VAKSIN terbukti
menyumbang manfaat besar kepada kehidupan manusia dan mampu melenyapkan
pelbagai penyakit berbahaya di samping meningkatkan kualiti hidup serta jangka
hayat manusia seluruh dunia. Namun, terdapat sebahagian individu dan ibu bapa
yang menolak pemvaksinan dengan beberapa alasan tertentu.
Golongan penolak vaksin (refusers) merujuk kepada mereka
yang memilih untuk tidak memvaksin anak-anak mereka. Selain itu terdapat
golongan lain dikenali sebagai golongan anti vaksin (Bahasa Inggeris:
anti-vaccine). Kamus Merriam Webster mendefinisikan anti-vaccine sebagai
menolak penggunaan vaksin.
Sebahagian refusers tidak mengaku mereka golongan anti
vaksin. Jadi, apakah maksud anti vaksin? Pada pandangan penulis, istilah
tersebut paling sesuai jika didefinisikan sebagai menyanggah penggunaan vaksin.
Ia kerana istilah sanggah bermaksud bantah atau tentang.
Jadi, jika refusers mengaku mereka bukan golongan anti
vaksin, ada benarnya kerana mereka sekadar menolak sedangkan anti vaksin
membantah dan menentang! Refusers dikatakan lebih mudah dipujuk berbanding golongan
anti vaksin.
Dalam artikel ini penulis akan membincangkan beberapa
kekeliruan yang biasa diketengahkan oleh golongan anti vaksin yang dikatakan
sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi golongan refusers.
Keberkesanan
Golongan anti vaksin mendakwa vaksin tidak berkesan
dengan alasan amalan kebersihan yang lebih baik telah mencegah pembentukan
pelbagai penyakit sebelum kemunculan vaksin. Untuk menguatkan dakwaan, mereka
menggunakan rajah A yang terdiri daripada dua buah graf, masing-masing
menunjukkan kadar kematian berpunca daripada cacar dan batuk kokol.
Berdasarkan kepada kedua-dua graf tersebut di mana kadar
kematian (mortaliti) bagi kedua–dua penyakit adalah rendah atau tiada, mereka
berkata kadar penurunan kematian bukan kerana pelaksanaan vaksin-vaksin cacar
dan batuk kokol tetapi berpunca dari aspek penambahbaikan sosioekonomi, iaitu
dari aspek amalan kebersihan.
Fakta yang disembunyikan oleh golongan anti vaksin ialah
dua buah graf (rajah B) yang masing-masing menunjukkan kadar kes (morbiditi) cacar
dan batuk kokol. Kedua-dua graf menunjukkan perlaksanaan pemvaksinan berjaya
mengurangkan kadar kes untuk kedua-dua penyakit.
Jadi, sungguh pun amalan kebersihan menyumbang impak
besar dalam mengurangkan kadar kematian, namun ia tidak membasmi penyakit.
Bahan kimia bertoksin
Golongan anti vaksin mendakwa vaksin mengandungi
bahan-bahan kimia berbahaya seperti merkuri, formaldehyde dan aluminium.
Golongan anti vaksin melakukan dua perkara untuk
mengaburkan ilmu sains. Pertama, mereka mengetepikan bagaimana kimia asas
berfungsi. Kedua, mereka mengetepikan fakta bahawa ketoksikan bergantung kepada
sukatan. Merkuri (hanya terdapat dalam vaksin flu) dan aluminium dalam vaksin
adalah dalam bentuk sebatian yang biasa ditemui dalam kehidupan harian serta
pada kuantiti yang amat rendah.
Formaldehyde dari kumpulan berfungsi aldehyde pula
bersifat toksik pada kuantiti tinggi tetapi ia dikatakan selamat pada kuantiti
rendah sebagaimana ditemui dalam pelbagai makanan yang biasa kita makan. Sila
semak artikel Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (PKP) berjudul Parents’
Guide to Childhood Immunizations di bawah subjudul Part 4: Frequently Asked
Questions (jawapan kepada soalan Aren’t some of the ingredients in vaccines
toxic?/formaldehyde).
