Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Khamis, 11 Julai 2013

Empat Camca Teh Minyak Kelapa setiap hari Penawar Penyakit Alzheimer


Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) disiarkan dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selamgor pada JUn 18, 2013.

Seorang doktor wanita, Dr. Mary Newport telah bertugas sebagai pengarah perubatan unit rawatan rapi bayi yang baru dilahirkan di sebuah hospital di Florida sejak tahun 2003. Pada tempoh yang sama ketika unit tempat beliau bertugas dibuka, suami beliau yang ketika itu berumur 53 tahun telah mula mengalami dementia iaitu sejenis penyakit dengan gejala-gejala masalah memori dan personaliti.
     Selepas didiagnos beliau didapati menghidap penyakit Alzheimer. Menurut Dr. Newport beliau menjadi pelupa selama beberapa hari berturut-turut. Beliau tidak menjumpai sudu atau mengingati untuk mendapatkan air dari peti sejuk.
    Pada peringkat awal rawatan yang dijalani oleh suami Dr. Newport adalah dalam bentuk ubat-ubatan moden seperti Aricept, Namenda dan Exelon. Malang sekali penyakit yang dialaminya semakin parah. Setelah Dr. Newport tidak berjaya untuk menyertai ujian ke atas ubatan baru penyakit Alzheimer, beliau mula mencari mekanism penyakit Alzheimer.
    Ramai tidak tahu (barangkali sebahagian besar doktor juga) bahawa kajian-kajian terkini mendapati pelbagai ubat-ubatan moden untuk merawat penyakit Alzheimer langsung tidak memberangsangkan -- tahap kebaikan yang mengecewakan dan kesan-kesan sampingan yang buruk.
MCT
    Berdasarkan kajian sains, Dr. Newport mendapati sesetengah saintis percaya bahawa penyakit Alzheimer berpunca dari ketidakupayaan otak untuk memproses glukos lalu menyebabkan kematian sel-sel otak. Apabila tubuh kita kekurangan glukos ia akan secara otomatik membina ketona. Tubuh kita membina ketona dari trigliserida rantai sederhana (medium-chain trigyseride, MCT) seperti yang terdapat dalam minyak kelapa.
    Makan makanan tinggi lemak serta tanpa karbohidrat akan menyebabkan tubuh membina ketona. Ia merupakan diet ketonik (ketonic diet) yang keterlaluan kerana ia tidak mengandungi karbohidrat. Namun terdapat cara yang mudah tanpa bersusah payah menjalani diet ketonik yang barangkali terdiri dari makanan-makanan berlemak yang tidak menyelerakan terutama apabila diambil untuk jangka panjang. Mengambil minyak kelapa adalah cara yang mudah tanpa perlu mengubah diet yang sedia ada.
    Apabila trigliserida rantai pendek yang terdapat dalam minyak kelapa dicerna, hati akan mengubahnya kepada beberapa jenis ketona. Ramai orang tidak tahu bahawa beberapa minggu kehidupan awal bayi yang baru lahir sebenarnya bergantung kepada ketona. Ia membekal 25 peratus tenaga untuk kehidupan bayi. Susu ibu kaya dengan kandungan asid laurik iaitu lemak tepu kuantiti tertinggi yang terdapat dalam minyak kelapa dan santan kelapa.
    Dr. Newport mendapat tahu dari penyelidikan yang dilakukannya (melalui pembacaan) bahawa bahan dalam ujian ubatan penyakit Alzheimer yang didapati amat berkesan sebenarnya ialah trigliserida rantai pendek yang didapati dari minyak kelapa atau minyak isi rong kelapa sawit. Dos yang digunakan dalam ujian ialah 20 gram iaitu lebih kurang 20 mililiter atau 4 camca teh.
Rawat pelbagai penyakit
    Kajian terkini mendapati ketona yang dibina oleh tubuh dari trigliserida rantai pendek setelah menjalani metabolism bukan sahaja mengelakkan seseorang dari mengalami penyakit Alzheimer malah membantu memulihkan seseorang yang mengalaminya. Selain itu, ia juga dipercayai berpotensi untuk merawat penyakit Parkinson, Huntington, multiple sclerosis, penyakit Lou Gehrig, epilepsi kebal ubat, diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2.
   Suami Dr. Newport mengambil minyak kelapa dengan kekerapan dua kali sehari. Pada peringkat awal beliau tidak mampu untuk melakar sebuah jam. Selepas dua minggu menjalani rawatan menggunakan minyak kelapa, lakaran jam beliau semakin bertambah baik. Selepas 37 hari, lakaran suami Dr. Newport menjadi bertambah sempurna. Minyak kelapa yang diambilnya dipercayai mengalih kabus dari otaknya.
    Pada hari ke 60 suami Dr. New Port telah mengalami perubahan yang amat menarik. Setiap pagi beliau berasa sensitif akan keadaan sekeliling dan gembira. Beliau mula banyak bercakap dan buat kelakar. Bahagian anggota yang menggigil semakin kurang kelihatan. Beliau mula menumpukan perhatian kepada sesuatu perbuatan yang beliau ingin lakukan dan terus melakukan perbuatan yang sedang dilakukan. Sebelum rawatan minyak kelapa perhatian beliau mudah terganggu. Beliau jarang-jarang dapat melakukan atau menghabiskan sesuatu perbuatan kecuali jika dibantu.
    Selepas setahun, sifat pelupa beliau semakin berkurangan. Beliau boleh berlari. Selain itu pembacaan beliau semakin bertambah baik. Memori jangka pendek juga bertambah baik. Imbasan menggunakan mesin magnetic resonance imaging terbaru menunjukkan proses kerosakan otak yang beliau alami selama ini telah berhenti sama sekali.
    Apakah sebenarnya yang berlaku di sini? Ubat-ubatan yang dipatenkan bagi merawat penyakit Alzheimer semuanya gagal. Trigliserida rantai sederhana seperti yang terdapat dalam minyak kelapa dan minyak isi rong kelapa sawit tidak boleh dipatenkan. Namun sebuah syarikat pengeluar ubat-ubatan moden telah berusaha menggunanya dalam ujian yang diselia oleh FDA. Ia didapati berkesan.
   Seorang doktor yang pintar iaitu Dr. Newport telah menggunakan minyak kelapa setelah menggunakan pelbagai ubat-ubatan mahal yang tidak berkesan malah menjadikan penyakit Alzheimer yang dialami suaminya semakin parah. Penulis ingin berkongsi sesuatu yang semua pembaca perlu tahu iaitu ketona yang dibina oleh tubuh dari minyak kelapa semulajadi tahan lebih lama berbanding dari versi ubatan.  Ketona dibina dari minyak kelapa tahan selama lapan jam sebaliknya ketona yag dibina dari versi ubatan hanya bertahan tiga jam.
    Nenek moyang kita menggunakan santan dalam masakan tanpa pernah bimbang dengan kenaikan paras kolesterol. Mereka menggoreng menggunakan minyak kelapa yang dibuat sendiri tanpa bimbang dengan sakit jantung koronari di mana hari ini ia dikaitkan dengan pengambilan makanan tinggi kolesterol dan lemak tepu.
Keburukan lemak tak tepu
   Hakikatnya ialah lemak tepu ialah lemak yang menyihatkan. Ia tidak mudah teroksida berbanding minyak kaya lemak tak tepu (kerana mengandungi ikatan ganda dua). Lemak tepu mengukuhkan struktur membran sel dan seterusnya menjaga keutuhan pelbagai jenis reseptor dan laluan ions. Sebaliknya stuktur lemak tak tepu yang bengkok akan menjadikan struktur membran sel tidak kukuh dan seterusnya mengganggu fungsi (mungkin juga mengurangkan bilangan, istilah bahasa Ingeris: down regulate) reseptor dan laluan ion.
   Dengan menggunakan ilmu biokimia, ilmu mengenai kaitan jenis lemak dan keutuhan membran sel di atas dapat dikaitkan dengan perawatan atau pembentukan pelbagai penyakit.
   Minyak kelapa terbaik untuk merawat penyakit Alzheimer dan penyakit-penyakit lain ialah minyak kelapa dara. Minyak kelapa dara disediakan dengan proses pemeraman dikatakan lebih baik dari beberapa segi berbanding dnegan yang disediakan dengab dimasak.
   Untuk mengetahui berita lanjut mengenai kisah Dr. Newport merawat suaminya sila lawati HYPERLINK http://www.coconutketones.com/

