Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Khamis, 21 November 2019

Lakuran Panas (Hot Fusion) - Sumber Tenaga Elektrik Masa Hadapan?


Artikel tulisan Bahrain Samah ini telah terbit dalam Sinar Harian pada 25 November 2018

Lakuran nuklear (nuklear fusion) berlaku secara semulajadi di permukaan matahari dan bintang-bintang di mana daya graviti yang amat tinggi membentuk tekanan dan suhu tinggi. Ia menyebabkan partikel-partikel berlanggar dan melakur (fused: bersatu menjadi partikel baru). Selain menghasilkan partikel baharu, lakuran yang bersifat eksoterma juga membebaskan tenaga haba/cahaya. 

     Berdasarkan fenomena tersebut, saintis dari beberapa buah negara sedang gigih menjalankan kajian/ujian dalam usaha mencari kaedah dan peralatan yang sesuai bagi menampung penjanaan kuasa lakuran (fusion power) menggunakan reaktor nuklear yang melibatkan suhu melebihi 100 juta Celsius.
     Stewart Prager dan Michael C. Zarnstorff dalam artikel tulisan mereka berjudul Fusion energy: A time of transition and potential (30 November, 2016, The Conversation.com) menyatakan bahawa jika masalah teknikal yang amat rumit berjaya diatasi, maka kuasa lakuran bakal membekal sumber tenaga tanpa had selain bersih dan selamat.
      Mereka yang mengetuai pembangunan teknologi ‘star in a jar’ di Makmal Fizik Plasma Princeton (PPPL: Princeton Plasma Physics Laboratory) tajaan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat di Universiti Princeton menyatakan bahawa sekilogram deuterium yang diekstrak dari air per hari dapat membekal keperluan tenaga elektrik kepada beberapa ratus ribu buah rumah. Deuterium merupakan isotop hidrogen stabil terdiri daripada satu proton dan satu neutron.
     Penulis telah membincangkan mengenai penggunaan deuterium oleh saintis dalam usaha membangun teknologi kuasa lakuran (fusion power) berasaskan ‘Tindak-balas Nuklear Tenaga Rendah’ (Low Energy Nuclear Reaction, LENR) dalam artikel berjudul ‘Sumber Tenaga Masa Hadapan’ (9 Oktober 2016, Sinar Harian). LENR merupakan panggilan umum bagi semua proses tindak-balas nuklear pada suhu bukan plasma (non-plasma temperature).
     Kedua-dua LENR dan lakuran panas (lakuran nuklear menggunakan suhu dan tekanan tinggi) menghasilkan helium dan membebaskan tenaga.  
     Berbalik semula kepada perbincangan mengenai lakuran panas. Dua cabaran penting yang harus diselesaikan bagi membina sistem lakuran yang cekap: mempertahan tindak-balas untuk jangka masa lama dan mencipta bahan yang sesuai bagi mengubah kuasa lakuran kepada tenaga elektrik.
     Prager dan Zarnstorff percaya bahawa stesyen janakuasa lakuran komersil hanya akan menjadi kenyataan  sekurang-kurangnya 25 dari sekarang. Namun, penggunaannya yang berpotensi manfaat besar memberi isyarat saintis harus terus berusaha hingga ia benar-benar dapat direalisasi.

