Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Rabu, 23 Januari 2013

Meningkatkan Kecekapan Sistem Imiun amat Mudah

Oleh: Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor pada 22 Januari 2013. 

     Minggu lepas penulis sentuh mengenai beberapa aspek yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja bagi memperkukuh sistem imiun. Aspek-aspek yang dibincangkan adalah seperti berikut. 

    Bahan-bahan yang masuk ke dalam perut kita seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, suplemen adalah bahan yang menentukan tahap kesihatan masa hadapan termasuk tahap kecekepan sistem imiun. Mengelakkan antibiotik moden dan menggantikannya dengan antibiotik dari alam semulajadi adalah langkah yang bijak. 

  Minggu ini penulis teruskan perbincangan dengan menyentuh beberapa aspek utama yang lain.

     Bayi yang menyusu susu ibunya dikatakan amat bertuah. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan kasih-sayang antara ibu dan bayi malah secara langsung dan tidak langsung membantu menyediakan sistem imiun yang sempurna ketika alam bayi dan ketika alam dewasa

Bukan sekadar antibodi

   Bahan-bahan dalam susu ibu amat  penting dalam membantu memperkukuh sistem imiun. Asid laurik, lactoferin, alpha-lactalbumin, lysozyme, lipid, gumpalan lemak susu, nucleotide, defensin, cytokine, hormon, faktor tumbesaran (pertumbuhan), faktor anti-perembisan, leucocyte, neutrophil, macrophage, lymphocyte serta pelbagai jenis antibodi, Setiap bahan bertindak secara unik serta saling membantu fungsi komponen-komponen lain.    

      Susu ibu mengandungi sembilan puluh jenis oligosakarida yang membentuk lebih sembilan ratus jenis stuktur kimia. Kolustrum atau 'susu awal ibu' mengandungi paras oligosakarida yang tinggi. Ia dikenalpasti membantu sistem imiun dengan menghalang virus dan bakteria dari melekat pada dinding usus.

     Bayi yang menyusu susu ibu didapati memiliki saiz thymus dua kali ganda lebih besar berbanding dengan bayi yang tidak menyusu susu ibu. Thymus ialah sejenis organ sistem imiun yang amat penting.

     Untuk menyuburkan payu-dara dan kilang susu, wanita yang telah bersedia untuk mengandungi perlu menyediakan diri dengan mengambil makanan-makanan tertentu bagi tujuan tersebut. Elakkan dari makan makanan merapu misalnya makanan terproses dan jeruk yang mengandungi warna sintetik serta pemanis tiruan.

    Makanlah lauk yang berbeza pada setiap hari. Kerap mengambil sup ayam dikatakan membantu meningkatkan paras susu. Makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan secara kerap. Minyak kelapa dara membantu mempertingkat paras asid laurik dalam susu isu. Herba seperti halba, serbuk daun barli, jintan putih dan bawang putih amat membantu.

   Detoksifikasi yang sempurna amat penting bagi mengharmoni kecekapan sistem imiun. Terdapat beberapa cara utama tubuh menjalankan proses detoksifikasi iaitu melalui kulit (peluh), organ hati, buah pinggang dan usus. Aktiviti fizikal seperti bersenam, berlari, mengayuh basikal, main badminton adalah antara cara untuk mengeluarkan peluh. Malah aktiviti fizikal yang cergas tetapi tidak keterlaluan memang didapati meningkatkan kecekapan sistem imiun.

Bahan sembelit

    Mereka yang biasa buang air besar purata satu atau dua kali sehari biasanya dikatakan akan memiliki sistem imiun yang kuat. Sebaliknya mereka yang sering mengalami sembelit iaitu menyimpan najis lebih dari dua hari mudah mendapat jangkitan kuman. Sesetengah penghidap kanser mengalami sembelit berlarutan selama beberapa tahun (atau berpuluh tahun) sebelum mereka didiagnos mengalami kanser.