Hakcipta,
Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)

Rabu, 5 Jun 2013

Angelina Jolie buang Payu Dara

Pandangan Herbalis. Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terhadap langkah Angelina Jolie membuang kedua-dua belah payudara hanya kerana doktor mengesahkan beliau memiliki gen BRCA1 yang bermasalah. Artikel ini tersiar dalam Sinar Harian edisi KL/Selangor pada Mei 28, 2013. Sebahagian besar berita dengan tajuk serupa adalah berita dalam bentuk salin dan tampal, namun tulisan Dr. Bahrain mengorak corak yang berbeza dari beberapa segi.....

Artikel penuh

PADA awal Mei, Angelina Jolie mendedahkan bahawa beliau telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya.
Sesetengah peminat percaya beliau melakukannya kerana telah disahkan menghidap kanser payudara.
Yang benar ialah beliau tidak menghidap kanser tersebut.
Beberapa hari selepas pengakuan Jolie seorang rakyat Britain seperti dilaporkan dalam artikel IBtimes merupakan lelaki pertama membuang prostat secara pembedahan hanya kerana disahkan sebagai pembawa gen BRCA2!
Dalam kes Jolie, doktor yang merawat Jolie telah mengesan beliau adalah ‘pembawa gen BRCA1’.
Beliau dikatakan berisiko menghidap kanser payudara sebanyak 87 peratus bersama-sama risiko menghidap kanser ovari sebanyak 50 peratus.
Menurut Jolie, lampiran fakta dari Institut Kanser seperti terkandung dalam surat berita Stanford Medicine (milik Stanford School of Medicine, University of Stanford) wanita yang mempunyai gen BRCA1 dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara sepanjang hayat sebanyak 65 peratus bersama-sama peningkatan risiko menghidap kanser tersebut pada umur lebih muda.
Jolie berumur 37 tahun. Adakah dengan mempunyai gen BRCA1 seseorang wanita dapat dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara?
Sebenarnya setiap orang memiliki gen BRCA.
BRCA ialah singkatan kepada breast cancer.
Setakat ini dua jenis BRCA ditemui iaitu BRCA1 dan BRCA2. Gen BRCA1 ditemui lebih awal dari BRCA2.
Kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 terdapat pada sel payudara dan tisu lain termasuk pada ovari.
Gen BRCA membantu memperbaiki DNA yang rosak. Ia juga memusnahkan DNA yang tidak boleh diperbaiki.
Jika gen BRCA mengalami kerosakan maka DNA tidak dapat diperbaiki secara sempurna dan ini dipercayai meningkatkan risiko kanser.
BRCA bermutasi
Gen BRCA yang bermutasi atau bermasalah dikatakan meningkatkan risiko kanser iaitu kanser payudara dan kanser ovari.
Gen BRCA1 yang bermutasi juga meningkatkan risiko kanser prostat pada kaum lelaki.
Manakala gen BRCA2 yang bermutasi pula meningkatkan beberapa jenis kanser lain seperti kanser pankreas, prostat, larynx, perut, dan melanoma.
Angelina Jolie memiliki kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 seperti mana orang lain.
Namun, secara umum media seluruh dunia melaporkan Jolie adalah pembawa gen BRCA1.
Yang benar ialah beliau dikesan mempunyai gen BRCA1 yang bermasalah. Gen BRCA yang bermutasi atau terubahsuai tidak berfungsi secara sempurna.
Kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 yang bermutasi dikatakan dipindahkan daripada ibu bapa yang mengalaminya kepada anak secara genetik.
Ibu Jolie sendiri iaitu Marcheline Bertrand meninggal ketika berusia 56 tahun setelah menghidap kanser ovari selama lapan tahun.