Reaktor besar

     Menurut mereka lagi, ujian proses lakuran panas tidak boleh dijalankan menggunakan peralatan bersaiz kecil dan kemudian disusuli dengan ujian  menggunakan reaktor besar sebagaimana kajian penjanaan tenaga elektrik bentuk lain seperti suria, gas asli dan belahan nuklear (nuclear fission). Ia kerana penggunaan reaktor kecil dipercayai menghasilkan keputusan yang berbeza secara ketara berbanding dengan penggunaan reaktor besar.
      Jadi, penggunaan reaktor bersaiz besar memungkinkan ujian-ujian bagi mengenalpasti kebolehlaksanaan penjanaan kuasa lakuran dapat dilakukan lebih awal – agar ia dapat dimasukkan ke dalam perancangan sebagai sumber penjanaan kuasa masa hadapan.
      Pada keadaan normal nukleus-nuklues atom hidrogen iaitu isotop deuterium dan tritium (terdiri daripada satu proton dan dua neutron) yang bercas positif akan menolak antara satu sama lain. Sebaliknya, tekanan dan suhu tinggi dalam reaktor nuklear dikatakan menyebabkan kedua-dua atom bergerak pada kelajuan tinggi dan berlanggar. Perlanggaran menyebabkan kedua-dua nukleus melakur dengan membentuk helium serta membebaskan satu neutron dan tenaga haba.
     Magnet yang amat berkuasa digunakan bagi menampung gas terdiri daripada nukleus-nukleus dan elektron-elektron deuterium dan tritium bercas elektrik dengan suhu amat panas iaitu melebihi 100 juta darjah Celsius. Gas bercas dan panas ini dikenali sebagai plasma. 
     Saintis di Amerika Syarikat misalnya menggunakan beberapa konfigurasi magnet yang amat berkuasa yang membentuk struktur keseluruhan reaktor berbentuk sfera. Selain memerangkap plasma ia berfungsi membentuk tekanan tinggi. Tanpa medan magnet yang amat berkuasa tindak-balas yang dikehendaki tidak akan berlaku.
     Di Amerika Syarikat, saintis-saintis Massachuset Institute of Technology dengan bantuan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dan National Science Foundation mencadangkan pembinaan reaktor terdiri daripada magnet menggunakan lilitan pita nipis nadir bumi barium kuprum oksida (rare-earth barium copper oxide) bagi membentuk daya medan magnet tinggi.

Kelangsungan

    Sebelum proses lakuran berlangsung, suhu reaktor dinaikkan menggunakan tenaga yang besar. Sebaik-baik sahaja lakuran bermula, reaktor dikatakan menjana tenaga untuk diri sendiri dalam membantu kelangsungan pelakuran. Sebahagian tenaga dijangka akan disalurkan untuk penjanaan tenaga elektrik.
     Setakat ini komuniti saintifik antarabangsa sedang membina sebuah pusat kajian lakuran di Perancis dikenal sebagai ITER (dari bahasa Latin ‘the way’). Janakuasa tersebut dijangka akan mengeluarkan kuasa lakuran panas 500 megawatt selama 8 minit pada satu-satu masa.
     Jika kuasa tersebut diubah kepada tenaga elektrik ia dijangka mampu membekal elektrik kepada 150 ribu buah rumah. Pembinaan ITER adalah hasil kolaborasi kerajaan-kerajaan China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Russia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
     Reaktor yang digunakan terdiri dari super magnet Tokamak di mana plasma terkurung dalam bentuk donut dikelilingi oleh medan magnet yang amat berkuasa. ITER dijangka menjana tenaga lakuran 10 kali ganda berbanding 50 megawatt yang akan digunakan untuk memanaskan plasma.
     German telah membina janakuasa kajian lakuran dilengkapi reaktor dikenali sebagai Wendelstein 7-X (W7-X). Berdasarkan artikel berjudul 'Star in a Jar' Fusion Reactor Works and Promises Infinite Energy  (9 Disember 2016, Livescience.com) reaktor tersebut telah membakar plasma buat pertama kali pada awal 2016. Kajian dijalankan dengan kolaborasi PPPL.
     Terkini, artikel berjudul Another nuclear fusion record just got broken in South Korea (16 Disember 2016, Sciencealert.com) melaporkan kejayaan saintis Korea Selatan yang menggunakan reaktor Tokamak memperoleh tindak-balas lakuran selama 70 saat. Ia merupakan rekod tindak-balas lakuran berlangsung paling lama setakat ini.
    Berdasarkan berita kos permulaan pembinaan janakuasa LENR dijangka jauh lebih murah berbanding lakuran panas. Begitu juga dengan kos pengeluaran tenaga elektrik. Kos bahanapi LENR dijangka amat rendah berbanding dengan sumber-sumber tenaga sedia ada iaitu sekitar 0.1 peratus.
    Prospek aplikasi lakuran panas dijangka hanya tertumpu kepada penjanaan tenaga komersil. Sebaliknya, selain penjaanaan tenaga komersil teknologi LENR dijangka digunakan lebih meluas termasuk untuk kegunaan pelbagai kenderaan darat, kapal terbang, keretapi, telefon bimbit dan komputer riba! 

