Artikel tulisan Bahrain Samah ini terbit dalam Sinar Harian pada 23 Oktober 2017.
Anda mungkin
mendapati sesetengah rakan media sosial menunjukkan beberapa sikap seperti
gemar memuat naik status untuk menarik perhatian orang, menunjukkan kekuasaan, angkuh,
tiada empati dan menganggap diri sendiri serba betul.
Selain itu mereka juga suka
mencemuh, seronok apabila dapat menjerumuskan orang lain dalam kesusahan, menggunakan
orang lain, mengawal orang lain, bertindak-balas kepada kritikan dengan cara
tidak wajar dan suka mendesak.
Terdapat kemungkinan mereka mengalami gangguan
personaliti narsisistik (narcissistic
personality disorder, NPD).
Perasan Diri Serba Bagus
Ahli psikologi menetapkan seseorang akan didiagnos
mengalami NPD apabila terdapat gabungan sekurang-kurangnya lima daripada
sembilan kriterea berikut. Ia
termasuk merasa diri sangat penting; berangan-angan memiliki kejayaan, kuasa,
kecantikan, bijak dan cinta sempurna; merasa diri istimewa serta hanya difahami
oleh individu khusus atau berstatus tinggi; dan mengharapkan puji-pujian atau sanjungan berlebihan.
Kriterea-kriterea lain ialah merasa
diri layak menerima penghormatan secara automatik dan orang lain perlu mematuhi
mereka atau memberikan layanan yang baik; menggunakan orang lain untuk
kepentingan diri; kurang/tiada empati; sering cemburu terhadap orang lain (atau
mendapati orang lain cemburu kepada mereka) dan sering bertindak dengan sifat
angkuh/takbur.
Tidak Sopan atau Kurang Ajar?
Sifat-sifat
narsisistik ada pasang-surutnya. Sifat-sifat berikut menunjukkan seseorang
sedang mengalami tahap narsisistik tinggi. Ia termasuk bertindak-balas terhadap
kritikan dengan cara yang tidak sepatutnya (cara salah), menyakitkan hati
seseorang tanpa diketahui hujung pangkal dan mereka rasa tidak terikat dengan
peraturan.
Sikap-sikap seterusnya ialah mereka tidak suka diajar, mengubah
jadual/temujanji tanpa sebab dan tidak sabar ketika berkomunikasi.
Individu
narsisistik sering menyalahkan dan memburuk-burukkan orang lain, suka
mencemuh, suka dikagumi dan suka mendesak
Individu narsisistik dikatakan ketagihan
dengan perhatian yang diterima berpunca dari kelakuan/perbuatannya termasuk
memalu/menjatuhkan air muka orang lain, memburuk-burukkan orang lain,
merendah-rendahkan dan menyebabkan orang
lain menderita - asalkan ia berlaku dihadapan seseorang atau sekumpulan orang. Ia
suka mengawal orang lain kerana tidak dapat mengawal diri sendiri.
Media Sosial
Berikut ialah beberapa kajian menunjukkan
kaitan sifat-sifat dan kelakuan individu narsisistik dengan penggunaan media
sosial.
Sebuah kajian
telah dijalankan bertujuan menguji psikologi orang dewasa pelbagai peringkat
umur dari sudut kaitan antara sifat-sifat narsisistik dengan penggunaan media
sosial secara berlebihan. Kajian yang dimaksudkan berjudul Mirror or
Megaphone?: How relationships between narcissism and social networking site use
differ on Facebook and Twitter seperti dilaporkan dalam jurnal Computers in Human Behavior (2013).
Ia menilai beberapa sifat yang dikaitkan
dengan NPD iaitu kedudukan lebih penting/tinggi, berkelakuan
dengan cara tertentu untuk menarik perhatian orang (exhibitionism), kekuasaan
dan mengambil kesempatan.
Kajian mendapati golongan muda yang mencapai
markah tinggi dalam ujian narsisistik akan mengepos pesanan ke Twitter jauh lebih
kerap berbanding mereka yang menerima markah berada di bawah julat.
Separuh Umur
Golongan narsisistik separuh umur pula
berinteraksi dengan mengepos status dalam Facebook. Walau bagaimana pun, trend
umum yang dapat disimpulkan ialah golongan narsisistik mengemas kini lebih
kerap berbanding golongan psikologi tipikal.