Menurut Jolie, kanser yang dihidapi ibunya merupakan salah satu sebab beliau mengambil keputusan membuang kedua-dua payudaranya.
Menurut sedutan daripada laporan media, Jolie berharap tindakannya ditiru oleh orang ramai yang tidak mengetahui bahawa mereka mungkin menjalani kehidupan dengan risiko menghidapi kanser.
Beliau selanjutnya berharap mereka menjalankan ujian ke atas gen dan jika mereka didapati berisiko tinggi maka membuang payudara adalah pilihan yang paling munasabah.
Sebenarnya terdapat beberapa artis lain yang membuat keputusan sama seperti Jolie.
Beberapa selebriti terkenal yang telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua belah payudara ialah Sharon Osbourne, Giuliana Rancic, Christina Applegate dan Kathy Bates.
Selebriti kaya-raya
Seorang guru tadika di New Jersey, Debbie Gentile-Abbood berpendapat bahawa tindakan Jolie hanya mampu dilakukan oleh mereka yang kaya-raya.
Beliau berkata dalam sebuah artikel New York Post, “Tindakan beliau memang sesuai dengan kedudukannya kerana menerima penjagaan kesihatan terbaik berpunca daripada kemewahan wang ringgit. Jolie tidak perlu risau tentang cuti (Jolie cuti tiga bulan).
Beliau tidak perlu risau untuk menjaga keluarga, memasak dan mencuci di mana ia adalah rutin yang dilakukan oleh orang kebanyakan.”
Gentile-Abbood juga berkata, ibu-ibu bekerja tidak mempunyai wang berlebihan seperti dinikmati oleh Jolie yang menggunakannya untuk kos pembedahan membina semula payudara dan pembedahan kosmetik. Ibu-ibu bekerja juga tidak akan mampu untuk bercuti selama berbulan-bulan bagi menjalani prosedur tersebut.
Sebaliknya Jolie mampu membiayai  berjuta-juta dolar untuk prosedur tersebut semata-mata untuk ditayangkan di layar perak.
Beliau amat tidak setuju dengan kempen Jolie yang telah menakutkan ramai wanita bahawa payudara yang mereka miliki akan membunuh mereka.
“Apakah yang harus saya lakukan? Sekadar duduk setiap hari dan berasa bimbang bahawa saya akan menghidap kanser?”
Adakah benar setiap orang yang memiliki gen BRCA bermutasi atau bermasalah akan menghidap kanser payudara dan ovari serta beberapa jenis kanser lain? Institut Kanser Kebangsaan (National Cancer Institute) Amerika Syarikat menyentuh mengenai mutasi BRCA1 dan BRCA2 dan ia secara terbuka mengaku bahawa risiko kanser payudara dan ovari boleh berpunca daripada faktor genetik dan persekitaran.
Tiada sebarang indikasi dalam kenyataan NCI bahawa ia mengaitkan faktor genetik semata-mata untuk kedua-dua kanser tersebut.
Sila semak kenyataan NCI di www. cancer.gov/cancertopics/factsheet/Risk/BRCA. Doktor konvensional akan memberitahu anda risiko kanser payudara meningkat secara ketara apabila mendapati ahli keluarga mengalami kanser yang sama.
Sebaliknya, menurut statistik hanya 20 hingga 30 peratus wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara mempunyai sejarah keluarga mengalami kanser yang serupa.
Sila semak ‘US Breast Cancer Statistic’ di http://www. breastcancer.org/symptoms/understand_bc/ statistics.
Faktor gaya hidup
Apa yang benar ialah tiada siapa terperangkap dengan keadaan dialami oleh gen.
Dari perspektif epigenetik, gen tidak mempengaruhi kesihatan seseorang. Tahap kesihatan sebaliknya dipengaruhi oleh ekspresi gen.
Setiap orang berupaya meningkatkan ekspresi gen yang positif dengan menjalani gaya hidup holistik.
Faktor pemakanan, gerakan fizikal, emosi stabil, kesihatan mental, cahaya matahari (vitamin D) dan keharmonian rohani dipercayai mampu membuka atau menutup suis gen termasuk gen BRCA!
Sesetengah pakar perubatan alternatif percaya seseorang yang menjalani gaya hidup holistik secara konsisten berupaya mencegah 90 peratus kejadian kanser payudara.
Jadi, berdasarkan kenyataan NCI iaitu kanser payudara dan kanser ovari tidak semestinya berpunca daripada faktor genetik semata-mata malah faktor persekitaran juga memainkan peranan, maka punca 20 hingga 30 peratus penghidap kanser payudara di mana ahli keluarga mereka menghidap kanser yang serupa tidak semestinya berpunca daripada gen BRCA yang bermasalah.
Tidak dinafikan sebahagian daripada mereka mungkin mempunyai gen BRCA bermutasi atau bermasalah namun gaya hidup yang dijalani tidak berupaya membantu gen BRCA1 menjalani ekspresi secara positif.
Beberapa jenis nutrien telah dikenal pasti melalui kajian sains dalam membantu pembinaan gen BRCA sihat atau memodifikasi gen BRCA yang bermutasi iaitu vitamin D, Selenium dan omega-3.