Berita terkini berkaitan lakuran panas: 

UK hatches plan to build world's first fusion power plant

Hakcipta Terpelihara @ www.gayahidupholistik.blogspot.com

Rabu, 20 November 2019

Masa Terbaik Makan Buah-buahan


Sebelum, bersama atau selepas makan utama?
Buah-buahan merupakan salah satu makanan penting kepada anda kerana selain fiber ia membekal pelbagai nutrien yang bermanfaat kepada kesihatan. Terdapat pendapat percaya bahawa buah-buahan harus dimakan ketika perut kosong dengan alasan-alasan seperti yang penulis terangkan dalam tulisan ini.
Sebahagian pakar menganggap cara makan buah-buahan tersebut yang sering dikongsi oleh pelbagai pihak termasuk orang awam samada melalui buku, media cetak dan elektronik atau di internet sebagai mitos (tidak benar).
Perut Kosong
Mitos mendakwa bahawa makan buah-bauan bersama makanan lain terutama pada waktu makan utama akan menyebabkan makanan berada dalam perut (stomach) lebih lama dan seterus menyebabkan makanan menjalani fementasi atau reput. Mitos ini antara lain dicetus oleh Dr. Ted Morter dalam bukunya Your Health... Your Choice.
Mitos sama juga mendakwa bahawa makan buah-buahan dengan makanan lain akan menyebabkan pelbagai simtom seperti perut buncit, berangin dan sakit perut.
Memang benar fiber buah-buahan boleh melambatkan pemindahan makanan ke dalam usus kecil namun dakwaan-dakwaan lain seperti disebutkan di atas tidak benar.
Yang benar buah-buahan tidak akan berada dalam perut anda pada tempoh lama apatah lagi akan menjalani fermentasi dan pereputan di situ. Kajian menunjukkan bagi orang sihat, fiber memperlahan tempoh untuk mengosongkan separuh isinya antara purata 72 hingga 86 minit. Sungguh pun perubahan kelajuan pemindahan tersebut dikira signifikan namun pemperlahanan ini tidak akan menyebabkan makanan menjalani fermentasi di dalam perut.
Kenyang Lebih Lama
Pemperlahanan pemindahan makanan dari perut ke usus kecil sebenarnya bermanfaat kepada anda. Ia membantu anda kenyang lebih lama dan ia membantu anda mengambil kalori lebih rendah (mengurangkan pengambilan makanan berkaori) pada jangka panjang.
Pihak yang menyuarakan pendapat makan buah-buahan pada waktu makan utama menyebabkan makanan berada dalam perut pada tempoh yang lama sehingga menyebabkan ia menjalani fermentasi bersama makanan lain mungkin terlepas pandang penerangan berkaitan fermentasi fiber berdasarkan ilmu biologi/fisiologi. Mereka juga mungkin tidak tahu bahawa fermentasi fiber larut dan terkini fiber/kanji kebal (resistant fiber/starch) hanya berlaku dalam kolon (usus besar)!
Menurut ilmu biologi dan fisiologi  pH rendah asid hidroklorik iaitu lebih kurang 1-2 yang dirembis ketika perut menerima makanan bukan persekitaran kondusik untuk kehidupan mikroorganism termasuk bakteria. Asid hidroklorik yang berbaur dengan makanan yang masuk ke dalam perut antara lain membantu membunuh bakteria yang terdapat pada makanan serta mencegah pembiakan mikrob. 
Makan buah-buahan bersama makanan lain ketika waktu makanan utama menyebabkan perut buncit, berangin, diarea atau ketidakselesaan dikatakan sebagai dakwaan tidak berasas. Individu yang mengalami simtom-simtom ini berkemungkinan memang mengalami masalah penghadaman samada apabila mengambilnya bersama makanan utama atau secara berasingan.
Diet Jenis Metabolik
Individu ini dikatakan sesuai mengambil buah-buahan tertentu pada kadar tertentu berpandukan diet jenis metabolik (metabolic typing diet). Berdasarkan diet jenis metabolik, seseorang yang mengalami simtom apabila makan kebanyakan jenis buah-buahan (serta sayur-sayuran) akan reda apabila  mengamal makanan tinggi protein dan lemak.
Sebahagian orang Islam mengamalkan makan buah-buahan sebelum makan makan makanan utama dengan berdalilkan ayat Quran yang bermaksud, Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.[Waqi’ah: 20-21]
Pendapat tersebut disangkal oleh ulama lain dengan alasan urutan tersebut iaitu buah-buahan mendahului daging burung tidak harus dijadikan dalil kerana ayat tersebut menerangkan makanan di syurga di mana sifatnya berbeza dengan makanan di dunia. Syeikh Shalih Al-Munajjid hafizahullah iaitu ulama yang menyangkal pendalilan tersebut berpendapat bahawa seseorang bebas untuk memilih samada makan buah-buahan sebelum atau sesudah makan (utama).
Walau pun beliau menolak penyandaran ayat tersebut sebagai dalil namun beliau bersetuju bahawa mendahulukan makan buah-buahan daripada makanan utama adalah lebih baik kerana ia lebih cepat dihadam.
Status Kesahihan
Imam Nawawi dikatakan menyebut sebuah hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mencadangkan para sahabat makan buah-buahan dahulu kemudian barulah makan hidangan (makanan berat). Hadis ini tidak dinyatakan status kesahihannya namun jika benar ia sahih maka makan buah-buahan dahulu sebelum makanan utama memang benar dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Sungguh pun Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik manusia untuk diteladani termasuk dalam perkara adab makan minum namun baginda baginda tidak menguasai semua ilmu keduniaan. Sebab itu dalam hadis dari Anas bin Malik RA berkaitan pengkahwinan kurma, Rasulullah SAW bersabda, “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.”  [HR Muslim: 2363].

