Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Rabu, 23 Januari 2013

Meningkatkan Kecekapan Sistem Imiun amat Mudah

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 22 Januari 2013. 

     Minggu lepas penulis sentuh mengenai beberapa aspek yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja bagi memperkukuh sistem imiun. Aspek-aspek yang dibincangkan adalah seperti berikut. 

    Bahan-bahan yang masuk ke dalam perut kita seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, suplemen adalah bahan yang menentukan tahap kesihatan masa hadapan termasuk tahap kecekepan sistem imiun. Mengelakkan antibiotik moden dan menggantikannya dengan antibiotik dari alam semulajadi adalah langkah yang bijak. 

  Minggu ini penulis teruskan perbincangan dengan menyentuh beberapa aspek utama yang lain.

     Bayi yang menyusu susu ibunya dikatakan amat bertuah. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan kasih-sayang antara ibu dan bayi malah secara langsung dan tidak langsung membantu menyediakan sistem imiun yang sempurna ketika alam bayi dan ketika alam dewasa

Bukan sekadar antibodi

   Bahan-bahan dalam susu ibu amat  penting dalam membantu memperkukuh sistem imiun. Asid laurik, lactoferin, alpha-lactalbumin, lysozyme, lipid, gumpalan lemak susu, nucleotide, defensin, cytokine, hormon, faktor tumbesaran (pertumbuhan), faktor anti-perembisan, leucocyte, neutrophil, macrophage, lymphocyte serta pelbagai jenis antibodi, Setiap bahan bertindak secara unik serta saling membantu fungsi komponen-komponen lain.    

      Susu ibu mengandungi sembilan puluh jenis oligosakarida yang membentuk lebih sembilan ratus jenis stuktur kimia. Kolustrum atau 'susu awal ibu' mengandungi paras oligosakarida yang tinggi. Ia dikenalpasti membantu sistem imiun dengan menghalang virus dan bakteria dari melekat pada dinding usus.

     Bayi yang menyusu susu ibu didapati memiliki saiz thymus dua kali ganda lebih besar berbanding dengan bayi yang tidak menyusu susu ibu. Thymus ialah sejenis organ sistem imiun yang amat penting.

     Untuk menyuburkan payu-dara dan kilang susu, wanita yang telah bersedia untuk mengandungi perlu menyediakan diri dengan mengambil makanan-makanan tertentu bagi tujuan tersebut. Elakkan dari makan makanan merapu misalnya makanan terproses dan jeruk yang mengandungi warna sintetik serta pemanis tiruan.

    Makanlah lauk yang berbeza pada setiap hari. Kerap mengambil sup ayam dikatakan membantu meningkatkan paras susu. Makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan secara kerap. Minyak kelapa dara membantu mempertingkat paras asid laurik dalam susu isu. Herba seperti halba, serbuk daun barli, jintan putih dan bawang putih amat membantu.

   Detoksifikasi yang sempurna amat penting bagi mengharmoni kecekapan sistem imiun. Terdapat beberapa cara utama tubuh menjalankan proses detoksifikasi iaitu melalui kulit (peluh), organ hati, buah pinggang dan usus. Aktiviti fizikal seperti bersenam, berlari, mengayuh basikal, main badminton adalah antara cara untuk mengeluarkan peluh. Malah aktiviti fizikal yang cergas tetapi tidak keterlaluan memang didapati meningkatkan kecekapan sistem imiun.

Bahan sembelit

    Mereka yang biasa buang air besar purata satu atau dua kali sehari biasanya dikatakan akan memiliki sistem imiun yang kuat. Sebaliknya mereka yang sering mengalami sembelit iaitu menyimpan najis lebih dari dua hari mudah mendapat jangkitan kuman. Sesetengah penghidap kanser mengalami sembelit berlarutan selama beberapa tahun (atau berpuluh tahun) sebelum mereka didiagnos mengalami kanser.

    Hati ialah sejenis organ yang menjalankan proses detoksifikasi yang utama. Mereka yang sering makan berlebihan, menghisap rokok, minum arak, makan ubatan-ubatan moden (terutama ubat-ubatan kategori racun kepada sel contohnya ubat kemoterapi) mudah mendapat jangkitan kuman.

    Pertama kerana tubuh tidak berupaya mendetoks secara berkesan. Kedua kerana kekurangan nutrien. Mengambil makanan tinggi nilai nutrien namun masih mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti amalan-amalan di atas meningkatan risiko ketidakcekapan sistem imiun.

     Anda biasa dengar seseorang yang mengalami stres emosi secara berlarutan mudah menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit-penyakit yang berkaitan dengan ketidakharmonian sistem imiun. Mereka yang sering murung contohnya mudah menghidap demam selsema dan batuk. Mereka yang sering resah akan mengalami contohnya masalah penghadaman dan diarea. Stres berpanjangan juga menyebabkan sistem imiun tidak dapat memusnahkan sel-sel kanser secara cekap.

       Seperti dinyatakan di atas aktiviti fizikal yang tidak keterlaluan membantu memperkukuh sistem imiun. Namun jika ia dilakukan secara keterlaluan contohnya hubungan biologi dengan pergerakan fizikal yang menggila, bersukan secara tidak kena gaya (terlalu aktif namun tidak mengambil jenis dan jumlah makanan yang sesuai) dan sering beronani (masturbasi - sebahagain besar ulama berpendapat ia haram).