    Hati ialah sejenis organ yang menjalankan proses detoksifikasi yang utama. Mereka yang sering makan berlebihan, menghisap rokok, minum arak, makan ubatan-ubatan moden (terutama ubat-ubatan kategori racun kepada sel contohnya ubat kemoterapi) mudah mendapat jangkitan kuman.

    Pertama kerana tubuh tidak berupaya mendetoks secara berkesan. Kedua kerana kekurangan nutrien. Mengambil makanan tinggi nilai nutrien namun masih mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti amalan-amalan di atas meningkatan risiko ketidakcekapan sistem imiun.

     Anda biasa dengar seseorang yang mengalami stres emosi secara berlarutan mudah menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit-penyakit yang berkaitan dengan ketidakharmonian sistem imiun. Mereka yang sering murung contohnya mudah menghidap demam selsema dan batuk. Mereka yang sering resah akan mengalami contohnya masalah penghadaman dan diarea. Stres berpanjangan juga menyebabkan sistem imiun tidak dapat memusnahkan sel-sel kanser secara cekap.

       Seperti dinyatakan di atas aktiviti fizikal yang tidak keterlaluan membantu memperkukuh sistem imiun. Namun jika ia dilakukan secara keterlaluan contohnya hubungan biologi dengan pergerakan fizikal yang menggila, bersukan secara tidak kena gaya (terlalu aktif namun tidak mengambil jenis dan jumlah makanan yang sesuai) dan sering beronani (masturbasi - sebahagain besar ulama berpendapat ia haram).

       Mereka yang kerap melakukan hubungan biologi (atau sering beronani) dipercayai mengalami kekurangan beberapa jenis nutrien termasuk beberapa jenis vitamin B, magnesium dan zink di mana kesemuanya digunakan untuk membina tenaga. Zink membantu membina enzim bagi digunakan untuk membina tenaga.

     Kepekatan zink adalah paling tinggi dalam air mani.  Jadi, mengeluarkan air mani secara kerap bermaksud mengurangkan zink dari tubuh. Melakulan hubungan biologi dan beronani secara terlalu kerap menimbulkan stres dan seterusnya mengganggu fungsi sistem imiun. Seseorang yang sering beronani mudah mengalami demam dan bronkitis!

Kotoran tingkat kecekapan

     Kanak-kanak yang biasa bermain di taman terutama di atas tanah dikatakan memiliki sistem imiun yang kuat berbanding kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang serba-bersih. Ia mudah difahami kerana sistem imiun mereka membantu mempertahan tubuh mereka dari penyakit dengan membina lebih banyak antibodi berbanding tubuh kanak-kanak yang dimanjakan dengan persekitaran serba-bersih. Pada masa akan datang kanak-kanak yang memiliki pelbagai jenis antibodi ini tidak mudah dijangkit jangkitan mikrob.

    Kajian menunjukkan kanak-kanak yang membesar di pusat penjagaan kanak-kanak memiliki sistem imiun yang kuat. Tidak dinafikan air bersih diperlukan bagi mempastikan dari jangkitan mikrob bawaan air. Selain itu mencuci tangan dengan air dan sabun hingga bersih ialah amalan yang baik samada selepas keluar tandas atau sebelum makan.

    Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa mencuci tangan menggunakan sabun mengandungi antimikrob berasaskan fenol bukan langkah yang bijak. Ia dikatakan sama dengan penggunaan antibiotik moden di mana penggunaan sabun jenis ini akan menyebabkan bakteria dan virus bermutasi kepada varian yang sukar dimusnahkan oleh antibiotik pada masa akan datang.

    Beberapa langkah lain bagi membantu memperkukuh sistem imiun ialah seboleh-bolehnya mengelakkan dari terdedah kepada bahan-bahan kimia persekitaran (dan bahan kosmetik), sentiasa bersikap positif, pertingkat hubungan suami-isteri (dan silatul rahim) dan rehat/tidur yang mencukupi.

Hakcipta
Herbalis Bahrain, RH (AHG)