Jadi, pada pandangan penulis katakanlah amalan makan buah-buahan benar-benar dianjurkan (saranan urusan dunia, bukan ibadah) Rasulullah SAW (seperti hadis disebutkan oleh Imam Nawawi) maka jika seseorang mengamalnya dan mendapati ia sesuai dalam memulihara kesihatan maka teruskanlah.
Kepada mereka yang memang biasa makan buah-buahan pada waktu berbeza-beza pula iaitu sebelum, bersama atau selepas makanan utama tanpa mengalami masalah penghadaman dan tidak menjejas kesihatan maka teruskanlah kebiasaan tersebut. 
Artikel di atas adalah tulisan Bahrain Samah, MD (AM).

Hakcipta Terpelihara @ GayaHidupHolistik.blogspot.com

Sabtu, 27 Julai 2019

Aerosol Vape Mengandungi Bahan Pencetus Kanser

Populariti rokok elektronik (e-rokok) terus berkembang di seluruh dunia, kerana ramai yang menganggap ia sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding merokok. Tetapi kesan jangka panjang penggunaan e-rokok, yang biasa disebut "vaping," atau vape di negara kita tidak diketahui.

Tahun lepas sepasukan saintis melaporkan bahawa e-rokok boleh mengubah suai bahan genetik atau DNA dalam sel mulut pengguna yang boleh meningkatkan risiko kanser mereka.

Mereka membentangkan keputusan hasil penyelidikan di Mesyuarat  Agung Nasional 256 & Pameran Persatuan Kimia Amerika (ACS) yang berlangsung antara 19 - 23 Ogos 2018.

