Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Jumaat, 3 April 2020

COVID-19 sebabkan Sektor Pelancongan Thailand terjejas Teruk

BANGKOK, 3 April -- Jika dulu pemandu teksi sibuk melayani penumpang, kini suasana itu tidak lagi kelihatan, segelintir pemandu duduk termangu di terminal teksi Lapangan Terbang Suvarnabhumi, berlatarkan suasana sunyi, susulan penggantungan sementara penerbangan antarabangsa dan domestik di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.
Lapangan terbang yang sebelum ini antara tersibuk di Thailand, kini lenggang, sekali sekala kelihatan beberapa penumpang di kawasan menunggu.
Thailand negara pertama di luar China melaporkan kes COVID-19, dan sejak itu jumlah penumpang turun mendadak. 
Pada 31 Mac, Lapangan Terbang Suvarnabhumi menyaksikan 95 peratus pengurangan jumlah penumpang, merekodkan hanya 8,892 pengunjung dari 207 ketibaan antarabangsa dan domestik.
Hanya dikenali sebagai Suwan, 45, beliau berkata keadaan itu memberi kesan ketara kepadanya dan kehidupan pemandu teksi yang lain.
"Sekarang kami terpaksa berhempas pulas mencari rezeki. Penumpang semakin berkurangan sejak wabak itu mula melanda. Walaupun menunggu berjam-jam lamanya seorang penumpang pun belum tentu ada. 
"Mula-mula pelancong China hilang ... lepas itu pelancong Korea dan Jepun pula. Sekarang, pemandu teksi menghabiskan masa berjam-jam menunggu sekadar untuk berkongsi beberapa pelancong," katanya kepada Bernama.
Semalam (2 April) Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengumumkan perintah berkurung seluruh negara dari 10 malam hingga 4 pagi mulai Jumaat, sehingga diberitahu kelak.
Sebelum ini, Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara dari 26 Mac hingga 30 April, untuk mengekang penularan COVID-19.
Di bawah dekri darurat, semua pusat beli-belah, pusat hiburan dan venue sukan yang menarik tumpuan ramai diarah tutup manakala pasar raya yang menjual makanan dan barang keperluan harian, farmasi dan kedai serbaneka boleh dibuka.
Restoran dan kafe dibenarkan dibuka dengan hanya menawarkan makanan untuk dibungkus dan perkhidmatan penghantaran sahaja.
Kerajaan melarang kemasukan semua warga asing bukan penduduk. Bagaimanapun, warga Thailand, kalangan anggota diplomatik, warga asing yang memiliki permit kerja dan mereka yang bekerja dalam sektor pengangkutan dibenarkan masuk.
Kesannya, bandar raya Bangkok bertukar menjadi tenang dan kurang sesak. Ratchaprasong Skywalk, yang pada kebiasaannya dipenuhi pengunjung tempatan dan asing, kini sunyi sepi.
Paling terkesan pengusaha pelancongan, kerana kebanyakan destinasi percutian di Bangkok menyaksikan penurunan drastik dalam jumlah kehadiran pelancong.
Pada Februari, jumlah pelancong asing di Thailand merosot 43.9 peratus berbanding 3.6 juta pada 2019 kepada 2.06 juta tahun ini.
Jumlah pelancong China - sumber pelawat terbesar Thailand - turun 84.92 peratus daripada 1.06 juta pada 2019 kepada 160,564 tahun ini.
Kementerian Pelancongan dan Sukan turut mengurangkan sasaran ketibaan pelancongnya kepada 33 juta tahun ini. Tahun lepas, Thailand menerima 39.8 juta pelancong, yang menjana pendapatan berjumlah 1.93 trilion baht. 
Pemandu Tuk-tuk Prakob Napcai terpaksa melakukan pekerjaan sampingan kerana pendapatannya terjejas.
"Tiada pelancong bermakna pendapatan saya pun tak ada. Sejak wabak itu melanda, pendapatan harian saya turun dari 1,200 baht sehari kepada hanya 300 baht. Jadi saya terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai pemandu teksi.
"Saya tahu penting untuk membendung penyebaran virus, tetapi kehidupan golongan berpendapatan rendah seperti kami terjejas. Saya berharap keadaan ini akan berakhir tak lama lagi," kata Prakob.
-- BERNAMA