       Mereka yang kerap melakukan hubungan biologi (atau sering beronani) dipercayai mengalami kekurangan beberapa jenis nutrien termasuk beberapa jenis vitamin B, magnesium dan zink di mana kesemuanya digunakan untuk membina tenaga. Zink membantu membina enzim bagi digunakan untuk membina tenaga.

     Kepekatan zink adalah paling tinggi dalam air mani.  Jadi, mengeluarkan air mani secara kerap bermaksud mengurangkan zink dari tubuh. Melakulan hubungan biologi dan beronani secara terlalu kerap menimbulkan stres dan seterusnya mengganggu fungsi sistem imiun. Seseorang yang sering beronani mudah mengalami demam dan bronkitis!

Kotoran tingkat kecekapan

     Kanak-kanak yang biasa bermain di taman terutama di atas tanah dikatakan memiliki sistem imiun yang kuat berbanding kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang serba-bersih. Ia mudah difahami kerana sistem imiun mereka membantu mempertahan tubuh mereka dari penyakit dengan membina lebih banyak antibodi berbanding tubuh kanak-kanak yang dimanjakan dengan persekitaran serba-bersih. Pada masa akan datang kanak-kanak yang memiliki pelbagai jenis antibodi ini tidak mudah dijangkit jangkitan mikrob.

    Kajian menunjukkan kanak-kanak yang membesar di pusat penjagaan kanak-kanak memiliki sistem imiun yang kuat. Tidak dinafikan air bersih diperlukan bagi mempastikan dari jangkitan mikrob bawaan air. Selain itu mencuci tangan dengan air dan sabun hingga bersih ialah amalan yang baik samada selepas keluar tandas atau sebelum makan.

    Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa mencuci tangan menggunakan sabun mengandungi antimikrob berasaskan fenol bukan langkah yang bijak. Ia dikatakan sama dengan penggunaan antibiotik moden di mana penggunaan sabun jenis ini akan menyebabkan bakteria dan virus bermutasi kepada varian yang sukar dimusnahkan oleh antibiotik pada masa akan datang.

    Beberapa langkah lain bagi membantu memperkukuh sistem imiun ialah seboleh-bolehnya mengelakkan dari terdedah kepada bahan-bahan kimia persekitaran (dan bahan kosmetik), sentiasa bersikap positif, pertingkat hubungan suami-isteri (dan silatul rahim) dan rehat/tidur yang mencukupi.

Hakcipta
Herbalis Bahrain, RH (AHG)

Sabtu, 19 Januari 2013

Puliharalah Sistem Imiun Anda

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 15 Januari 2013.  
    Sistem imiun menyumbang beberapa fungsi yang penting kepada tubuh seperti membantu tubuh dari dijangkiti virus dan bakteria. Ia juga membantu memusnahkan sel-sel kanser dan bahan-bahan yang asing kepada tubuh. Selain dari itu ia memusnahkan sel-sel yang rosak. Sejenis tugas sistem imiun yang jarang diketahui oleh orang awam ialah ia juga berfungsi memperbaiki tisu tubuh yang rosak kerana tercedera.
    Keseluruhan artikel ini akan memfokus terhadap beberapa langkah mudah bagi membantu memperkukuh sistem imiun terutamanya sistem iminun yang membantu tubuh melawan mikrob dan memusnahkan sel kanser. Langkah-langkah yang dicadangkan juga dipercayai sekali gus membantu memperkukuh cabang sistem imiun yang memperbaiki tisu rosak, memusnahkan bahan asing pada tubuh dan sel-sel mati.
    Ketika alam bayi iaitu ketika anda berumur beberapa bulan hingga setahun anda diserang beberapa penyakit seperti demam selsema, flu dan sakit tekak. Anda mengalami selsema, sesak nafas, muntah, rasa sakit, batuk dan berpeluh. Pada tempoh tersebut sistem imiun anda mengingati mikrob-mikrob yang ditemuinya. Ia membentuk kekebalan atau imunisasi terhadap mikrob yang pernah ditemuinya agar ia dapat mempertahankan tubuh dari serangan mikrob yang sama pada masa akan datang.
    Ketika usia tua sistem imiun mula mengalami ketidakseimbangan dari segi fungsi kerana ia telah berkerja bertungkus-lumus merpertahankan tubuh anda dari serangan mikrob selama berpuluh tahun. Berita baik mengenai sistem imiun ialah fungsi sistem imiun dipercayai dapat diperkukuh dengan mengamalkan gaya hidup sihat tertentu. Jika diamalkan secara berterusan ia dipercayai berupaya memperkukuh sistem imiun kepada tahap paling optima bukan sahaja ketika seseorang hidup pada usia produktif namun tetap terus kukuh hingga ke akhir hayat.