"E- rokok adalah trend yang popular namun kesan kesihatan jangka panjang tidak diketahui," kata Romel Dator, Ph.D., yang menyampaikan karya itu dalam mesyuarat tersebut.
"Kami mencirikan jenis bahan kimia yang memberi kesan kepada penghisap e-rokok serta sebarang kerosakan DNA yang berpunca daripada bahan-bahan berkaitan."

E-rokok  diperkenalkan ke pasaran pada tahun 2004. Ia merupakan peranti elektronik genggam yang apabila dihisap oleh pengguna akan memanaskan cecair biasanya mengandungi nikotin dan bahan-bahan kimia lain berubah menjadi aerosol.

Terdapat pelbagai jenis perisa cecair e-rokok termasuk yang digemari pengguna seperti perisa buah, coklat dan gula-gula. Gliserin adalah antara bahan yang menyumbang rasa manis.

Menurut laporan ketua Perkhidmatan Kesihatan Awam Amerika Syarikat 13.5 peratus pelajar sekolah redah atas (middle school, umur 11-13), 37.7 peratus pelajar sekolah menengah dan 35.8 peratus daripada golongan dewasa muda (18 – 24 tahun) telah menggunakan e-rokok berbanding 16.4 peratus golongan dewasa lebih tua (25 tahun ke atas).

“Sedia maklum bahawa pembakaran tembakau dalam rokok menyebabkan lebih banyak pembentukan karsinogen berbanding e-rokok,” kata Silvia Balbo, Ph.D., penyelidik utama projek tersebut yang bertugas di Pusat Kanser Masonik di Universiti Minnesota. “Namun kita tidak benar-benar tahu kesan menghirup gabungan sebatian yang dihasilkan oleh peranti ini. Walau pun kandungan kedua-duanya berbeza (antara e-rokok dan rokok tembakau) ia tidak bermakna bahawa e-rokok benar-benar selamat.

Untuk mencirikan pendedahan kimia semasa penghisapan para penyelidik merekrut lima pengguna e-rokok. Mereka mengumpul sampel air liur sebelum dan selepas sesi penghisapan yang berlangsung selama 15 minit dan sampel dianalisa terhadap bahan kimia yang diketahui merosakkan DNA.

Untuk menilai kesan jangka panjang yang mungkin berlaku, pasukan menilai kerosakan DNA di dalam sel mulut sukarelawan. Para penyelidik menggunakan kaedah berasaskan jisim spektrometri seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini untuk kajian yang berbeza di mana mereka menilai kerosakan DNA mulut yang disebabkan oleh penggunaan alkohol.

Dator dan Balbo mengenalpasti tiga sebatian yang merosakkan DNA iaitu formaldehid, akrolein dan metilglioksal di mana paras masing-masing meningkat dalam air liur selepas penghisapan e-rokok. Berbanding dengan orang yang tidak menghisap e-rokok, empat daripada lima pengguna e-rokok menunjukkan peningkatan kerosakan DNA yang berkaitan dengan pendedahan akrolein.

Penemuan yang paling menjadi tumpuan adalah berkaitan akrolein. Ia terbentuk apabila gliserol (gliserin) dipanaskan. Propylene glycol dan glycerin sayuran adalah dua daripada empat bahan utama terdapat dalam cecair e-rokok seperti dinyatakan oleh Consumer Advocates for Smoke-Free Alternative Association

Jenis kerosakan yang dipanggil DNA tambahan berlaku apabila bahan kimia toksik misalnya apabila akrolein bertindak-balas dengan DNA. Jika sel tidak membaiki kerosakan supaya replikasi DNA normal boleh berlaku maka ia berpotensi membentuk kanser.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat sama ada tahap bahan kimia ini cukup tinggi untuk membahayakan kesihatan manusia, kata Dr Norman Edelman, penasihat saintifik kanan Persatuan Paru-paru Amerika. "Seorang ahli kimia tua Jerman berkata, 'Semua bahan berpotensi bertindak sebagai racun yang bergantung kepada dos,' 'kata Edelman.

