Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Selasa, 11 Oktober 2016

(Lakuran Sejuk) Sumber Tenaga Masa Hadapan

Artikel tulisan Bahrain Samah ini terbit dalam Sinar Harian pada Oktober 9, 2016
Krisis tenaga yang serius akan berlaku pada masa hadapan jika sumber tenaga baru tidak diperolehi untuk menimbal/menambah sumber tenaga yang lambat laun semakin berkurangan atau mengganti sumber tenaga yang hilang terutama bahanapi fosil.
    Semua sumber tenaga yang ada setakat ini memiliki kelemahan. Bahanapi fosil misalnya, menyumbang kepada perubahan iklim selain semakin berkurangan. Arang batu memang mudah didapati namun ia adalah  pencemar. Tenaga solar pula bergantung kepada geografi dan cuaca. Kos permulaan juga tinggi!
    Tenaga elektrik hidro pula mempunyai kapasiti maksimum dalam penjanaan tenaga. Tenaga nuklear berasaskan pembelahan nucleus (nuclear fission) pula berisiko mencemar alam dan   memudaratkan kesihatan manusia apabila berlaku kemalangan seperti yang berlaku di Chernobyl dan Fukushima.
    Jadi, penyelesaian terbaik ialah mencari sumber tenaga bersih, tidak mencemar alam dan tidak membawa risiko kepada kesihatan manusia jika berlaku kemalangan di stesyen/reaktor janakuasa. Pencarian tersebut mungkin harus difokuskan kepada penjanaan tenaga menggunakan teknologi lakuran sejuk (cold fusion). Dari segi kajian, ia telah dijalankan oleh saintis-saintis termasuk oleh saintis Tentera Laut Amerika.
    Sebuah syarikat berpengkalan di California iaitu Brillouin Energy Corp. merupakan syarikat utama yang telah melangkaui tahap ujian makmal. Kini ia menawarkan beberapa model penjanaan tenaga lakuran sejuk termasuk untuk penjanaan tenaga secara besar-besaran.
    Kebanyakan saintis percaya bahawa proses penjanaan kuasa elektrik menggunakan proses lakuran sejuk telah terkubur sejak 1989. Ia berlaku apabila komuniti saintis tidak berjaya mereplikasi kajian Martin Fleichmann dan Stanley Pons dari University of Utah yang menunjukkan mereka menemui proses tersebut.
    Laporan penemuan lakuran sejuk kedua-dua saintis tersebut berjudul Electrochemically induced nuclear fusion of deuterium diterbitkan dalam Journal of Electroanalytical Chemistry (1989) memang mendapat perhatian ramai saintis. Namun, sikap berahsia kedua-dua saintis tersebut menyembunyikan butiran lanjut metodolgi kajian dikatakan antara punca mengapa kajian mereka tidak berjaya direplikasi oleh saintis-saintis lain.

UC Berkeley
      Artikel berjudul Cold fusion: A case study for scientific Behavior yang ditulis oleh Candace Gilet untuk Understanding Science Team, University of California di Berkeley menerangkan kisah dakwaan kedua-dua saintis tersebut mengenai penemuan proses lakuran sejuk mereka dan perkara-perkara yang berlaku yang menyebabkan komuniti saintis menolak dakwaan mereka.
     Sungguh pun demikian, beberapa orang saintis telah bergerak ke hadapan dan mendakwa mereka menjalankan kajian/kerja melibatkan proses lakuran sejuk dengan panggilan teknologi Low Ebergy Nuclear Reaction (LENR).
     Beberapa orang saintis di sebuah syarikat swasta di Berkeley, California iaitu Brillouin Energy Corp. misalnya mendakwa berjaya membina proses dikenali sebagai a controlled electron capture reaction (CECR). Mereka menjalankan kajian dengan memuat naik hidrogen biasa ke dalam kekisi nikel disusuli dengan denyutan elektronik yang dilepaskan dalam sistem.

