Artikel tulisan Bahrain Samah ini terbit dalam Sinar Harian pada Oktober 9, 2016
Krisis tenaga yang serius akan
berlaku pada masa hadapan jika sumber tenaga baru tidak diperolehi untuk
menimbal/menambah sumber tenaga yang lambat laun semakin berkurangan atau
mengganti sumber tenaga yang hilang terutama bahanapi fosil.
Semua sumber tenaga yang ada setakat ini memiliki
kelemahan. Bahanapi fosil misalnya, menyumbang kepada perubahan iklim selain
semakin berkurangan. Arang batu memang mudah didapati namun ia adalah pencemar. Tenaga solar pula bergantung kepada
geografi dan cuaca. Kos permulaan juga tinggi!
Tenaga elektrik hidro pula mempunyai kapasiti
maksimum dalam penjanaan tenaga. Tenaga nuklear berasaskan pembelahan nucleus
(nuclear fission) pula berisiko mencemar alam dan memudaratkan kesihatan manusia apabila
berlaku kemalangan seperti yang berlaku di Chernobyl dan Fukushima.
Jadi, penyelesaian terbaik ialah mencari
sumber tenaga bersih, tidak mencemar alam dan tidak membawa risiko kepada
kesihatan manusia jika berlaku kemalangan di stesyen/reaktor janakuasa. Pencarian
tersebut mungkin harus difokuskan kepada penjanaan tenaga menggunakan teknologi
lakuran sejuk (cold fusion). Dari segi kajian, ia telah dijalankan oleh
saintis-saintis termasuk oleh saintis Tentera Laut Amerika.
Sebuah syarikat berpengkalan di California
iaitu Brillouin Energy Corp. merupakan syarikat utama yang telah melangkaui tahap ujian makmal. Kini ia menawarkan
beberapa model penjanaan tenaga lakuran sejuk termasuk untuk penjanaan tenaga
secara besar-besaran.
Kebanyakan saintis percaya bahawa
proses penjanaan kuasa elektrik menggunakan proses lakuran sejuk telah terkubur
sejak 1989. Ia berlaku apabila komuniti saintis tidak berjaya mereplikasi
kajian Martin Fleichmann dan Stanley Pons dari University of Utah yang menunjukkan
mereka menemui proses tersebut.
Laporan
penemuan lakuran sejuk kedua-dua saintis tersebut berjudul Electrochemically induced nuclear fusion of deuterium diterbitkan dalam
Journal of Electroanalytical Chemistry (1989) memang mendapat perhatian
ramai saintis. Namun, sikap berahsia kedua-dua saintis tersebut menyembunyikan
butiran lanjut metodolgi kajian dikatakan antara punca mengapa kajian mereka
tidak berjaya direplikasi oleh saintis-saintis lain.
UC Berkeley
Artikel berjudul Cold fusion: A case study for
scientific Behavior yang
ditulis oleh Candace Gilet untuk Understanding
Science Team, University of
California di Berkeley menerangkan kisah dakwaan kedua-dua saintis tersebut
mengenai penemuan proses lakuran sejuk mereka dan perkara-perkara yang berlaku
yang menyebabkan komuniti saintis menolak dakwaan mereka.
Sungguh pun demikian, beberapa orang
saintis telah bergerak ke hadapan dan mendakwa mereka menjalankan kajian/kerja
melibatkan proses lakuran sejuk dengan panggilan teknologi Low Ebergy Nuclear Reaction (LENR).
Beberapa orang saintis di sebuah syarikat
swasta di Berkeley, California iaitu Brillouin
Energy Corp. misalnya mendakwa berjaya membina proses dikenali sebagai a controlled electron capture reaction (CECR).
Mereka menjalankan kajian dengan memuat naik hidrogen biasa ke dalam kekisi
nikel disusuli dengan denyutan elektronik yang dilepaskan dalam sistem.
Mekanism
Mereka mendakwa bahawa radas mereka mengubah H-1 (hidrogen biasa) kepada
H-2 (deuterium), kemudian selanjutnya kepada H-3 (tritium) dan H-4 (quatrium).
Seterusnya, H-4 mereput kepada He-4 (Helium) dan melepaskan tenaga. Mereka
melaporkan bahawa kajian mereka berjaya membina tritium (H-3).