Artikel ini juga disiarkan juga secara online di portal Sinar Harian di HYPERLINK  http://www.sinarharian.com.my/angelina-jolie-buang-payudara-1.164842

Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
 ©www.gayahidupholistik.blogspot.com


Selasa, 4 Jun 2013

Asid Maleic dalam Teh Bubble

Analisa dan pandangan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) yg terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL-Selangor pada Jun 4, 2013 berkaitan asid maleic yang digunakan sebagai aditif makanan dalam pembuatan bebola kanji ubi kayu buatan Taiwan. Bebola kanji ini digunakan sebagai bahan daya penarik (penyedap tekak) dalam penyediaan teh bubble yang dikenali juga sebagai pearl tea (teh mutiara).


    Minggu lepas Malaysia digemparkan dengan berita iaitu Kementerian Kesihatan menngantung pengimpotan 11 produk berasaskan kanji ubikayu buatan Taiwan. Langkah Kementerian Kesihatan tersebut berikutan langkah pihak berkuasa Singapura mendapati sesetengah bebola kanji ubi kayu buatan Taiwan yang digunakan dalam minuman teh bubble didapati mengandungi asid maleic.
    Menurut pengarah Kanan Jabatan Keselamatan dan Kualiti Makanan, puan Noraini Datuk Mohamad Othman penggunaan asid maleic sebagai aditif (bahan tambahan) dalam makanan adalah dilarang menurut Undang-undang Makanan 1985. Pengambilan acid maleic pada dos tinggi pada tempoh yang lama akan menyebabkan kegagalan buah pinggang.
   Puan Noraini juga dipetik sebagai berkata bahawa mereka yang telah memakannya (teh bubble mengandungi asid maleic) tidak perlu bimbang kerana pengambilan secara sekali sekala pada dos rendah tidak berbahaya.
    Pihak berkuasa Singapura pula iaitu Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) telah menjalankan ujian ke atas 66 produk berasaskan kanji dari Taiwan dan mendapati 11 produk mengandungi asid maleic. Menurut AVA lagi bahawa sebahagian besar produk yang dikesan mengandungi asid maleic merupakan bebola kanji yang digunakan dalam penyediaan minuman teh bubble.
Rantau Asia bimbang
    Beberapa akhbar dari negera China seperti Shanghai Daily dan People's Daily Online (29 Mei, 2013) melaporkan bahawa pihak berkuasa Shanghai telah menguji produk-produk dua buah syarikat Taiwan yang menjual minuman dan pencuci mulut di Shanghai. Ujian mendapati produk-produk kedua-dua syarikat tersebut mengandungi asid maleic.
   Namun ia dinafikan oleh kedua-dua syarikat. Pengusaha The Meet Fresh (Xian Yu Xian) menunjukkan laporan agensi yang menjalankan ujian yang menunjukkan produk mereka bebas dari asid maleic manakala pengusaha kedai Yu Gui Ren di Huaihai Road memberitahu mereka menerima bekalan kanji dari Wilayah Gansu, China.
    Adakah kerajaan Taiwan membenarkan asid maleic digunakan seabagai aditif dalam produk makanan? Jawapannya ia dilarang. Sebuah berita yang disiarkan dalam Want China Times (14 Mei, 2013) menyatakan bahawa pihak berkuaa kesihatan Taiwan telah merampas lebih kurang 25 ton produk dan bahan ramuan mengandungi asid maleic dari dua buah kilang. Rampasan dilakukan berikutan aduan yang menyatakan bahawa sesetengah pengilang menambah asid maleic dalam produk keluaran mereka.
   Bebola kanji dalam teh bubble memiliki sifat tersendiri yang menyebabkan teh bubble digemari ramai. Bebola kanji bukan sahaja lembut namun ia juga bersifat anjal. Rasa unik bebola apabila berada dalam mulut disertai rasa teh dengan pelbagai pilihan perisa menjadikan teh bubble minuman yang laris. Bahan yang dicampurkan ke dalam bebola kanji ubi-kayu untuk mendapatkan keanjalan tidak lain tidak bukan ialah asid maleic.
   Apabila berita mengenai asid maleic disiarkan oleh media cetak dan media elektronik, maka ramai peminat teh bubble tertanya-tanya mengenai bahaya asid maleic. Sebahagian besar peminat teh bubble termasuk pelajar-pelajar universiti yang penulis temui menyatakan mengapa asid maleic tidak dibenarkan digunakan dalam makanan sebagai aditif sedangkan bukankah ia wujud secara semulajadi dalam buah-buahan tertentu seperti anggur dan epal.
Meluruskan kekeliruan
   Kekeliruan timbul kerana sebutan asid maleic hampir sama dengan sebutan asid malic. Kedua-duanya ialah asid dikarboksilik (mengandungi dwi COOH, disebut sebagai C ikatan ganda dua OH) di mana setiap sebatian terdiri dari empat atom karbon. Namun dari segi struktur kedua-duanya berbeza: asid maleic mengandungi ikatan ganda dua manakala asid malic mengandungi hiroksil (OH). Sila semak diagram.