Ketua kajian tersebut, Elliot Panek
percaya bahawa Facebook merupakan wadah kepada individu yang berhasrat
membentuk dan mengawal imej atas talian serta untuk mendapatkan pengiktirafan
dari pengguna lain. Twitter pula berfungsi sebagai flatform golongan narsisistik
memaparkan pendapat kepada audiens yang lebih luas.
Kajian
tersebut tidak dapat digunakan untuk menjelaskan samada golongan narsisistik
secara semulajadi menggunakan media sosial sebagai jalan untuk menyampaikan
pendapat atau penggunaan media sosial secara berlebihan membentuk sifat-sifat
narsisistik.
Bagaimana dan Mengapa
Kajian yang dijalankan oleh Shawn W. Davernport
dan rakan-rakan pula mendapati golongan narsisistik tua lebih gemar menggunakan
Facebook manakala golongan narsissistik muda lebih aktif menggunakan Twitter.
Kajian beliau berjudul Twitter versus Facebook: Exploring
the role of narcissism in the motives and usage of different social media
platforms yang terbit
dalam jurnal Computer in Human Behavior
(2014) dijalankan
bertujuan mengenalpasti bagaimana dan mengapa golongan narsisistik menggunakan
media sosial.
Kajian yang melibatkan peserta-peserta
terdiri dari pelajar-pelajar universiti dan individu golongan tua tersebut menyukat
kekerapan para peserta mengepos mesej di Twitter atau mengemas kini status
Facebook. Selain itu para peserta diminta menjawap soalan-soalan termasuk tahap
kesepakatan mereka terhadap kenyataan seperti “Pengikut-pengikut mengagumi saya
adalah perkara mustahak” dan “Profil saya menyebabkan orang mahu menjadi kawan
saya adalah perkara mustahak.”
Davenport berkata bahawa gen Y membesar
dengan Facebook dan mereka menggunanya sebagai alat berkomunikasi sebagaimana
generasi lain menggunakan telefon. Sebaliknya, golongan dewasa yang tidak
membesar menggunakan Facebook (mula menggunanya ketika tua), menggunanya dengan
motif bersebab (intentional motive) sama seperti individu narsisistik.
Grandiose
Seterusnya, kajian terkini berjudul Grandiose and Vulnerable Narcissists:
Who Is at Higher Risk for Social Networking Addiction? yang terbit dalam
jurnal Cyberpsychology, Behavior, and Social Networking (2016) melihat pertalian antara kekerapan
mengepos ke media sosial dengan perasaan seseorang terhadap diri sendiri.
Silvia Casale dan rakan-rakan meminta para
peserta kajian terdiri dari 450 pelajar universiti dari Eropah menjawap
beberapa siri soalan untuk mengenalpasti tiga perkara: paras narsissism mereka,
tahap kesensitifan dan kekerapan mengemas kini media sosial. Keputusan ujian
digunakan bagi mengkategori dua golongan narsisistik: grandiose dan vulnerable.
Golongan narsisistik grandiose merujuk kepada mereka yang memiliki tahap keyakinanan
berlebih-lebihan sehingga menjadikan mereka angkuh/takbur. Mereka mengharapkan
penghormatan dan sanjungan tetapi apabila dikritik tidak menganggapnya serius
(kebal, tidak peduli) atau akan bertindak memperkecil atau menyerang pengkritik.
Golongan narsisistik vulnerable pula memiliki mentaliti sebaliknya. Mereka memiliki
tahap keyakinan rendah, pemalu dan terlalu sensitif kepada kritikan. Kajian
tersebut mendapati golongan ini lebih kerap mengemas kini media sosial bagi memuaskan
ego – media sosial menyediakan sarana mempamer diri bukan secara berhadapan.
Saintis-saintis penyelidik kajian tersebut
berkata kedua-dua bentuk golongan narsisistik tersebut memiliki sifat-sifat
gila pangkat/gelaran, fantasi grandiose
dan gemar membuktikan mereka sempurna ketika meraih sanjungan orang.
Hakcipta Terpelihara @ GayaHidupHolistik.blogspot.com