Brillouin
Energy Corp. dalam
laman sawang utama di HYPERLINK http://brillouinenergy.com/?page=tech_summary
menyatakan bahawa sejak dakwaan penemuan lakuran sejuk oleh Martin Fleischmann dan Stanley Pons pada 1989, terdapat
pelbagai kajian yang boleh dipercayai yang menunjukkan kewujudan tindak-balas
LENR. Namun, tiada suatu sistem pun yang mampu mencapai gabungan
kebolehreplikasian, kebolehkawalan, operasi berterusan, integriti bahan-bahan
yang digunakan dan pengeluaran tenaga bersih sepertimana pencapaian teknologi
proses CECR milik tunggal Brillouin
Energy Corp.
Di bawah subjudul Opportunity di halaman sama, syarikat
tersebut menawarkan dua jenis sistem reaktor iaitu yang pertama sistem suhu
rendah beroperrasi sehingga 150 darjah Celsius berasaskan kepada proses
elektolisis (basah). Ia membekal tenaga haba suhu rendah untuk ruang dan
pemanasan air serta industri yang menggunakan suhu rendah seperti pemprosesan
makanan dan aplikasi penjagaan kesihatan.
Sistem reaktor
kedua pula beroperasi pada suhu tinggi iaitu antara 500 hingga 700 darjah
Celsius yang berasaskan proses mendedahkan gas hidrogen tekanan tinggi kepada
teras (elektrod). Sistem ini berupaya membekal haba suhu tinggi dan boleh digunakan
untuk menjana tenaga elektrik.
Kenyataan di bawah
subjudul yang sama amat menarik iaitu jumlah hidrogen dalam dalam segelas air
mengandungi isipadu tenaga (energy density) yang mencukupi, namun apabila
digunakan dalam sistem dandang unik Brillouin
Energy, ia dipercayai berupaya membekal 30,000 rumah selama setahun!
Pada masa sama
usahawan berlatar-belakang kejuruteraan, Andrea Rossi mendakwa beliau telah
membina reaktor kecil yang berupaya mengeluarkan haba melalui proses LENR yang dikatakan masih sukar untuk
difahami sepenuhnya. Beliau mendakwa sedang menjalankan ujian pada sistem yang
telah dipasang di sebuah premis pelanggan komersial iaitu JM Chemical Products Inc..
Menurut Rossi
sistem tersebut mampu mengeluarkan kuasa bersih 1 MegaWatt secara berterusan
dalam bentuk haba hanya dari beberapa gram ‘bahan api’ dalam setiap set reaktor
bersaiz sederhana dalam sebuah jaringan.
Sebuah syarikat
perunding penilaian mendapati coofficient
of peformance (COP) sistem Rossi ialah 50. Maksudnya setiap 1 kiloWatt
tenaga yang digunakan untuk menjana reaktor mengeluarkan 50 kiloWatt tenaga.
Rossi sedang mengalami
pertikaian dengan bekas rakan kongsinya iaitu Industrial Heat, Proses saman menyaman antara kedua-dua pihak
dikatakan sedang berlaku. Industrial Heat
dikatakan membiayai pesaing Rossi iaitu Brillouin
Energy Corp.. Industrial Heat dikatakan
berhak memasarkan produk-produk berasaskan E-cat
(reaktor LENR ciptaan Rossi) ke Amerika Utara, Amerika Selatan, China, Russia,
Arab Saudi, China dan Emirate Arab. Pada masa sama Rossi pula dikatakan
berura-ura untuk memasarkan produk ciptaannya ke beberapa negara Eropah.
Tiada siapa pasti
mengenai masa hadapan E-cat Rossi
terutama jika keputusan mahkamah nanti tidak menyebelahi Rossi.
Pada masa sama, Brillouin Energy Corp. seperti dakwaannya yang telah
dibincangkan di atas mungkin akan mara ke hadapan lebih pantas dari Rossi apabila
produk-produk penjanaan tenaga lakuran sejuknya berjaya dipasarkan walau pun
secara beransur-ansur.
Agensi Nuklear Malaysia harus
berjinak-jinak dengan evolusi teknologi lakuran sejuk ini kerana ia bukan
sahaja dipercayai mampu menjadi sumber tenaga alternatif yang cekap malah ia
mesra alam – helium-4 ialah satu-satunya produk tindak-balas.