Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Selasa, 11 Oktober 2016

Vaksin: Auta atau Fakta?

Artikel tulisan Bahrain Samah ini tertbit dalam Sinar Harian pada Oktober 2, 2016
Ia adalah sambungan artikel berjudul 'Kekeliruan Golongan Anti Vaksin' (Sinar Harian, Septe,mber 25, 2016)
Ahli geofizik Marcia McNutt yang pernah mengetuai U.S. Geological Survey dan sekarang bertugas sebagai editor jurnal berprestij Science berkata bahawa sains tidak menawarkan semua fakta. Ia hanya kaedah untuk menentukan samada pilihan kita memiliki asas selari dengan hukum semulajadi atau tidak.
Sebab itulah perdebatan mengenai sesuatu perkara termasuk topik pemvaksinan akan sentiasa berlaku. Setiap pihak mempertahan pegangan mereka berkaitan kebaikan/keburukan dan keberkesanan pemvaksinan berasaskan alasan-alasan tertentu termasuk mendakwa ia dilakukan berdasarkan fakta/sains dan kajian saintifik.
Dalam artikel minggu lepas beberapa kekeliruan yang menjadi pegangan golongan antivaksin iaitu vaksin tidak berkesan sebaliknya amalan kebersihan menurunkan kadar kematian, vaksin mengandungi bahan-bahan kimia bertoksin yang dipercayai berbahaya kepada kesihatan dan vaksin tidak diperlukan masakini telah dibincangkan.
Contoh-contoh kekeliruan yang dijadikan pegangan golongan antivaksin dalam artikel ini dan minggu lepas dijadikan panduan oleh golongan tersebut di seluruh dunia dalam membentuk dan berpegang-teguh kepada persepsi mereka.
Berikut ialah empat lagi kekeliruan golongan antivaksin dan setiap satu disertakan fakta yang menyanggahnya.
Terlalu banyak vaksin
Golongan antivaksin mendakwa memberi terlalu banyak vaksin membebankan sistem imiun kanak-kanak yang dibimbangi antara lain mencetus alahan. Alasan yang diketengahkan ialah rekod menunjukkan bilangan vaksin yang disyorkan semakin bertambah jauh lebih tinggi berbanding peringkat awal ketika vaksin mula-mula dilaksana.
Mereka berkata pada 1940an hanya vaksin DTP (diphtheria, pertussis, tetanus) dan cacar (smallpox) dimulakan. Ketika itu sesetengah bayi menerima 4 suntikan sebelum berumur 2 tahun namun hanya diberi sekali suntikan setiap kali pemvaksinan.
Pada 1980an suntikan vaksin bertambah kepada 9. Ia terdiri dari DTP dan polio yang disuntik tiga kali pada baru berumur antara 2-6 bulan, MMR pada ketika berumur setahun, DTP lagi ketika 18 bulan dan akhir sekali DTP ketika berumur 5 tahun. Kanak-kanak menerima 8 suntikan sebelum berumur 2 tahun dan tidak disuntik melebihi dua kali setiap kali pemvaksinan.
Menjelang 2012 pula, 49 dos terdiri dari 14 jenis vaksin diberi kepada kanak-kanak berumur kurang 6 tahun. Sesetengah vaksin diberi serentak atau pada tempoh terlalu rapat.
Kebimbangan golongan antivaksin tersebut dikatakan tidak berasas. Ia kerana hakikat yang berlaku ialah sistem imiun bayi dan kanak-kanak terdedah kepada antara 2,000-6,000 antigen atau partikel reaktif dari persekitaran pada setiap hari. Bilangan tersebut jauh lebih tinggi berbanding bilangan vaksin yang diterima menjelang 2012 dan tahun-tahun berikutnya. Sila semak laporan kajian berjudul Addressing Parents’ Concerns: Do Multiple Vaccines Overwhelm or Weaken the Infant’s Immune System? terbit dalam jurnal Pediatrics (2002).
Table 2 (jadual 2) berjudul Number of Immunogenic Proteins and Polysaccharide Contained in Vassines Over the Past 100 Years dalam artikel sama pula menunjukkan pertambahan bilangan vaksin disertai dengan penurunan paras protein pada keseluruhan jumlah vaksin. Pada 1960 bilangan protein dalam vaksin ialah lebihkurang 3,217 manakala pada tahun 2,000, bilangan protein/polisakarida berkurangan kepada 123-126 iaitu hanya 3.8 peratus dari 1960! 