  Asid malic samada bentuk semulajadi asid L - malic (bentuk semulajadi terdapat dalam buah-buahan tertentu), atau DL - malic (sintetik) memang diakui oleh FDA Amerika Syarikat sebagai bahan yang secara umum diketahui selamat (GRAS, generally recognised as safe). Sebaliknya asid maleic digunakan sebagai pelembut plastik (plasticizer). 
   Sebaliknya, seperti telah dinyatakan di atas pengusaha-pengusaha bebola kanji ubi kayu Taiwan menambah asid maleic bertujuan melembutkan bebola bagi mendapatkan sifat anjal.
   Sesetengah orang tidak terliur langsung walau pun ditawarkan minum teh bubble secara percuma. Pertama kerana sebahagian besar kios-kios yang menjual teh bubble boleh dikatakan tidak mempunyai logo halal. Jadi, ketika pertama kali melihat bebola perang/ungu mereka ragu-ragu ia mengenai status kehalalannya. Mereka mengsyaki ia diperbuat dari bahan-bahan haram seperti gelatin. Jika bebola tidak diperbuat dari bahan-bahan haram, mereka mengesyaki mungkin terdapat bahan-bahan lain yang digunakan untuk menyediakan teh bubble mengandungi bahan-bahan tidak halal.
    Dari Abu Muhammad, Al Hasan bin Ali bin Abu Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangan beliau RA telah berkata : "Aku telah menghafal (sabda) dari Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu, gantilah dengan apa yang tidak meragukan kamu."
[HR. Tirmidzi no 2518 dan Tirmidzi berkata: Ini adalah Hadis Hasan Shahih, an-Nasai no.5711,8/327-328, Ibn Hibban dan al Hakim].
Tinggalkan syubhah
    Tiada siapa boleh salahkan golongan di atas. Dalam Islam sifat warak bermaksud sikap berhati-hati terhadap sesuatu perkara syubhah kerana takut terjerumus kepada perkara haram. Warak bukanlah seperti difahami oleh sesetengah orang yang mengganggap seorang yang warak sebagai seorang yang merendah diri, berjalan tunduk atau agak kelihatan naif.
   Sesungguhnya meninggalkan perkara syubhah dan mengambil yang halal akan melahirkan sifat warak. Mereka yang terlalu bermudah-mudah dalam soal hukum dengan meremehkan bimbingan agama dan berjinak-jinak dengan perkara syubhah akan berani melakukan perkara haram.
    Tambahan pula, seorang mukmin yang berakal jernih dan kuat imannya tidak mudah-mudah untuk minum atau makan barangan buatan negara-negara bukan Islam kecuali sesuatu produk keluaran negara-negara tersebut benar-benar disahkan halal oleh badan Islam yang berautoriti sebagaimana JAKIM di Malaysia. 
        Sebelum teh bubble buatan Taiwan atau negara-negara lain bukan Islam membanjiri pasaran mereka (golongan tidak terliur) hidup sihat dan bahagia juga dengan minum pelbagai jenis air yang menyihatkan seperti teh, kopi dan mungkin teh herba.
    Secara keseluruhan teh bubble kaya dengan gula. Tidak pula diketahui samada gula yang digunakan ialah sukros atau glukos. Kedua-duanya tidak baik untuk kesihatan jika diambil pada kuantiti tinggi apatah lagi minum minuman manis dijadikan kelaziman sepanjang masa. Kajian sains menunjukkan fruktos dari sirap jagung tinggi fruktos lebih berbahaya dari sukros.
    Huffington Post (21 September, 2012) melaporkan bahawa sekumpulan penyelidik German dari University Hospital Aaachen telah menemui kelumit bahan-bahan kimia karsinogen (menyebabkan kanser) dalam sampel-sampel bebola ubi kayu. Semua sampel bebola telah diambil dari kedai-kedai di barat daya German yang berasal dari Taiwan. Para saintis tersebut telah menemui styrene, acetophenone dan bahan-bahan mengandungi bromin di mana ia tidak sepatutnya berada dalam makanan. 
    Mungkin teh bubble juga kaya dengan bahan pewarna tiruan. Gula tinggi dan pewarna tiruan dikaitkan dengan sifat degil dan sukar fokus.

Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
©www.Gayahidupholistik.blogspot.com

Rabu, 15 Mei 2013

Rumpai Laut Sabah bantu Awet Muda

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada Mei 14, 2013.
Seorang blogger yang menulis artikel berjudul 'Tiada Kolagen dalam Rumpai Laut' menyatakan dalam artikelnya bahawa saintis tidak mendapati rumpai laut bermanfaat untuk awet muda. Menurutnya saintis mendapati beberapa jenis rumpai laut hanya bermanfaat untuk kanser dan tiroid. 


Untuk SHARE sila klik butang di kiri blog ini. Moga ALLAH berkahi usaha amal jariah kita.