Golongan anti vaksin mungkin tidak tahu atau
menyembunyikan hakikat iaitu formaldehyde wujud pada paras rendah dalam
kebanyakan organisma hidup. Ia terdapat secara semula jadi dalam makanan
termasuk antara lain buah-buahan, sayur-sayuran, daging. ikan, krustasea dan
cendawan hingga ke paras 400 mg/kg (bahagian per sejuta). Untuk butiran lanjut
sila semak artikel berjudul Formaldehyde in Food di laman sawang Centre for
Food Safety di HYPERLINK
http://www.cfs.gov.hk/english/programme/programme_rafs/programme_rafs_fa_02_09.html.
Sumber lain formaldehyde ialah asap kenderaan, asap
rokok, makanan bergoreng menggunakan minyak mono/poli tak tepu, bahan kosmetik
dan ubat-ubatan moden tertentu.
Sebagai perbandingan, tubuh manusia membina 500 miligram
formaldehyde sehari sebagai sebahagian dari proses metabolisme manakala vaksin
pula dikatakan mengandungi hanya sehingga 0.1 miligram formaldehyde (sebahagian
besar bergabung dengan protein bertoksin dikeluarkan oleh virus/bakteria
vaksin).
Bayi dikatakan berupaya menguraikan formaldehyde dalam 2
minit! Bandingan: bayi berumur dua bulan memiliki 1.1 miligram (10 kali ganda
berbanding vaksin) bahan tersebut dan sebiji buah pir mengandungi 50 miligram.
Menyentuh mengenai kandungan aluminium pula, berdasarkan
artikel PKP yang lain berjudul Parents’ Guide to Childhood Immunizations di
bawah subjudul Part 4: Frequently Asked Questions (jawapan kepada soalan Aren’t
some of the ingredients in vaccines toxic?/Aluminium), PKP menerangkan bahawa
purata pengambilan harian aluminium ialah 30 – 50 miligram. Bukan semua vaksin
mengandungi aluminium dan kandungan tipikal ialah antara 0.125-0.625 miligram
per dos iaitu sekitar 1 peratus dari purata pengambilan harian.
Aluminium terdapat di sekeliling kita termasuk dalam
udara, asap kenderaan, makanan termasuk susu ibu, susu soya dan susu tepung.
Walau bagaimana pun, kebanyakan aluminium daripada makanan, ubatan (termasuk
vaksin) dan air dikatakan dibuang melalui tinja dengan pantas.
Tidak perlu
Dakwaan golongan anti vaksin seterusnya ialah pemvaksinan
secara umum tidak diperlukan lagi sekarang ini kerana sebahagian besar penyakit
terutama di negara-negara maju telah dibasmi. Yang benar ialah hanya beberapa
kes sesuatu penyakit boleh menyebabkan penyebarluasan penyakit berkaitan kepada
penduduk dengan pemvaksinan pada kadar rendah (per populasi).
Pemvaksinan membantu mencegah penyebaran sesuatu penyakit
kepada orang lain. Sebilangan kecil populasi yang tidak menjalani pemvaksinan
atas alasan tertentu dikatakan tidak dijangkiti sesuatu penyakit apabila
sebahagian besar populasi yang sama menjalani pemvaksinan (herd immunity).
Diharapkan artikel ini dan sambungannya dalam artikel
minggu hadapan dapat membuka hati (akal bawah sedar) golongan anti vaksin agar
mengutamakan sikap rasional (usaha yang sukar tetapi boleh dilakukan), bukan
berdasarkan emosi atau confirmation bias (pertahan input/info berat sebelah)
dalam membuat penilaian/keputusan berkaitan keselamatan
vaksin.
Sumbangan golongan anti vaksin yang sudi mencerna dan
menilai isi artikel ini yang diharapkan membantu menganjak paradigma kepada
pegangan yang bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat umum amat
dialu-alukan.