Kesan sampingan
Dakwaan golongan antivaksin seterusnya ialah kesan-kesan sampingan pemvaksinan adalah jauh lebih besar berbanding risiko untuk mengalami penyakit (dengan peluang kecil tanpa vaksin).
 Dakwaan tersebut disangkal begini: Vaksin dikatakan amat selamat dan sebarang kesan sampingan yang dialami adalah pada tahap ringan dan bersifat sementara seperti lengan lenguh atau demam ringan. Sebaliknya, mengalami penyakit (tanpa pemvaksinan) dikaitkan dengan risiko-risiko buruk termasuk simtom-simtom berat dan membawa kematian (bergantung jenis penyakit dan tahap keterukannya).
Baru-baru ini Kementerian Kesihatan misalnya menegaskan bahawa kanak-kanak yang divaksin dan mengalami difteria didapati mengalami simtom-simtom ringan berbanding dengan mereka yang tidak divaksin (mengalami simtom-simtom berat).
Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat menyatakan bahawa peluang kematian berpunca dari jangkitan campak (1 dari 500) adalah lebih tinggi berbanding dengan mengalami tindak-balas alahan tidak menyebabkan kematian berpunca dari vaksin MMR (1 dari 1,000,000).
Lebih sihat
Golongan antivaksin mendakwa individu yang divaksin adalah kurang sihat berbanding mereka yang tidak divaksin. Mereka menggunakan graf tertentu misalnya seperti dihebahkan oleh HealthImpactNews.com dalam artikel berjudul Study: Vaccinated Children Have 2 to 5 Times More Diseases and Disorders Than Unvaccinated Children.
Graf tersebut dikatakan dibentuk berdasarkan pengumpulan data sola selidik dan bancian tidak saintifik bersifat berat sebelah. Contoh graf-graf saintifik yang harus dijadikan rujukan ialah tiga graf dari Figure 3 dalam laporan kajian berjudul Vaccination Status and Health in Children and Adolescents yang terbit dalam jurnal Deutsches Arzreblatt (2011). Sila rujuk Rajah A dalam artikel ini.
Perbezaan yang didapati antara kanak-kanak divaksin dan tidak divaksin ialah peratusan penghidap penyakit pada kanak-kanak yang divaksin adalah rendah berbanding mereka tidak divaksin. Tiada perbezaan didapati pada jangkitan tidak spesifik dan alahan.
Autism
Golongan antivaksin mendakwa vaksin menyebabkan autism kerana kes-kes autism meningkat apabila suntikan MMR diperkenalkan. Antara graf tipikal yang digunakan ialah graf yang menunjukkan peningkatan bilangan kanak-kanak autism (berdasarkan pendaftaran) sejak vaksin MMR diperkenalkan di California bermula pada pertengahan 1970an hingga 1990 dengan peningkatan dari 200 kepada hampir 600 ratus orang. 
Pendekatan menggunakan graf tersebut menerima kritikan hebat kerana data tidak mengambil kira faktor-faktor seperti peningkatan penduduk  negeri berkaitan, perubahan definasi perubatan dan diagnosis awal.
Kajian di Jepun di mana MMR diperkenalkan pada 1989 dan kemudian mansuhkan pada 1993 menunjukkan gambaran jelas bahawa autism tidak dikaitkan dengan pemvaksinan. Lihat Graf - Kajian Yokohama.
Alasan yang mengaitkan aluminium dalam vaksin dengan autism juga tidak dapat diterima. Dalam artikel minggu lepas dinyatakan aluminium dari vaksin hanya 1 peratus dari purata pengambilan harian.  Kekerapan pengambilan aluminium dari sumber lain jauh lebih tinggi berbanding pengambilannya melalui vaksin!
Ingatlah. Mencegah lebih baik dari berubat. Diharapkan artikel ini dapat membantu golongan antivaksin menyingkirkan persepsi negatif terhadap kebaikan/keselamatan pemvaksinan serta mengetepikan sebarang info bersifat negatif terhadap pemvaksinan, tidak berasaskan fakta/sains dan analisa berat sebelah.