    Mungkin blogger ini masih belum dapat menyelami maksud awet muda dan kaitannya dengan pelbagai penemuan sains terhadap manfaat rumpai laut. Carian penulis menggunakan Google scholar dengan kata kunci 'seaweed antiaging' menunjukkan terdapat 3,600 judul berkaitan kata kunci ini. Setelah mengimbas beberapa halaman hasil carian tersebut penulis dapati terdapat pelbagai kajian sains telah dijalankan menunjukkan pelbagai jenis rumpai laut adalah besifat antipenuaan.

    Sifat-sifat antioksidan, antikeradangan, mengharmoni fungsi kelenjar tiroid dan sifat anti-kanser merupakan antara sifat yang terkandung dalam sifat antipenuaan. Antipenuaan ialah sifat yang membantu seseorang awet muda. Apakah maksud awet muda?    Dalam bahasa mudah ia bermaksud seseorang selalu kelihatan muda walau pun umur biologinya sudah tua.

     Dalam artikel berjudul 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen' (Sinar Harian, 16 April 2013) penulis berpendapat bahan-bahan dalam rumpai laut Sabah yang membantu proses awet muda ialah antara lain polifenol, zink, magnesium, selenium, vitamin C, alfa-tocopherol, karotenoid dan fiber. Rumpai laut juga didapati mengandungi beberapa jenis vitamin B termasuk folat.

Carrageenan fiber larut

     Beberapa hari selepas artikel tulisan penulis berjudul 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen' (Sinar Harian, 16 April 2013) tersiar, Professor Dr. Madya Mohamad Salleh Kamaruddin yang bertugas sebagai pensyarah nutrisi akuakultur di Universiti Putra Malaysia telah menghantar emel kepada saya. Beliau menunjukkan beberapa bukti hasil kajian antara lain sebuah kajian lama (1956) berjudul 'Connective Tissue Growth Stimulated by Carrageenin.'

   Carrageenin yang digunakan dalam kajian diekstrak dari lumut Irish (Chondrus crispus).  Carrageenin ialah nama lama bagi Carrageenan. Kolagen tak larut (insoluble collagen) didapati terbentuk antara 5 - 9 hari selepas carragenin disuntik ke dalam tikus kajian. Rumpai laut Sabah Euchema cottoni kaya dengan kappa-carrageenan (mengandungi satu kumpulan sulfur untuk setiap unit disakarida).

    Kolagen merupakan sejenis protein yang amat penting kepada tubuh manusia. Ia bukan sahaja diperlukan untuk membina tisu lembut, malah ia penting untuk pembinaan tulang, gigi, kuku dan saluran darah. Ia juga terdapat pada permukaan sel dan dasar membran sel. Seperti penulis nyatakan dalam artikel 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen', pertama rumpai laut tidak mengandungi kolagen dan kedua protein yang terdapat dalam rumpai laut hijau Sabah (berdasarkan pengambilan dos harian) tidak mencukupi untuk membina dan memulihara kolagen seluruh tubuh.

    Kebanyakan orang percaya protein dengan pelbagai asid amino yang lengkap terkandung dalam rumpai laut membantu proses tersebut. Penulis pula berpandangan kajian perlu dijalankan untuk menunjukkan samada kandungan protein, bahan-bahan lain tanpa protein atau semua bahan secara lengkap yang membantu proses tersebut.

     Pada pandangan penulis, oleh sebab kuantiti protein amat rendah (berdasarkan dos harian) maka bahan-bahan lain diperlukan untuk tujuan tersebut. Bahan-bahan yang dimaksudkan seperti yang penulis sebutkan dalam empat perenggan terakhir artikel 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen' termasuk antara lain polifenol, zink, magnesium, selenium, vitamin C, alfa-tocopherol, karotenoid dan fiber.

    Rumpai laut juga didapati mengandungi beberapa jenis vitamin B termasuk folat. Selain itu carrageenan seperti dinyatakan dalam kajian usang (dianggap lapok oleh sesetengah pihak namun amat berguna) berjudul 'Connective Tissue Growth Stimulated by Carrageenin' juga membantu proses pembentukan kolagen.

Protein kitar semula

    Kemungkinan besar semua bahan yang disebutkan membantu membina dan memulihara pelbagai komponen tubuh samada yang berasaskan protein atau pun bukan protein secara sinergi. Kepada mereka yang kurang mengambil makanan berprotein, kuantiti protein rumpai laut yang rendah akan dibantu oleh 100 hingga 300 gram protein yang di kitar semula setiap hari oleh tubuh dalam membantu proses awet muda.

    Penulis nyatakan dalam artikel berjudul 'Rumpai Laut Tidak Mengandungi Kolagen', contohnya zink dan magnesium yang dibantu oleh folat serta fitokimia-fitokimia antisoksidan membantu ekspresi gen. Ekpresi gen yang sempurna membantu pelbagai jenis tindakan dan tindak-balas yang diperlukan organ sistem dalam membantu tubuh memulihara kesihatan.   Hasilnya pengambilan dan penggunaan rumpai laut terutama apabila kedua-duanya dilakukan secara serentak dipercayai membantu seseorang mengalami awet muda.


    Pengambilan(makan) dan penggunaan secara luaran rumpai laut Sabah Eucheuma cottoni didapati mempercepat proses penyembuhan luka.   Sesetengah pihak berpendapat ia mungkin berpunca dari kandungan pelbagai jenis antioksidan seperti dinyatakan dalam laporan berjudul 'Wound healing properties of Eucheuma cottonii extracts in Sprague-Dawley rats' yang terbit dalam Journal of Medicinal Plants Research (2011). Sebaliknya penulis berpandangan bahawa ia berpunca dari tindakan pelbagai jenis bahan terkandung dalam rumpai laut yang bertindak secara sinergi.