Kecekapan tidak sama

    Sedia maklum sistem imiun yang cemerlang bukan sahaja mengurangkan peluang untuk dijangkiti penyakit-penyakit berpunca dari serangan mikrob namun berupaya mengurangkan risiko dari mengalami pelbagai jenis kanser. Kadang-kadang setiap kali musim demam selsema atau flu melanda anda dapati bukan semua orang dalam sebuah keluarga atau kumpulan dijangkiti penyakit-penyakit tersebut.
    Anda sering bersin di dalam pejabat namun hanya rakan di sebelah kiri yang dijangkiti beberapa hari kemudian. Rakan di sebelah kanan anda boleh dikatakan tidak terjejas tidak kira berapa kali anda mengalami flu dalam setahun. Jawapannya ialah setiap orang memiliki sistem imiun yang unik. Seseorang mungkin tidak mengamalkan gaya hidup sihat tetapi sistem imiun mereka cemerlang sampai ke akhir hayat.
    Namun pada hemat penulis bukan semua orang mengalami tahap kecermelangan yang sama tanpa pemuliharaan yang rapi. Jadi, dengan mempelajari langkah-langkah yang mudah untuk diamalkan seperti yang akan dibincangkan, ia dipercayai berupaya membantu memperkukuh sistem imiun hingga ke akhir hayat.
    Makanan yang sesuai membantu memperkukuh keseimbangan sistem imiun manakala makanan yang tidak akan mengganggunya. Makanan dan minuman tinggi gula mengganggu keseimbanganya dan seterusnya akan menyebabkan ia kurang berfungsi secara sempurna. Elakkan dari minum jus buah-buahan segar yang ditambah gula secara melampau.
    Belajarlah minum jus buah-buahan yang kurang manis. Jus buah-buahan tinhhi gula bukan sahaja tidak sesuai untuk keseimbangan sistem imiun malah dipercayai mengurangkan kesan tindak-balas bahan-bahan antioksidan yang terdapat di dalamnya apabila dimakan. Cokelat gelap lebih baik dari cokelat biasa kerana cokelat gekap mengandungi paras koko yang tinggi berbanding cokelat biasa.
    Lebik baik dari kedua-duanya ialah minuman koko panas tanpa gula. Walau pun saintis mendapati cokelat gelap memiliki paras antioksidan tinggi namun penulis berpendapat bahawa ia tetap makanan terproses yang tidak diperlukan tubuh. Ia mengandungi lemak terhidrogenasi dan lebihan heksana dari pemprosesan. Pengambilan cokelat gelap pada paras tinggi setiap hari mungkin boleh mengganggu keseimbangan sistem imiun. Apatah lagi cokelat biasa yang memang kurang kandungan koko dan tinggi gula.

Antibiotik semulajadi

    Antibiotik yang diambil secara kerap dan berpanjangan mengganggu keseimbangan flora usus. Beberapa penemuan terkini menunjukkan keseimbanag mikroflora usus diperlukan oleh tubuh dalam pemulihaaraan sistem imiun. Belajarlah dari tidak terlalu bergantung kepada antibiotik dengen mengambil bahan-bahan dari alam semulajadi sebagai alternatif untuk ubatan antibiotik moden. Mambu (Neem),
    Cat's Claw dan Echinacea adalah antara pilihan terbaik. Ia bukan sahaja bersifat antibiotik (antibakteria) malah bertindak sebagai pengharmoni sistem imiun. Untuk pengetahuan anda ketiga-tiga herba ini juga bersifat antivirus. Jika anda mengalami demam selsema, flu, batuk dan bronkitis maka Echinacea atau Neem sepatutnya menjadi pilihan utama berbanding ubatan antibiotik.
    Mahkota dewa juga bersifat antibakteria dan antivirus. Daunyya dikatakan berkesan mengatasi demam selsema dan flu terutama jika digabungkan dengan herba-herba dengan sifat terapeutik yang sama. Cengkih, kayu manis dan bawang putih juga memiliki kedua-dua sifat antibakteria dan antivirus. Begitu juga dengan herba-herba seperti Oregano dan Thyme. Untuk mengetahui perbincangan lebih lanjut mengenai kebanyakan bahan-bahan yang disebutkan ini sila baca buku penulis berjudul Rawat dengan Herba - Cegah Demam dan Flu (terbitan Alaf 21).
    Seseorang yang menjalani sesuatu rawatan penyakit kronik seperti hepatitis dan kanser biasanya mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Sebab utama dipercayai berpunca dari pengambilan ubat-ubatan moden untuk merawat penyakit-penyakit tersebut. Sebab kedua, kebanyakan doktor dikatakan jarang mencadangkan pengambilan suplemen tertentu seperti multivitamin bernilai tinggi atau jus tinggi antioksidan.
    Pada mereka makanan yang diambil oleh pesakit sudah memadai. Jika pesakit mengalami penyakit-penyakit lain selain dari penyakit yang sedang dihidapi mereka akan mengpreskripsi ubatan untuk mengatasi penyakit tersebut. Mereka jarang berusaha memperbetulkan pemakanan pesakit sedangkan ia sepatutnya diambil peduli pada semua tahap rawatan.
    Kekerapan makan makanan merapu seperti makanan ringan seperti kerepek kentang goreng dan pelbagai jenis cip yang diperbuat dari tepung juga dikatakan mengganggu keseimbangan kehidupan mikroflora usus dan seterusnya mengganggu fungsi sistem imiun. Begitu juga dengan sebarang jenis makanan yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan. Ramai yang menganggap makanan tidak kira disediakan dengan apa cara sekali pun adalah tetap bernilai kepada kesihatan tubuh.
    Hakikatnya makanan yang ditanam secara organik adalah paling tinggi nilai nutrien. Makanan yang ditanam secara komersil bukan sahaja kurang nutrien malah mengandung pelbagai jenis racun seperti racun makluk perosak dan racun rumpai. Manakala makanan terproses pula iaitu makanan yang disediakan di kilang bertujuan untuk menyedapkan tekak sahaja mengandungi paling kurang nilai nutrien. Pewarna dan perisa tiruan yang ditambah meningkatkan risiko kemudaratan untuk kesihatan temasuk mengganggu fungsi sistem imiun.

