Pengumuman Penting - Saya bukan TSM

Assalaamu3alaikum.... Terimakasih atas kunjungan anda ke blog ini. Saya dapati beberapa saliran internet seperti forum dan facebook telah tersalah menyampaikan maklumat mengenai artikel saya berjudul RUMPAI LAUT TIDAK MENGANDUNGI KOLAGEN. Foto yang disiarkan adalah keratan akhbar mengandungi semuka penuh artikel tulisan saya dengan judul seperti dinyatakan di atas namun isi yang ditampal ialah isi dari sebuah artikel berjudul TIADA KOLAGEN DALAM RUMPAI LAUT. Sesungguhnya saya tiada kena-mengena dengan blogger yang menulis artikel tersebut dari sebarang segi. Harapan saya kepada pencinta ilmu agar berhati-hati apabila ingin berkongsi maklumat agar berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu betul pada tempatnya. Terimakasih. Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) www.gayahidupholistik.blogspot.com April 20, 2013

Jumaat, 24 April 2020

COVID-19 - Saranan Saintis kepada Pegawai Kesihatan Awam: Pengambilan suplemen Zinc, Vitamin C dan D serta Minyak Ikan bagi mengoptima Sistem Imiun sebagai langkah tambahan kepada Langkah Pencegahan Sedia ada

dikemaskini 6:11 am, April 25, 2020

PERHATIAN untuk semua pelawat kategori orang awam dan bukan kategori pengamal perubatan alternatif. Tulisan ini hanya sebuah berita berdasarkan kenyataan akhbar dari sumber asal. Isinya ialah saranan saintis kepada pegawai kesihatan awam yang menangani COVID-19 agar memasukkan amalan pengambilan nutrien tertentu ke dalam langkah pencegahan sedia ada agar dapat diamalkan oleh orang ramai untuk mengoptima fungsi sistem imiun bagi menghadapi COVID-19. Sila baca Penafian penulis yang terletak di sebelah kanan blog sebelum membaca ye. Terimakasih.

Saintis penyelidik Universiti Negeri Oregon (Oregon State Universiti, OSU) mencadangkan pengambilan penokok/tambahan diet iaitu vitamin C dan D dan mikronutrien lain. Ia diambil bagi membantu sistem imiun anda melawan COVID-19 dan penyakit saluran pernafasan akut yang lain. Mereka percaya pengambilannya yang kadang-kadang pada jumlah melebihi tahap yang disyorkan (RDA) sebagai kaedah yang selamat, 

Laporan kajian yang diterbitkan pada April 23. 2020 dalam jurnal Nutrients adalah hasil kajian berbentuk semakan oleh saintis Adrian Gombart dari Institut Linus Pauling OSU dan saintis-saintis dari Universiti Southampton (United Kingdom), Universiti Otago (New Zealand) dan University Medical Center (Belanda). Gombart mencadangkan pegawai kesihatan awam agar harus mengeluarkan satu set cadangan pemakanan yang jelas untuk melengkapkan mesej mengenai peranan mencuci tangan dan vaksinasi dalam mencegah penyebaran jangkitan.


"Di seluruh dunia, jangkitan saluran pernafasan akut membunuh lebih daripada 2.5 juta orang setiap tahun," kata Gombart, profesor biokimia dan biofizik di Kolej Sains OSU dan penyelidik utama di Institut Linus Pauling. "Sementara itu, terdapat banyak data yang menunjukkan peranan pemakanan yang baik dalam menyokong sistem kekebalan/imiun tubuh. Sebagai masyarakat, kita perlu melakukan tugas yang lebih baik untuk menyampaikan mesej itu bersama-sama dengan mesej penting lain."

Vitamin, mineral dan asid lemak tertentu mempunyai peranan penting dalam membantu sistem ketahanan badan anda, katanya. Khususnya vitamin C, vitamin D, zink, dan asid lemak omega-3 yang terdapat pada ikan. Asid dokosaheksaenoik yang juga dikenal sebagai DHA adalah sangat penting untuk fungsi sistem imiun.

"Peranan yang dimainkan oleh vitamin C dan D dalam sistem imiun sangat memang telah diketahui (penulis blog: terutama oleh saintis-saintis yang berkecimpung dengan nutrien ini serta ramai pengamal perubatan alternatif)," katanya. “Vitamin C berperanan dalam beberapa aspek kekebalan tubuh, termasuk pertumbuhan dan fungsi sel imun dan penghasilan antibodi. Reseptor vitamin D pada sel sistem imiun juga mempengaruhi fungsinya. Ini bermaksud bahawa vitamin D sangat mempengaruhi tindak-balas seseorang terhadap jangkitan.