    Ramai pengguna yang telah biasa menggunakan produk berasaskan rumpai laut Sabah seperti mengambil dalam bentuk gel mendakwa kulit mereka tegang, najis lawas, penghadaman sempurna dan kurang/hilang sakit sendi/otot. Semua keadaan ini termasuk luka cepat sembuh membantu proses awet muda.

Akibat gila glamer

    Selepas beberapa hari artikel penulis bejudul 'Rumpai Laut Tidak Mengandungi Kolagen', dua orang rakan bagi pihak penulis telah menegur seorang pemilik laman Facebook kerana telah bertindak secara tidak adil. Beliau yang mungkin gila glamer ini telah menampal foto sebahagian keratan akhbar yang tertera judul artikel tulisan penulis iaitu 'Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen.'

    Di bawah foto tersebut hamba ALLAH tersebut menampal seluruh isi sebuah artikel yang didakwanya sebagai isi artikel yang tersiar dalam akhbar. Yang benar ialah artikel tersebut ditulis oleh seorang blogger dengan judul 'Tiada Kolagen Dalam Rumpai Laut.'

    Setakat ini lebih dari sepuluh ribu orang telah berkongsi maklumat ini. Kekeliruan yang timbul ialah orang menyangka artikel yang ditampal benar-benar disiarkan dalam akhbar.        Setakat ini tiada sebarang jawapan apatah lagi tindakan daripada pemilik laman Facebook tersebut. Mungkin beliau terlepas pandang maksud niat tidak menghalalkan cara.

     Sesungguhnya blogger yang menulis artikel tersebut tidak diketahui kredibilitinya. Mesej artikelnya didapati cuba mempengaruhi para pembaca dengan menyatakan tiada yang ajaib tentang rumpai laut dengan alasan terdapat pelbagai makanan dari darat dengan nilai nutrien yang sama atau lebih baik dari rumpai laut.


   Apa pandangan penulis tentang rumpai laut? Penulis menganggap rumpai laut sebagai makanan super dan salah satu agen antipenuaan yang baik.

Artikel berkaitan dengan yang ini: Rumpai Laut tidak Mengandungi Kolagen 



Hakcipta:

Herbalis Bahrain, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com

Khamis, 9 Mei 2013

Sotong Kering Selamat Dimakan?

Artikel tulisan Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada Mei 8, 2013.   Kebelakangan ini heboh semula berita berdasarkan hasil ujian  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (PPP) yang mendapati sotong kering mengandungi nilai kadmium beberapa kali ganda dari had yang dibenarkan. Pada tahun 2009 PPP telah menjalankan ujian rawak ke atas enam sampel sotong kering.

    Ia mendapati lima darinya mengandungi kadmium. Tiga dari lima sampel tersebut didapati mempunyai paras kadmium empat kali ganda had yang dibenarkan. Di Malaysia had tertinggi kadmium yang dibenarkan dalam makanan laut ialah 1 bahagian per sejuta (1 miligram per 1 kilogram, kependekan: ppm). Berita hasil ujian telah dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan pada 29 September 2009.

    Bernama (1 Oktober, 2009) melaporkan kenyataan  pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (BKKMKK). Beliau dipetik sebagai berkata bahawa jabatan itu mendapati produk makanan laut masih selamat untuk dimakan. Ia berdasarkan hasil pemantauan melalui sampel yang diuji di mana kurang daripada satu peratus produk makanan laut positif kadmium.
     Suatu ketika dahulu tersebar berita yang menakut-nakutkan orang ramai agar tidak makan udang dengan vitamin C akan menyebabkan kematian. Ia kerana konon kandungan arsenik dalam udang akan bertindak-balas dengan vitamin C dan menghasilkan racun yang boleh membunuh. Cerita yang dihebohkan kononnya melibatkan seorang wanita yang makan udang dan kemudian minum air mengandungi suplemen vitamin C dalam bentuk larutan. Darah dikatakan keluar dari dari mata, telinga, mulut, hidung, kulit dan lidah beliau.
Cerita rekaan
      Suplemen vitamin C yang diambil oleh wanita tersebut dipercayai telah mengubah arsenik pentoksida kepada arsenik trioksida. Arsenik pentoksida dan arsenik trioksida  merupakan sebatian arsenik tidak organik. Arsenik pentoksida dikatakan amat beracun kepada kesihatan manusia manakala arsenik trioksida jauh lebih beracun.
    Namun pengambilan makanan yang mengandungi arsenik pentoksida biasanya tidak menyebabkan keracunan. Pelbagai bahan kimia yang terdapat dalam makanan yang dimakan mungkin menutralkan atau melemahkan kesan racun arsenik pentoksida dan mungkin juga arsenik trikoksida.
    Sebuah kajian oleh para penyelidik di makmal haiwan University of Illinois seperti dilaporkan dalam akhbar Chicago Tribune (25 Ogos, 1985) telah mendapati vitamin C mengubah arsenik pentoksida kepada arsenik trioksida.  Namun tidak diketahui samada para penyelidik di jabatan sains haiwan tersebut menggunakan udang dalam kajian yang mereka jalankan. Berita tersebut juga tidak menyatakan berlakunya sebarang kematian kepada haiwan kajian akibat keracunan arsenik trioksida.
    Cerita wanita mati kerana makan udang dan vitamin C yang telah tersebar diinternet sejak tahun 2001 ini dikatakan oleh ramai penganalisa sebagai sesuatu yang direka dan dibuat-buat. Begitu juga dengan cerita terkini kononnya seorang wanita meninggal setelah makan mi dan cokelat.
   Hasil ujian oleh BKKMKK pada Januari hingga Jun tahun 2009 ke atas 1,372 sampel makanan laut mendapati dua belas sampel mengandungi paras arsenik melebihi dari had yang dibenarkan iaitu antara 1.1 - 10.75 ppm. Berita Bernama berjudul Sotong Kering Masih Selamat Untuk Dimakan (1 oktober, 2009) tidak pula menyatakan makanan laut tertentu secara khusus yang mengandungi paras arsenik tertinggi.
Arsenik organik
   Menurut dokumen berjudul Guidance Document for Arsenic in Shellfish (1993) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Amerika (pautan: http://www.speciation.net/Database/Links/US-FDA-Guidance-Document-for-Arsenic-in-Shellfish-;i762), 90 peratus arsenik dalam makanan laut ialah arsenik organik manakala 10 peratus adalah arsenik tidak organik. Arsenobetaine iaitu arsenik organik dikatakan kurang beracun dibandingkan dengan arsenik pentoksida (tidak organik).   