Bersambung pada siri 2 (Sinar Harian 22 Januari 2013)

Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com

Pendekatan Perubatan Moden, Alternatif Berbeza

 Oleh:   Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 8 Januari 2013.   
    Golongan perubatan moden sering memiliki sikap skeptikal terhadap pendekatan perubatan alternatif dalam menangani pelbagai masalah kesihatan. Mereka menyatakan bahawa sebahagian besar kaedah rawatan yang digunakan oleh para pengamal perubatan alternatif tidak memiliki bukti saintifik. Selain itu pengamal perubatan alternatif diselar kerana sering menggunakan hasil kajian yang sudah lapuk.
    Ramai dari kalangan pengamal perubatan moden hanya menerima hasil kajian terkini untuk kegunaan perubatan. Yang dimaksudkan dengan terkini ialah sesuatu kajian yang dijalankan dalam tempoh sepuluh tahun dari tarikh sekarang. Maksudnya hanya kajian sebelum (dan termasuk) tahun 2013 sahaja diterima. Kajian yang dijalankan sebelum tempoh ini dikira tidak laku.
    Kaedah meminggirkan kajian terdahulu ini memang amat sesuai digunapakai oleh golongan perubatan moden. Ini kerana setiap kajian terkini memang memihak kepada kehendak pengeluar-pengeluar ubat-ubatan moden yang berhasrat memasarkan ubat-ubatan keluaran mereka pada paras tertinggi.
    Memang benar sebahagian pengamal perubatan aternatif sekadar menggunakan bukti-bukti kecil contohnya dari kajian sains yang dijalankan ke atas tikus makmal atau ujikaji tabung uji. Sebahagian pakar pula menggunakan hasil rumusan dari maklumat tertentu (deduksi). Pada keadaan tertentu penulis sendiri menggunakan kaedah deduksi. Contohnya penulis mencadangkan beberapa jenis bahan bagi membantu seseorang yang mengalami arterosklerosis.

Vitamin C

    Dalam bahasa mudah arterosklerosis merujuk kepada arteri jantung tersumbat menyebabkan ia tidak anjal. Bahan-bahan yang penulis cadangkan ialah cuka epal jenis berkeladak dan vitamin C dos tinggi diambil secara oral. Penulis juga mencadangkan penghidap agar mengambil jus tertentu contohnya jus delima, acai atau jus yang mengandungi gabungan beberapa jenis buah-buahan yang kaya dengan bioflavonoids.
    Bahan-bahan untuk rawatan adalah berbeza jika anda meminta nasihat dari pakar-pakar perubatan alternatif yang lain. Ia kerana setiap pakar perubatan alternatif mempunyai pendedahan iaitu dari segi pendidikan asas atau pengalaman yang berbeza dalam menangani sesuatu masalah kesihatan.
    Para doktor pula percaya beberapa jenis ubatan moden dalam bentuk gabungan akan membantu penghidap penyakit yang sama. Mereka biasanya mengpriskrepsi beberapa jenis ubatan mengawal kolesterol dan mengawal tekanan darah. Ubat-ubatan ini memang telah dibuktikan melalui kajian sains yang memihak kepada kehendak pengeluar ubatan (samada dari segi kesan terapeutik mahu pun kesan sampingan) sebelum diluluskan oleh pihak berkuasa tertentu contohnya Jabatan Makanan dan Ubatan, FDA Amerika Syarikat.
    Adakah para doktor mengkrespripsi vitamin C untuk penghidap masalah paras kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi atau masalah arteri jantung tersumbat? Mereka biasanya tidak akan melakukannya untuk masalah tersebut. Alasan mereka tiada bukti dari kajian sains yang sepatutnya telah dilaporkan dalam jurnal-jurnal terkemuka yang diiktiraf.
    Ramai yang tidak tahu bahawa kajian sains terhadap vitamin C hanya terhad kepada dos kecil. Kajian dos besar hanya dijalankan secara bersendirian oleh pengamal-pengamal tertentu. Sesetengah saintis seperti Linus Pauling yang mendakwa vitamin C amat diperlukan oleh tubuh dalam mencegah dan meredakan arterosklerosis ditertawakan oleh golongan perubatan moden.
    Mengapa masih tiada kajian khusus menggunakan vitamin C dos berbeza temasuk dos tinggi untuk pelbagai masalah kesihatan? Ia kerana harga pasaran vitamin C murah. Ia juga tidak boleh dipaten! Menjual ubat-ubatan seperti statin (mengawal paras kolesterol) dan propanolol (mengawal tekanan darah tinggi) lebih berbaloi. Jangka panjang para pengeluar untung berpuluh bilion dolar setahun,
    Para doktor terus-menerus meraih keuntungan hasil penjualan ubat-ubatan dengan harga berlipat kali ganda berbanding vitamin C. Untuk meluaskan pandangan anda terhadap kegunaan terapeutik vitamin C sila lawati laman sawang Vitamin C Foundation di HYPERLINK: http://www.vitamincfoundation.org/. Untuk menggunakan vitamin bagi meredakan arteroskelrosis sila baca buku penulis bejudul Serangan Jantung (terbitan ALAF 21).