Mekanism
   Mereka mendakwa bahawa radas mereka mengubah H-1 (hidrogen biasa) kepada H-2 (deuterium), kemudian selanjutnya kepada H-3 (tritium) dan H-4 (quatrium). Seterusnya, H-4 mereput kepada He-4 (Helium) dan melepaskan tenaga. Mereka melaporkan bahawa kajian mereka berjaya membina tritium (H-3).
   Brillouin Energy Corp. dalam laman sawang utama di HYPERLINK http://brillouinenergy.com/?page=tech_summary menyatakan bahawa sejak dakwaan penemuan lakuran sejuk oleh Martin Fleischmann dan Stanley Pons pada 1989, terdapat pelbagai kajian yang boleh dipercayai yang menunjukkan kewujudan tindak-balas LENR. Namun, tiada suatu sistem pun yang mampu mencapai gabungan kebolehreplikasian, kebolehkawalan, operasi berterusan, integriti bahan-bahan yang digunakan dan pengeluaran tenaga bersih sepertimana pencapaian teknologi proses CECR milik tunggal Brillouin Energy Corp.
     Di bawah subjudul Opportunity di halaman sama, syarikat tersebut menawarkan dua jenis sistem reaktor iaitu yang pertama sistem suhu rendah beroperrasi sehingga 150 darjah Celsius berasaskan kepada proses elektolisis (basah). Ia membekal tenaga haba suhu rendah untuk ruang dan pemanasan air serta industri yang menggunakan suhu rendah seperti pemprosesan makanan dan aplikasi penjagaan kesihatan.           
     Sistem reaktor kedua pula beroperasi pada suhu tinggi iaitu antara 500 hingga 700 darjah Celsius yang berasaskan proses mendedahkan gas hidrogen tekanan tinggi kepada teras (elektrod). Sistem ini berupaya membekal haba suhu tinggi dan boleh digunakan untuk menjana tenaga elektrik.    
    Kenyataan di bawah subjudul yang sama amat menarik iaitu jumlah hidrogen dalam dalam segelas air mengandungi isipadu tenaga (energy density) yang mencukupi, namun apabila digunakan dalam sistem dandang unik Brillouin Energy, ia dipercayai berupaya membekal 30,000 rumah selama setahun!
     Pada masa sama usahawan berlatar-belakang kejuruteraan, Andrea Rossi mendakwa beliau telah membina reaktor kecil yang berupaya mengeluarkan haba melalui proses LENR yang dikatakan masih sukar untuk difahami sepenuhnya. Beliau mendakwa sedang menjalankan ujian pada sistem yang telah dipasang di sebuah premis pelanggan komersial iaitu JM Chemical Products Inc..
     Menurut Rossi sistem tersebut mampu mengeluarkan kuasa bersih 1 MegaWatt secara berterusan dalam bentuk haba hanya dari beberapa gram ‘bahan api’ dalam setiap set reaktor bersaiz sederhana dalam sebuah jaringan.
     Sebuah syarikat perunding penilaian mendapati coofficient of peformance (COP) sistem Rossi ialah 50. Maksudnya setiap 1 kiloWatt tenaga yang digunakan untuk menjana reaktor mengeluarkan 50 kiloWatt tenaga.
     Rossi sedang mengalami pertikaian dengan bekas rakan kongsinya iaitu Industrial Heat, Proses saman menyaman antara kedua-dua pihak dikatakan sedang berlaku. Industrial Heat dikatakan membiayai pesaing Rossi iaitu Brillouin Energy Corp.. Industrial Heat dikatakan berhak memasarkan produk-produk berasaskan E-cat (reaktor LENR ciptaan Rossi) ke Amerika Utara, Amerika Selatan, China, Russia, Arab Saudi, China dan Emirate Arab. Pada masa sama Rossi pula dikatakan berura-ura untuk memasarkan produk ciptaannya ke beberapa negara Eropah.
      Tiada siapa pasti mengenai masa hadapan E-cat Rossi terutama jika keputusan mahkamah nanti tidak menyebelahi Rossi.
      Pada masa sama, Brillouin Energy Corp. seperti dakwaannya yang telah dibincangkan di atas mungkin akan mara ke hadapan lebih pantas dari Rossi apabila produk-produk penjanaan tenaga lakuran sejuknya berjaya dipasarkan walau pun secara beransur-ansur.
     Agensi Nuklear Malaysia harus berjinak-jinak dengan evolusi teknologi lakuran sejuk ini kerana ia bukan sahaja dipercayai mampu menjadi sumber tenaga alternatif yang cekap malah ia mesra alam – helium-4 ialah satu-satunya produk tindak-balas.

http://gayahidupholistik.blogspot.com/2016/10/lakuran-sejuk-sumber-tenaga-masa-hadapan.html