     Paras arsenik tertinggi dalam makanan basah di Amerika Syarikat ialah 30 ppm. Maksudnya dalam makanan kering tertentu bacaan arsenik mungkin 4-5 ganda lebih tinggi! Jabatan Pemeliharaan Alam Sekitar Ameriaka (EPA) tidak menetapkan sebarang had selamat arsenik dalam makanan. Ia hanya menetapkan had 10 bahagian ber bilion untuk air minuman dan air yang dibotolkan.
     Dokumen yang dijadikan bimbingan  itu menitik-beratkan kadar pendedahan arsenik dalam tempoh tertentu.  Dokumen tersebut mencadangkan paras maksima yang dibenarkan untuk pengambilan harian mengandungi arsenik tidak organik dari makanan bercengkerang ialah 130 ppm bagi setiap orang!
     Jadi, jika dokumen Jabatan Pertanian Amerika ini digunakan untuk mengukur paras arsenik dalam tiga sampel hasil ujian PPP yang mendapati paras arsenik empat kali ganda dari had yang dibenarkan, sebenarnya ia diterjemahkan sebagai hanya 0.4 ppm kandungan arsenik tidak organik. Andai kata angka 10.75 ppm hasil ujian pihak BKKMKK adalah untuk sotong kering maka arsenik tidak organik cuma mewakili 1.075 ppm dari jumlah keseluruhan arsenik.
Keadah dipersoalkan
    PPP tidak menyatakan kaedah ujian dijalankan. Ujian dengan kaedah (atau mesin) yang berbeza akan menghasilkan keputusan yang berbeza. Sesetengah kaedah ujian dan penggunaan mesin tertentu menyebabkan paras elemen yang diuji menjadi lebih tinggi dari paras yang sepatutnya. Mesin berteknologi rendah (dan murah) dikatakan meningkatkan risiko gangguan gelombang logam-logam lain yang akan meningkatkan bacaan paras logam yang sedang diuji.
     Oleh sebab terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi bacaan paras logam yang diuji. Jadi, ujian yang dijalankan dengan mesin jenis paling canggih dengan hasil bacaan paling jitu perlu antara lain mempastikan tiada pencemaran sebarang logam berat di dalam udara makmal.
    Salah satu cara berkesan untuk mengelakkan keracunan logam-logam berat ialah mengelakkan sumber pencemaran sedaya yang mungkin.     Menggunakan garam gunung Himalaya dalam masakan harian adalah antara cara mudah untuk mengelakkan keracunan. Ia membantu menyelaras paras pelbagai mineral dalam tubuh. Pengambilan rumpai laut secara kerap juga mampu menyah logam berat termasuk bahan radioaktif.
    Chlorella, daun ketumbar, bawang, bawang putih dan burdock biasa digunakan untuk menyah logam berat. Tanah liat bentonite, karbon teraktivasi dan zeolite juga membantu. Karbon teraktivasi dari buluh ialah antara pilihan yang baik.

     Herba seperti shisandra (wu wei ji), milk thistle. amla (buah Melaka), triphala dan putrawali (patawali) membantu detoks hati dan seluruh tubuh. Sebahagian pengamal mencadangkan pengambilan makanan tinggi lemak terutama lemak tepu, tinggi protein dan rendah karbohidrat.
    Makanan lemak tinggi memang membantu penyerapan logam berat. Namun dari suatu sisi, makanan tinggi lemak dikatakan mengeluarkan logam berat yang terkumpul dalam sel-sel lemak.  Bersauna dengan pancaran infra merah gelombang jauh dikatakan membantu mengeluarkan logam-logam berat dari sel-sel lemak.
    Kurangkan karbohidrat terproses termasuk makanan bergula. Elakkan makanan terproses. Makanan organik adalah pilihan lebih baik dan sempurna kerana ia menyumbang pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Buah-buahan kaya vitamin C dan bioflavonoids dipercayai membantu. Suplemen multivitamin gred tinggi dicadangkan untuk membantu menyeimbangkan fisiologi. 

Sila baca artikel berjudul Keracunan Logam Berat 

Hakcipta:

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com