Herba 'sejuk' dan sakit mata

    Penulis tidak nafikan dalam hal pengambilan/penggunaan suplemen (termasuk herba) maklumat sains terutama behubung kesan farmakologi. keselamatan, interaksi agen-ubatan, dos dan ketoksikan (jika ada) adalah penting diketahui oleh pengamal atau pengguna. Namun terdapat juga agen yang berupaya meredakan (atau merawat) sesuatu penyakit tanpa bergantung kepada maklumat sains.
    Contohnya pengambilan herba kategori 'sejuk' seperti diamalkan oleh Perubatan Tradisional China (PTC) untuk merawat mereka yang mengalami keresahan dan sakit mata (conjunctivitis). Setakat ini tidak terdapat penerangan jelas dari segi saintifik mengenai bagaimana herba bersifat sejuk contohnya Chai Hu berupaya meredakan kedua-dua jenis penyakit tersebut. Dari perspektif sains keresahan adalah berpunca dari emosi dan sakit mata berpunca dari serangan virus. Menurut perspektif PTC, Chai Hu bersifat sejuk akan menenangkan hati (liver). Keresahan adalah sejenis emosi yang menyebabkan peningkatan 'yang'.
    Menurut PTC juga mata adalah tingkap kepada hati. Kesesakan yang berlaku pada hati akan bermanifestasi kepada pelbagai bentuk simtom termasuk pada mata dan memburukkan (atau tidak berubah) emosi yang sedang dialami. Jadi dengan mengambil Chai Hu atau beberapa jenis herba lain samada yang menyokong fungsi Chai Hu atau mempunyai sifat terapeutik lain maka keresahan atau sakit mata akan reda.
    Golongan perubatan moden amat skeptikal terhadap perubatan homeopati, akupuntur, akutekan (accupressure), terapi urutan dan terapi gegaran (vibrational therapy). Setiap jenis modaliti ini seperti pelbagai modaliti dalam perubatan alternatif memiliki keistimewaan tersendiri. Homeopati misalnya diamalkan dengan mengpriskripsi sesuatu agen yang amat cair untuk tujuan rawatan. Sebahagian besar agen cair ini dikatakan sukar dikesan oleh mesin pengesan moden contohnya mesin kromatografi.
    Namun, homeopati patut dicemburui (secara benar) oleh golongan moden kerana ia telah menolong orang ramai yang menghidap pelbagai penyakit. Begitu juga modaliti akupuntur, terapi urutan dan akutekan. Ia telah membantu meredakan dan menyembuhkan (maaf; pengunaan istilah ini tidak dibenarkan dalam sebarang perubatan tradisional, istilah reda/lega lebih sesuai) pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia terutama di China sejak beberapa ribu tahun dahulu.
    Kesimpulannya ialah pendekatan perubatan atau penjagaan kesihatan alternatif yang menawarkan pelbagai modaliti adalah unik. Ia tidak seharusnya dinilai menggunakan perspektif perubatan moden.
    Orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan menggunakan rawatan alternatif perlu mendapatkan bantuan hanya dari pengamal perubatan alternatif pakar, bukan dari orang yang memandai-mandai. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang suka mengubati pada hal dia tidak mengetahui ilmu perubatan maka dia patut menanggung akibatnya." [Riwayat Malik bin Anas dalam al-Muwaththa'].

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com

Rahsia untuk Panjang Umur

Oleh:  Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 1 Januari 2013.  
     Amalan gaya hidup seperti yang diamalkan oleh mereka yang berumur panjang dan sentiasa sihat terutama yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman patut dijadikan contoh. Menjalani gaya hidup seperti yang dijalani oleh nenek-moyang kita didapati bukan sahaja berupaya meningkatkan kuantiti dalam bentuk pertambahan jangka hayat malah dari segi kualiti kehidupan secara keseluruhan.
    Dari segi pemakanan mereka hanya makan makanan pada kuantiti sederhana. Jenis makanan yang mereka makan pula tidaklah rencam sepertimana makanan-makanan yang biasa diambil oleh kebanyakan orang. Mereka makan nasi dengan satu atau dua jenis lauk sahaja.
    Lauk yang biasa mereka makan ialah ikan dan sekali-sekala pula telur. Mereka juga kerap makan sayur-sayuran. Kekerapan makan ikan terutama ikan sungai (atau laut) berbanding ayam menhyumbang omega-3 selain sebagai sumber protein utama serta vitamin D. Semua ini dipercayai membantu memulihara fungsi pelbagai sistem tubuh untuk berfungsi dengan cekap.