Masalahnya ialah orang ramai tidak mengambil nutrien ini secara mencukupi. Ini boleh menghancurkan daya tahan anda terhadap jangkitan. Oleh itu, kita akan melihat peningkatan penyakit (berjangkit) dan semua beban tambahan yang berlaku seiring dengan peningkatan itu."

Itulah sebabnya para penyelidik menggesa bukan setakat  pengambilan harian multivitamin malah dos 200 miligram atau lebih vitamin C (lebih tinggi daripada garis panduan persekutuan (Amerika Syarikat) 75 miligram untuk lelaki dan 50 untuk wanita) dan 2,000 unit antarabangsa vitamin D dan bukannya 400 hingga 800 seperti disyorkan bergantung kepada usia.

Taruhannya sangat besar kata Gombart. Setiap tahun influenza (flu) sahaja menyebabkan masuk hospital berjuta-juta dan membunuh beberapa ratus ribu orang di seluruh dunia.

"Sejumlah amalan kesihatan awam yang piawai telah dibentuk bagi membantu menghad penyebaran dan kesan virus pernafasan termasuk mencuci tangan secara teratur, penjarakan social dan menutup (tambahan penulis blog: memakai topeng muka ketika berada di tempat awam apabila mendapati diri sendiri) batuk (atau bersin sebelum keluar rumah)," kata Gombart. "Dan untuk virus tertentu seperti influenza memang ada kempen vaksinasi tahunan."

Tidak ada keraguan bahawa jika terdapat vaksin mungkin akan amat berkesan, tetapi (untuk virus tertentu mungkin) kurang berkesan (seperti diharapkan misalnya kerana berlaku mutasi atau rekombinasi lalu menyebabkan antibodi tidak dapat mengesan jangkitan virus) katanya.

Gombart menekankan bahawa amalan kesihatan awam semasa - menekankan penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan vaksinasi - adalah penting dan berkesan tetapi memerlukan strategi pelengkap. Fokus pemakanan pada sistem kekebalan tubuh dapat membantu mengurangkan impak (tambahan penulis blog: mungkin yang dimaksudkan ialah pengurangan keamatan simtom akibat jangkitan di mana amalan pengambilan nutrien yang dicadangkan akan mengurangkan bilangan penghidap  bergejala teruk yang setakat ini dialami  golongan berisiko mudah dijangkiti seperti orang tua, penghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes,  penyakit jantung,  merokok, masalah paru-paru seperti emfisema/bronkitis kronik dan kanser. Ia seterusnya dipercayai akan menyebabkan jumlah penghidap yang akan dimasukkan ke hospital terutama ICU dan memerlukan bantuan pernafasan di samping jumlah kematian penghidap mengalami ko-morbiditi akan berkurangan) pelbagai jenis jangkitan.

"Situasi sekarang dengan COVID-19 dan jumlah orang yang mati akibat janbgkitan pernafasan lain menunjukkan bahawa usaha kita tidak mencukupi," katanya. "Kami sangat berharap pegawai kesihatan awam dapat memasukkan strategi pemakanan ke dalam strategi mereka."

Mengenai Linus Pauling Institute: Institut Linus Pauling di OSU adalah pemimpin dunia dalam kajian mikronutrien dan peranannya dalam meningkatkan kesihatan optimum atau mencegah dan merawat penyakit. Bidang penyelidikan utama termasuk penyakit jantung, barah, penuaan dan penyakit neurodegeneratif.

Nota untuk pengamal perubatan alternatif: Sila baca Recommendations and Conclusions dalam laporan kajian (Bacaan lanjut 1) untuk mengetahui cadangan saintis penyelidik berkaitan pengambilan jenis nutrien dan dos.

Sumber asal kenyataan akhbar (dengan sedikit ubahsuai bahasa dan tambahan penulis blog):

Universiti Negeri Oregon dengan judul Dietary supplements an important weapon for fighting off COVID-19, other respiratory conditions 

Bacaan lanjut:

1. Adrian F Gombart et al., Optimal Nutritional Status for a WellFunctioning Immune System Is an Important Factor to Protect against Viral Infections.  Nutrients 2020, 12(4), 1181; https://doi.org/10.3390/nu12041181

2. Infeksi: Bantu Sistem Imiun mengatasinya dengan Kaedah yang Sesuai untuk ia berfungsi dengan Cekap  Penulis menulis 10 hari lebih awal dengan saranan yang serupa sebagai cadangan untuk diamalkan oleh pengamal perubatan alternatif (yang sudi buka minda). Untuk makluman baru hari ini penulis terserempak dengan kenyataan media OSU dan saranan yang hampir serupa oleh penulis seperti tulisan sebelum ini adalah berdasarkan ilmu dan pengalaman penulis sendiri. Harap janganlah mudah melatah dengan mengatakan saranan penulis seperti dalam tulisan ini tidak berasas atau palsu.

Hakcipta terpelihara di https://gayahidupholistik.blogspot.com/