wilayah Gansu, China.
    Adakah kerajaan Taiwan membenarkan asid maleic digunakan seabagai aditif dalam produk makanan? Jawapannya ia dilarang. Sebuah berita yang disiarkan dalam Want China Times (14 Mei, 2013) menyatakan bahawa pihak berkuaa kesihatan Taiwan telah merampas lebih kurang 25 ton produk dan bahan ramuan mengandungi asid maleic dari dua buah kilang. Rampasan dilakukan berikutan aduan yang menyatakan bahawa sesetengah pengilang menambah asid maleic dalam produk keluaran mereka.
   Bebola kanji dalam teh bubble memiliki sifat tersendiri yang menyebabkan teh bubble digemari ramai. Bebola kanji bukan sahaja lembut namun ia juga bersifat anjal. Rasa unik bebola apabila berada dalam mulut disertai rasa teh dengan pelbagai pilihan perisa menjadikan teh bubble minuman yang laris. Bahan yang dicampurkan ke dalam bebola kanji ubi-kayu untuk mendapatkan keanjalan tidak lain tidak bukan ialah asid maleic.
   Apabila berita mengenai asid maleic disiarkan oleh media cetak dan media elektronik, maka ramai peminat teh bubble tertanya-tanya mengenai bahaya asid maleic. Sebahagian besar peminat teh bubble termasuk pelajar-pelajar universiti yang penulis temui menyatakan mengapa asid maleic tidak dibenarkan digunakan dalam makanan sebagai aditif sedangkan bukankah ia wujud secara semulajadi dalam buah-buahan tertentu seperti anggur dan epal.
Meluruskan kekeliruan
   Kekeliruan timbul kerana sebutan asid maleic hampir sama dengan sebutan asid malic. Kedua-duanya ialah asid dikarboksilik (mengandungi dwi COOH, disebut sebagai C ikatan ganda dua OH) di mana setiap sebatian terdiri dari empat atom karbon. Namun dari segi struktur kedua-duanya berbeza: asid maleic mengandungi ikatan ganda dua manakala asid malic mengandungi hiroksil (OH). Sila semak diagram.
  Asid malic samada bentuk semulajadi asid L - malic (bentuk semulajadi terdapat dalam buah-buahan tertentu), atau DL - malic (sintetik) memang diakui oleh FDA Amerika Syarikat sebagai bahan yang secara umum diketahui selamat (GRAS, generally recognised as safe). Sebaliknya asid maleic digunakan sebagai pelembut plastik (plasticizer). 
   Sebaliknya, seperti telah dinyatakan di atas pengusaha-pengusaha bebola kanji ubi kayu Taiwan menambah asid maleic bertujuan melembutkan bebola bagi mendapatkan sifat anjal.
   Sesetengah orang tidak terliur langsung walau pun ditawarkan minum teh bubble secara percuma. Pertama kerana sebahagian besar kios-kios yang menjual teh bubble boleh dikatakan tidak mempunyai logo halal. Jadi, ketika pertama kali melihat bebola perang/ungu mereka ragu-ragu ia mengenai status kehalalannya. Mereka mengsyaki ia diperbuat dari bahan-bahan haram seperti gelatin. Jika bebola tidak diperbuat dari bahan-bahan haram, mereka mengesyaki mungkin terdapat bahan-bahan lain yang digunakan untuk menyediakan teh bubble mengandungi bahan-bahan tidak halal.
    Dari Abu Muhammad, Al Hasan bin Ali bin Abu Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangan beliau RA telah berkata : "Aku telah menghafal (sabda) dari Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu, gantilah dengan apa yang tidak meragukan kamu."
[HR. Tirmidzi no 2518 dan Tirmidzi berkata: Ini adalah Hadis Hasan Shahih, an-Nasai no.5711,8/327-328, Ibn Hibban dan al Hakim].
Tinggalkan syubhah
    Tiada siapa boleh salahkan golongan di atas. Dalam Islam sifat warak bermaksud sikap berhati-hati terhadap sesuatu perkara syubhah kerana takut terjerumus kepada perkara haram. Warak bukanlah seperti difahami oleh sesetengah orang yang mengganggap seorang yang warak sebagai seorang yang merendah diri, berjalan tunduk atau agak kelihatan naif.
   Sesungguhnya meninggalkan perkara syubhah dan mengambil yang halal akan melahirkan sifat warak. Mereka yang terlalu bermudah-mudah dalam soal hukum dengan meremehkan bimbingan agama dan berjinak-jinak dengan perkara syubhah akan berani melakukan perkara haram.
    Tambahan pula, seorang mukmin yang berakal jernih dan kuat imannya tidak mudah-mudah untuk minum atau makan barangan buatan negara-negara bukan Islam kecuali sesuatu produk keluaran negara-negara tersebut benar-benar disahkan halal oleh badan Islam yang berautoriti sebagaimana JAKIM di Malaysia. 
        Sebelum teh bubble buatan Taiwan atau negara-negara lain bukan Islam membanjiri pasaran mereka (golongan tidak terliur) hidup sihat dan bahagia juga dengan minum pelbagai jenis air yang menyihatkan seperti teh, kopi dan mungkin teh herba.
    Secara keseluruhan teh bubble kaya dengan gula. Tidak pula diketahui samada gula yang digunakan ialah sukros atau glukos. Kedua-duanya tidak baik untuk kesihatan jika diambil pada kuantiti tinggi apatah lagi minum minuman manis dijadikan kelaziman sepanjang masa. Kajian sains menunjukkan fruktos dari sirap jagung tinggi fruktos lebih berbahaya dari sukros.
    Huffington Post (21 September, 2012) melaporkan bahawa sekumpulan penyelidik German dari University Hospital Aaachen telah menemui kelumit bahan-bahan kimia karsinogen (menyebabkan kanser) dalam sampel-sampel bebola ubi kayu. Semua sampel bebola telah diambil dari kedai-kedai di barat daya German yang berasal dari Taiwan. Para saintis tersebut telah menemui styrene, acetophenone dan bahan-bahan mengandungi bromin di mana ia tidak sepatutnya berada dalam makanan. 
    Mungkin teh bubble juga kaya dengan bahan pewarna tiruan. Gula tinggi dan pewarna tiruan dikaitkan dengan sifat degil dan sukar fokus.

Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
©www.Gayahidupholistik.blogspot.com