Tahan lasak serba-serbi
      Mereka tidak takut mendedahkan diri kepada cahaya matahari. Malah sebahagian besar kehidupan mereka ialah membanting tulang di tengah panas terik matahari. Kulit mereka bertukar menjadi sawo matang. Ia tidak terbakar seperti dialami oleh kulit manja yang dimiliki oleh kebanyakan orang yang menjalani kehidupan serba-serbi moden.
     Sering makan sayur-sayuran dan ulam dipercayai menyumbang kepada kekukuhan sel-sel kulit mereka. Yang anehnya, mereka tidak mengalami kanser kulit sedangkan mereka terdedah kepada cahaya ultra ungu dari jenis yang berbahaya setiap hari kerana berkerja saban hari hingga ke petang.
     Untuk mengekalkan bendalir tubuh mereka minum air secukupnya. Jika mereka berhempas-pulas dan berpanas di bendang mereka akan minum air lebih berbanding jika tidak menjalankan aktiviti fizikal yang berat. Mereka lebih kerap minum air masak terutama pada waktu makan. Mereka minum air bergula ketika sarapan pagi dan minum petang sahaja.
     Mereka tidak pernah tahu kalori sesudu gula sama seperti sepinggan nasi namun jumlah minuman bergula yang mereka ambil dalam sehari cukup sesuai untuk menjaga bentuk tubuh mereka agar tidak obes.
     Aktiviti fizikal mereka dengan cara bekerja atau mengemas halaman rumah bukan sahaja membantu mengeluarkan peluh namun meningkatkan ketahanan tubuh fizikal dan psiko-emosi mereka.
     Daya tahan mereka kuat kerana sejak kecil sistem imiun mereka telah membentuk pelbagai antibodi secara semulajadi. Ia berpunca dari pendedahan kepada pelbagai jenis kotoran yang terdapat pada tanah dan persekitaran. Tubuh mereka tidak pernah kenal suntikan vaksin. Tidak seperti anak-anak zaman moden yang disuntik pelbagai vaksin lalu yang dipercayai sebagai punca pelbagai bentuk alahan, kematian mengejut atau sindrom tubuh bergoncang (shaken body syndrome) dan autisme.
     Jika mereka mengalami masalah mereka akan mengadu kepada ALLAH dengan memohon pertolongan. Hubungan mereka yang rapat dengan ALLAH dengan benar-benar beriman kepadanya, menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya secara ikhlas membantu meningkatkan sikap positifnya dalam segenap aktiviti kehidupan harian.
     Nenek-moyang kita dahulu masak makanan menggunakan minyak kelapa. Hari ini minyak kelapa dikatakan oleh media barat sebagai punca penyakit jantung koronari. Pada hal ia berpunca dari angkara pengeluar minyak-minyak sayuran poli tak tepu bagi melakukan minyak berbahaya mereka. Mereka meninggal dunia kerana benar-benar sudah sampai masanya untuk meninggal dunia pada usia yang matang, bukan kerana kematian awal berpunca dari sakit jantung seperti dialami oleh orang zaman sekarang.
     Warga tua yang kekal sihat sampai mencapai umur matang yang dibincangkan dalam artikel ini makan ubat-ubatan moden menurut keperluan sahaja. Terdapat juga orang tua yang jarang sakit. Jadi mereka boleh dikatakan tidak bergantung kepada ubatan moden untuk terus kekal sihat. Sebaliknya amalan gaya hidup holistik sepertimana yang dijalani oleh nenek-moyang mereka menjadi ikutan.  

   Amalan gaya hidup mereka termasuk tidak terlalu bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan modenlah yang membantu mereka panjang umur dan sentiasa kekal sihat.