"Sedia maklum memang terdapat bahan kimia dalam aerosol e-rokok yang bersifat karsinogen namun sama ada ia akan menyebabkan kanser atau tidak dan sehingga tahap mana tidak pula diketahui."

Ia mungkin berdekad sebelum diketahui sama ada ia meningkatkan risiko kanser kerana orang-orang yang telah menghisapnya selama bertahun-tahun sama ada akan atau tidak mengalami penyakit ini, kata Edelman. "Secara umum, paras bahan penyebab kanser dalam aerosol e-rokok adalah lebih rendah daripada bahan penyebab kanser dalam asap rokok," katanya. "Namun, kepekatan bahan tersebut mencukupi untuk menyebabkan kerosakan DNA yang merupakan langkah pertama dalam pembentukan kanser," kata Edelman.

Para penyelidik merancang untuk menindaklanjutkan kajian awal ini dengan kajian berskala lebih besar yang melibatkan lebih ramai pengguna e-rokok dan kawalan. Mereka juga mahu melihat bagaimana tahap DNA tambahan berbeza antara pengguna e-rokok dan perokok rokok biasa. "Membandingkan rokok dan rokok tembakau adalah benar-benar seperti membandingkan epal dan oren. Pendedahannya berbeza," kata Balbo. "Kami masih tidak pasti apa yang dilakukan oleh peranti e-rokok ini dan kesannya terhadap kesihatan namun penemuan kami menunjukkan bahawa kajian lanjut harus dijalankan."

NOTA: 

1. DNA tambahan: B- Inggeris DNA adduct merujuk kepada DNA bergabung secara kovalen dengan bahan kimia misalnya safrole, benzopirenediol epoksid atau asetaldehid. Proses tersebut selanjutnya boleh mencetus pembentukan kanser. 

SUMBER: 

Silvia Balbo, Ph.D., assistant professor, environmental health sciences, Masonic Cancer Center, University of Minnesota, Minneapolis; Gregory Conley, president, American Vaping Association, Stratford, Conn.; Romel Dator, Ph.D., postdoctoral associate, Masonic Cancer Center, University of Minnesota; Norman Edelman, M.D., senior scientific adviser, American Lung Association; Aug. 20, 2018, presentation, American Chemical Society's annual meeting, Boston


BACAAN LANJUT: 

What Do We Know About E-cigarettes? American Cancer Society. HYPEELINK https://www.cancer.org/cancer/cancer-causes/tobacco-and-cancer/e-cigarettes.html



Isnin, 1 Julai 2019

Asap Rokok Terpakai FBerbahaya


Sepasukan saintis University California, Riverside menemui asap terpakai boleh merosakkan sel-sel epitelium dalam sistem pernafasan dengan membebankan sel-sel dan menyebabkan ia bertarung untuk terus hidup.

Ramai di kalangan pembaca yang biasa dengan istilah asap rokok terpakai (secondhand smoke) yang merujuk kepada asap rokok dilepaskan ke udara oleh perokok.

Apakah yang dimaksudkan dengan asap rokok terpakai? Ia berasal daripada istilah bahasa Inggeris thirdhand smoke (THS) yang merujuk kepada asap yang dikeluarkan dari asap rokok yang dihisap yang lekat pada permukaan seperti pakaian, rambut, perabot dan kereta. Ia sebenarnya bukan asap tetapi sisa asap rokok.

"Data kami menunjukkan bahawa sel-sel pada manusia terjejas oleh asap terpakai," kata Prue Talbot, profesor di Jabatan Molekul, Biologi Sel dan Sistem yang mengetuai penyelidikan. "Kesan kesihatan THS, telah dikaji dalam sel-sel kultur dan model haiwan tetapi ini adalah kajian pertama untuk menunjukkan kesan langsung asap terpakai pada ekspresi gen pada manusia."

"THS boleh terbebas ke udara dan boleh dihirup secara tidak sengaja oleh orang yang tidak merokok," kata Giovanna Pozuelos, penulis utama kertas penyelidikan dan seorang pelajar siswazah di makmal Talbot. "Ia tidak dikaji secara meluas yang menyebabkan mengapa tidak ada peraturan untuk melindungi orang yang tidak merokok daripada THS."

