Artikel tulisan Bahrain Samah yang berikut telah terbit dalam Sinar Harian pada 30 Oktober, 2017.
Adakah seseorang itu narcissist (individu mengalami narsisisme atau bersifat narsisistik)
kerana kerap mengepos selfie atau mengepos teks/komen di media sosial?
Jawapannya ialah ia bergantung kepada tujuan dan kelakuan tertentu pelaku. Sila
baca artikel berjudul What is the real
link between selfies and narcissim? (Psychology Today).
Terdapat
kemungkinan tabiatnya tiada kena mengenai dengan narsisisme. Kemungkinan lain
ialah ia mengalami narsisisme ringkas. Jika ia memiliki sekurang-kurangnya lima
dari sembilan kriterea diagnosis narcissistic
personality disorder (NPD) maka terdapat kemungkinan ia mengalami NPD.
Menurut Dr. Allan Schwartz terdapat perbezaan
ketara antara narsisisme ringkas dan NPD. NPD merupakan penyakit mental. Sungguh
pun narsisisme menunjukkan sifat-sifat serupa, namun ia tidak diklasifikasi
sebagai penyakit mental. Istilah narsisisme biasanya digunakan secara berselang seli dengan istilah NPD –
diterima apabila sesuai dengan konteks.
Seseorang
yang mengalami NPD adalah narcissist,
namun bukan semua narcissist
mengalami NPD. Bill Gates, Larry Ellison dan Steve Jobs sering digelar narcissists
namun mereka tidak pernah didiagnos mengalami penyakit mental. Sebaliknya,
Adolf Hitler, Joseph Stalin dan Napoleon Bonaparte dikatakan mengalami NPD
sekali gus mengalami penyakit mental.
Dimanjakan
Punca sebenar NPD tidak diketahui, namun saintis
dan ahli psikologi percaya pembentukannya dipengaruhi gabungan pelbagai faktor.
Penjagaan bayi, kanak-kanak dan remaja secara ekstrem dipercayai sebagai salah
satu punca pembentukan NPD. Kanak-kanak yang terlalu dimanjakan dan dipenuhi
semua kehendak (over-indulgence) ketika dibesarkan boleh menyebabkan
pembentukan NPD.
Ibu-bapa
yang meletakkan harapan tinggi pada kanak-kanak apabila mereka dewasa,
penjagaan oleh penjaga bersifat narsisistik, penderaan atau pengabaian juga
dipercayai sebagai punca.
Sesetengah ahli sejarah dan sosiologi
berpendapat terdapat beberapa keselarian antara trend dalam masyarakat industri
maju dengan sifat-sifat personaliti pada mereka yang didiagnos mengalami NPD. Ia
termasuk media massa mengutamakan paparan kehidupan orang kaya dan terkenal, pada masa sama kehidupan orang kebanyakan
kurang mendapat liputan. Kedua ialah kehidupan materialistik iaitu siapa ada wang,
status dan pencapaian dia tayang, bukan kehidupan mengutamakan sederhanaan atau
mengawal diri dari sifat menunjuk-nunjuk.
Tagih Sanjungan
Trend ketiga
ialah masyarakat menyanjung ketua/pemimpin yang memiliki gaya penampilan dan
personaliti terkini, bukan ketua/pemimpin yang memiliki kerpercayaan dan nilai
tersendiri. Trend keempat ialah syarikat-syarikat besar dan birokrat kerajaan
mengutamakan gaya pengurusan berdasarkan ‘impression management’, bukan
berdasarkan penilaian objektif terhadap prestasi.
Trend kelima
ialah trend sosial yang menggalakkan ibu-bapa mementingkan diri (self-centered)
dan mengetepikan kehendak/keperluan kanak-kanak. Trend terakhir ialah amalan
keagamaan yang semakin lemah yang menyebabkan ibu-bapa mengasuh anak-anak
dengan menanam sikap bahawa mereka terasing daripada masyarakat, bukan
sebahagian daripada komuniti.
Personaliti
narsisistik terbahagi kepada empat subkategori. Yang pertama ialah craving narcissist. Emosi individu jenis
ini dahagakan perhatian orang dengan memerintah atau bergantung kepada orang
lain. Sub kategori kedua ialah paranoid
narcissist iaitu individu yang benci akan diri sendiri, namun ia
melemparkan kebencian tersebut kepada orang lain. Ia mengkritik secara
keterlaluan atau berkelakuan berunsur cemburu menyebabkan orang menjauhkan diri
darinya.