Awet muda
     Cadangan gaya hidup berikut adalah berdasarkan pemerhatian yang dilakukan terhadap amalan warga tua yang panjang umur dan kekal sihat seperti yang telah dibincangkan di atas. Ia juga diamalkan sendiri oleh penulis.
     Perkara-perkara utama yang perlu diamalkan ialah pengambilan makanan yang sesuai, menjalani aktiviti fizikal yang sesuai, bersikap positif, mengurangkan stres, tidur yang mencukupi, pendedahan kepada cahaya matahari untuk pembinaan vitamin D, minum air secukupnya setiap hari dan mengambil makanan mengandungi antioksidan.
     Beberapa perkara lain seperti mengelakkan pendedahan kepada pencemaran seberapa mampu, mengambil makanan kaya dengan omega-3 dan mengambil minyak kelapa dara juga membantu.
     Secara umum makanlah makanan yang sesuai dengam jenis metabolisme anda. Perlu difahami bahawa makanan yang sesuai untuk seseorang mungkin akan memudaratkan anda jika anda mengambilnya. Makanan yang sesuai dengan jenis metabolisme seseorang dipercayai membantu memulihara kesihatan tubuh secara keseluruhan dan mengurangkan kemungkinan untuk mengalami penyakit termasuk penyakit degeneraif.
     Sesetengah orang akan mengalami tindak-balas makanan apabila mengambil makanan tertentu. Tindak-balas makanan akan menyebabkan seseorang mengalami simtom buruk tertentu. Makanan organik adalah jauh lebik baik dari makanan yang ditanam secara komersil. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai makanan dan jenis metabolisme serta perbincangan mengenai tindak-balas makanan sila baca buku penulis berjudul Kawal Berar Badan (terbitan Alaf 21).
     Mengelakkan makanan karbohidrat terproses, makanan tinggi gula, makanan/minuman yang mengandungi sirap jagung tinggi fruktosa ialah langkah yang bijak. Gunakan manisan seperti gula kabung dan gula Melaka asli. Mengurang/mengelakkan makanan bergoreng secara terendam lama juga adalah langkah bijak. Begitu juga dengan menjauhi makanan-makanan terproses termasuk pelbagai jenis kerepek/cip kentang atau diperbuat dari tepung gandum.
     Menggunakan garam semulajadi seperti garam gunung Himalaya sepatutnya dijadikan keutamaan untuk setiap masakan. Ia menyumbang pelbagai fungsi termasuk dikatakan membantu menyeimbangkan paras pelbagai jenis mineral dalam tubuh. Makanan yang dijeruk seperti yang dimakan oleh nenek-moyang kita amat bermanfaat untuk kesihatan terutama untuk memulihara keseimbangan fungsi sistem imiun.
     Makan secara teratur dan dari jenis makanan yang sesuai dengan metabolisme tidak mencukupi. Aktiviti fizikal dengan berjalan sekurang-kurangnya tiga puluh minit setiap kali berjalan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
     Aktiviti fizikal dengan melakukan hubungan biologi dengan pasangan sah juga membantu. Sesungguhnya aktiviti fizikal cergas termasuk bersenam dengan cara yang betul meningkatkan pembinaan horrmon pertumbuhan disamping membantu seseorang kekal sihat dan sentiasa bertenaga.


Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com

Jumaat, 11 Januari 2013

Peranan Magnesium untuk Kesihatan

Oleh:  Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 25 Disember 2012.  
    Pengambilan suplemen Kalsium tanpa magnesium dikatakan akan menyebabkan kalsium terkumpul di bahagian tertentu tubuh, bukan dalam tulang. Ia juga meningkatkan risiko batu karang, artritis, penyakit jantung koronari dan strok! Penghidap penyakit jantung dan diabetes jenis 2 yang mengambilnya pula dipercayai akan menyebabkan keadaan mereka tidak berubah atau semakin parah.
    Pada 14 April, 2011, British Medical Journal telah melaporkan sebuah analisa berskala besar berdasarkan keputusan lima kajian klinikal yang dijalankan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan New Zealand. Kesimpulan analisa yang melibatkan lebih dari 8,000 orang itu menunjukkan suplemen kalsium meningkatkan risiko beberapa jenis masalah kardiovaskular terutama serangan jantung.
    Dr. Carolyn Dean, MD, ND, pakar magnesium dan juga pengarah perubatan di Nutritional Magnesium Association (http://www.nutritionalmagnesium.org) berkata bahawa kira-kira 30 - 40 tahun dahulu para doktor mula mengpriskripsi kalsium secara rutin kepada ramai kaum lelaki dan kebanyakan kaum wanita yang berusia melebihi empat puluh bagi mengurangkan kesan ostroporosis berpunca dari proses penuaan.
    Ilmu perubatan konvensional memberitahu kita bahawa punca pereputan tulang ialah kekurangan Kalsium. Namun sebuah kajian berjudul 'Calcium, vitamin D, milk consumption, and hip fractures: a prospective study among postmenopausal women.' yang diterbitkan dalam American Journal of Clininal Nutrition (2003) menunjukkan sebaliknya. "Selepas 40 tahun didapati pengambilan kalsium semata-mata tidak memberhentikan pereputan tulang atau memperlahankannya. Ia tidak berupaya mencegah osteoporis."

Amat penting

     Sesungguhnya magnesium merupakan unsur yang amat penting untuk kesihatan tubuh. Setiap organ dalam tubuh manusia terutama jantung, otot dan buah pinggang memerlukan mineral magnesium. Antara lain ia amat penting dalam menggiatkan aktiviti 300 jenis enzim dan memainkan peranan dalam penjanaan tenaga (pembinaan adenonosin triphosphate). Ia juga diperlukan bagi mengawal paras Kalsium selain kuprum, zink, kalium, vitamin D dan pelbagai nutrien penting dalam tubuh.

Selain mampu meredakan tekanan darah tinggi suplemen magnesium mampu mengharmoni denyutan jantung dan meredakan hiperglisemia

     Seperti dinyatakan di atas mengkripsi suplemen Kalsium semata-mata tanpa gandingan mineral magnesium mengundang padad. Kajian demi kajian menunjukkan Kalsium dalam bentuk suplemen sepatutnya diambil dengan gandingan magnesium pada kadar 2:1.

    GreenMedInfo.com melaporkan bahawa para penyelidik telah mengesan 3,751 tapak pelabuhan magnesium pada pelbagai protein dalam tubuh manusia. Peranan magnesium kepada kesihatan manusia dan penyakit dikatakan kurang dihiraukan oleh pengamal perubatan moden dan pakar nutrisi konvensional. Kedua-dua golongan menumpukan preskripsi ubatan (sumber pendapatan) dan penggunaan bahan yang dipelajari di bangku universiti sahaja.