Para penyelidik telah memperoleh  hasil kikisan hidung empat orang yang tidak merokok yang telah terdedah kepada THS selama tiga jam dalam suasana makmal di Universiti Calidornia, San Francisco. Para penyelidik Universiti California, Riverside kemudian berusaha untuk mendapatkan RNA yang berkualiti baik dari kikisan tersebut yang diperlukan untuk memeriksa perubahan ekspresi gen.

RNA sequencing (teknik mengenalpasti kuantiti dan turutan gen) menunjukkan gen-gen yang terlalu atau kurang terdedah kepada TGS. Mereka mendapati 382 gen telah terekspresi secara ketara manakala tujuh gen lain terekspresi pada kadar rendah. Seterusnya saintis mengenal pasti laluan yang alami oleh gen-gen tersebut.

"Penyedutan THS hanya selama tiga jam mengekspresi gen secara signifikan dalam epitelium hidung orang yang tidak merokok," kata Pozuelos. "Penyedutan itu mengubah laluan yang dikaitkan dengan tekanan oksidatif yang boleh merosakkan DNA di mana pada jangka panjang ia berpotensi membentuk kanser. Sungguh pun pendedahan selama tiga jam kepada THS tidak mungkin akan menyebabkan kanser namun ia boleh menjejas kesihatan jika seseorang tinggal di sebuah apartmen atau rumah dengan THS atau memandu kereta secara kerap di mana THS hadir. "

Kerana ekspresi gen di epitelium hidung mirip dengan epitelium bronkus, para penyelidik berpendapat bahawa data mereka bersesuaian dengan sel-sel yang lebih dalam dalam sistem pernafasan. Para penyelidik juga mendapati sampel kajian menujukkan bahawa pendedahan THS yang tidak lama juga boleh mempengaruhi aktiviti mitokondria. Mitokondria adalah organel yang berfungsi sebagai penjana tenaga dalam sel. Sekiranya dibiarkan ia boleh menyebabkan kematian sel.

Pozuelos menjelaskan bahawa pasukannya memberi tumpuan kepada epitelium hidung kerana laluan hidung adalah salah satu cara THS boleh memasuki paru-paru. Laluan lain adalah melalui kulit, yang mana pata penyelidik tersebut tidak  mengkajinya tetapi merancang untuk melakukannya pada masa hadapan.

Setalat ini para penyelidik tersebut menjalin kerja-sama dengan penyeidik di San Diego, California, dan Cincinnati untuk mengkaji kesan pendedahan jangka panjang THS iaitu dengan mengakses rumah di mana penghuninya terdedah kepada THS.

"Ramai orang tidak tahu apa THS," kata Talbot, pengarah Pusat Stem Cell Universiti California, Riverside. "Kami berharap kajian kami dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi bahaya kesihatan ini. Ramai orang merokok merokok, 'Saya merokok di luar, jadi keluarga saya di dalam rumah tidak akan terdedah.' Sebaliknya perokok membawa bahan kimia seperti nikotin (penulis blog: serta beribu bahan kimia bersifat karsinogen lain) ke dalam rumah yang melekat pada pakaian mereka. Jadi, memahami kewujudan THS dan ia berpotensi membahayakan kesihatan adalah penting. "

Ekspresi gen: proses di mana informasi dari gen digunakan untuk mensintesis produk berfungsi

Rujukan:
Giovanna L. Pozuelos, Meenakshi S. Kagda, Suzaynn Schick, Thomas Girke, David C. Volz, Prue Talbot. Experimental Acute Exposure to Thirdhand Smoke and Changes in the Human Nasal Epithelial Transcriptome. JAMA Network Open, 2019; 2 (6): e196362 DOI: 10.1001/jamanetworkopen.2019.6362

Hakcipta Terpelihara @ GayaHidupHolistik.blogspot.com