Cerita Palsu dan Fitnah
Subkategori
ketiga ialah manipulative narcissisist.
Individu ini gemar meyakinkan orang lain agar percaya cerita palsu rekaannya
atau memanipulasi bertujuan menunjukkan diri serba bagus. Subkategori yang
terakhir ialah phallic narcissist di
mana sub kumpulan ini biasanya terdiri dari kaum lelaki. Sifat-sifat utama
ialah agresif, atletik dan ekshibitionis (gemar tayang tubuh, pakaian dan
kelelakian secara keseluruhan).
Kounselor
psikologi, Sam Vaknin menyatakan bahawa sesetengah narcissist merasa seronok mendera, mencemuh, mengacau/mengganggu
dan mengawal orang lain dengan cara aneh. Mereka melakukannya tanpa berfikir
panjang, secara automatik dan kerap – kadangkala tanpa sebab yang jelas.
Menurut Vaknin, individu zalim (“pure”
sadist) menyakitkan fizikal/perasaan orang lain tanpa sebarang tujuan kecuali
untuk keseronokan. Sebaliknya, narcissist zalim pula sengaja (melakukan
pelbagai cara misalnya mengada-adakan cerita) menakut-nakutkan atau memburu
mangsa dengan tujuan tertentu – merupakan sebahagian daripada mekanism projective indentification.
Apabila
merasa tertekan, marah, murung atau kecewa, narcissist
dikatakan tidak akan menampakkan emosinya secara ikhlas dan terbuka.
Melakukan perkara tersebut bermaksud mereka mendedahkan diri mereka yang
sebenar iaitu bersifat lemah, rapuh, memiliki kekurangan atau sedang mengalami
masalah. Jadi, ia menggunakan mangsa sebagai cara memesongkan perasaan
tertekan, kemarahan, penderitaan, kekasaran dan kekecewaannya.
Seronok Menyiksa
Sesetengah narcissist
melakukannya dengan menyiksa mental mangsa sehingga ia menjadi gila,
menyebabkannya bertindak di luar kawalan dan rasa diri amat kerdil serta
kadang-kadang bertindak-balas untuk membalas dendam. Sila baca tulisan Sam
Vaknin berjudul Other People's Pain: Narcissism, Sadism,
and Masochism.
Kelakuan narcissist bersifat destruktif di media sosial akan semakin
menjadi-jadi apabila terdapat semakin ramai pengikut, sokongan dan
pujian/sanjungan. Tanpa kehadiran sebarang pengikut, sokongan atau sanjungan
serta belangnya tidak akan berfungsi!
Penyokong Sama-sama Narsisis?
Jika
anda terus menyukai (rasa seronok/puas) segala tindakan narsisistiknya misalnya
tiada empati, angkuh, suka memerintah, melatah apabila dikritik, suka melihat
orang lain menderita dan suka mendesak, maka terdapat kemungkinan anda sendiri mengalami
narsisisme. Lebih buruk lagi jika beberapa sifat/kelakuan anda memenuhi
kriterea diagnosis NPD!
Pada pandangan penulis, jika anda tidak
mahu bersekongkol dengannya maka jalan keluar terbaik ialah menghindarinya - bertindak
dengan tidak berkawan dengannya.
Setiap orang dikatakan menunjukkan
beberapa kelakuan narsisistik dari semasa ke semasa. Namun, hanya individu tertentu
yang akan didiagnos oleh ahli psikologi sebagai mengalami narsisisme ringkas atau
NPD.
Seseorang yang sedar ia mengalami
narsisisme atau NPD dan bertekad untuk berubah harus muhasabah diri. Jika
beragama Islam, kembalilah kepada ajaran Quran dan Sunnah dengan merendahkan diri
bersedia belajar dengan orang berilmu agama (ustaz/ulama). Contohi akhlak
paling sempurna iaitu akhlak Nabi Muhammad SAW yang membawa kemanfaataan
cemerlang untuk kehidupan dunia dan akhirat.
Nota: Artikel berjudul Healthy narcissism (Wikipedia) menerangkan
manfaat narsisisme sihat. Ia membentuk harga diri sihat dan realistik tanpa
merosakkan emosi individu yang mengalaminya dan orang lain.
Hakcipta Terpelihara @ GayaHidupHolistik.blogspot.com