    Ramai tidak tahu ia adalah mineral penting dalam pengawalan tekanan darah dalam arteri dan merehatkan otot. Paras megnesium dalam sel adalah lebih tinggi berbanding di luar sel ketika tekanan darah normal dan otot dalam keadaan rehat. Pada masa sama paras kalsium lebih tinggi di luar sel berbanding di dalam sel.

    Apabila Kalsium masuk ke dalam sel dan magnesium keluar dari sel maka tekanan darah arteri berkurangan dan otot berada dalam keadaan rehat. Pada keadaan ini paras magnesium di luar sel adalah lebih tinggi di luar sel berbanding di dalam sel. Paras Kalsium di dalam sel pula lebih tinggi di dalam sel berbanding di luar sel.

    Ubatan penghalang beta (beta-blocker) dan penghalang laluan kalsium (calcium channel blocker) biasa dipreskripsi oleh doktor kepada mereka yang menghidap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Penghalang beta bertindak menghalang tubuh dari didominasi oleh Sistem Saraf Simpatetik. Ini menyebabkan Sistem Saraf Parasimpatetik mendominasi tubuh dan seterusnya menyebabkan sel-sel otot dan sel arteri mengembang. Keadaan ini menyebabkan otot berehat dan tekanan darah berkurangan.

    Ubatan penghalang laluan Kalsium pula menghalang kemasukan Kalsium ke dalam sel-sel arteri dan otot. Ini menyebabkan otot berehat dan tekanan darah berkurangan. Ramai yang tidak mengetahui bahawa pengambilan suplemen magnesium (dalam bentuk sebatian tertentu) berupaya membantu otot jantung berehat dan mengembangkan arteri (mengurangkan tekanan darah).

    Ramai juga tidak tahu bahawa magnesium berupaya mengawal paras gula darah pada mereka yang mengalami diabetes jenis 2 (type 2 diabetes). Kalsium sendiri ialah bahan yang digunakan oleh sel beta pankreas untuk merembis insulin. Sesungguhnya paras kalsium yang tinggi menyemarakkan keadaan hiperinsulinemia. Hiperinsulinemia ialah keadaan di mana paras hormon insulin dalam darah tinggi iaitu keadaan biasa yang dialami oleh penghidap diabetes jenis 2.

    Ramai saintis percaya bahawa hiperinsulinemia berlaku berpunca dari reseptor (tapak berlabuh) insulin yang terletak pada sel tidak berfungsi untuk membantu insulin berlabuh. Hakikat yang berlaku ialah paras gula yang seringkali tinggi seperti dialami oleh penghidap diabetes menyebabkan paras magnesium dalam tubuh berkurangan.

Hiperinsulinemia dan hiperglisemia


   Mengambil supelemen magnesium (dalam bentuk sebatian tertentu) dikatakan menyebabkan kalsium keluar dari sel-sel beta pankreas. Apabila paras magnesium mendominasi sel-sel beta pankreas maka hiperinuslinemia dan hiperglisemia (paras glukos tinggi) berupaya diredakan. Pada masa yang sama reseptor-reseptor insulin pada membran sel akan berfungsi secara normal dan menerima semula hormon insulin untuk berlabuh.

    Ketidakpekaan reseptor insulin berpunca dari hiperinsulinemia menyebabkan pengangkut glukos dikenali sebagai GLUT4 tidak dibina pada paras sepatunya. Sebaliknya jika reseptor insulin berfungsi dengan sempurna maka GLUT4 dibina oleh sel pada paras sepatutnya dan akan berada pada membran sel. GLUT4 berfungsi dengan menyambut glukos untuk dibawa ke mitokondria (kilang penjanaan tenaga dalam sel).

    Jika orang ramai tahu mengenai peranan dan kegunaan magnesium dalam tubuh penulis percaya berita mengenai keadian kesan sampingan negatif seperti penyakit buat pinggang, hepatitis, hati kecut dan serangan jantung berpunca dari pengambilan ubatan-ubatan moden untuk merawat penyakit jantung koronari dan diabetes jenis 2 akan berkurangan.

    Setakat ini projek pengkalan data GreenMedInfo.com telah menyenaraikan lebih dari seratus kebaikan magnesium. Ia termasuk kebaikan terapeutik untuk fibromyalgia, denyutan jantung tidak sekata, diabetes jenis 2 dan sindrom premenstruasi.

    Terdapat pelbagai faktor yang mengurangkan paras magesium dalam tubuh seperti antara lain makan berlebihan, tubuh bertoksin, makan ubat-ubatan moden secara berpanjangan, stres emosi kronik, mengambil makanan terproses, mengambil makanan tinggi gula, menghidap rokok, minum arak, mengalami diabetes dan mengalami penyakit kronik.

   Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranan dan kegunaan magnesium bagi mengawal penyakit jantung koronari dan diabetes jenis 2 pembaca dinasihatkan membaca dua buah buku penulis yang masing-masing berjudul Serangan jantung dan Diabetes Jenis 2.

Hakcipta:

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
www.gayahidupholistik.blogspot.com